Sunday, June 29, 2008

AL-KISAHNYA TENTANG JANJI ITU

Al-kisah maka tersebutlah cerita tentang seorang jejaka yang teramatlah kurang tampannya. Sudahlah terkurang tampan, akan tetapi terkuranglah juga akan segala hartanya. Namun sedemikian, hiduplah ia dalam kesederhanaan yang sekadar cukup makan dan cukup pakai, dan tidakalah pula ia dalam kedaifan adanya.

Namun akan si jejaka itu, teramatlah tinggi akan cita-cita dan impiannya, bahawa berhasrat akan ia untuk memiliki akan seorang dara yang teramatlah cantik rupa parasnya yang tidak akan dapat ditandingi akan sesiapa, termasuklah Erro Fazirrro sekalipun. Begitulah cantiknya akan ia, sehinggakan tidak temampu untuk dibandingkan dengan sesiapa pun si dara yang terwujud di muka bumi ini.

Maka, saban hari akan terindu dendamlah akan si jejaka untuk memiliki akan si sdara itu. Berfikirlah akan ia sehingga hampir terpecah akan kepala otaknya untuk mencari idea bagaimana untuk memikat si dara itu. Namun ia tetap rela kepala itu terpecah demi memikirkan bagaimana hasratnya itu akan tercapai. Sehinggakan tidak terfikir akan ia, jika terpecah akan kepalanya, tentulah ia akan mati dan tidak dapat lagi berkahwin akan ia dengan si dara idamannya itu. Terbukti bahawa begitu bahlolnya ia.

Setelah sekian lama berhempas pulas membantingkan usahanya, maka tercapailah jua hasrat si jejaka untuk mendekati si dara idamnya itu. Si dara yang pada mulanya ternyata ingin menjual mahal, akhirnya terperangkap jua akan cinta si jejaka yang teramat bijak memborak dan berkata-kata itu.

Maka akan terasyik-maksyuklah akan kedua -dua insan yang sudah dilamun dan dilambung cinta itu bercinta sehingga terlupa akan dunia dibuatnya.

"Hamba berjanji akan menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada adinda, sekiranya adinda sudi menjadi teman hidup hamba," begitu kata si jejaka.

Si dara sedikit terkejut. "Apakah benar akan kata-kata kakanda itu?" si dara terbeliak akan biji matanya kera terlalu terkejut.

"Benar, adinda. Malah bukan itu saja...."

"Oh.., ada lagikan hadiah untuk adinda..?" tingkah si dara dengan teramat teruja dan tersenyum lebar, sebelum sempat habis akan kata-kata yang mahu diluahkan oleh si jejaka.

"Benar, dinda..."

"Hmmm... boleh dinda tahu apakah hadiah itu, wahai kakanda..?" tanya si dara yang semakin teruja lagaknya.

"Hamba juga akan hadiahkan kepada dinda sebuah banglo sepuluh bilik, yang lengkap dengan kolam mandi dan taman landskap yang indah dan mengangumkan..!" ujar si jejaka dengan bangganya.

"Oh... betapa gembiranya hati adinda..., sunguh beruntungnya dinda menjadi isteri kakanda..." teruja si dara semakin menjadi-jadi. kasih sayang akan si jejaka juga semakin bertambah mendalam.

Al-maklumlah, sekadar mendengar janji sudah pun terpegun akan si dara, itu belum lagi akan terbukti segala janji-janji itu. Mungkin akan bertambah-tambah terpegunlah akan ia nanti.

Segala-galanya telah terancang dengan baik sekali. Belum pun sempat sehingga satu perlima purnama kedua-duanya bercinta, makan di dara pun mendesak akan si jejaka agar segera meminang akan ia, kerana si dara bimbang ia akan di sunting oleh si jejaka yang lain. Sebenarnya si deara yang tidak mahu akan kehilangan si jejaka yang difikirkan berkaya raya itu. Maka, pucuk yang dicita, ulam pun mendatang. Tanpa membuang akan banyak masa, mereka akhirnya di satukan sebagai suami isteri.

Betapa gembiranya akan si jejaka kerana si dara idamannya telah pun menjadi miliknya. Berguling-gulinganlah akan ia kerana terlalu gembiranya. Berminggu-mingguan dan sehinggalah berbulan-bulanan akan ia asyik bersiul-siulan sahaja kerana terlalu gembira akan hatinya setelah 'bunga' yang diidam-idamkannya itu telah pun berada dalam genggamannya. Bangga akan hatinya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Ternta sungguh berbahagia hidup mereka suami isteri.

Namun akan si isreri pula, selalu tertanya-tanya akan ia, bilakah lagi si suaminya itu akan menunaikan segala janji-janjinya itu, sebagai bukti akan cintanya itu kepada isterinya. Walaupun hampir sepurnama usdah berlalu, masih jua tida satu pun janjinya uitu menjadi bukti.

Setiap kali si isteri bertanya mengenainya, si suami hanya meminta si isterinya itu supaya bersabar dan terus bersabar.

Setelah makin hilang sabar akan ia, maka bersuaralah lagi akan si isteri kepada si suaminya: "Kanda.., sampai bila lagi kita akan mendiami rumah pangsa yang sempit ini? Sedangkan tidak lama lagi akan bertambah lagi keluarga kita...?"

"Bersabarlah sedikit masa lagi, dinda," jawab si suami bersahaja.

"Bagaimana pula dengan kereta mewah yang kanda janjikan itu? Masih juga tidak nampak bayangnya. Macam mana ni, kanda? Bila lagi..?" desak si isterinya lagi.

"Sabarlah. Akan tiba jua masanya nanti..." ujar si suami lagi dengan bersahaja juga.

"Sabar.., sabar...! Itu sahajalah yang jawapan kanda. Akan tetapi, sampai bilakah dinda harus bersabar? Tak lama lagi perut dinda ini akan meletup..." bentak si isteri seperti orang yang telah hilang akan kesabarannya.

"Kan kanda sudah minta agar dinda bersabar. Tak bolehkah bersabar sedikit lagi...?" bentak si suami pula.

"Sudah hampir sepurnama dinda bersabar tau..? Namun satu pun janji-janji kanda belum tertunai lagi...? Sampai bila lagi dinda harus bersabar...?"

"Ternyata dinda ini sebenarnya materialistik... mata duitan..! Dinda fikir, kanda mampukah tunaikan semua itu?" bentak si suami semakin keras.

"Oh.., tak mampu..? Kalau tak mampu, kenapa berjanji...?" bentak si isteri pula.

"Sesungguhnya untuk pengetahuan dinda, kanda 'hanya berjanji' untuk membelikan dinda sebuah kereta mewah dan sebuah banglo yang serba-serba lengkap itu. Akan tetapi kanda tidak pernah berjanji untuk menunaikan janji-janji kanda itu. Kanda sekadar berjanji sahaja. Faham..?"tingkah si suami lagi.

"Oh.., kanda berbohong kepada dindalah selama ini...? Sungguh dinda tak sangka...!"bentak si istyeri dengan keras.

"Kanda terpaksa berbohong. Kalau kanda bercakap benar tentang diri kanda ini, adakah dinda akan menerimanya? Dengan keadaan sebenar diri kanda, tentu dinda tidak sudi menerima kanda sebagai suami bukan..?" ujar si suami bersungguh-sungguh.

"Habis.., kanda ingat dinda tergila-gila akan kanda sangat? Kalau tidak kerana lagak dan janji-janji kanda itu, jangan harap dinda sukakan kanda... menerima kanda sebagai suami dinda..! " bentak si isteri lagi.

Maka, sejak itu tiada lagi akan keamanan dan kedamaian dalam rumah tangga kedua-duanya. Hanya menunggu masa untuk roboh buat selama-lamannya.

Begitulah al-kisahnya...

Kita Sesama Kita: BERCAKAP BENAR ITU SYURGA. BERBOHONG ITU NERAKA.

Sunday, June 22, 2008

SAJA-SAJA RELEASE TENSION

Sekadar teka-teki
kalau tak jawab tak ada hukuman mati
tersalah jawab pun nyawa tetap panjang lag
kalau terbetul jawab pun tak ada hadiah sagu hati
kalau nak hadiah juga kenalah keluar duit sendiri pergi beli.

Begini bunyinya hamba punya teka-teki
kasar lembut sudah diperhalusi
cuba lihat di bawah ini:

1. KENAPA UBI KAYU BOLEH JADI KAYU?

2. KENAPA GIGI SAKIT?

3. KENAPA PENCURI KENA TANGKAP?


Tiga teka-teki untuk dibeli
untuk release tension saudara saudari
satu saja jawapan diberi
sudah terjawab ketiga-tiganya sekali
apakah jawapan wahai si bijak bestari?.

(Nota telinga: Adalah dimaklumkan bahawa hanya diperlukan satu jawapan sahaja untuk ketiga-tiga teka-teki itu)

Friday, June 20, 2008

'KITA NAMPAK APA YANG ORANG TAK NAMPAK & ORANG TERFIKIR APA YANG KITA TAK TERFIKIR'

Apa yg Angah tulis dalam entry dia tu, mungkin dah lama orang lain tahu. Tapi ramai tak ambil kisah. Angah tahu perkara tu selepas dia pergi kursus. Sebenarnya itulah satu kelebihan, berbanding orang yang tak berpeluang. Bermakna Angah sudah memperoleh sedikit ilmu.

Itulah yang dikatakan ilmu itu penting. Ilmu tak ada disediakan di universiti semata-mata. Ilmu itu berada di mana-mana seandai kita tahu menilai sesuatu itu dengan menggerakkan minda kita. Membaca sesuatu yang menggerakkan minda itu juga cara menimba ilmu. Di universiti cuma ada pendidikan untuk lulus peperiksaan saja, bagi mereka yang cetek pemikiran. Kerana itulah ada lepasan universiti tidak tahu siapa Menteri Pendidikan Malaysia.

Apabila kita berilmu, kita setiasa dapat membezakan akan kelebihan dan kekurangan sesuatu yang kita mendepaninya. Apa yang kita nampak itu, mungkin orang lain tidak nampak. Kita juga sentiasa berfikir dengan seesuatu yang berlaku, yang mungkin tidak terfikir oleh orang lain.

Kita kena ingat, sesuatu yang kita rasa remeh, janganlah selalu pula dianggap sebagai remeh. Dan sesuatu yang mudah itu, tidak seharus juga kita menganggapnya sebagai mudah. Serta yang payah pula tidak akan selamanya payah. Semuanya itu mesti ada cara untuk mengatasinya.

Sesuatu yang remeh, kalau selalu juga dianggap remeh dan tak kisah, ia akan diibaratkan seperti bom jangka yang akan meletup suatu keyika nanti. Sebagai contoh, sewaktu kita di pejabat, anak kecil kita telefon pesan suruh beli gula-gula sewaktu kita balik kerja. Kita sanggup untuk membelinya. Tetapi setelah tiba di rumah, kita terlupa. Kerana semasa singgah di kedai atau pasaraya tadi kita asyik fikirkan nak beli barangan-barangan lain yang lebih perlu.

Lalu kita pun memberi alasan: "Alaa... mak terlupalah sayang... lain kali mak beli ya..?"

Cuba kita perhatikan muka anak kita ketika itu. Macam mana rupanya?. Kalau sekali dua tak mengapa. Jika berterusan, akan terlahirlah sesuatu perasaan dalam diri anak itu. Yang penting kita beli dulu sedikit apa yang dia harapkan itu. Lepas tu kita barulah beritahu aakan akibat makan gula-gula itu, sekiranya ia tidak elok untuk kanak-kanak. Biar dia faham dan puas hati.

Seperkara lagi, perlu ada perancangan sebelum melakukan sesuatu. Supaya tidak timbul pembaziran sama ada waktu, tenaga atau minyak. Supaya SESUATU YANG AKAN KITA LAKUKAN ITU BERJALAN LANCAR. Sebagai contoh, kalau kita ada urusan dengan bank, jangan pergi pakai redah aje. kalau biasanya orang akan ke bank ketika waktu rehat, yang mungkin itulah masa yang sesuai untuk mereka. Waktu sebegitu selalunya ramai orang yang mahu berurusan, ditambah pula dengan kesukaran untuk mendapat parking. Jadikan luangkanlah waktu lain yang difikirkan tidak ramai orang ketika itu. Dengan mengambuil kira akan waktu itu, mungkin kita telah dapat menjimatkan masa menunggu di bank atau membazirkan minyak kereta untuk menunggu parking kosong.

Lecturer saya dulu pernah berpesan, katanya: Setiap kejadian itu ada kebaikan dan keburukannya. Mungkin ia baik bagi orang lain dan tak baik bagi kita. Begitu juga sebaliknya. Dan munmgkin itu sudah ramai yang tahu.

Katanya lagi; Kita lihat saja buah-buahan dengan pelbagai jenis dan rasa. Ada yang manis, masam, pahit dan kelat. Belum lagi termasuk rasa benda-benda lain sama ada masin, payau dan sebagainya. Jadi, pilihlah mana satu rasa yang kita suka dan sesuai dengan kita. Malah mungkin ada orang yang suka dengan pelbagai rasa.

Begitulah juga dengan kehidupan seharian kita. Kita akan bertemu dengan beraneka ragam telatah dan perangai manusia. Pilihlah perangai manusia yang mana satu sesuai dengan kita.

Kata orang, kalau kita berkawan dengan orang yang jahat, sedikit sebanyak perangai jahatnya itu akan terpengaruh kepada kita juga. Begitulah juga sebaliknya.

DAN APA YANG PERLU SAYA INGAT IALAH:-
Bagi yang bekerja, tak kira tinggi atau rendah pangkatnya, lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga, - keutamaan jiwanya mestilah terhadap keluarga. Selepas itu barulah kerjayanya.

Kalau seseorang itu gagal 'di rumah tangganya', jangan harap dia akan berja 'dikerjayanya'. KALAU DIA BERJAYA PUN PADA PANDANGAN MATA KASAR, TETAPI KALAU DINILAI DARI KEHALUSAN JIWANYA, PASTI ADA SESUATU YANG BERKURANGAN DALAM DIRINYA.

Ketahuilah bahawa keluarga itu ibarat tunggak kekuatan semangat dan keteguhan jiwa. Kalau tiada tunggak kekuatan semangat dan keteguhan jiwa itu, ia samalah seperti patung yang tak bernyawa. Cantik dan menarik hanya pada luaran, tetapi tiada jiwa dan perasaan.

Seperti kata Angah, sesuatu yang kita tidak biasa itu, lama kelamaan akan menjadi biasa jika kita selalu melakukannya. Memang nyata dan benar. Tetapi alangkah eloknya jika sesuatu yang kita hendak biasakan dengan diri kita biarlah sesuatu yang baik dan berguna pada kita. Yang boleh mendatangkan manafaat, terutama untuk kita atau orang-orang yang kita sayangi di sekeliling kita.

Saya selalu berpesan kepada keluarga saya, terutama anak-anak saya; 'dalam hidup kita ni jangan suka cari masalah. Lagi pun masalah sentiasa mengintai dalam hidup kita. Jika kita terlalai walaupun sesaat, masalah itu pasti akan datang. Apatah lagi kalau dicari'.

Setiap masalah, kecil atau besar, tetap juga masalah. Memerlukan tenaga, pemikiran dan persekitaran yang sesuai untuk menyelesaikannya. Pasti akan memerlukan masa dan akan ditempuh bermacam pahit maunnya sebelum ditemui jalan penyelesaiannya. Itu pun belum tentu lagi mampu diselesai 100 peratus.

Masalah itu bila sudah datang, menyesal sudah tidak berguna. Menangis air mata darah pun sudah tidak bermakna. Jadi, kalau dapat ddielak, baik dielakkan. Tapi ada juga masalah yang terpaksa kita tempuh atau diterima dengan dada terbuka demi mendapatkan sesuatu yang amat berguna di sebaliknya. Jika kita melepaskannya, mungkin boleh memberikan keuntungan kerpada orang lain, dan kerugiannya berbalik kepada kita.

Apa-apa pun, kita kenalah tahu mana yang baik atau sebaliknya untuk kita. Gunakanlah akal yang 'berilmu' untuk menilaikan sesuatu yang baik dan berguna untuk kita. Jika kita rasa kekurangan ilmu, carilah ilmu itu dengan keupayaan akal kita.

Untuk memiliki ilmu kita kena 'berjuang' dan bersusah dari segi minda, upaya ataupun harta. Kalau mudah mengalah, bermakna kita akan tertewas. Dan jika menang, kita tidak akan dapat lari dari sudut pengorbanan pula. Pengorbanan dari segi minda, upaya dan masa.

Perjuangan pula pasti akan ada menang atau kalah. Itu sudah jadi kebiasaan.

Kemenangan adalah kegembiraan. Manakala kekalahan adalah kehampaan. Kalau semua orang memang dan mahu duduk di tempat teratas, siapa pula yang akan menduduki di tempat bawah? Kalau semuanya mahu jadi ketua atau bos, siapa pula yang akan jadi orang bawahan?

Itulah... kita akhirnya kena kembalikan diri kita kepada ketentuan Allah. Bahawa Allah itu maha adil dan saksama. Untung nasib manusia terserah kepada ketentuan-Nya. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, berusaha dan berdoa. Apa yang selebihnya, Dialah yang menentukan.

Nota: Banyak lagi yang mahu dinyatakan di sini, Tetapi maaf, kerana telah kesuntukan masa.
(Tulisan ini sekadar menyahut seruan Angah yang meminta pandanganku yang
berkaitan dengan tulisan di entrynya. Mungkin pandangan kita sedikit berbeza. Tapi tak
mengapa, sebab manusia itu sama tapi tak serupa. Mana yang elok sama-sama kita
jadikan teladan dan yang tak elok tu kita jadikan sempadan...!

Thursday, June 19, 2008

'ANTARA TANGGUNG JAWAN & TANGGUNG HARAP

Hari ini ada beberapa perkara yang aku tempuhi dan alami. Namun hanya satu perkara yang menyentuh hatiku, iaitu mengenai diriku dengan pihak yang berkaitan


Ceritanya begini:

Hari ni, lebih kurang pukul 5.05 pm seseorang yang berkaitan itu telah datang ke rumahku dan mencari aku. Bukan dia nak tangkap aku ke... atau nak saman ake ke. Tapi ekoran daripada laporan aku pada hari ni lebih kurang pukul 3 pm.

Aku bukan lapor apa. Cuma aku terkilan, sejak lebih 11 tahun aku jadi penghuni taman yang aman damai ini, cuma tiga kali aje aku nampak kelibat pihak yang berkaitan itu meronda kat sini. Itu pun setelah aku buat laporan.

Setelah berbulan-bulan selepas itu, aku tak nampak lagi kelibat mereka, walaupun setelah aku buat laporan berkali-kali... mahu pun berulang-ulang kali.

Aku bukan apa. Bukan nak menysusahkan pihak terbabit, cuma minta mereka meronda dalam seminggu sekali ke... atau setidak-tidak pun dua minggu sekali pun tak apa. Sebelum berlaku perkara yang tak elok, lebih baik kita bersedia, kan...?

Kata orang, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Taman perumahan ni tak banyak rumah. Ia agak ke dalam sedikit... tak hiruk pikuk sangat. Tapi jalannya menjadi jalan pintasan bagi sesetengah penduduk di beberapa buah taman yang tidak jauh dari situ.

Dah ada beberapa kali kejadian pecah rumah, hilang kasut, hilang basikal anak-anak... dan macam-macam lagi yang terletak di luar rumah pada siang hari. Tapi bukanlah selalu berlaku.

Tapi aku dan penghuni-penghuni lain memerlukan kehadiran pihak berkenaan itu, supaya timbul rasa risau dan bimbang kepada penyangat-penyangat yang terniat nak buat kerja tak elok itu. Dan niat mereka itu akan terbantut bila sesekali dia nampak kelibat kenderaan peronda pihak terbabit. Itu tujuan aku.

Kalau nak dikira, dah hampir 100 kali dah akulbuat laporan untuk meminta kerjasama pihak terbabit tu. Semua orang yang menjawab panggilanku itu berjanji nak buat rondaan bagi menyelesaikan masalahku. Tapi hampeh..! Aku juga yang berterusan menanggung harap..!

Hari ni bila aku dapat cakap dengan ketua mereka sendiri barulah nampak sedikit jalan penyelesaiannya. Walaupun berbual melalui telefon, aku rasakan Tuan Ketua yang jawab panggilanku itu baik orangnya, berbudi bahasa dan memahami masalah orang lain.

Macam itulah 'ketua' yang kita mahukan. Tangkas bertindak. Berhemah. Yang cuba memahami masalah orang lain. Yang tahu tanggung jawab.

Maka, selesailah satu masalah, setelah Tuan Ketua sendiri yang tahu masalah ini. Terima kasih banyak Tuan Ketua...


Moral of the story: Orang atasan selalunya bertanggung jawab dengan tugas mereka. Tapi, orang yang diberikan tanggung jawab itu selalunya yang tak tahu tanggung, cuma tahu jawab aje. Orang yang diberi tanggung jawab itu selalu ambil mudah dengan tanggung jawab tanpa memikirkan perasaan atau masalah orang lain.

Jadi, orang bawahan yang diberikan tangghung jawab, kenalah tahu tugas mereka. Jangan banyak berdalih atau beralasan saja. Sedangkan kerja tak pernah sempurna. Kejujuran itu penting dan aset berharga pada diri dan negara.

Maaf jika ada yang tersinggung. Tapi kita jangan mudah salahkan orang lain, sebelum kita cerminkan diri kita dengan sejujur-jujurnya.



Kita sesama kita: Pengalaman yang luas itu selalunya mematangkan pemikiran seseorang. Bagaimanapun, untuk mematangkan fikiran, seseorang itu tidak semestinya memerlukan pengalaman yang luas.



***********************************






Wednesday, June 18, 2008

"SERONOKNYA AKU...'

Seronoknya aku.

Puncanya? Hari ini hari terakhir anak mak mentuaku berkursus. Maknanya hari inilah dia balik dan dapat aku tengok muka dia semula.

Rindu..? Mestilah. Siapa tak rindu bini ooiii..! Tiga hari dua malam berpisah, macam tiga bulan tiga hari lamanya. Kematu jiwa aku dibuatnya.

Tengah hari tadi, dia telefon aku beritahu dia bertolak selepas pukul lima. Orait. Aku dah mula nak seronok dah.

Pukul 6.40pm aku sms tanya dia dah bertolak ke belum, katanya belum lagi. Ada sikit hal lagi nak bereskan. Alamak... sabar...!

Tak apalah... asalkan hari ni dia balik. Aku pujuk hati aku sendiri.

Pukul 6.57pm dia sms kat aku, beritahu dia baru bertolak. Okey la tu..!

Seronoknya aku..! Redah aje...!

Kerana terlalu seronok, aku tak tahu (terlupa lirik) apa lagi nak tulis.

Itulah masalah aku... selalu macam tu. Tak boleh seronok lebih sikit. Otak aku jadi blank dengan serta-merta.

Sebab itu aku bukannya suka sangat kalau aku tersonok lebih. Risau takut jadi macam itulah...!

Tapi hari ni aku dah memang terseronok lebih. Nak buat macam mana...? Dah tak boleh nak control lagi dah...

Tak apalah...! Yang penting aku dah terseronok hari ni... yahuuuuuuuu..hu..huu...!

Monday, June 16, 2008

'JADI SURA & SURI RUMAH TANGGA'

Aduhai... nak dijadikan cerita, bermula hari ini dan akan berlangsung selama tiga hari dua malam berturut-turut, aku akan jadi sura dan suri rumah tangga sepenuh masa.

Puncanya? Sebab anak mentua aku kena pergi kursus selama tiga hari. Hari Rabu petang baru dia balik.

Alahai... nak buat camana. Kursus tu ada kena mengena dengan kerja dia... diambil kira untuk naik pangkat ke, naik gaji ke, tapi tak ada kena mengena dengan naik harga minyak atau harga barang.

Antara tambahan tugasku di rumah pun bermula:- Kena hantar anak sekolah dan ambil anak dari sekolah. Masak nasi. Mujur lauk aku tak payah masak, mak mentua aku janji nak tolong masak. Cuma aku kenalah pergi ambil lauk tu. Takkan dia orang nak hantar pulak. Banyak cantik muka aku...

Untung aku... dapat baik punya mak mentua. Lagi pun kami tinggal tak jauh dari rumah mak mentua. Lebih kurang sekilo meter lebih sikit aje agaknya. Itulah untungnya.

Kau orang jangan salah faham pulak. Aku tak dera mak mentua aku. Dia yang janji nak tolong masak. Itulah kata anak mak mentua aku. Betullah agaknya kata dia tu. Takkan dia nak tipu menantu mak dia pulak. Tak gitu..?

Moral of the story: Jika anda ada mak mentua, berbuat baiklah dengan mak mentua anda, kerana mak mentua anda mungkin lebih pandai dan rajin memasak daripada pak mentua anda.

Sunday, June 15, 2008

'UNDANG-UNDANG... MORAL... SIAPA KITA..?'

Aku tertarik dengan tulisan Dr Ismail Ibrahim di bawah tajuk 'Undang-undang dan moral' (Mingguan Malaysia - 15 Jun 2008) mengenai perbahan pesatnya dalam negara kita untuk mendaulatkan undang-undang, reformasi bidang kehakiman serta pendedahan demi pendedahan tentang salah laku lama dan baru yang dianggap melanggar undang-undang.

Sebagaimana ungkapan beliau pada permulaan tulisannya, bahawa beliau bukan ahli undang-undang tetapi hanya orang biasa, (yang sama seperti aku juga), namun aku cukup berminat untuk menghayati pendapat beliau itu hingga ke akhir.

Yang paling aku tertarik ialah ungkapan beliau yang berbunyi: "Peguam dan pakar undang-undang memanglah akan sentiasa bertindak mengikut dasar dan prinsip undang-undang. Peguam akan berhujah berlandaskan undang-undang.... selagi dia berasa bahawa dia berada di pihak yang benar, maka dia tetap berani dan berpendirian teguh dengan undang-undang. Dia akan mencabar sesiapa saja selagi undang-undang berada di pihaknya."

Tambah beliau lagi: " Hal ini memanglah tidak dapat dipertikaikan lagi. Tetapi oleh kerana kita berurusan denghan manusia, maka manusia itu bukanlah baik atau jahat secara mutlak, dan dari aspek inilah maka prinsip-prinsip moral dan etika sering memainkan peranannya yang penting di dalam apa saja bidang profesion manusia."

Yang lebih menarik lagi: "Manusia berniaga, mentadbir, bekerja, maka semuanya berdasarkan etika masing-masing. Etika dan moral merupakan prinsip penting dalam agama kita."

Tambahnya: ".... etika hakim dalam Islam yang menyebut bahawa di antara etikanya ialah hakim tidak seharusnya menjatuhkan hukuman ketika dia terlalu lapar atau dahaga, ketika dia terlalu gembira atau dukacita, ketika kurang sihat, mengantuk, udara terlalu panas dan dingin, atau naik syahwat(!) kerana hukuman mungkin tidak adil sebab dipengaruhi oleh keadaan tersebut. Undang-undang yang baik pun, tetapi sekiranya hakim tidak baik, tidak stabil, atau mempunyai rasa hati dendam, nak padan muka orang dan sebagainya, maka mungkin hukuman yang dijatuhkan tidak adil..... tetapi masalahnya sekarang, ramai orang yang dihukum di luar mahkamah, bukan di dalam mahkamah."

Tekan beliau lagi: "... tetapi bagi kita, mungkin elemen moral itu haruslah diambil kira, dan diberikan perhatian yang berat, terutamanya bagi negara yang mementingkan nilai-nilai agama.
Sebab itulah kita berasa cemas juga sekiranya kita hanya menekankan tentang undang-undang, dan meninggalkan sama sekali pertimbangan kita kepada moral."


Moralnya: (Sekadar pendapatku) Sebilangan kita ada yang terlalu taksub pada undang-undang, dan mengenepikan sama sekali soal moral, yang mungkin juga tindakan mereka itu bermotifkan kepentingan pribadi.

Friday, June 13, 2008

'HAIRAN... PELIK DENGAN PEMIKIRAN MANUSIA..."

Aduh.., aku cukup hairan dan pelik dengan pemikiran sebilangan manusia hari ini. Dari apa yang aku dengar dan baca setiap keluhan di akhbar, menunjukkan sebilangan dari kita ni begitu kabur dengan kemampuan dan pemikiran diri sendiri.

Sebilangan mereka seolah-olah tidak tahu berfikir, yang mana untuk kebaikan diri sendiri, dan yang mana pula merupakan sesuatu yang tak sesuai dengan diri mereka. Pendek kata, mereka ini bagaikan tidak tahu bagaimana untuk menguruskan kemampuan dan kebolehan diri sendiri.

Sebagai contoh, ada di antara mereka yang mengeluh apabila kerajaan bercadang membayar gaji kakitangan awam dua kali sebulan. Ada yang kata cara itu akan menggalakkan mereka berhutang dan akan menyusahkan mereka. Ada pula yang kata cara itu bukan penyelesaian sesuai membenndung kenaikkan harga minyak,


Pada aku, semua mereka itu menilai secara negatif, sedangkan kerajaan bukan bercadang untuk membayar gaji dua bulan sekali, (kalau itu memanglah agak parah sikit} tapi sebulan dua kali. Bukan juga kerajaan nak potong gaji mereka.

Jadi apa masalahnya...? Kenapa perlu dinilai dengan pemikiran negatif...? Kita kena fikir secara positif!

Tujuan utama dibayar gaji dua kali sebulan, setelah kerajaan memikirkan ia merupakan salah satu cara untuk meringankan beban rakyat yang bekerja dengan kerajaan. Itu terserah pada anda untuk menguruskan wang gaji anda sendiri.

Kalau wang gaji yang dimasukkan pada pertengahan setiap bulan itu boleh mencelarukan pemikiran anda, maka usahlah anda mengeluarkan wang itu. Biarlah ia di akaun anda sehingga dimasukkan pula setengah gaji yang seterusnya pada hujung bulan. Maka selepas itu barulah anda keluarkanlah gaji itu setiap hujung bulan, yang sama ertinya juga gaji anda adalah sebulan sekali. Apa masalahnya...? Tak ada masalah kan..?

Apa yang menjadi masalahnya, sebab anda tak mampu menguruskan diri anda sendiri. Itu sebabnya anda mengeluh, sekalipun itu sebagai kemudahan alternatif buat anda.

Saya ulangi sekali lagi: Walaupun gaji anda dibayar dua kali sebulan, jika anda bimbang anda tak mampu menguruskan wang anda seperti biasa, maka usah dikeluarkan wang itu dari akaun anda. Tunggulah gaji anda yang separuh lagi itu dimasukkan pada hujung bulan, barulah anda keluarkan wang gaji itu seperti kebiasaannya. Tak ada apa-apa masalah kan..?

Contoh satu lagi ialah mengenai peraduan 'sebuah kereta sehari selama seratus hari' yang dianjurkan oleh sebuah syarikat telekomukasi tempatan.

Akibat peeraduan itu, ramai yang terpengaruh dan ramai juga termengeluh.

Itulah yang dikatakan, kita sendiri kena mahu ingat... sendiri kena mahu fikir. Hadiah peraduan itu ialah berbentuk kereta mewah. Dan adakah semudah itu hadiah akan diberikan kepada peserta peraduan jika tanpa pengorbanan yang besar...? Lu fikirlah sendiri.

Kesimpulanya: Itulah masalah sesetengah daripada kita. Kita cuma tahu membantah tanpa menilai kebaikan di sebaliknya. Sebenarnya, disebabkan sebilangan kita sebeginilah yang banyak menimbulkan apa-apa saja masalah kepada orang lain, yang seterusnya boleh membabitkan masalah itu kepada orang lain secara tidak langsung.

Satu lagi sikap kita ialah suka pakai redah aje, bila kita rasa (yang tak disertakan dengan fikir) ia boleh mendatangkan keuntungan kepada kita, tanpa kita sedar sesuatu yang terselindung di sebalik janji manis itu yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita di kemudian hari.

SERAM... MISTERI... CINTA

Seorang mufti yang agak popular di tanah air kita ini telah menegur ( mengkritik?/ menyelar?) karyawan-karyawan filem Melayu. Katanya:

1. Karyawan filem Melayu seolah-olah kehilangan arah dalam mencari identiti filem sehingga mereka berlumba-lumba melahirkan filem seram, misteri dan cinta.

2. Kita perlu ada identiti tersendiri untuk masyarakat dunia mengenali kita. Lihatlah filem-filem Iran yang mempunyai identiti dan mereka dihormati. Malah filem Bollywood juga ada identiti.

3. Kita tidak boleh asyik melahirkan filem yang penuh dengan kekarutan sehingga mempengaruhi masyarakat kita.

4. Filem seram boleh dihasilkan tetapi kesimpulannya mesti menunjukkan bahawa syaitan dan jin tidak mempunyai kuasa.

5. Supaya tidak menghasilkan karya yang bercanggah dengan agama walaupun sesuatu filem itu tidak semestinya mempromosikan agama.

Nota: Apa kata anda... anda... dan anda..?

Thursday, June 12, 2008

'SAJA SEKEH-SEKEH... SIKIT'

Dia yang kumarah-marah
tapi alasannya tak pernah sudah
membuatkan aku tak kebah
oh sungguh menyampah.

Dia yang kutegur
tapi telinganya tak pernah jujur
apa yang diharap habis hancur
aku pula nyaris terkujur.

Dia yang kuajar
langsung tak mahu dengar
pun tak mahu sedar
oh sungguh kurang ajar.

Dia yang kusuka
manisnya di bibir saja
rupanya dia berpura-pura
aku yang hampir huru-hara.

Dia yang kubenci
tengok muka pun aku tak sudi
jangan kata nak memuja memuji
tapi selalu menjelma dalam mimpi.

Dia yang kukutuk
perangainya memang teruk
jangan harap aku nak pujuk
sudahnya aju pula yang merajuk.

Dia yang bertandang
tak pernah pun kuundang
tapi aku teramatlah senang
sopannya cukup terbilang.

Dia yang kusekeh
masih mampu ketawa terkekeh kekeh
mengadanya terhegeh-hegeh
aku pulak rasa macam selekeh...


Kita sesama kita: 'SESUATU YANG SEMPURNA BAGI KITA,
MUNGKIN TIDAK SEMPURNA BAGI ORANG
LAIN. SESUATU YANG ELOK BAGI ORANG
LAIN, MUNGKIN TIDAK ELOK BAGI KITA'

Tuesday, June 10, 2008

"TAK ADA TONGKAT ALI.., SIAP..!"

"Apa nak tulis?"

Diam.

"Nak kongsi berita dalam surat khabar, tak ada yang menarik!"

Diam.

"Hari-hari cerita pasal minyak naik... barang naik... tambang bas naik... Naik... naik..."

Diam lagi.

"Aku termenung, saja melayangkan fikiran di sofa yng empuk itu seketika.

Dan tiba-tiba terlayang ingatanku akan suatu peristiwa ketika anak lelakiku berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun, iaitu kira-kira lima tahun lalu....

Ketika itu di dapur, aku menemani isteriku memasak, sambil berbual-bual dan sesekali menghirup air kopi tongkat ali yang aku buat sendiri. Aku sejak dulu macam tu, suka buat sendiri air kalau di rumah. Sampailah sekarang. Malas nak ganggu isteri.

"Papa minum air apa tu..?" tanya aku lelakiku yang tiba-tiba muncul di sebelahku sambil terkinja-kinja mahu menjengah ke dalam cawan yang berada di tanganku.

"Kopi." jawabku ringkas.

"Ayeep nak... "ujar anak lelakiku itu sambil merenung tepat ke mukaku.

"Tak boleh. Ni air untuk papa aje... budak-budak macam Ayeep tak boleh minum air ni." balasku sambil mencubit manja ke pipinya yang gebu dan comel itu.

"Apasal tak leh...? Air papa minum, Ayeep pun boleh minum gak kan...?"

"Itu air lain. Ini air lain..." tingkahku bersahaja sambil memberikan perhatian kepada peti TV yang terpasang.

"Sikit aje, pa... bolehlah..!" mintanya sambil merapatkan badannya padaku.

"Tak boleh. Air ni untuk orang dewasa aje..." balasku lagi sambuil menggosok-gosok manja kepalanya yang berambut lebat itu.

"Sikit je..." rayu anak lelakiku lagi, dan tak mudah berputus asa itu. Agaknya dia terbau aroma kopi tongkat ali yang mengharum semerbak itu yang membuatkan dia tertarik dan terselera mahu mencubanya. Agak aku ajelah. Dalam hati anakku itu manalah aku tahu.

Muka anakku itu sedikit kelat mungkin kecewa dengan keputusanku agaknya. Lalu dalam diam dia beralih kepada isteriku. Dengan perlahan dia memujuk dan mendesak supaya isteriku membuatkan kopi tongkat ali yang seperti aku minum itu untuknya.

"Heh.., mana boleh..!" tegah isteriku dalam tersenyum, yang sejak awal tadi memang dia mengikuti perbualanku dengan anak lelakiku itu.

"Ayeep nak jugak..!" agak tinggi nada suara anak lelakiku itu.

"Tak boleh... sebab..."

"Tu papa minum tu...?" sampuk anak lelakiku itu dengan tegas sebelum sempat isteriku menjelaskannya dengan sepenuhnya.

"Papa minum tu kopi tongkat ali. Hanya untuk orang dewasa aje. Ayeep budak lagi... tak boleh minum air kopi tu. Bila Ayeep dah besar nanti, barulah Ayeep boleh minum." jelas isteriku dengan panjang lebar sambil meneruskan kerja dapurnya.

Aku pura-pura tak dengar dan tak ambil tahu. Cuma sesekali aku menjeling ke arah anak lelakiku itu. Mukanya yang sedikit berisi itu makin mencuka. Mungkin dia tak puas hati dengan kata-kata iateriku.

Kemudian tanpa aku duga aku terdengar kata-kata ini terpacul keluar dari mulut anak lelakiku setelah lebih kurang tiga minit dia terdiam seketika:

"Mama..! Bila Ayeep besar nanti, kalau kopi tongkat ali tak ada lagi, siap mama..!" ujarnya dengan air muka yang semakin berkerut. Kemudian dia berlalu ke ruang tamu dengan mukanya yang bertambah mencuka.

Isteriku sedikit tergamam dan sepantas kilat memandang ke arahku yang masih menghirup kopi tongkat ali yang tinggal sedikit lagi itu. Dan... aku hanya tersenyum.

"Anak awak..!" tingkah isteriku bersahaja sambil sekali menjeling ke arahku.

"Aku ketawa kecil. "Anak bapak..!!" balasku pula.


Kita sesama kita: 'ISTERI ADALAH ANUGERAH TUHAN YANG AMAT
BERHARGA. JADI HARGAILAH ANUGERAH ITU
DENGAN KEMULIAAN HATIMU.
ANAK PULA MERUPAKAN KURNIAAN PERMATA
YANG TAK TERNILAI. JADI NILAIKANLAH KURNIAAN
ITU DENGAN SESUCI JIWAMU'

Saturday, June 7, 2008

BUAL MAGHRIB

Suatu petang menuju ke senja, anak lelakiku sedang berbual-bual dengan anak jiran kami, yang juga rakan setamannya. Mereka berbual-bual dan diselang-seli dengan gelak ketawa yang sederhana di belakang rumahku.

Aku yang sedang menyiram pokok-pokok bunga dan herba di sebelah rumah, tak dapat nak hidu tajuk perbualan mereka. Cuma sesekali terdengar berderai pecah hilai tawa mereka berdua. Mungkin ada yang melucukan agaknya.

Isteriku yang baru pulang dari kerja terus ke dapur dan terdengar orang sedang berbual di situ. Lalu dia pun menjenguk dan terperasanlah suara anak lelaki kami sedang berbual-bual dengan rakannya itu. Waktu ketika itu lebih kurang lima minit lagi nak masuk waktu Maghrib.

"Dah nak masuk Maghrib ni, cukuplah berbual kat situ, tak elok," ujar isteriku."

Kedua-dua sahabat itu terdiam seketika. Mungkin mereka nak dengar suara isteriku lagi agaknya.

"Abang..." isteriku melantangkan sedikit suaranya memanggil anak lelaki kami itu, setelah mendapati mereka terdiam.

"Ya...!" balas anak lelaki kami dengan suaranya juga sedikit kuat.

"Masuklah.., tak elok duduk kat situ... dah nak masuk Maghrib ni..." nasihat isteriku lagi.

"Habis... duduk kat mana elok waktu nak Magrib ni, ma...?" tanya anakku yang mungkin bergurau.

Terdengar rakan setamannya tadi ketawa kecil. Mungkin dia ketawa bergurau juga agaknya.

Isteriku hanya diam. Dia banyak kerja lagi yang nak dilakukan di dapur tu.

Lalu aku pun menyampuk. "Seelok-eloknya, waktu nak Maghrib macam ni, duduklah kat suaru...."

Anak lelaki kami dan rakannya terdiam. Masa yang sama, aku terpandang kelibat isteriku melalui pintu dapur, dan dia hanya tersenyum membalas pandanganku. Aku tersenyum sama. Mungkin dia faham apa maksudku.

"Aku balik dululah..." ujar rakan anakku.

"Ok..." balas anak lelakiku sambil bangun menyapu punggungnya.

Kemudian aku bergegas masuk ke rumah. Sedikit masa lagi azan akan berkumandang dari masjid yang berdekatan dengan taman kami itu.

Kita sesama kiat: 'KALAU BERBICARA MENGIKUT RASA, MUNGKIN
RAMAI YANG TERASA. KALAU BERBICARA MENGIKUT
HATI, MUNGKIN ADA YANG TAK MENGERTI. SEELOK-
ELOKNYA BERBICARALAH MENGIKUT AKAL, KERANA
DI SITULAH TERLETAKNYA PERTIMBANGAN YANG AFDAL'

Friday, June 6, 2008

'EPISOD SELEPAS MINYAK NAIK HARGA'

Selepas minyak naik harga
macam-macam cerita yang hinggap di telinga
ada yang merintih minta naik gaji segera
sekarang ni jangan kata nak isi perut kereta
perut anak isteri pun belum tentu terisi macam biasa
termasuklah tembolok sendiri masih tak tentu hala

Kalau yang gaji banyak dan berlambak
minyak naik pun poket tak berganjak
yang gaji sikit merayu sampai naik sebak
kalau tidak gigi dan gusi tak bergerak
itulah bahananya kerana kau minyak
ramai yang merana dari yang tidak.

Yang pakar-pakar pula turut luahkan pendapat
harga minyak naik idea mereka tetap ligat
maklumlah mereka kan pakar terhebat
idea mereka kenalah dengar dan buat manafaat.

Kata mereka yang bergelar pakar itu
kerana minyak naik pemandu tak lagi pandu laju
kalau masih juga dipandu dengan laju dan melulu
minyak cepat habis sebab pedal ditekan selalu.

Jadi semua pemandu akan memandu perlahan
kerana tentulah mahu berjimat-jimatan
maka akan kuranglah kadar kemalangan
dan kuranglah juga nyawa yang terkorban.

Itu kata pakar yang punya pendapat
kalau diikut bukan saja dapat berjimat
malah nyawa juga boleh selamat
anak isteri di rumah taklah risau sangat.

Dan kalau dulu di jalan raya macam penyangat
kebetulan minyak naik ni banyak-banyaklah bertaubat
jangan lagi asyik nak nak tunjuk hebat tak bertempat
lagipun semua tu tak ada langsung manafaat
nasib tak baik ditimpa petaka dan musibat
malaikatulmaut pun dah datang dekat.

Tapi itu kata dan pendapat pakar saja
kalau dah hantu pecut dia tetap keras punya kepala
minyak naik tak naik buka dia kira
lagak di jalan raya macam mak bapak dia punya.

Mana yang baik patut kita ikut
bukan sekadar jadi pak turut
memandulah dengan jiwa yang tak kalut
jangan memandu dengan kepala yang berserabut
kerana kita tak mahu jalan raya jadi sungai maut.

Nasihat yang baik demi kebaikan
apa salahnya sedikit sebanyak dijadikan panduan
tak ada ruginya memandu ikut peraturan
semuanya itu demi keselesaan dan keselamatan
tak menyusahkan masyarakat dan kerajaan
maka jalan raya pun jadi aman
sebab tak ada nyawa yang terkorban
dan yang penting bila memandu di jalanan
bawalah banyak-banyak bersabar dan ingat kat Tuhan
insya-Allah akan selamat dalam kesejahteraan..!


Kita sesama kita: 'LEBIH BAIK MEMILIH JALAN YANG SEMPIT,
ASALKAN AKAL KITA TAK SEMPIT, DARIPADA
MEMILIH JALAN YANG LUAS TAPI AKAL KITA
MUDAH TERBABAS'

Thursday, June 5, 2008

'NAIK... NAIK... OH, NAIK LAGI..!'

Minyak dah naik bermula 12 tengah malam tadi. Berebut-rebut manusia pengguna kenderaan di stesen-stesen minyak untuk mendapatkan harga minyak murah buat kali terakhir. Itu pun ada juga yang hampa kerana tak dapat.

Minyak naik 78 sen seliter dari harga biasa RM1.92 menjadikannya RM2.70 seliter, bermula malam tadi hinggalah bila kita tak tahu. Entah harganya akal kekal sebegitu untuk sekian lama atau akan naik lagi dalam masa terdekat ini. Itu pun kita tak tahu. Cuma 'minyak' itu sendiri yang akan tahu nilainya untuk hari-hari bakal mendatang.

Minyak oh mimyak.., tak tahulah juga berapa ramai selepas ini akan 'naik minyak' kerana kau minyak. Yang pastinya, tak kurang juga yang akan naik 'hangin satu badan', walaupun ada yang tak naik darah.

Itulah kesan kehebatan minyak. Kerana kenaikan harga minyak, bukan setakat harga barang-barang aje yang naik, 'hangin' dan darah pun boleh turut naik.

Kalau umur panjang, bukan setakat kita kena alami kenaikan harga minyak, harga 'karen' pun akan naik juga tak beberapa hari lagi.

Maka, bersedialah kita semua menghadapi kenaikan ini walaupun gaji belum tentu naik ke tidak.

Walaupun minyak perlu diisi di dalam perut kereta
perut tuan kereta pun nak kena isi juga
jangan pula buat-buat tak ingat atau terlupa
kononnya nak berjimat seisi keluarga
tup-tup sekeluarga terkena gastrik pula.

Kenalah berjimat mana yang patut
selama ni makan besar kenalah jerut perut
jangan kemudian hari baru nak kalut
itupun kalau duit kita ciput
kalau duit terlebih tak payah nak serabut
buat macam biasa tak usah nak kalut
yang penting tanya hati dan akal bersahut
sebelum apa saja masuk ke mulut
lepas tu tak usahlah nak mengarut
lebih baik dari awal belanja kena kemut
bukan kerana tak amalkan kedekut
tapi beringat-ingat sebelum terjelapuk...!

Karen pun nak kena juga menyala
bukan nak bergelap tak tentu hala
aircond atau kipas nak kena jalan juga
periuk karen nak juga diguna macam biasa
ada washing machine nak suruh juga ia bekerja
takkan nak tengok dengan berputih mata
sebab semua itu kita dah terbiasa
jadi nak tak nak kena gunalah juga.
,
Tapi tak salah dan usah sangat nak berkira
sampai didakwa kedekut pula
cuma beringat-ingatlah sentiasa
kalau sebelumnya buat ikut sesedap rasa
kini kenalah bertahan selera dan rasa
buat yang patut adan dengan situasi semasa

jangan main pakai hentam kromo saja
silap-silap suami isteri bermasam muka
terlebih silap tergoncang rumahtangga
haa... itulah yang kita tak berapa suka
jadi beringat-ingatlah kita semua
jangan asyik dok leka terleka
tergugur buah durian kepala sendiri yang terluka..!!

Kita sama kita: ' JANGAN MEMATIKAN DIRI KERANA EMOSI,
WALAUPUN EMOSI ITU ADA KALANYA BOLEH
DIRI SENDIRI, KERANA MENGIKUTKAN HATI'


Wednesday, June 4, 2008

'AHLI AKADEMIK KURANG TERBIT BUKU BERMUTU?'

Tahap intelektual di Malaysia masih rendah berbanding negara-negara membangun lain ekoran kurangnya terbitan tulisan akademik yang bermutu daripada ahli akedemik di negara ini.

Menurut bekas Timbalan Naib Canselor Kajian dan Akademik Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, salah satu petunjuk intelektual sesebuah negara bergantung kepada jumlah tulisan akademik bermutu yang dihasilkan ahli akademik di negara itu.

"Saya berasa kesal kerana kurangnya penerbitan bahan-bahan berbentuk akademik di negara ini sedangkan kita memiliki ramai ahli akademik yang berkaliber.

"Selain itu, sikap kurang minat terhadap bahan seperti ini menjadikan pengeluaran bahan bacaan berbentuk akademik menjadi terhad," katanya lagi.
(Petikan: Utusan Malaysia 4 Jun 2008)

Persoalan: "Salah ahli akademik, pembaca atau penerbit?"

P/s: 'Aku pernah mendengar drama-drama radio yang skripnya, kalau tak silap ditulis oleh seorang pensyarah (profesor) di sebuah universiti tempatan, bertemakan kisah seorang wanita gemuk yang berasa rendah diri dengan keadaannya dan kisah seorang wanita yang mempertahankan dirinya daripada dimadukan oleh suaminya'.

Okey ke...? Lu pikirlah sendiri...

Monday, June 2, 2008

MASIH ADA LAGI MANGSA SINDIKET ANTARABANGSA

Malang masih menimpa
ada lagi rakyat Malaysia yang terpedaya
dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa
kali ini seorang lelaki remaja
diumpan kononnya menghantar barangan kristal ke Taiwan pula.

Tak tahulah apa nak jadi
dengan kebanyakan rakyat Malaysia ini
diumpan dengan wang beribu
mata terus menjadi kelabu
tak usul periksa terlebih dulu.

Sekarang siapa yang susah
adik beradik mak dan ayah
hati tenang bertukar gundah
makan tidur jadi tak kebah
walaupun nangis air mata darah
perkara malang terjadi sudah.

Berwaspadalah wahai rakyat Malaysia
yang lelaki perempuan tua atau muda
jangan terlalu mudah percaya
kalau ada kata manis bak gula-gula.

Kalau ada ditawarkan kerja yang mudah
dengan upah yang agak mewah
jangan mudah nak terjah
gelap mata terus aje redah
fikir dulu masak-masak jangan mudah percaya
bimbang terjebak sindiket durjana
hidup terseksa langsung merana.

Dalam media banyak dah cerita
rakyat Malaysia diumpan diperguna
oleh 'Mat Hitam' yang celaka
sudah ramai terperangkap dan dipenjara
namun masih ramai juga yang terleka.

Biar hidup berhati-hati
jangan hidup serupa mati
tubuh bernyawa macam tak punya erti
yang susah diri sendiri
mak bapak saudara mara tercalit sekali..!