Sunday, June 14, 2009

AEDES YANG AKAN TERUS BERDENGGI

"Denggi gagal dihapuskan." Begitu pengakuan KP Kementerian Kesihatan. Mengenai permasalah denggi yang sukar dibendung, malah semakin meningkat.

Seorang rakanku, Amin, hanya tersenyum (sinis) menyaksikan pengakuan itu di tv beberapa hari lalu. Dia tersenyum sinis bukan kerana mahu menyindir atau jauh sekali dia sukakan nyamuk aedes yang berbahaya itu. Dia tersenyum (sinis) kerana dia ada peristiwa yang berkaitan dengan denggi itu kira-kira dua tahun lalu.

Halaman rumahnya, persekitaran yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok hiasan dan bunga-bungaan. Cantik, kemas dan teratur. Kerana sentiasa dijaga dengan rapi. Itulah masa yang dipenuhinya setiap ada kelapangan.

Berdekatan dengan tempat tinggalnya terdapat kawasan terbiar yang agak luas. Dipenuhi dengan semak samun dan pokok-pokok yang merimbun.

Persekitaran kawasan terbiar yang bersebelahan jalan raya di taman perumahan tempat tinggalnya itu agak kurang selesa kerana terdapat banyak nyamuk. Kawasan terbiar itulah yang menjadi punca pelbagai jenis nyamuk membiak. Ibu bapa melarang anak-anak mereka bermain di luar rumah. Kerana takut digigit nyamuk. Ular pun pernah wujud dari semak samun itu.

Tapi mujurlah di persekitaran halaman kediaman rakanku tidak dipenuhi nyamuk. Mungkin kerana ia sentiasa terjaga agaknya.

Disebabkan terdapatnya nyamuk yang tentunya boleh mendatangkan rimas itu, Amin telah beberapa kali menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengadu mengena masalah tersebut.

Janji PBT ialah akan cuba untuk mengatasi masalah itu. Namun janji hanya tinggal janji. Nyamuk makin menjadi-jadi. Amin merungut berkali-kali.

Bila Amin terus hubungi PBT, kali ini jawapan mereka begini pula;
"Masalah nyamuk ni sebenarnya tanggungjawab Jabatan Kesihatan (JK)," beritahu seseorang yang bertugas di PBT.

Bila Amin hubungi JK pula, dia diberitahu bahawa masalah yang berkaitan dengan nyamuk di luar kawasan rumah itu ialah tanggungjawab PBT.

Amin makin bingung. Bila dia hubungi PBT lagi, dia tetap juga disuruh berhubung dengan JK. Dan bila dia berhubung dengan JK lagi, seseorang yang mengenalkan diri sebagai Saad dengan nada suara yang kurang senang meminta alamat rumahnya. Tanpa berlengah dia berikan alamat rumahnya.

Lebih kurang tiga jam kemudian, sebuah kenderaan dari JK muncul di depan rumahnya dengan beberapa orang kakitangannya.

"Encik ada buat laporan mengenai nyamuk tadi?" tanya seorang lelaki yang beruniform dan siap dengan fail di tangannya, berdiri di depan pintu pagar rumah Amin.

"Ya," jawab Amin ringkas. Gembira. Moga masalahnya akan selesai.

"Boleh kami masuk... nak buat pemeriksaan," kata pegawai JK itu lagi.

"Tapi, saya mengadu mengenai nyamuk di luar kawasan rumah saya. Puncanya dari semak samun tu," tingkah Amin sambil menuding jari ke arah kawasan semak samun itu.

"Bila encik dah buat laporan kepada kami (JK), kami kena periksa sekitar rumah encik. Kalau di luar kawasan rumah, encik kena laporkan pada PBT," ujar pegawai itu lagi.

Amin jadi keliru. Makin bingung. Mujur tak semakin tongong. "Aduhhh..." Amin menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Tapi jadi serabut dengan tiba-tiba.

Mahu tak mahu Amin membenarkan beberapa orang dari JK itu memeriksa persekitaran halaman rumahnya. Cara dan tindakan mereka mencari dan menggeledah seolah-olah mereka mesti akan dapatkan sesuatu untuk djadikan bukti. Bahawa nyamuk-nyamuk itu berpunca dari rumah Amin. Amin hanya memerhati dengan rasa tak puas hati..

Setelah puas mencari dan menyelongkar di sana sini, akhirnya mereka terjumpa beberapa ekor jentik-jentik di atas sebuah tong bekas cat yang telah Amin bersih dan terbalikkan untuk dijemur. Amin pun tak sedar macam mana bekas tong cat itu boleh bertakung air yang cetek dan terletak pula di kawasan lapang yang kena cahaya matahari boleh jadi tempat jentik-jentik membiak.

Ah, dia terlalai agaknya. Bekas yang di depan mata pun boleh terlepas pandang.

Dipendekkan cerita, tanpa memberikan amaran atau nasihat, pegawai JK itu meminta kad pengenalan Amin untuk dicatatkan nama dan alamat.

Pegawa JK itu membawa jentik-jentik itu pulang ke pejabat untuk dikaji dan dianalisis jenisnya. Jika ia jentik-jentik aedes, maka bersedialah Amin untuk disaman.

Nasib Amin memang malang. Jentik-jentik itu adalah aedes. Amin disaman RM100.

Amin membayar saman itu. Dan dia meminta pihak JK membuat semburan asap di persekitaran kawasan taman perumahan tempat tinggalnya itu, kerana telah terbukti ada jentik-jentik aedes, bermakna mestilah ada nyamuk aedes.

Namun pihak JK tidak menerima permohonan Amin. Kata mereka, semburan asap hanya akan dilakukan setelah ada kes denggi. Maknanya setelah ada orang kena demam denggi, baru semburan akan dilakukan. Bunyinya pelik, bukan? Tapi begitulah Amin diberitahu.

"Kalau mahu tunggu ada orang kena demam denggi baru nak diadakan semburan asap, bermakna bersedia untuk kematian dulu, baru nak buat kerja. Kalau begitu, sampai bila-bila pun masalah denggi tidak akan selesai, "luah Amin dengan rasa kesal yang amat.

Kalau prosedur itu diteruskan, bermakna masalah kematian yang berpunca dari denggi tidak akan selesai. Malah aedes akan terus membiak dengan selesa, manakala mangsa denggi akan sentiasa ada sampai bila-bila.

Begitulah pengalaman Amin yang aku cuba catatkan di sini. Yang sepatutnya tidak terus menjadi amalan pihak yang terbabit.

Sepatutnya sesuatu tempat yang sudah diketahui ada aedes, sepatutnya juga persekitaran itu perlu disembur asap sebelum ada yang jadi mangsa denggi.

Seperkara lagi, bila Amin ceritakan peristiwa itu kepada beberapa orang rakannya yang lain, tahu apa reaksi mereka?

"Kalau kat rumah aku ada banyak nyamuk pun, tak naklah aku laporkan. Silap-silap aku pula yang kena saman," begitu kata mereka.

Kalau begitu? Akan selesaikan masalah nyamuk aedes yang berbahaya itu?.

Nota: Coretan ini bukan untuk memburukkan sesiapa, tapi sekadar renungan demi kebaikan bersama.

"Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?"

Fikir-fikirkanlah...

Monday, June 8, 2009

SEJENAK:

JOM KITA BERFIKIR...


Dalam sehari berapa banyak anda berfikir?

Dan setiap kali sesuatu yang perlu anda berfikir, berapa lama masa diperlukan?

Berfikir -tidak kiralah berapa banyak kita melakukannya dalam sehari, atau berapa lama masa diperlukan, kita seharusnya perlu berfikir untuk memenuhi keperluan sesuatu yang kita fikir.

Selagi kita mampu berfikir, dan ada kalanya sesuatu yang kejadian yang memerlukan kita berfikir, itu menandakan otak kita masih mampu berfungsi.

Bagi sebilangan kita, berfikir itu amat berat. Tapi masih ada yang mampu melakukannya, dengan segala usaha mengikut keperluan untuk apa yang perlu difikirkan.

Berfikir, tidak seharusnya diabaikan.

Mengabaikan berfikir, bermakna kita tidak peka terhadap sesuatu yang memerlukan tindak balas pada fikiran kita.

Dalam menjalani kehidupan seharian mungkin banyak perkara yang perlu difikirkan.

Contohnya, setiap kali telinga yang mendengar, seharusnya ia serentak dengan berfikir. Kenapa? Agar sesuatu yang menerjah di telinga itu tidak tersalah pendengaran atau penilaian, atau tidak tersalah penerimaannya.

Begitu juga, serentak mata yang memandang sesuatu kejadian, fikiran juga perlu pantas bertugas (berjalan). Kenapa? Agar sesuatu yang dilihat itu mungkin memerlukan sesuatu tindakbalas fikiran, atau supaya mata dan akal tidak tersalah tafsir dengan apa yang telah dilihat itu.

Berfikir, walaupun tidak semudah mengunyah dan menelan makanan, namun tidak seharusnya dipandang remeh.

Sekalipun ia sesuatu yang negatif atau melampaui moral kemanusiaan, perlu juga difikirkan, lebih-lebih lagi dalam siatuasi yang memerlaukan kita berfikir.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Jangan berfikir apa yang difikirkan itu tidak perlu difikir. Maka terfikirkah kita sebagaimana keperluan yang difikirkan?"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tuesday, June 2, 2009

KERANA MAT BANGLA

Malang seorang rakanku. Seorang usahawan muda yang semakin maju.

Dua minggu lepas dua orang Mat Bangla yang bekerja dengannya telah menghilangkan diri. Kedua-duanya cabut lari tanpa alasan diberi. Membuatkan rakanku itu amat susah hati.

Gaji setiap bulan tetap dibayar. Tapi kedua-dua Mat Bangla tu sengaja cari onar.

Rakanku telah pun buat laporan kepada pihak yang berkenaan. Namun sampai sekarang tiada apa-apa perkembangan.

Dua bulan kemudian dia terjumpa salam seorang Mat Bangla itu di sebuah tempat yang pernah dikunjunginya. Tapi Mat Bangla itu buat muka selamba dan macam tak ada terjadi apa-apa.

Rakanku menyapa dan berkata dengan nada geram; "Eh, Bangla.., berani kau lari ya? Pasport kamu berdua ada pada aku tau?".

Nak tau apa Mat Bangla tu jawab?

"Apa aku heran. Kau ingat kalau tak ada pasport, kami tak boleh hidup? Tak boleh cari makan ka? Mana-mana pun kami boleh cari makan la..," begitu jawab Mat Bangla itu dengan selamba.

Kemudian Mat Bangla itu terus berlalu.

Rakanku makin geram. "Kita, kalau nak bergerak ke mana-mana, risau kalau tak bawa i/c. Sedangkan ini negara kita. Tapi diorang sikit pun tak takut." dia merungut dan mengeluh.

"Apa nak heran," tingkah seorang lagi rakanku dengan pantas. "Di negara kita ni orang luar boleh buat apa saja. Kau tengoklah di sekeliling kita. Tapi kalau orang kita... " tingkah rakanku itu lagi yang tak tergamak untuk meneruskan kata-kata. Hanya kepalanya yang tergeleng-geleng.

Aku yang nak tersenyum, tapi tak jadi tersenyum, bila mengingatkan betapa ramainya Mat Bangla yang bekerja di sebuah tapak pembinaan yang berhampiran dengan tempat tinggalku. Ada kalanya mereka melalui jalan di sebelah kediamanku untuk berulang-alik ke kedai.

Hiss.., risau juga hati kecilku ini.
Risau jikalau mereka tergamak melakukan sesuatu yang tidak diingini yang boleh mengganggu ketenteraman komuniti di taman perumahan tempat tinggal kami.

Kami hanya mampu berdoa. Mudah-mudahan tiada apa-apalah yang akan berlaku.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Enggan memahami perasaan orang lain adalah satu tindakan yang tidak baik. Namun jika terlalu akur akan perasaan orang lain juga boleh menyebabkan terjadinya sesuatu yang tidak baik,"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Thursday, May 28, 2009

AKU AKAN KE POLISAS

Sabtu (30 Mei 2008). Aku akan ke Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Semambu, Kuantan. Untuk menemui seseorang.

Pukul 9 pagi atau 10 pagi aku perlu ada di sana.

Untuk tidak terlewat sampai sebagaimana waktu yang dijanjikan, aku perlu bertolak dari rumah sebelum pukul 6 pagi.

Aku suka ikut Muadzam Shah. Selesa. Tidak sibuk dengan kenderaan. Di kanan dan kiri jalannya diredupkan dengan tumbuh-tumbuhan hijau merimbun. Memandu pun tidak membosankan.

Aku memang kerap ke sana. Apa yang aku musykilkan ialah, dari Gambang hingga ke Semambu, tiada satu pun aku temui papan tanda yang menunjuk arah ke Polisas.

Hanya satu papan tanda yang agak besar terpacak selepas jalan susur ke Polisas. Papan tanda itu tidak membantu kepada sesiapa yang belum biasa ke Polisas.

Lagipun, Polisas agak tersembunyi dan jauh ke pinggir hutan yang berbukit. Terlindung dari jalan utama.

Sepatutnya disediakan beberapa papan tanda menunjuk arah ke Polisas di tepi-tepi jalan utama, sama ada dari Gambang atau dari bandar Kuantan.

Sudah hampir setahun aku kerap ke sana, dan aku tertanya-tanya kenapa tiada papan tanda itu? Sedangkan 'penghuni' Polisas datangnya dari seluruh negeri di Malaysia.

Aku yang pertama kali ke sana, kira tersesatlah juga. Kerana belum biasa. Mungkin rama juga 'pendatang' lain yang pertama kali ke Polisas mengalami nasib yang serupa denganku. Aku tak nafikan.

Di manakah silapnya? Sebuah politeknik yang besar, tapi terabai dengan penunjuk arah untuk para pengunjung? Adakah kerana kelalaian? Tidak ambil kisah? Atau pakai ambil mudah?

Sekadar teguran untuk kebaikan bersama.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Aturkan setiap langkahmu biar berarah. Jika ia tidak berarah, kamu pasti akan kehilangan arah."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Monday, May 25, 2009

SEEKOR ANJING YANG TETAP ANJING

Seekor anjing yang sedang tersepit. Menyalak tak keruan.

Dia datang cuba menghulurkan bantuan. Untuk melepaskan anjing itu dari tersepit.

Sebaik selepas anjing itu terlepas. Anjing itu terus menerkamnya. Mujur dia sempat mengelak.

Anjing itu masih berkeliaran. Terlalu kelaparan dan kehausan.

Masih juga ada simpati di hatinya.

Dia mendekati anjing itu dan menghulurkan sebekas makanan. Tiba-tiba anjing itu menerkamnya sekali lagi. Kali ini tangannya terluka.

Dia merungut dan menyumpah-nyumpah sambil menahan kesakitan.

Dan buat sekian kalinya, dia benar-benar menyesal mendekati anjing itu.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Jika kamu disukai seribu orang, itu adalah biasa. Tapi jika kamu dibenci oleh setiap orang, itu amatlah luar biasa."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Thursday, May 21, 2009

RUNGUTAN SEORANG RAKAN

Seorang rakanku merungut dalam marah. Katanya, di pejabat tempat kerjanya ada dua tiga ekor mawas yang suka mencari dan 'mencipta' kesalahan orang lain.

Antara dua tiga ekor mawas itu, ada yang tak tinggal sembahyang ( semasa di pejabat, di rumah tak tahulah).

Apa yang orang lain buat semua tak betul. Kononnya mawas-mawas itu saja yang betul dan tahu buat kerja.

Kalau ada kawan-kawan lain yang berurusan dengan orang luar yang berkaitan dengan tugas, dituduhnya kawan-kawan lain itu buat perkara tak betul. Dibuat cerita dan dituduh melulu. Pada hal kawan-kawan lain tak buat pun macam tu. Mereka tahu dosa pahala.

Ketika mawas-mawas itu pernah berurusan dengan orang luar memang mereka ada buat perkara-perkara tak betul. Jadi mawas-mawas itu ingat orang lain pun buruk perangai macam mereka juga.

"Walaupun kawan-kawan lain tahu perangai buruk mawas-mawas itu, tapi malas nak bising. Malas nak ambil tahu. Mereka buat dosa, mereka tanggunglah sendiri. Jadi mawas-mawas itu ingat orang lain tak tahu perangai buruk mereka. Itu sebab mawas-mawas itu rasa kononnya mereka baik dan suci. Hampeh..!" ujar rakanku itu sambil menahan geram.

Pesanku kepada rakanku itu: Katakan pada mawas-mawas itu, "Sudahlah tu, jangan nak tunjuk baik. Jangan ingat orang lain tak tahu apa yang kamu pernah buat. Jangan ingat orang lain pun perangai buruk macam kamu. Cermin dulu muka-muka kamu tu..!"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Orang yang pernah kita benci, tidak mustahil kita boleh menyayanginya. Dan orang yang kita pernah sayang, tidak mustahil dia akan membenci kita."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Friday, May 15, 2009

RUNGUTAN SEORANG SUAMI

Seorang rakanku pernah merungut berjela-jela
Sejak kebelakang ini isterinya macam 'gila kerja'
Rumaahtangga, dia, anak-anaknya jadi nombor yang entah ke berapa
Namun katanya, bukan bermakna si isterinya lupakan mereka.

Kalau fasal kerja di pejabat isterinya nak sempurna
Fasal rumahtangga kira ambil ada saja
Kadang-kadang masak di rumah kadang-kadang beli bungkus saja
Dia macam jadi keliru dan tertanya-tanya
Sudah tidak pentingkah dia dan anak-anak di mata isterinya?

Rakanku terus merungut-rungut lagi
Aku pula jadi pendengar sejati
Kalau buat tak tahu nanti dia berkecil hati
Katanya, dia pernah menyuarakan rasa tak puas hati
Moga isterinya akan faham dan mengerti
Sebaliknya teguran itu tak boleh diterima si isteri
Malah isterinya buat macam tak peduli
Tiga hari dia tak ditegur isteri
Tapi rakanku terus juga menyapa itu dan ini
Buat macam tak ada apa-apa terjadi
Sedangkan dalam diam dia termakan hati
Memikirkan sikap dan tingkah si isteri.

Kasihan, wajah rakanku tak seceria macam dulu lagi
Macam ada masalah besar yang terpaksa ditanggungi
Aku? Sekadar tumpang bersimpati
Dan sekadar mampu geleng kepala berkali-kali.

Persoalan: Apakah itu tanda-tanda si isteri
mula tidak berminat akan hal-hal rumahtangga lagi
dan riak-riak akan berubahnya hati
serta keretakan rumahtangga sedia menanti..?

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Kehidupan itu memerlukan kasih sayang yang berterusan. Namun jika tiada kasih sayang tak bermakna kehidupan itu tak mampu diteruskan."
^*******************************^

Wednesday, May 13, 2009

ANAK MEREMPIT, IBU YANG SAKIT..!

Seorang ibu meraung (menangisi), mengiringi anak lelakinya yang diheret ke mahkamah kerana kesalahan merempit.

Kasihan si ibu. (Mungkin malu dan kesalnya tak terkata).

Namun siapakah yang tergamak menghulurkan simpati pada si ibu itu, sedangkan anaknya sendiri tidak bersimpati terhadap ibunya, sanggup memperbodohkan diri dengan melakukan perbuatan haram yang menjijikkan..!

'JAUHI REMPIT, KERANANYA BERPUNCA BANYAK PENYAKIT..!'

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
SEKEHLOGI

"Seseorang itu menjadi lebih cerdik bukan kerana dia memiliki lebih ilmu. Tetapi kerana dia tahu mempergunakan ilmu yang dimilikinya itu."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Saturday, May 9, 2009

KEMULIAAN IBU

KASIHMU TAK TERSISIH
*
Siapa lagi insan yang seharusnya dihormati dan dikasihi sepanjang hayat..?
Dialah insan bernama ibu yang seharusnya dimuliakan darjat.

Siapa lagi insan yang peranan dan jasanya tiada tolok bandingan?
Dialah wanita bergelar emak yang martabatnya teramat tinggi di persada kehidupan.

Siapa lagi insan yang mendidik anak-anak sedari tapak kaki sebesar dua jari
dengan kepayahan yang tak pernah berbangkit?
Dialah insan bergelar mama yang tidak pernah mengenal susah dan sakit.

Siapa lagi insan yang menjadi tempat mengadu dan bermanja kasih?
Dialah wanita bergelar ummi yang cinta sayangnya tidak pernah tersisih.

Siapa lagi insan yang Allah perintahkan kita berbuat baik serta menjaga dan memeliharanya sehingga ke umur tua?
Dialah wanita berhati mulia lagi sejati yang tidak pernah meminta kita menilai dan membalas jasa-jasanya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
SEKEHLOGI:
"Martabat seorang ibu itu teramatlah tingginya. Jika ada anak-anak yang tidak tahu mengenang jasa ibu, di manakah letaknya martabat anak-anak itu?"
*
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Wednesday, May 6, 2009

MAT REMPIT...

GEJALA YANG MENGHANCURKAN NEGARA

Kenapa perlunya merempit? Apakah faedahnya..?

Kalau tak ada faedah takkan mereka merempit. Faedahnya ialah dapat 'alat' untuk memuaskan nafsu secara percuma. Alat itu ialah minah rempit, gadis bohsia dan 'barangan pemuas nafsu' terbaru mat rempit ialah 'cikaro' atau gadis bawah umur.

Kerana itulah mereka beriya-iya merempit. Dapat hadiah syurga dunia secara percuma.

Nampaknya hadiah yang mereka terima dengan kemenangan merempit lebih hebat daripada hadiah yang dianugerahkan oleh pihak berkuasa sekiranya mereka didapati salah merempit. Mana tidaknya, mereka tetap akan terus memburu hadiah 'syok' itu.

Walaupun apa hadiah dan keseronokannya, merempit tetap perbuatan kurang ajar yang menyusahkan ramai orang, yang juga boleh menghancurkan negara sekiranya tidak ditangani dengan sempurna.

Bermula dengan merempit, kaitannya ialah bergaduh, meyamun, merompak, merogol dan sehingga sanggup pula membunuh.

Kaki rempit pula telah merebak kepada remaja bawah 16 tahun. Terlalu mentah, tapi telah terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral dan memalukan bangsa.

Perbuatan merempit yang membimbangkan ini perlu ditangani dengan sebijak dan setangkas mungkin. Perlu dihapuskan sehingga 'ke titisan darah terakhir'. Kerana kewujudannaya cukup 'menyeksakan' orang ramai.

Ibu bapa usah pandang remeh perbuatan ini. Ambil tahu mengenai pergerakan anak-anak anda. Usah lepas tangan begitu saja. Padahnya tertanggung di pundak anda sudahnya.

Dan pihak berkuasa pula, kalau ibu bapa mat-mat rempit itu perlu dihukum atas sikap tidak ambil tahu tentang anak-anak mereka, teruskanlah dengan hukuman yang difikirkan berpatutan sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, keperluan undang-undang dan hukuman yang tegas perlu untuk mengatasi perbuatan tidak bermoral dan bermaruah itu daripada terus menular dan berleluasa sehingga membebankan negara.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Bunuhlah musuh itu dengan senjata apa dan apa cara sekalipun, asalkan musuh itu tidak membahayakan kita."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Friday, May 1, 2009

HARU-BIRU

REMAJA CELARU
Remaja kita makin celaru
suka buat perkara yang haru biru
jalan yang salah terus dituju.
**
Salah dan silap tak pernah nak ingat
susah pula nak dengar nasihat
silap-silap jadi budak jahat.
***
Remaja keliru kurang bimbingan agama
belajar di sekolah pun tak bermakna
cikgu mengajar dia ternganga.
**
Mak bapak pun dia boleh kelentong
tak kira tempat terpekik terlolong
macam hilang akal terasuk polong.
***
Keluar petang balik awal pagi
nasihat mak bapak langsung tak peduli
astaghfirullah al-azim... takut terbuat benda terkeji.
**
Dalam banyak-banyak perkara yang elok
benda tak elok juga yang dia ikut
dah rasa gah bila dapat sedut rokok.
***
Bila hidup dah makin celaru
otak pun jadi beku dan keliru
hidup tak ke mana akhirnya mati kutu.
**
Usah dicari kebencian orang
ke mana tak selamat langkah pun kecundang
segeralah mencari jalan pulang.
***
Kalau terpesong kembali ke pangkal jalan
buat yang baik demi kebaikan
selalu-selalulah ingatkan Tuhan.
**
Berkawan berpada-pada
usah berkawan ikut sesuka
tersilap kawan boleh bawa celaka.
***
Buatlah benda yang berfaedah
mak bapak pun tak rasa gundah
sedara-mara dan rakan sekampung tumpah bermegah.
**
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
***
SEKEHLOGI
**
"Berhati-hati itu senjata budiman.
Kelalaian itu adalah senjata makan tuan."
***
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Wednesday, April 29, 2009

MUNGKINKAH LALANG BERBUNGA PADI..?

Kakitangan awam ditegur lagi. Entahlah untuk kali yang ke berapa.

Masalah dalam perkhidmatabn awam sebenarnya sukar nak dipulihkan dengan erti kata sebenar. Mereka sudah terbiasa dengan keselesaan diri. Mereka tidak pernah takut dibuang kerja jika melakukan kesalahan. Malah mereka masih tetap juga mengharapkan kenaikan pangkat dan gaji. ( Itulah kebanyakannya berlaku). Walaupun kerja dengan tidak betul. Mereka anggap itu hak mereka.

Mereka tidak pernah fikir mengapa mereka bekerja di situ. Bagi mereka, kerja itu hak mereka. Kerja untuk mendapat gaji dan segala macam kemudahan yang disedikan. Bukannya bekerja untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Itulah persepsi sebilangan mereka.
Walaupun tugas sebilangan mereka berkaitan dengan orang ramai. Tapi mereka tak pernah sensitif dengan nasib orang ramai yang ada hubungkait dengan jawatan mereka.

Selagi setiap mereka yang melakukan kesalahan seperti ponteng, abai tugas, tidak komitmen dan menyebabkan masalah lain yang membebankan lagi pelanggan (rakyat), namun mereka tidak menerima hukuman yang sewajarnya, selagi itulah sikap kakitangan awam tak akan berubah. Masalah yang sama (yang tak sepatutnya menjadi masalah) akan tetap berulang.

Kalau sekadar pelbagai syarat, undang-undang dan akta itu ini, namun tidak dilaksanakan dengan sebaik mungkin, jangan berharaplah lalang akan berbunga padi. Mungkin bunga padi akan bertukar menjadi bunga lalang pula, tidak mustahil akan berterusan.

Sesuatu yang baik hanya akan lahir dari niat dan minda yang baik. Tahu akan tugas dan amanah akan lahirlah kesempuraan sebagaimana yang diharapkan.


Selagi ada amalan 100 yang lakukan kesalahan, seorang pun belum tentukan menerima tindakan yang berpatutan, selagi itulah keadaannya akan sebegitu.

Selagi dua tiga orang yang bekerja dengan betul sentiasa dipandang serong, (dianggap tak betul sebilangan mereka) dan 10 orang yang bekerja tak betul pula sentiasa dipandang betul, dan seterusnya dianggap betul, maka selagi itulah situasi yang sama akan berterusan. Situasi yang merugikan kerajaan dan menderitakan rakyat.

Malang, yang bekerja dengan jujur dan dedikasi akan turut terpalit dengan sekumpulan kerbau yang membawa lumpur dan turut terpalit kepada yang lain.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI:

"PEKERJAAN TIDAK SEHARUSNYA DIANGGAP SEBAGAI BEBAN. KESEDARAN BAHAWA PEKERJAAN SEBAGAI IBADAT AKAN MENAMBAHKAN NILAI KEPADA PEKERJAAN ITU DAN MENJADIKAN SESEORANG ITU LEBIH MENGHAYATI ETIKA DALAM MELAKSANAKAN PEKERJAANNYA."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Tuesday, April 21, 2009

ASAM GARAM...

LUMRAH KEHIDUPAN..?

Asam garam kehidupan. Miskin boleh jadi kaya dalam sekelip mata kalau kena caranya. Dan kaya pun boleh menjadi papa kedana dalam sesaat kalau tersilap perhitungannya.

Sebilangan manusia, sewaktu hidup miskin mereka amat sedar diri. Insaf dengan kehidupan. Dan akan berasa bangga dan bertuah jika mendapat perhatian daripada orang lain.

Sekarang macam-macam cara manusia boleh jadi kaya. Sama ada secara halal ataupun haram. Masuk pertandingan nyanyian pun boleh jadi jutawan. Masuk pertandinghan apa-apa pun boleh juga jadi kaya.

Dan kekayaan juga boleh menjadikan manusia lupa diri. Lupa daratan. Lupa asal-usulnya. Menjadi ego tidak menentu.

Kalau sebelumnya dia ada kekasih, dia sudah amat bersyukur sangat, kerana ada juga manusia lain yang suka padanya. Lebih-lebih lagi sanggup jadi kekasih atau tunangannya dan menerima keluarganya.

Tapi ada jenis manusia, bila dia dah kaya raya, dia rasakan perlunya memiliki teman hidup yang lebih sesuai dengan kekayaannya. Kalau sebelumnya, 'muka' itulah yang paling sesuai sebagai gandingannya (sebab dah tak ada muka lain lagi yang bersimpati padanya ketika itu.

Bila dah kaya, dia mula nampak yang bakal teman hidupnya itu tidak secantik atau setampan manusia lain yang baru dikenalinya. Belangnya mula terserlah. Tambahan pula terdapat ramai manusia lain yang membuka mata dan tertarik padanya, malah ada yang sanggup menjadi perampas.

Maka bermacam-macam masalah yang dicipta untuk memutuskan perhubungan dengan yang lama. Yang cantik dan segak di depan mata ketika hidup kemiskinan, sudah tidak cantik dan segak lagi setelah dia berharta.

Apatah lagi kalau keluarga dan saudara-mara pula bersikap lebih sudu dari kuah. Mencurahkan minyak ke dalam api. Maka akan bertambahlah masalah.

Dan bagi si malang yang ditinggalkan, berpasrahlah dirinya yang dirasakan sudah tidak berharga lagi. Tinggalkan dia dalam penderitan dan rasa malu yang tak tertanggung dengan sikap buruk 'si lupa daratan' itu.

Ingatlah, orang yang teraniaya sesama manusia, ada kemuliaan di sisi Allah. Setiap perbuatan kita yang menganiayakan orang lain pasti mendapat 'anugerah' daripada-Nya, walaupun kita memiliki ilmu agama setinggi menara Kuala Lumpur atau sepenuh Perpustakaan Negara.

Dan bersedialah kita untuk menerima 'anugerah-Nya' itu. Cuma cepat atau lambat. Hanya Dia yang lebih mengetahui.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Walaupun kita tidak mampu berubah secara fizikal, tapi berubahlah dari sudut jalan fikir. Dan biarlah perubahan kita itu dilihat betapa kukuhnya pemikiran kita."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Friday, April 17, 2009

MALANGNYA DAN MENYEDIHKAN...

SPESIES YANG BUTA MATA HATI DAN AKAL

Pagi itu, seorang wanita lingkungan usia 35 tahun sedang memapah seorang gadis belasan tahun yang tidak larat berjalan, untuk berjumpa doktor pakar sebagaimana memenuhi temujanji yang dibuat beberapa hari sebelum itu.

Sebelum sempat wanita itu memberi salam, seorang Si Uniform Putih berpaling dan bertanya, "Berapa orang nak jumpa doktor ni?" suaranya agak keras. Kemudian dia berpaling ke arah lain.

"Sorang," balas wanita itu.

"Habis tu, datang ramai-ramai buat apa?" suara Si Uniform Putih masih keras.

Ramai? Sedangkan wanita dan gadis itu saja. Butakah matanya? Sepatutnya dia hulurkan tangannya membantu wanita yang bersusah payah memapah gadis yang tidak sihat itu.

Namun wanita itu tidak berkata apa-apa. Masih mampu bersahaja. Dia terusmemapah gadis yang juga anak saudaranya itu kerana tak terdaya berjalan sendiri disebabkan sakit yang dialaminya untuk duduk di kerusi.

Mungkin wanita itu mengambil sikap berdiam diri kerana dia berasa teramat bodoh jika dia melayan 'manusia' yang bukan setakat membutakan mata, malah hati dan akalnya juga turut buta, sehingga menonjolkan sikap kurang ajarnya didepan insan lain.

Dan mungkin juga wanita itu terbisu tiba-tiba kerana terpegun yang amat sangat, bahawa masih terdapat 'spesies' jenis itu di muka bumi ini, yang juga masih diberikan tanggungjawab untuk berurusan dengan orang ramai.

Malang sungguh agensi itu memiliki pekerja begitu, dan lebih malang lagi spesies itu sendiri kerana tidak tahu berbudi bahasa sesama manusia, yang tidak mneguntungkan dirinya, dan tidak juga merugikan orang lain.

Si Uniform Putih itu sebenarnya tidak menyedari bahawa wanita yang ditunjukkan sikap kurang sopannya itu sebenarnya seorang insan yang berpengaruh dengan kedudukan dan darjatnya. Kalau dia gunapakai pengaruhnya, apa-apa saja boleh berlaku ke atas spesies yang bersikap kurang ajar itu.

Tapi wanita itu seorang yang beriman dan berakal budi tinggi dan sentiasa merendah diri walaupun berdepan dengan spesies yang bukan saja rendah moral dan lakunya, malah terrendah juga darjatnya jika dibandingkan dengan darjat wanita itu.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Tidak rugi berbudi bahasa sesama manusia walau di mana berada. Keuntungannya kekadang tidak terbukti dengan sekelip mata, namun mungkin akan kedapatan bila-bila masa sahaja atau mungkin juga sampai bila-bila."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tuesday, April 14, 2009

ANDA BERADA DI SITUASI MANA..?

BENARKAH KITA SENTIASA BERDEPAN DENGAN...

1. Orang yang tidak jujur dan sentiasa berpandangan serong:
Kita bekerja dengan ikhlas dan jujur, dituduhnya kita membodek dan mengampu.

2. Orang yang tidak senang melihat kelebihan kita:
Keburukan dan kesilapan kita juga yang dicari dan diungkit-ungkit. Sedangkan segala kebaikan kita langsung tidak dihargai.

3. Orang yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri:
Kita bekerja dengan betul dan telus. Di sekeliling kita terdapat lebih ramai yang bekerja tak betul dan tak telus. Akhirnya yang tak betul dan tak telus juga akan diangkat sebagai betul dan telus.

4. Orang yang suka mengampu dan membodek:
Kita yang tak pandai ampu susah nak hidup jika dikelilingi oleh kaki ampu dan bodek. Kita buat betul pun akan jadi salah. Kaki ampu dan bodek, walaupun tak tahu buat kerja tapi lebih dihargai dan mungkin cepat pula naik pangkat.

5. Orang yang pandai cakap tapi tak tahu buat kerja:
Orang sebegini ada kalanya lebih menonjol kerana pandai menonjolkan dirinya. Orang sebegini juga kekadang lebih selamat dan dihargai berbanding orang yang tak pandai cakap tapi lebih pandai buat kerja.

Kesimpulannya: Jika anda seorang boss, (yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan) kena selalu peka memerhatikan situasi persekitaran dan bijak juga membaca isi hati dan air muka orang bawahan anda.

Jika anda boss yang mudah tertipu dan terpedaya dengan muslihat orang bawahan anda, atau anda ada sikap berkepentingan, tidak telus, maka anda adalah selemah-lemah dan sehina-hina manusia di muka bumi. Akibatnya mungkin sektor anda akan terancam dan huru-hara.

Nota: Perbezaan antara bos dan orang bawahan, boss seharusnya lebih bijaksana, jujur, telus dan sentiasa tepat dalam membuat keputusan. Boss juga seharusnya tidak berpihak-pihak tanpa kajian teliti, jauhi sikap ada kepentingan serta faham dan bijak dalam menilai isi hati orang bawahan anda.

Jika boss tidak memiliki sifat-sifat sedemikian, anda adalah seburuk-buruk dan sekeji-keji boss di muka bumi ini.

Jika di dunia anda telah dikeji dan di hina oleh sebilangan manusia (pekerja-pekerja anda) dengan sikap-sikap anda itu, maka bayangkanlah di akhirat nanti. Allah akan lebih memandang dan menilai anda dengan lebih kehinaan yang amat.

(Sama ada menjadi boss atau pekerja, bukanlah semudah memegang jawatan dengan keseronokan imbuhan. Tapi insaflah dengan beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul).

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Jika diberikan tanggungjawab, usah rasakan anda telah melakukan sesuatu yang terbaik dan sempurna. Tapi anggaplah bahawa anda telah berusaha sekadar termampu, supaya anda tidak terleka dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan."

Saturday, April 11, 2009

KALAU DAH TAHU... KENAPA..?

KALAU DAH TAHU...
MEMANG BERAT BAHU YANG MEMIKUL DRP MATA YG MEMANDANG,
KENAPA HARUS DIBIARKAN BAHU MENANGGUNG BEBANAN?

KALAU DAH TAHU...
SETENANG-TENANG AIR DI LAUT JANGAN DISANGKA TIADA BUAYA,
KENAPA HARUS BERMANDIAN DAN BERLEKA-LEKA?

KALAU DAH TAHU...
TIDAK SEMESTINYA PANAS BERSINAR HINGGA KE PETANG,
KENAPA TIDAK BERSEDIA SEBELUM MENDUNG DAN HUJAN MENDATANG?

KALAU DAH TAHU...
SEPANDAI-PANDAI TUPAI MELOMPAT AKHIRNYA TERJATUH KE TANAH JUGA,
KENAPA HARUS MENJADI TUPAI YANG SELALU DIBURU BAHAYA?

KALAU DAH TAHU...
BIASANYA BILA SUDAH TERHANTUK BARU NAK TERNGADAH,
KENAPA TAK BERFIKIR BERKALI-KALI SEBELUM MENCIPTA MASALAH?

KALAU DAH TAHU...
BELAKANG PARANG PUN AKAN MENJADI TAJAM JIKA DIASAH,
KENAPA TAK DITAJAMKAN IA MENJADI SENJATA PEMBELA MARUAH?

KALAU DAH TAHU...
TAKKAN PISANG BERBUAH DUA KALI,
KENAPA TAK DITEBANG DAN DITANAM DENGAN YANG LAIN SEBAGAI GANTI?

KALAU DAH TAHU...
SEHARI SELEMBAR BENANG MAMPU MENJADI KAIN,
KENAPA MASIH TERMANGU DAN LEBIH BANYAK BERMAIN-MAIN?

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Sesekali melakukan kesilapan dan kesalahan, melambangkan kebiasaan bagi kehidupan manusia. Namun jika terlalu kerap membuat kesilapan dan kesalahan, ia melambangkan manusia itu yang tiada kehidupan."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Monday, April 6, 2009

KENALI DIRI

SIAPAKAH KITA..?

Alangkah baiknya jika kita selalu mendekati diri kita sendiri, dan kerap pula mengenali siapa diri kita, dan di manakah letaknya kita dalam diri kita atau di mata orang lain.

Maka, selalu-selalulah bertanya pada diri sendiri, adakah kita ini kaki...

1. Tamak

2. Bakhil / kedekut

3. Sombong

4. Bongkak

5. Bangga diri

6. Mengeji / Menghina

7. Prasangka buruk

8. Diperbodoh-bodohkan

9. Panas baran

10. Mengumpat

12. Dayus

13. Rasuah

14. Lari dari tanggungjawab

16. Penipu

17. Tak tahu bersyukur

18. Suka ambil kesempatan

19. Pentingkan diri sendiri

20. Kufur nikmat

21. Pecah amanah

22. Suka buat orang marah

23. Tak tahu berbudi bahasa

24. Kurang ajar

25. Pak turut

26. Ampu / bodek

27. Batu api

28. Lalai

29. Cincai

30. Bad mood tak menentu.



Adapun kesemua yang dibangkitkan di atas itu adalah sama sekali tidak baik atau tidak elok untuk kita miliki sama ada secara kecil-kecilan ataupun besar-besaran, pun sama ada secara langsung ataupun tidak terlangsung.

Semoga semua itu tiada kaitan walaupun sekelumit atau sebesar hati kuman pun dalam hidup seharian kita hendaknya.

Andainya untuk kita tidak memiliki atau dijauhi daripadanya, selalu-selalulah mengenali diri kita, di samping memahami sesiapa sahaja yang berkaitan dengan diri kita dan sesiapa di sekeliling kita, serta hendaklah mendekati diri kita dengan Dia Yang Maha Berkuasa dan turutilah segala suruhan-Nya.

Insya-Allah akan selamat hidup kita di dunia dan hingga ke akhir nanti.

Sekian, Terima kasih.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


SEKEHLOGI

"Apa gunanya seseorang itu menyarungkan pakaian yang dianggap bermoral dan bermaruah yang menutupi tubuhnya, jikalau dirinya tidak bermoral dan bermaruah."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Sudah terang lagi bersuluh
Kenapa bersuluh di dalam terang
Dalam terang tak perlu bersuluh
Tak bersuluh pun ia tetap terang


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Friday, April 3, 2009

TAHUKAH ANDA...

SIAPAKAH MANUSIA DI SEKELING ANDA..?

Sedarkah anda, di sekeliling anda sebenarnya terdapat pelbagai kaum/golongan tertentu dengan pelbagai karenah yang merimaskan dan lagi menjelikkan. Yang saban hari kita temui, namun mungkin anda terlepas pandang dengan situasi tersebut.


1. KURANG AJAR

Sikap ini biasanya dikaitkan dengan kaum atau golongan tertentu. Terutamanya mudah terdapat di jalan raya, yang tidak pernah mempedulikan pengguna lain dengan sikap kurang ajarnya.

Juga golongan ini suka meletakkan kereta sesuka hati dan mempamerkan sikap angkuh dan egonya, walaupun menyulitkan pengguna lain.


2. LEBIH SUDU DARI KUAH / BODOH SOMBONG

Sikap ini dikaitkan dengan kaum/golongan tertentu. Walaupun tidak ramai, namun ia cukup merimaskan situasi.

Golongan ini memang dianggap lebih sudu dari kuah. Pantang diberi muka, ia akan bertindak melebih-lebih.

Kalau mereka menunggang basikal di jalanraya, mereka akan berlagak seperti menunggang motosikal. Kalau menunggang motosikal pula, lagaknya macam memandu kereta mewah.

Golongan ini juga dikaitkan bahawa mereka tidak pernah berfikir sebelum bertindak. Dan suka bertindak mengikutkan hati.


3. HIPOKRIT / EGO

Golongan ini suka menonjolkan kononnya merekalah yang paling alim dan warak. Kononnya golongan yang lebih tahu mengenai agama. Mereka menilaikan kealiman seseorang berdasarkan pakaian.

Golongan ini sukar mengukirkan senyuman dan nampak mesra dengan manusia sebangsa dan seagama dengannya. Mereka cuma mesra di kalangan golongan mereka saja.

Didapati golongan ini juga kurang berbudi bahasa.

Terlalu ego dan hipokrit, bahawa merekalah kononnya yang terbaik. Sedangkan dalam masa yang sama mereka ini tidak pernah memikirkan perasaan orang lain. Hanya mereka saja yang kononnya bertindak dengan betul.

Sikap yang ditunjukkan oleh golongan tersebut, membuktikan bahawa mereka terlalu cetek ilmu agama (akhirat) dan keduniaan, namun berlagak seperti manusia yang cukup baik dan sempurna.

Sikap mereka ini tak secara langsung amat memalukan golongan alim yang sebenar. Dan sedikit sebanyak turut menjejaskan keyakinan dan kepercayaan kaum-kaum lain untuk mendekati Islam.


4. KELIRU / MUDAH DIPENGARUHI

Didapati sebilangan golongan pelajar sekolah menengah adalah golongan yang paling keliru dengan diri sendiri. Mereka teramat keliru tentang sesuatu yang baik dan sesuai untuk mereka lakukan.

Selain itu, mereka juga tidak berbudi bahasa dan tidak tahu menghormati orang yang lebih dewasa daripada mereka.

Mereka juga mudah terpengaruh kepada perbuatan yang tidak baik dan sering kali menonjolkan sikap kurang ajar. Ingin mudah mencuba sesuatu walaupun sudah diketahui yang sesuatu itu tidak baik dan akan memudaratkan diri.

Mereka juga akan menyalahkan ibu bapa atau keluarga jika perbuatan buruk mereka diketahui atau terjadi sesuatu yang buruk ke atas diri mereka. Sekadar untuk melepaskan diri.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Sesungguhnya perbuatan yang baik itu bukanlah sekadar lakonan. Walaupun kekadang lakonan itu mampu menonjolkan perbuatan yang terbaik."

****************************************************

Monday, March 30, 2009

MARAH... KELIRU... HARUUU....

Bila tak diberitahu
dia marah-marah tak menentu.

Bila marah-marah tak menentu
dia menjadi keliru.

Bila dalam keliru
dia menjadi buntu.

Bila selalu buntu
dia menjadi haru biru.

Bila terharu biru
dia menjadi malu.

Bila sering malu
dia menjadi terharu.

Dalam terharu
dia akan terkedu.

Dalam terkedu
dia masih tak tahu malu.

Dalam tak tahu malu
dia marah-marah tak menentu...

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Manusia yang tersasar daripada etika kebenaran kehidupan, adalah mereka yang sering fokus pada keduniaan dan kebendaan, bukannya pada prinsip dan nilai kehidupan itu sendiri."

Thursday, March 26, 2009

MEMBENGANG DAN MEMBANGANGKAN..!

Di Malaysiaku ini macam-macam bolehterjadi
ramai yang masuk haram buat macam negara sendiri.

Tak cukup dengan pendatang haram
ada pula yang berani buka kilang dadah haram.

Dadah dari luar begitu mudah keluar masuk
pelik sungguh pihak berwajib macam lakluk.

Antara nak percaya dan tak nak percaya
edar dan buka kilang dadah haram sampai jadi kaya raya.

Perbuatan yang tak betul dah jadi banyak masalah
mereka yang buat kerja tak betul boleh hidup mewah.

Benda haram dan tak elok bersepah dan berleluasa
bila yang buruk berlaku baru nak kuatkuasa.

Kerja haram (tarah bukit, kaut pasir,tebang balak, dll) dibuat petualang
hairannya pihak berkuasa boleh terlepas pandang.

Kerja haram bukan sehari dua tapi bertahun-tahun
mustahil sungguh pihak berwajib begitu rabun.

Orang berniaga kekadang suka ambil kesempatan
yang malangnya pengguna yang menanggung beban.

Minah pendatang yang montok dan gebu kerja jadi pelacur
siapakah yang untung dan siapa pula yang terliur?

Anak dara kahwin lari dengan pendatang asing
bila dah beranak dan hidup merempat baru kepala naik pusing.

itu belum lagi pukul dan bunuh orang macam bunuh binatang
macamlah negaraku yang makmur ini tak ada undang-undang.

Bertambah bengang dan menyakitkan hati
negara jiran kita tak ada pula benda-benda macam ni.

Kalau orang lain buat kerja lebih telus
kenapa kita tak boleh buat lebih bagus?

Kalau terlalu banyak makan benda-benda haram
ingatlah bahawa keluarga akan hancur dan karam.

Sentiasalah kena selalu beringat-ingat
di dunia dosa Tuhan dah balas belum sempat ke akhirat.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI:

"Sesuatu perkara yang perlu kita bertindak menggunakan akal, tapi kita bertindak seperti orang tak berakal, maka lebih baik kita tak ada akal."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^




Friday, March 20, 2009

DIA DAN ISTERINYA...

TERPERANGKAP PRASANGKA

Dia bermenung berhari-hari. Menjejaskan tugas hakiki.

"Kenapa"?

Katanya, dia susah hati.

Aku ingin tahu. Dia cuba berahsia.

Aku mendesak. Dia mengalah.

"Isteriku curang..!" katanya. Terbias riak kecewa.

Aku terkejut.

"Dia ada hubungan sulit dengan jantan lain," bentaknya.

"Kau serius...?"

Dia angguk. Lemah.

"Mana kau tahu?"

"Ada orang beritahu aku. Dan berdasarkan naluri seorang suami," jelasnya.

"Kau dah tanya isteri kau?"

"Dia tak mengaku. Tapi aku ragu. Aku terperangkap dalam rasa curiga terhadapnya..." dia merenung jauh. Mungkin mengingati alam rumah tangga yang dibina selama lima tahun bersama isterinya.

"Sudahnya?"

"Aku sayangkan dia.." lelaki itu terus merenung jauh. Kali ini mungkin dia membayangkan pula raut wajah isterinya yang cantik jelita itu.


SEKEHLOGI:

"Ada ketikanya kebenaran itu amat menyakitkan. Ada kalanya juga, yang menyakitkan itu bukanlah bermakna kebenaran."

Tuesday, March 17, 2009

KITA ANTARA MEREKA

Kita terluka dengan apa yang terjadi
mungkin tak sehebat dan dimengerti
pada hati mereka yang tak peduli;
antara kita dan mereka siapakah yang tersendiri?

Kita bahagia dengan cara tercipta
mungkin tak serasi dan bermakna
pada mata mereka yang terbuka;
antara kita dan mereka siapakah yang terkesima?

Kita sengsara dengan apa yang kita alami
mungkin tak serasa dan sebati
pada jiwa mereka yang tak menyedari;
antara kita dan mereka siapakah yang menyepi?

Kita sejiwa dengan apa yang dirasa
mungkin tak sama dan serupa
pada mereka yang tak tahu apa-apa;
antara kita dan mereka siapakah yang terlara?


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Lidah itu mampu mengundang bahaya tersembunyi di sebalik kepetahan dan keindahan bahasa ungkapannya."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^




Sunday, March 15, 2009

TANYA DIRI SENDIRI

SIAPAKAH DIRI ANDA..?

Tanya diri anda, manusia jenis apakah anda jikalau anda;

1. Pemimpin/ketua yang tidak adil, pilih kasih, tak tahu buat kerja dan menimbulkan masalah serta menyakiti hati orang bawahan demi kepentingan diri sendiri.

2. Berkomplot menjatuhkan orang lain kerana mempunyai agenda tersendiri.

3. Bersikap talam dua muka dan suka bermuka-muka.

4. Menjadi batu api dan melaga-lagakan orang.

5. Pantang melihat kelebihan orang lain dan mula mencipta fitnah dan hasutan.

6. Suka memburuk-burukkan orang lain kerana dengki dan ada agenda tertentu.

7. Tidak pernah senyum dan bersikap kasar sedangkan anda berurusan dengan orang ramai.

8. Kerja tidak ikhlas dan selalu ponteng, sedangkan gaji disapu bersih setiap bulan.

9. Bertanggungjawab menyelesaikan masalah, namun masalah masih berterusan dan semakin kusut.

10. Minat mencipta hutang tapi tak berminat nak membayar balik.

11. Mengharapkan orang lain sentiasa memahami perasaan anda, tapi anda tak pernah nak memahami perasaan orang lain.

12. Barangan/harta benda orang buat macam hak sendiri.

13. Buat jalan raya macam harta mak bapak sendiri dan menyusahkan pengguna lain.

14. Diberi kepercayaan tapi menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

15. Perosak kemudahan awam.

Wednesday, March 11, 2009

HENTAM SAJALAH LABU..!

Seorang sahabatku tinggi pengajian dan beriman
hari itu dia tiba-tiba melontarkan kebimbangan
katanya kebelakangan ini semacam ada kecenderungan
sebilangan persatuan yang membela kaum wanita
yang bergerak atas nama agama dan juga pembela
seakan menggalakkan lelaki dan wanita bersengketa
menggalakkan wanita membenci dan menjauhi lelaki
seakan menggalakkan wanita takut nak bersuami
menuntut itu dan ini yang diluar hakiki
kekadang melampaui ketetapan Ilahi.

Kerana salah faham melulu
yang ditonjolkan persatuan sebegitu
dan adakah berpunca dari itu
maka ramai wanita sanggup jadi andartu?

Jangan dek kerana pengalaman lalu
yang ditempuhi sesetengah pemimpin itu
dari keluarga yang tak bahagia
rumahtangga keluarganya porak peranda
ayahnya yang perangai tak serupa manusia
ibunya pula yang selalu menjadi mangsa
maka sehingga dewasa dia terbawa-bawa
kononnya semua lelaki perangai macam ayah dia
lalu ditubuhnya persatuan wanita
konon nak membela wanita teraniaya
tapi jauh terpesong dari niat sebenar
membuat tuntutan hingga tersasar.

Jangan tersalah menuntut kesamaan
andai tersasar dari kebenaran
yang menjadi hukum tak boleh diubah-ubah
bukankah itu sudah ketetapan Allah.

Sepatutnya tuntutlah pembelaan dan keadilan
elakkan wanita dari menjadi mangsa penganiayaan
ada sesetengah wanita hidup menderita
kerana suami berperangai tak serupa manusia
jangan salahkan hukum Tuhan
jangan mendesak yang sudah ketentuan
tapi salahkan mereka yang diberikan amanah
tapi sikap dan kerja tak pernah berubah
segala perkara pakai ambil mudah
sedangkan semakin ramai wanita/isteri kian terngadah
akibat sikap dan perbuatan suami durjana
mereka yang diberi tanggungjawab usah asyik terlena dan ternganga.

Kata rakanku itu lagi yang juga turut merisaukan hati
sebilangan penceramah bebas termasuk di dalam tv
yang seakan menggalakkan isteri meragui suami
yang seakan menggalakkan pasangan laki bini
agar ketepikan sikap bantu membantu
hanya tugas suami membayar dan membeli mana yang perlu
suami susah pun tak perlu ambil tahu
dah tanggungjawab suami semua itu.

Mentang-mentanglah dia penceramah bebas
keluar dari mulut pun main cakap lepas.
Walaupun dia penceramah wanita bergelar ustazah
janganlah ceramah main pakai belasah.
Jangan emosional seakan membenci kaum lelaki
walaupun cara awak cakap itu seakan marah perangai laki sendiri
itu menunjukkan penceramah sendiri kurang pekerti.

Berilah ceramah kerana keperluan
bukannya kerana ikut kesesuaian
kenapa digalakkan isteri seakan bermusuhan
dengan suami dan pasangan
berikan panduan yang baik sebagai teladan
yang buruk perlu dijadikan pengajaran.

Kata rakanku lagi menggeleng-gelengkan kepala
ustazah itu berceramah berpandukan agama
tapi menggalakkan sesuatu yang tak sempurna
seakan menggalakkan isteri menderhaka
seakan meruntuhkan rumah tangga bahagia
apa ke jadah itu semua?

Sepatutnya agama menggalakkan keharmonian
bantu membantu jika ada kekurangan
bukannya cakap ikut sedap perasaan
nanti timbul salah faham dan banyak pula keburukan.

Bukankah suami isteri perlu ada kesefahaman
bantu membantu jika ada keperluan
bukan tumpang kesenangan masa suami senang
bila suami susah awak bersuara lantang
dan suami yang baik pun perlu diketepikan
itukah yang harus diajarkan?

Itulah silapnya mengguna agama untuk cari makan
main pakai bantai ikut kesedapan.
Betul ke mereka tu ada kelulusan
betul ke mereka tu ada kepintaran
betul ke mereka ada kebolehan?
Huh... aku manalah tau
hentam sajalah labu
asalkan duit masuk ribu-ribu...!

Thursday, March 5, 2009

GELABAH YANG MENERJAH

Entah kenapa sejak dua menjak
risauku kian memuncak
rimasku jua melonjak-lonjak
kacau akal membuak-buak
nafasku pula tersedak-sedak
apakah petanda buruk bakal menapak
atau nasibku bakal berginjak
dari ada menjadi tidak
dari melimpah-ruah dah jadi tak banyak
dari seperiuk yang tinggal hanya kerak
dari sempurna menjadi koyak-rabak
dari senang menjadi sesak
dari selesa menjadi senak
dari dengar menjadi pekak..?

Oh.., aku makin takut dan cuak
bimbang ada yang menempelak
ada yang tergelak terbahak-bahak
betullah juga pesan mak bapak
berhati-hati berkawan dan beranak-pinak
masa senang kawan berlambak-lambak
saudara mara manis mulut hingga ke anak tekak
masa susah baru kita nampak
mana dedalu mana satu biawak
jangan kata duit ringgit nak dibawak
bertanya khabar pun macam tak nak
hulur rasa simpati pun tidak
ataupun datang menghibur nak buat lawak
huh..,batang hidung pun susah nak nampak.

Tapi aku sedar sebab semua tu dah dapat agak
dalam dunia ni apa-apa pun orang tergamak
masing-masing nak lepaskan anak tekak
kalau tak ada pandai dia memintak-mintak
buat muka tak malu macam muka pasar lambak
masa susah mengendeng-ngendeng menahan sebak
kononnya rezeki hanya secupak
anak nak susu melalak-lalak
buat muka kesian dengan tak jemu dan jelak
kita pun tak sampai hatilah jugak.

Bila dah lebih sikit rezeki dari secupak
tak lagi bermotor buruk dan asyik menapak
hidup senang hidung pun berdongak
mula lupa diri dan berlagak
kawan baik pun sanggup dipijak
fuh.., itulah manusia jenis haprak...!

Aku tak mau terus gelabah
moga yang risau tak terserlah
yang aku rimas tak terdedah
yang kacau di fikiran tak terus menerjah
biarlah diriku kekal dan tak berubah
aku selesa dengan apa yang dianugerah
agar nasibku tidak terngadah
hanya pada-Mu ya Allah
aku mnemohon keinsafan dan berserah...!



Thursday, February 26, 2009

SERONOK... ALAHAI, SERONOK..!

SERONOK - kata Kamus Dewan Bahasa;

1. Perasaan yang menyenangkan ( yang menyukakan).

2. Menyedapkan hati (sedap didengar, dilihat, dll).


SERONOK - bagi yang tak reti bahasa;

1. Menyenangkan hati tak bertempat (yang menyukakan dan dalam masa yang sama ia melukakan hati orang lain atau sendiri).

2. Menyedapkan hati sendiri (sedap di dengar tapi menyakitkan telinga, sedap dilihat tapi menyakitkan mata, sedap didengar tapi menyakitkan hati, sedap dilihat tapi menyakitkan telinga, dll).


MENGATA-NGATA MEMANG SERONOK
YANG DENGAR ORANG MENGATA LAGI SERONOK
SEMUANYA SUKA DAN BERSERONOK
DIRI TAK KENA KATA MEMANGLAH LEBIH SERONOK
MENJADI MANGSA ORANG MENGATA JUGALAH YANG TAK SERONOK
TAPI DI SEBALIK SERONOK TAK SEMESTINYA BERAKHIR DENGAN SERONOK.


JIKA IA SESUATU YANG SERONOK
BUAT MACAM MANA PUN IA TETAP SERONOK
DIDENGAR JADI SERONOK
MELIHAT LAGILAH SERONOK
DAPAT MERASA LAGI-LAGILAH SERONOK.

KALAU DIDENGAR SUDAH SERONOK
DILIHAT LAGILAH SERONOK
DAPAT MERASA BERTAMBAH-TAMBAHLAH SERONOK.

KALAU DIDENGAR SUDAH TAK SERONOK
DILIHAT TENTU JUGA TAK SERONOK
DAPAT MERASA PUN MUNGKIN TAK SERONOK.

KALAU DIDENGAR SERONOK
TAK BERMAKNA MELIHAT PUN SERONOK
KALAU DAPAT RASA PUN MUNGKIN TAK SERONOK.

SERONOK MEMANGLAH SERONOK
YANG SERONOK TETAP SERONOK
YANG TAK SERONOK PUN BOLEH JADI SERONOK
KALAU TAHU CARA NAK BUAT IA JADI SERONOK..!

ORANG YANG SERONOK TETAP SERONOK
ORANG LAIN TAK SERONOK TAPI DIA SERONOK.

ORANG YANG TAK SERONOK TETAP TAK SERONOK
ORANG LAIN SERONOK DIA TETAP JUGA TAK SERONOK.


Monday, February 23, 2009

"CELARU POLITIK (MELAYU) BARU?"

Aku bukan orang politik. Tapi dengan kecelaruan politik semasa yang bersulam dengan kegawatan ekonomi global, termasuk kemelut politik songsang lagi menyongsangkan kini, buat hatiku bagai dijentik-jentik. Meluat dan menyampah. Mata dan telinga dah naik bernanah.

Orang politik berpolitik malam siang. Mereka makin hidup senang lenang. Tak ada yang kurang. Malah mewah makin berlebihan.

Rakyat yang mengaku kononnya bijak pandai, (terutama Melayu), juga ada yang menurut rentak orang politik, malah terlebih-lebih pula. Sampai sanggup tidur atas jalan raya dengan berjubah, berserban dan berkopiah di kepala.

ASTAGHFIRULLAH-AL-AZIM..! Dah hilang akal ke?

Apa yang mereka dapat?

Adakah mereka dah dapat wang juta-juta? Atau rumah sebesar istana? ATAU dianugerahkan KERETA SEBESAR KONTENA?. Atau diberikan isteri percuma? Atau dijanji menjadi menteri atau timbalan menteri? Rasanya jauh panggang dari api.

Kalau mereka dapat semua tu, tahniah dan syabas. Teruskanlah berpolitik dan kerap-keraplah tidur di atas mana-mana jalan raya. Kalau cara itu akan menyenang dan memewahkan Melayu. Sekalipun ia amat memalukan, lagi menjijikkan.

Namun kalau 'hampeh' yang mereka dapat, bawalah banyak-banyak bermuhasabah diri. Tonggang-tonggeklah kat masjid/surau/rumah untuk mengingati Allah. Bukan asyik ingatkan politik yang menguntungkan orang lain.

Atau buatlah kerja lebih berfaedah untuk tanggung anak bini atau mak bapak, daripada buat kerja yang memalukan bangsa, agama dan keturunan diri sendiri.

Ingatlah... buat apa-apa pun biar berpada-pada. Jangan lebih sudu dari kuah. Harap pokok saja rendang tapi tak berbuah.

Yang lebih penting, hidup jangan jadi 'hampeh', kerana 'hampeh' hanya untuk makanan haiwan.

Rasionalnya... pandai-pandailah menyesuaikan diri. Pandai-pandailah menilai, belajar, mengerti dan memahami realiti kehidupan.

Jangan mudah diperalatkan. Nanti lambat laun akan dikorbankan pula.

**********************************************************************************

Friday, February 13, 2009

PEMANDU TIDAK BERILMU

Kenalilah golongan tak berilmu ketika berada di jalan raya (lebuh raya).
Atau dalam bahasa kasarnya pemandu kurang ajar.
Atau dalam bahasa lembut sikit, dia ingat jalan raya itu mak bapak dia yang punya.

Antaranya:

1. Kita memandu dgn kelajuan ditetapkan disebelah kanan (terutama memotong kenderaan lain), dia datang dari belakang dgn melebihi kelajuan sambil memberi lampu isyarat / bunyi horn suruh kita ke tepi.

2. Memandu tidak mengikut kelajuan maksimum ditetapkan di sebelah kanan dgn menghalang pemandu lain. Tapi dia buat bodoh aje.

3. Memandu terlalu perlahan di sebelah kiri tanpa hiraukan pemandu lain.

4. Kita sedang memandu laju, tiba-tiba dia keluar dari bahu jalan, menyebabkan kita kena brek dan berikan dia laluan. Tapi lepas tu dia buat bodoh eje dgn memandu terlalu perlahan. Sedangkan kita nak memotong tak ada peluang.

5. Memperlahan kenderaan dengan tiba-tiba sebab nak jawab telefon bimbit, tanpa peduli pemandu lain di belakang.

6. Parking kenderaan sesuka hati di simpang jalan (sebab singgah minum/makan dll) hingga menghalang pemandu lain.

7. Tidak memberi isyarat utk membelok ke kiri, sedangkan pemandu lain sedang menunggu di simpang untuk keluar ke kanan. (Tempat tak ada lampu isyarat tapi agak sibuk).

8. Berhenti kenderaan antara bahu jalan dan atas jalan, kemudian terus bukan pintu di sebelah kanan, tanpa pedulikan pemandu lain datang dari belakang.

9. Parking sesuka hati hingga termasuk ke petak parking bersebelahan.

10. Penunggang motosikal yang menunggang perlahan di tengah-tengah jalan sambil begurau senda dgn pembonceng wanitanya.

Manakala pemandu yang perlu berubah dan bermuhasabah diri ialah:

1. Memandu perlahan dgn sesuka hati tanpa mengikut keadaan dan masa. (Memandu tidak ikut kesesuaian).

2. Terhegeh-hegeh nak bergerak walaupun lampu isyarat sudah bertukar hijau. Disebabkan dia, kenderaan yang boleh lepas enam, hanya dapat lepas tiga.

3. Dah dekat nak masuk simpang, baru nak bagi signal.

Anda mampu berubah..!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Hanya orang yang perasan bijak dan berilmu saja yang sering melakukan kesalahan tanpa disedari. Sedangkan orang yang benar-benar berilmu dan bijak akan terus mengelak dari melakukan kemarahan orang."

*******************************************************************