Friday, April 23, 2010

DADAH... DADAH... OH, DADAH..!

benci dadah Pictures, Images and Photos


Kekadang tertanya-tanya juga aku, kenapalah penyangak-penyangak dadah dari luar negara itu berusaha bebenar nak bawa dadah masuk ke Malaysia. Ada bermacam-macam cara dan taktik yang dilakukan, yang kekadang tak terjangkau dek akal.

Antaranya yang terkini ialah dengan cara memasukkan benda haram jadah itu di dalam rangka besi beg dan rangka basikal.

Kalau soal laku atau ada pasaran, memanglah tak dinafikan. Kata seorang rakanku, dadah di Malaysia macam goreng pisang panas. Betul ke?

Seperkara lagi, adakah penyangak-penyangak itu terus berusaha nak bawa masuk dadah-dadah itu ke Malaysia kerana mereka terlalu yakin bahawa peluang 'terlepas' lebih besar daripada peluang kena tangkap?

Apa-apa pun, ramai juga penyangak yang tertangkap. Mujurlah pihak berkuasa kita lebih cekap daripada taktik-taktik penyangak-penyangak itu.

Dadah itu perosak anak bangsa. Bersamalah kita membanteraskannya.


Ingat.., jangan cari 'dia', sekali anda cuba, 'dia' akan terus cari dan kejar anda..!

Sunday, April 18, 2010

KENAPA DENGAN JALAN RAYA KITA..?

Sekali fikir, jalan raya kita macam sudah tak selamat lagi. Dua kali fikir, jalan raya kita sudah jadi macam zon peperangan pula. Kita pengguna sentiasa dalam bahaya. Bahaya yang berpunca dari diri sendiri, atau bahaya yang berpunca daripada orang lain.

Kalau fikir fasal ada saja kemalangan di jalan raya kita, nak memandu pun sudah jadi fobia. Macam-macam yang terlintas di kepala. Terasa semacam menangung satu bebanan pula memikirkan setiap nyawa yang ada bersama kita ketika kita memandu. Apatah lagi membiarkan orang-orang tersayang memandu sendirian.

Antara sebab berlakunya kemalangan ialah sikap manusia sendiri. Terlalai, kelajuan dan ego, adalah antara puncanya.

Dan antara punca lainnya, mungkin kerana jalan-jalan raya kita (kecuali lebuh raya) terlalu kecil untuk kenderaan-kenderaan masa kini.

Di sebatang jalan raya yang had kelajuan 90km/j, pemandu kenderaan terpaksa membrek bila terserempak dengan sebuah motosikal yang terhegeh-hegeh di depannya. Jika mahu memotong terpaksa memakan jalan di sebelah kanan.

Maknanya, sebuah kereta terpaksa membrek (apatah lagi lori dan bas) bila sebuah motosikal terhegeh-hegeh di depan semasa kebetulan pula dari depan datang kenderaan lain.

Bayangkanlah betapa kecilnya jalan raya kita, yang kerap juga digunakan oleh lori-lori yang mempunyai 12 tayar.

Bayangkanlah sekali lagi.... dan bilakah agaknya ia akan berubah mengikut kesesuaian kenderaan dan peredaran masa? Sepatutnya mereka yang bertanggungjawab memikirkan semua itu.

Wednesday, April 14, 2010

JIJIK YANG MELUCUKAN..!

lidah Pictures, Images and Photos

Menjijikkan dan melucukan.

Menjijikkan kerana ada manusia yang sanggup menelan air liur orang lain demi mengharapakan sesuatu..

Melucukan kerana di zaman siber ini pun masih ada lagi manusia bersikap jakun. Lebih malang jika yang berlagak jakun itu adalah manusia-manusia yang berpendidikan tinggi.

Begitulah tanggapan yang sesuai, seandainya ada kebenarannya mengenai kisah sebilangan ahli jemaah sebuah masjid yang sanggup menelan air liur tokoh agama untuk mendapat keberkatan, sebagaimana dilaporkan sebuah blog.

Begitulah sebilangan antara manusia yang sanggup buat apa saja, sekalipun menelan air liur orang lain demi mendapatkan keberkatan secara mudah. Segala-galanya mahu mudah sehingga sanggup memperbodohkan diri.

Kewarasan akal pergunakanlah. Jangan terlalu mudah tertipu dengan sesuatu yang diluar batas logik akal manusia. Kalau nak percaya sesuatu keajaiban itu biarlah bertempat dan bersesuaian dengan pemikiran. Jangan mudah mempercayai apa saja secara melulu.

Sekali fikir apa nak dihairankan, kerana yang pelik itu memang mudah diyakini, dan yang sesat itu mudah pula dipercayai.

Apa-apa pun kita harap perbuatan sebegitu tidak berlaku dan hanya sekadar salah faham saja. Tapi jika benar ia berlaku, siasatan dan tindakan harus dilakukan supaya ianya tidak berulang.

Friday, April 9, 2010

PENYANGAK TIDAK BERHATI PERUT

Baseball Pictures, Images and Photos


Benci dan geram - begitulah perasaanku bila menonton Buletin Utama TV3 (Jumaat - 9 April) yang menyiarkan rakaman CCTV gelagat dua ekor penyangak (sekor tunggu atas motosikal dan sekor lagi mengejar mangsanya seorang wanita yang agak berusia) demi mencapai matlamatnya untuk meragut.

Walaupun wanita (yang sama ada sedang berjoging atau baru lepas berjoging) itu berjaya melarikan diri dengan melompat pintu pagar dalam usaha untuk menyelamatkan diri, namun ternyata peragut yang bukan saja tidak berputus asa, malah terlalu berani itu sanggup juga melompat pintu pagar untuk mendapatkan mangsanya.

Penyangat yang tidak berhati perut itu ternyata sudah merancang untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut, kerana mereka bersiap sedia dengan sebilah parang yang digunakan untuk mengugut mangsanya. Ternyata mereka sudah terlalu berani disebabkan terdesak. Akhirnya rantai milik wanita itu berjaya diragut setelah mengacukan parang di leher mangsanya.

Walaupun perbuatan keji mereka itu dapat dirakam melalui CCTV, tapi rasanya agak sukar untuk mengenali kedua-dua penyangat tersebut. Mungkin dia menggunakan motosikal curi dengan nombor platnya pula palsu.

Mujurlah wanita malang itu tidak dicederakan. Namun traumanya tiada siapa yang tahu.

Berwaspadalah selalu, terutama kaum wanita kerana keselamatan diri antara kita semakin mencabar dan tercabar. Musuh atau penyangat sentiasa berada di sekeliling kita. Sesaat kita terlalai atau terleka, padahnya mungkin terpaksa ditanggung sepanjang usia.

Dicadangkan agar pihak polis sentiasa membuat spot check terhadap penunggang-penunggang motosikal, terutama di kawasan-kawasan yang meragukan. Jika ditemui senjata-senjata yang meragukan, bermakna mereka telah merancang sesuatu yang tidak baik.

Tuesday, April 6, 2010

PADAHAN CINTA

Love Pictures, Images and Photos


Cinta itu banyak kerenah dan erti. Kalau tak dicari, ia datang sendiri. Adakalanya walaupun dicari, tak juga ditemui.

Cinta yang tak disukai, ia ke mari. Cinta yang disukai, ia lari dan tak mengerti.

Cinta - Ada indah di sebalik kerenah. Ada kerenah di sebalik indah.

Namun berhati-hatilah dengan cinta.

Cinta yang kekal abadi manisnya tak bertepi.

Cinta yang tak kesampaian ada kalanya api dendam sukar terpadamkan.

Kalau cinta berubah menjadi benci, sesungguhnya benci itu seribu kali lebih kuat daripada rasa cinta yang pernah dialami.

Friday, April 2, 2010

INGIN JADI YANG TERBAIK?

Animated Cat Pictures, Images and Photos


Setiap orang memang ingin menjadi yang terbaik. Kalau boleh, menjadi yang terbaik segala-galanya. Suami terbaik, isteri terbaik, pelajar terbaik, pekerja terbaik dan apa-apa saja yang terbaik.

Kerana kebiasaannya yang terbaik itu akan disanjung, dianugerah, dihargai atau apa saja penghargaan yang berkaitan dengannya.

Namun dalam kita berusaha menjadi yang terbaik, kita tidak sepatutnya menggunakan jalan singkat termasuk dengan cara penipuan atau memijak kepala orang lain. Harus juga dijauhi sikap membuat fitnah untuk mencapai sesuatu matlamat.

Kejujuran dan keikhlasan itu yang penting. Bukannya dengan cara mengambil kesempatan cara yang tidak betul untuk kepentingan diri sendiri atau dengan menyakiti hati orang lain.

Sesungguhnya, yang ikhlas dan jujur itu lebih afdal dan termulia.