Sunday, June 14, 2009

AEDES YANG AKAN TERUS BERDENGGI

"Denggi gagal dihapuskan." Begitu pengakuan KP Kementerian Kesihatan. Mengenai permasalah denggi yang sukar dibendung, malah semakin meningkat.

Seorang rakanku, Amin, hanya tersenyum (sinis) menyaksikan pengakuan itu di tv beberapa hari lalu. Dia tersenyum sinis bukan kerana mahu menyindir atau jauh sekali dia sukakan nyamuk aedes yang berbahaya itu. Dia tersenyum (sinis) kerana dia ada peristiwa yang berkaitan dengan denggi itu kira-kira dua tahun lalu.

Halaman rumahnya, persekitaran yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok hiasan dan bunga-bungaan. Cantik, kemas dan teratur. Kerana sentiasa dijaga dengan rapi. Itulah masa yang dipenuhinya setiap ada kelapangan.

Berdekatan dengan tempat tinggalnya terdapat kawasan terbiar yang agak luas. Dipenuhi dengan semak samun dan pokok-pokok yang merimbun.

Persekitaran kawasan terbiar yang bersebelahan jalan raya di taman perumahan tempat tinggalnya itu agak kurang selesa kerana terdapat banyak nyamuk. Kawasan terbiar itulah yang menjadi punca pelbagai jenis nyamuk membiak. Ibu bapa melarang anak-anak mereka bermain di luar rumah. Kerana takut digigit nyamuk. Ular pun pernah wujud dari semak samun itu.

Tapi mujurlah di persekitaran halaman kediaman rakanku tidak dipenuhi nyamuk. Mungkin kerana ia sentiasa terjaga agaknya.

Disebabkan terdapatnya nyamuk yang tentunya boleh mendatangkan rimas itu, Amin telah beberapa kali menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengadu mengena masalah tersebut.

Janji PBT ialah akan cuba untuk mengatasi masalah itu. Namun janji hanya tinggal janji. Nyamuk makin menjadi-jadi. Amin merungut berkali-kali.

Bila Amin terus hubungi PBT, kali ini jawapan mereka begini pula;
"Masalah nyamuk ni sebenarnya tanggungjawab Jabatan Kesihatan (JK)," beritahu seseorang yang bertugas di PBT.

Bila Amin hubungi JK pula, dia diberitahu bahawa masalah yang berkaitan dengan nyamuk di luar kawasan rumah itu ialah tanggungjawab PBT.

Amin makin bingung. Bila dia hubungi PBT lagi, dia tetap juga disuruh berhubung dengan JK. Dan bila dia berhubung dengan JK lagi, seseorang yang mengenalkan diri sebagai Saad dengan nada suara yang kurang senang meminta alamat rumahnya. Tanpa berlengah dia berikan alamat rumahnya.

Lebih kurang tiga jam kemudian, sebuah kenderaan dari JK muncul di depan rumahnya dengan beberapa orang kakitangannya.

"Encik ada buat laporan mengenai nyamuk tadi?" tanya seorang lelaki yang beruniform dan siap dengan fail di tangannya, berdiri di depan pintu pagar rumah Amin.

"Ya," jawab Amin ringkas. Gembira. Moga masalahnya akan selesai.

"Boleh kami masuk... nak buat pemeriksaan," kata pegawai JK itu lagi.

"Tapi, saya mengadu mengenai nyamuk di luar kawasan rumah saya. Puncanya dari semak samun tu," tingkah Amin sambil menuding jari ke arah kawasan semak samun itu.

"Bila encik dah buat laporan kepada kami (JK), kami kena periksa sekitar rumah encik. Kalau di luar kawasan rumah, encik kena laporkan pada PBT," ujar pegawai itu lagi.

Amin jadi keliru. Makin bingung. Mujur tak semakin tongong. "Aduhhh..." Amin menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Tapi jadi serabut dengan tiba-tiba.

Mahu tak mahu Amin membenarkan beberapa orang dari JK itu memeriksa persekitaran halaman rumahnya. Cara dan tindakan mereka mencari dan menggeledah seolah-olah mereka mesti akan dapatkan sesuatu untuk djadikan bukti. Bahawa nyamuk-nyamuk itu berpunca dari rumah Amin. Amin hanya memerhati dengan rasa tak puas hati..

Setelah puas mencari dan menyelongkar di sana sini, akhirnya mereka terjumpa beberapa ekor jentik-jentik di atas sebuah tong bekas cat yang telah Amin bersih dan terbalikkan untuk dijemur. Amin pun tak sedar macam mana bekas tong cat itu boleh bertakung air yang cetek dan terletak pula di kawasan lapang yang kena cahaya matahari boleh jadi tempat jentik-jentik membiak.

Ah, dia terlalai agaknya. Bekas yang di depan mata pun boleh terlepas pandang.

Dipendekkan cerita, tanpa memberikan amaran atau nasihat, pegawai JK itu meminta kad pengenalan Amin untuk dicatatkan nama dan alamat.

Pegawa JK itu membawa jentik-jentik itu pulang ke pejabat untuk dikaji dan dianalisis jenisnya. Jika ia jentik-jentik aedes, maka bersedialah Amin untuk disaman.

Nasib Amin memang malang. Jentik-jentik itu adalah aedes. Amin disaman RM100.

Amin membayar saman itu. Dan dia meminta pihak JK membuat semburan asap di persekitaran kawasan taman perumahan tempat tinggalnya itu, kerana telah terbukti ada jentik-jentik aedes, bermakna mestilah ada nyamuk aedes.

Namun pihak JK tidak menerima permohonan Amin. Kata mereka, semburan asap hanya akan dilakukan setelah ada kes denggi. Maknanya setelah ada orang kena demam denggi, baru semburan akan dilakukan. Bunyinya pelik, bukan? Tapi begitulah Amin diberitahu.

"Kalau mahu tunggu ada orang kena demam denggi baru nak diadakan semburan asap, bermakna bersedia untuk kematian dulu, baru nak buat kerja. Kalau begitu, sampai bila-bila pun masalah denggi tidak akan selesai, "luah Amin dengan rasa kesal yang amat.

Kalau prosedur itu diteruskan, bermakna masalah kematian yang berpunca dari denggi tidak akan selesai. Malah aedes akan terus membiak dengan selesa, manakala mangsa denggi akan sentiasa ada sampai bila-bila.

Begitulah pengalaman Amin yang aku cuba catatkan di sini. Yang sepatutnya tidak terus menjadi amalan pihak yang terbabit.

Sepatutnya sesuatu tempat yang sudah diketahui ada aedes, sepatutnya juga persekitaran itu perlu disembur asap sebelum ada yang jadi mangsa denggi.

Seperkara lagi, bila Amin ceritakan peristiwa itu kepada beberapa orang rakannya yang lain, tahu apa reaksi mereka?

"Kalau kat rumah aku ada banyak nyamuk pun, tak naklah aku laporkan. Silap-silap aku pula yang kena saman," begitu kata mereka.

Kalau begitu? Akan selesaikan masalah nyamuk aedes yang berbahaya itu?.

Nota: Coretan ini bukan untuk memburukkan sesiapa, tapi sekadar renungan demi kebaikan bersama.

"Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?"

Fikir-fikirkanlah...

3 comments:

S.YanaZ said...

Karenah yg akan kekal karenah.
Kelaziman menunding jari itu diwarisi zaman berzaman.

Water Lily said...

Kita dibuat macam bola ditendang sana sini,balik-balik kita yang kena.

AL-BIMA SAKTI said...

S.YANAZ;
KERENAH YG TURUN TEMURUN...

WATER LILY;
BIASA LA TU. YG SENANG JADI SUSAH. YG SUSAH JADI LAGI SUSAH. BARU SAH..