Wednesday, April 29, 2009

MUNGKINKAH LALANG BERBUNGA PADI..?

Kakitangan awam ditegur lagi. Entahlah untuk kali yang ke berapa.

Masalah dalam perkhidmatabn awam sebenarnya sukar nak dipulihkan dengan erti kata sebenar. Mereka sudah terbiasa dengan keselesaan diri. Mereka tidak pernah takut dibuang kerja jika melakukan kesalahan. Malah mereka masih tetap juga mengharapkan kenaikan pangkat dan gaji. ( Itulah kebanyakannya berlaku). Walaupun kerja dengan tidak betul. Mereka anggap itu hak mereka.

Mereka tidak pernah fikir mengapa mereka bekerja di situ. Bagi mereka, kerja itu hak mereka. Kerja untuk mendapat gaji dan segala macam kemudahan yang disedikan. Bukannya bekerja untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Itulah persepsi sebilangan mereka.
Walaupun tugas sebilangan mereka berkaitan dengan orang ramai. Tapi mereka tak pernah sensitif dengan nasib orang ramai yang ada hubungkait dengan jawatan mereka.

Selagi setiap mereka yang melakukan kesalahan seperti ponteng, abai tugas, tidak komitmen dan menyebabkan masalah lain yang membebankan lagi pelanggan (rakyat), namun mereka tidak menerima hukuman yang sewajarnya, selagi itulah sikap kakitangan awam tak akan berubah. Masalah yang sama (yang tak sepatutnya menjadi masalah) akan tetap berulang.

Kalau sekadar pelbagai syarat, undang-undang dan akta itu ini, namun tidak dilaksanakan dengan sebaik mungkin, jangan berharaplah lalang akan berbunga padi. Mungkin bunga padi akan bertukar menjadi bunga lalang pula, tidak mustahil akan berterusan.

Sesuatu yang baik hanya akan lahir dari niat dan minda yang baik. Tahu akan tugas dan amanah akan lahirlah kesempuraan sebagaimana yang diharapkan.


Selagi ada amalan 100 yang lakukan kesalahan, seorang pun belum tentukan menerima tindakan yang berpatutan, selagi itulah keadaannya akan sebegitu.

Selagi dua tiga orang yang bekerja dengan betul sentiasa dipandang serong, (dianggap tak betul sebilangan mereka) dan 10 orang yang bekerja tak betul pula sentiasa dipandang betul, dan seterusnya dianggap betul, maka selagi itulah situasi yang sama akan berterusan. Situasi yang merugikan kerajaan dan menderitakan rakyat.

Malang, yang bekerja dengan jujur dan dedikasi akan turut terpalit dengan sekumpulan kerbau yang membawa lumpur dan turut terpalit kepada yang lain.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI:

"PEKERJAAN TIDAK SEHARUSNYA DIANGGAP SEBAGAI BEBAN. KESEDARAN BAHAWA PEKERJAAN SEBAGAI IBADAT AKAN MENAMBAHKAN NILAI KEPADA PEKERJAAN ITU DAN MENJADIKAN SESEORANG ITU LEBIH MENGHAYATI ETIKA DALAM MELAKSANAKAN PEKERJAANNYA."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Tuesday, April 21, 2009

ASAM GARAM...

LUMRAH KEHIDUPAN..?

Asam garam kehidupan. Miskin boleh jadi kaya dalam sekelip mata kalau kena caranya. Dan kaya pun boleh menjadi papa kedana dalam sesaat kalau tersilap perhitungannya.

Sebilangan manusia, sewaktu hidup miskin mereka amat sedar diri. Insaf dengan kehidupan. Dan akan berasa bangga dan bertuah jika mendapat perhatian daripada orang lain.

Sekarang macam-macam cara manusia boleh jadi kaya. Sama ada secara halal ataupun haram. Masuk pertandingan nyanyian pun boleh jadi jutawan. Masuk pertandinghan apa-apa pun boleh juga jadi kaya.

Dan kekayaan juga boleh menjadikan manusia lupa diri. Lupa daratan. Lupa asal-usulnya. Menjadi ego tidak menentu.

Kalau sebelumnya dia ada kekasih, dia sudah amat bersyukur sangat, kerana ada juga manusia lain yang suka padanya. Lebih-lebih lagi sanggup jadi kekasih atau tunangannya dan menerima keluarganya.

Tapi ada jenis manusia, bila dia dah kaya raya, dia rasakan perlunya memiliki teman hidup yang lebih sesuai dengan kekayaannya. Kalau sebelumnya, 'muka' itulah yang paling sesuai sebagai gandingannya (sebab dah tak ada muka lain lagi yang bersimpati padanya ketika itu.

Bila dah kaya, dia mula nampak yang bakal teman hidupnya itu tidak secantik atau setampan manusia lain yang baru dikenalinya. Belangnya mula terserlah. Tambahan pula terdapat ramai manusia lain yang membuka mata dan tertarik padanya, malah ada yang sanggup menjadi perampas.

Maka bermacam-macam masalah yang dicipta untuk memutuskan perhubungan dengan yang lama. Yang cantik dan segak di depan mata ketika hidup kemiskinan, sudah tidak cantik dan segak lagi setelah dia berharta.

Apatah lagi kalau keluarga dan saudara-mara pula bersikap lebih sudu dari kuah. Mencurahkan minyak ke dalam api. Maka akan bertambahlah masalah.

Dan bagi si malang yang ditinggalkan, berpasrahlah dirinya yang dirasakan sudah tidak berharga lagi. Tinggalkan dia dalam penderitan dan rasa malu yang tak tertanggung dengan sikap buruk 'si lupa daratan' itu.

Ingatlah, orang yang teraniaya sesama manusia, ada kemuliaan di sisi Allah. Setiap perbuatan kita yang menganiayakan orang lain pasti mendapat 'anugerah' daripada-Nya, walaupun kita memiliki ilmu agama setinggi menara Kuala Lumpur atau sepenuh Perpustakaan Negara.

Dan bersedialah kita untuk menerima 'anugerah-Nya' itu. Cuma cepat atau lambat. Hanya Dia yang lebih mengetahui.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Walaupun kita tidak mampu berubah secara fizikal, tapi berubahlah dari sudut jalan fikir. Dan biarlah perubahan kita itu dilihat betapa kukuhnya pemikiran kita."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Friday, April 17, 2009

MALANGNYA DAN MENYEDIHKAN...

SPESIES YANG BUTA MATA HATI DAN AKAL

Pagi itu, seorang wanita lingkungan usia 35 tahun sedang memapah seorang gadis belasan tahun yang tidak larat berjalan, untuk berjumpa doktor pakar sebagaimana memenuhi temujanji yang dibuat beberapa hari sebelum itu.

Sebelum sempat wanita itu memberi salam, seorang Si Uniform Putih berpaling dan bertanya, "Berapa orang nak jumpa doktor ni?" suaranya agak keras. Kemudian dia berpaling ke arah lain.

"Sorang," balas wanita itu.

"Habis tu, datang ramai-ramai buat apa?" suara Si Uniform Putih masih keras.

Ramai? Sedangkan wanita dan gadis itu saja. Butakah matanya? Sepatutnya dia hulurkan tangannya membantu wanita yang bersusah payah memapah gadis yang tidak sihat itu.

Namun wanita itu tidak berkata apa-apa. Masih mampu bersahaja. Dia terusmemapah gadis yang juga anak saudaranya itu kerana tak terdaya berjalan sendiri disebabkan sakit yang dialaminya untuk duduk di kerusi.

Mungkin wanita itu mengambil sikap berdiam diri kerana dia berasa teramat bodoh jika dia melayan 'manusia' yang bukan setakat membutakan mata, malah hati dan akalnya juga turut buta, sehingga menonjolkan sikap kurang ajarnya didepan insan lain.

Dan mungkin juga wanita itu terbisu tiba-tiba kerana terpegun yang amat sangat, bahawa masih terdapat 'spesies' jenis itu di muka bumi ini, yang juga masih diberikan tanggungjawab untuk berurusan dengan orang ramai.

Malang sungguh agensi itu memiliki pekerja begitu, dan lebih malang lagi spesies itu sendiri kerana tidak tahu berbudi bahasa sesama manusia, yang tidak mneguntungkan dirinya, dan tidak juga merugikan orang lain.

Si Uniform Putih itu sebenarnya tidak menyedari bahawa wanita yang ditunjukkan sikap kurang sopannya itu sebenarnya seorang insan yang berpengaruh dengan kedudukan dan darjatnya. Kalau dia gunapakai pengaruhnya, apa-apa saja boleh berlaku ke atas spesies yang bersikap kurang ajar itu.

Tapi wanita itu seorang yang beriman dan berakal budi tinggi dan sentiasa merendah diri walaupun berdepan dengan spesies yang bukan saja rendah moral dan lakunya, malah terrendah juga darjatnya jika dibandingkan dengan darjat wanita itu.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Tidak rugi berbudi bahasa sesama manusia walau di mana berada. Keuntungannya kekadang tidak terbukti dengan sekelip mata, namun mungkin akan kedapatan bila-bila masa sahaja atau mungkin juga sampai bila-bila."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tuesday, April 14, 2009

ANDA BERADA DI SITUASI MANA..?

BENARKAH KITA SENTIASA BERDEPAN DENGAN...

1. Orang yang tidak jujur dan sentiasa berpandangan serong:
Kita bekerja dengan ikhlas dan jujur, dituduhnya kita membodek dan mengampu.

2. Orang yang tidak senang melihat kelebihan kita:
Keburukan dan kesilapan kita juga yang dicari dan diungkit-ungkit. Sedangkan segala kebaikan kita langsung tidak dihargai.

3. Orang yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri:
Kita bekerja dengan betul dan telus. Di sekeliling kita terdapat lebih ramai yang bekerja tak betul dan tak telus. Akhirnya yang tak betul dan tak telus juga akan diangkat sebagai betul dan telus.

4. Orang yang suka mengampu dan membodek:
Kita yang tak pandai ampu susah nak hidup jika dikelilingi oleh kaki ampu dan bodek. Kita buat betul pun akan jadi salah. Kaki ampu dan bodek, walaupun tak tahu buat kerja tapi lebih dihargai dan mungkin cepat pula naik pangkat.

5. Orang yang pandai cakap tapi tak tahu buat kerja:
Orang sebegini ada kalanya lebih menonjol kerana pandai menonjolkan dirinya. Orang sebegini juga kekadang lebih selamat dan dihargai berbanding orang yang tak pandai cakap tapi lebih pandai buat kerja.

Kesimpulannya: Jika anda seorang boss, (yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan) kena selalu peka memerhatikan situasi persekitaran dan bijak juga membaca isi hati dan air muka orang bawahan anda.

Jika anda boss yang mudah tertipu dan terpedaya dengan muslihat orang bawahan anda, atau anda ada sikap berkepentingan, tidak telus, maka anda adalah selemah-lemah dan sehina-hina manusia di muka bumi. Akibatnya mungkin sektor anda akan terancam dan huru-hara.

Nota: Perbezaan antara bos dan orang bawahan, boss seharusnya lebih bijaksana, jujur, telus dan sentiasa tepat dalam membuat keputusan. Boss juga seharusnya tidak berpihak-pihak tanpa kajian teliti, jauhi sikap ada kepentingan serta faham dan bijak dalam menilai isi hati orang bawahan anda.

Jika boss tidak memiliki sifat-sifat sedemikian, anda adalah seburuk-buruk dan sekeji-keji boss di muka bumi ini.

Jika di dunia anda telah dikeji dan di hina oleh sebilangan manusia (pekerja-pekerja anda) dengan sikap-sikap anda itu, maka bayangkanlah di akhirat nanti. Allah akan lebih memandang dan menilai anda dengan lebih kehinaan yang amat.

(Sama ada menjadi boss atau pekerja, bukanlah semudah memegang jawatan dengan keseronokan imbuhan. Tapi insaflah dengan beratnya tanggungjawab dan amanah yang dipikul).

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Jika diberikan tanggungjawab, usah rasakan anda telah melakukan sesuatu yang terbaik dan sempurna. Tapi anggaplah bahawa anda telah berusaha sekadar termampu, supaya anda tidak terleka dengan tanggungjawab dan amanah yang diberikan."

Saturday, April 11, 2009

KALAU DAH TAHU... KENAPA..?

KALAU DAH TAHU...
MEMANG BERAT BAHU YANG MEMIKUL DRP MATA YG MEMANDANG,
KENAPA HARUS DIBIARKAN BAHU MENANGGUNG BEBANAN?

KALAU DAH TAHU...
SETENANG-TENANG AIR DI LAUT JANGAN DISANGKA TIADA BUAYA,
KENAPA HARUS BERMANDIAN DAN BERLEKA-LEKA?

KALAU DAH TAHU...
TIDAK SEMESTINYA PANAS BERSINAR HINGGA KE PETANG,
KENAPA TIDAK BERSEDIA SEBELUM MENDUNG DAN HUJAN MENDATANG?

KALAU DAH TAHU...
SEPANDAI-PANDAI TUPAI MELOMPAT AKHIRNYA TERJATUH KE TANAH JUGA,
KENAPA HARUS MENJADI TUPAI YANG SELALU DIBURU BAHAYA?

KALAU DAH TAHU...
BIASANYA BILA SUDAH TERHANTUK BARU NAK TERNGADAH,
KENAPA TAK BERFIKIR BERKALI-KALI SEBELUM MENCIPTA MASALAH?

KALAU DAH TAHU...
BELAKANG PARANG PUN AKAN MENJADI TAJAM JIKA DIASAH,
KENAPA TAK DITAJAMKAN IA MENJADI SENJATA PEMBELA MARUAH?

KALAU DAH TAHU...
TAKKAN PISANG BERBUAH DUA KALI,
KENAPA TAK DITEBANG DAN DITANAM DENGAN YANG LAIN SEBAGAI GANTI?

KALAU DAH TAHU...
SEHARI SELEMBAR BENANG MAMPU MENJADI KAIN,
KENAPA MASIH TERMANGU DAN LEBIH BANYAK BERMAIN-MAIN?

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Sesekali melakukan kesilapan dan kesalahan, melambangkan kebiasaan bagi kehidupan manusia. Namun jika terlalu kerap membuat kesilapan dan kesalahan, ia melambangkan manusia itu yang tiada kehidupan."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Monday, April 6, 2009

KENALI DIRI

SIAPAKAH KITA..?

Alangkah baiknya jika kita selalu mendekati diri kita sendiri, dan kerap pula mengenali siapa diri kita, dan di manakah letaknya kita dalam diri kita atau di mata orang lain.

Maka, selalu-selalulah bertanya pada diri sendiri, adakah kita ini kaki...

1. Tamak

2. Bakhil / kedekut

3. Sombong

4. Bongkak

5. Bangga diri

6. Mengeji / Menghina

7. Prasangka buruk

8. Diperbodoh-bodohkan

9. Panas baran

10. Mengumpat

12. Dayus

13. Rasuah

14. Lari dari tanggungjawab

16. Penipu

17. Tak tahu bersyukur

18. Suka ambil kesempatan

19. Pentingkan diri sendiri

20. Kufur nikmat

21. Pecah amanah

22. Suka buat orang marah

23. Tak tahu berbudi bahasa

24. Kurang ajar

25. Pak turut

26. Ampu / bodek

27. Batu api

28. Lalai

29. Cincai

30. Bad mood tak menentu.



Adapun kesemua yang dibangkitkan di atas itu adalah sama sekali tidak baik atau tidak elok untuk kita miliki sama ada secara kecil-kecilan ataupun besar-besaran, pun sama ada secara langsung ataupun tidak terlangsung.

Semoga semua itu tiada kaitan walaupun sekelumit atau sebesar hati kuman pun dalam hidup seharian kita hendaknya.

Andainya untuk kita tidak memiliki atau dijauhi daripadanya, selalu-selalulah mengenali diri kita, di samping memahami sesiapa sahaja yang berkaitan dengan diri kita dan sesiapa di sekeliling kita, serta hendaklah mendekati diri kita dengan Dia Yang Maha Berkuasa dan turutilah segala suruhan-Nya.

Insya-Allah akan selamat hidup kita di dunia dan hingga ke akhir nanti.

Sekian, Terima kasih.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


SEKEHLOGI

"Apa gunanya seseorang itu menyarungkan pakaian yang dianggap bermoral dan bermaruah yang menutupi tubuhnya, jikalau dirinya tidak bermoral dan bermaruah."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Sudah terang lagi bersuluh
Kenapa bersuluh di dalam terang
Dalam terang tak perlu bersuluh
Tak bersuluh pun ia tetap terang


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Friday, April 3, 2009

TAHUKAH ANDA...

SIAPAKAH MANUSIA DI SEKELING ANDA..?

Sedarkah anda, di sekeliling anda sebenarnya terdapat pelbagai kaum/golongan tertentu dengan pelbagai karenah yang merimaskan dan lagi menjelikkan. Yang saban hari kita temui, namun mungkin anda terlepas pandang dengan situasi tersebut.


1. KURANG AJAR

Sikap ini biasanya dikaitkan dengan kaum atau golongan tertentu. Terutamanya mudah terdapat di jalan raya, yang tidak pernah mempedulikan pengguna lain dengan sikap kurang ajarnya.

Juga golongan ini suka meletakkan kereta sesuka hati dan mempamerkan sikap angkuh dan egonya, walaupun menyulitkan pengguna lain.


2. LEBIH SUDU DARI KUAH / BODOH SOMBONG

Sikap ini dikaitkan dengan kaum/golongan tertentu. Walaupun tidak ramai, namun ia cukup merimaskan situasi.

Golongan ini memang dianggap lebih sudu dari kuah. Pantang diberi muka, ia akan bertindak melebih-lebih.

Kalau mereka menunggang basikal di jalanraya, mereka akan berlagak seperti menunggang motosikal. Kalau menunggang motosikal pula, lagaknya macam memandu kereta mewah.

Golongan ini juga dikaitkan bahawa mereka tidak pernah berfikir sebelum bertindak. Dan suka bertindak mengikutkan hati.


3. HIPOKRIT / EGO

Golongan ini suka menonjolkan kononnya merekalah yang paling alim dan warak. Kononnya golongan yang lebih tahu mengenai agama. Mereka menilaikan kealiman seseorang berdasarkan pakaian.

Golongan ini sukar mengukirkan senyuman dan nampak mesra dengan manusia sebangsa dan seagama dengannya. Mereka cuma mesra di kalangan golongan mereka saja.

Didapati golongan ini juga kurang berbudi bahasa.

Terlalu ego dan hipokrit, bahawa merekalah kononnya yang terbaik. Sedangkan dalam masa yang sama mereka ini tidak pernah memikirkan perasaan orang lain. Hanya mereka saja yang kononnya bertindak dengan betul.

Sikap yang ditunjukkan oleh golongan tersebut, membuktikan bahawa mereka terlalu cetek ilmu agama (akhirat) dan keduniaan, namun berlagak seperti manusia yang cukup baik dan sempurna.

Sikap mereka ini tak secara langsung amat memalukan golongan alim yang sebenar. Dan sedikit sebanyak turut menjejaskan keyakinan dan kepercayaan kaum-kaum lain untuk mendekati Islam.


4. KELIRU / MUDAH DIPENGARUHI

Didapati sebilangan golongan pelajar sekolah menengah adalah golongan yang paling keliru dengan diri sendiri. Mereka teramat keliru tentang sesuatu yang baik dan sesuai untuk mereka lakukan.

Selain itu, mereka juga tidak berbudi bahasa dan tidak tahu menghormati orang yang lebih dewasa daripada mereka.

Mereka juga mudah terpengaruh kepada perbuatan yang tidak baik dan sering kali menonjolkan sikap kurang ajar. Ingin mudah mencuba sesuatu walaupun sudah diketahui yang sesuatu itu tidak baik dan akan memudaratkan diri.

Mereka juga akan menyalahkan ibu bapa atau keluarga jika perbuatan buruk mereka diketahui atau terjadi sesuatu yang buruk ke atas diri mereka. Sekadar untuk melepaskan diri.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Sesungguhnya perbuatan yang baik itu bukanlah sekadar lakonan. Walaupun kekadang lakonan itu mampu menonjolkan perbuatan yang terbaik."

****************************************************