Thursday, October 29, 2009

SESEKALI INGIN BERTANYA...

Sesekali ingin bertanya,
setiap masa dan ruang yang ada
apakah yang sentiasa merisaukan dada
serta membimbang hati anda?
Tak kiralah sama ada mengenai keluarga
(suami, isteri, anak. emak, menantu atau mentua)
mahu pun mengenai kekasih atau orang tercinta?

Nyatakan saja jika sudi berkongsi rahsia dan rasa..!


Tiba-tiba aku teringat kata-kata ini:

'Malam yang baik, akan mengundang kepada pagi (keesokan) yang baik.'

Friday, October 23, 2009

BAJET 2010: ADA JUGA YANG TERBEBAN..?

Dalam usaha kerajaan cuba membentangkan bajet yang sebaik dan sesempurna mungkin untuk rakyat yang didahulukan dan pencapaian diutamakan, terselit juga bajet yang agak memberikan bebanan kepada sebilangan rakyat..!

Begitu keluhan seorang rakan yang tekun mendengar laporan Bajet 2010 oleh PM semalam yang mengharapkan bonus untuk penjawat awak turut diumumkan.

Bajet yang membebankan rakyat itu sebenarnya merujuk kepada caj kad kredit kepada mereka yang menggunakan kad kredit.

Betul juga rungutan rakan yang prihatin itu. Sepatutnya caj kad kredit itu hanya dikenakan kepada pemohon atau pengguna baru mulai Januari tahun 2010. Bukannya kepada pengguna yang sudah memiliki kad kredit.

"Sudahlah hampa bonus tak ada. Ini soal caj kad kredit pula. Sudah jatuh ditimpa tanggalah jawabnya..! keluhnya lagi.

Kemudian dia menambah lagi, "Kerajaan harus prihatin dalam soal caj kad kredit tu. Nampak remeh tapi ia suatu masalah baru bagi orang seperti kami..!" rintih rakan itu dengan muka yang sedikit moyok.

Thursday, October 22, 2009

AL-KISAHNYA... SIAPAKAH MEREKA ITU..?

Al-kisah maka setelah diterjah oleh juruaudit dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara, maka terjumpalah kisah seliter minyak petrol berharga sehingga RM300, yang tak masuk akal langsung, walaupun manusia yang buat kerja tak elok itu memang berakal.

Diketemukan juga dengan kisah pokok hiasan untuk sebuah sekolah yang hanya bernilai RM5000 lebih tapi menjadi RM34,000 lebih pula. Pun ada juga kisah tentang dua buah komputer riba yang berharga dalam lingkungan RM7,000 hingga RM8,000 menjadi RM84,000 lebih.

Maka ternya-tanyalah kita siapakah si dalang atau si malaun-malaun yang terlebih malaun itu?

Sementara itu, tersebut juga al-kisah mengenai seorang pelatih di institut yang berkaitan dengan perguruan yang diminta berhenti kerana terlalu gemok. Pegawai terbabit telah memintanya mendaftar semula sebagai pelatih setelah dia (pelatih itu) dapat mengurangkan berat badannya yang kini seberat 110 kilogram.

Soalnya, kenapa pelatih itu diterima seawalnya, walaupun dia datang temuduga dengan membawa tubuhnya gemok itu sekali, kemudian dia diterima, namun selepas itu dia disuruh berhenti kerana kegemokannya itu? Kenapa permohonannya tak ditolak atau disisihkan saja dari awal?

Pelik sungguh dunia hari ini. Namun siapakah mereka yang berperangai pelik itu di sebalik kejadian yang pelik sebegitu..?

Tepuk dada tanyalah akal, tanyalah mata, tanyalah telinga dan tanyalah hati. Jangan tepuk dada tapi tonyoh kepala ke looooongggggkaaaangggggg..!

He he he....! Alahai...!

Friday, October 16, 2009

MACAM PENTING SANGAT PEMBANTU RUMAH INDON

Pembantu Rumah Indonesia (PRI) - bermacam cerita yang kita dengar, lihat dan mungkin mengalami sendiri mengenainya.

Ada PRI yang kena dera oleh majikan mereka. Dan tak kurang juga majikan yang terdera dengan perbuatan PRI itu.

Antara yang menyebabkan majikan terdera ialah bila PRI cabut lari. Bila direport, majikan yang kena denda. Pelik kan? (Betul ke tak betul undang-undang macam tu tak tahulah..). Tanggung ajelah.

Apa-apa pun nampaknya majikan juga yang terkena. Syarat terbaru PRI diberi cuti sehari dan pasport mereka pegang sendiri. Nampaknya lagi mudahlah mereka nak main lari-lari. Sebelum ini, walaupun pasport mereka majikan mereka yang pegang, mereka langsung tak takut nak cabut lari pun. Bila dah pasport mereka pegang sendiri, bersiap sedilah majikan untuk berhadapan dengan masalah yang sedia akan bermasalah itu.

Nampaknya majikan di Malaysia kena berhenti kerja (isteri atau suami). Bukan nak jaga anak-anak dan rumah sendiri, tapi nak kena jaga PSI takut mereka main lari-lari.

Dan yang terbaru, pijak Indonesia menuntut agar gaji PRI dinaikkan sekurang-kurangnya RM800 sebulan. Alahai... tak tahulah apa nak jadi.

Tapi nampak pada gayanya, pihak kerajaan Malaysia macam nak setuju saja dengan tuntutan mengenai gaji baru itu.

Orang kita ni dilihat macam penting sangat dengan PRI itu. Sebab itu mereka macam naik tocang. Minta yang bukan-bukan (walaupun tak masuk akal).

Kerajaan kita pula, kalau nak ubah syarat itu ini pun biarlah jangan menyusahkan rakyat sendiri pula. Janganlah cuma nampak macam nak mementingkan orang luar. Cubalah renung sesekali, adakah orang luar (yang selalu sangat kita bantu/prihatin tentang nasib mereka) pernah ambil berat dan prihatin dengan nasib rakyat dan negara kita? (Mungkin jauh langit dari bumi. Mengutuk, mengeji, menghina, tak sedar diri dengan mulut celupar yang tiada langsung sikap mengenang budi dan jasa adalah kot).

Sesungguhnya, biarlah mereka rasa mereka perlukan kita sebagai majikan. Bukan nampak sangat kita ini macam kemaruk sangat dengan mereka.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
SEKEHLOGI
'SESUATU YANG KITA SUKA, TAK SEMESTINYA ORANG LAIN JUGA SUKA. DAN SESUATU YANG KITA BENCI, MUNGKIN ORANG LAIN MENYUKAINYA'

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Monday, October 12, 2009

BODOH SOMBONG..! - (1)

Perhatikan sekeliling kita. Bermacam ragam manusia.
Ada yang manis di depan muka, di belakang dia mengutuk kita berjela-jela. Sesedap mulut dia mengata.

Ada jenis telunjuk lurus, kelingking berkait. Manusia sebegini tak harus dibuat baik.
Musuh dalam selimut dan duri dalam daging. Ada yang terkemut-kemut dan mudah pula nak tunjuk hangin.

Ragam manusia. Ada yang bagus, ada juga yang tak bagus.
Ada yang perasan bagus, malah ada yang tak perasan bahawa dia memang bagus.
Jenis yang bagus, tapi dikelilingi jenis yang tak bagus, dia akan jadi tak bagus.

Sikap manusia. Ada yang merendah diri. Tak kurang ramai juga yang asyik nak meninggi diri. Jenis tak sedar diri. Berlagak aje yang lebih. Entah-entah di rumah hanya makan bertih. Nasib malang yang sukar nak pulih.

Ada yang merendah diri memang jenis ikhlas. Ada pula yang sengaja merendah diri, kononnya dia yang terkelas, atau tersembunyi niat asyik nak mengebas.

Ada yang cakap melambung-lambung. Tinggi borak dari gunung. Tapi kosong dan terapung-apung. Ibarat alu yang tak ada lesung. Semuanya bodoh sombong.

Jenis manusia macam tu buat orang jadi pening. Kalau dibiar ramai yang kena kencing. Kalau ditegur mudah pula dia melenting. Memang dia kaki hancing..!

*********************************************

SEKEHLOGI:
'Tiada lurus imannya jika tiada lurus hatinya.
Tiada lurus hatinya jika tiada lurus mulutnya'

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Wednesday, October 7, 2009

WANITA MALAYSIA TAK SERIK-SERIK..?

Seorang doktor wanita mengenali seorang lelaki Arab melalui internet. Setelah berkenalan selama tiga bulan, lelaki Arab telah datang ke rumah wanita itu untuk makan malam.

Lelaki Arab itu dipercayai telah memasukkan pil khayal ke dalam minuman wanita ibu tunggal yang berusia 35 tahun itu. Menyebabkan wanita itu tidak sedarkan diri. Setelah sedar diri keesokannya dia mendapati dirinya dalam keadaan bogel.

Lelaki Arab yang berusia 35 tahun itu dipercayai telah merakamkan gambar-gambar bogel wanita ibu tunggal beranak dua itu sebelum melarikan diri dengan barangan kemas bernilai RM2,000.

Dan lelaki Arab itu telah menghubungi wanita itu semalam dan mengugut akan menyebarkan gambar-gambar bogel wanita itu sekiranya wanita itu enggan membayar wang sebanyak hampir RM10,000 kepadanya.

Sama ada wanita telah dirogol atau tidak, masih belum ada laporan yang dibuat.

Hai... entahlah..., apa nak jadi dengan wanita-wanita Malaysia yang amat 'kemarukkan' jantan-jantan asing, yang akhirnya sendiri yang menjadi mangsa penipuan.

Tuesday, October 6, 2009

JANGAN TUDING JARI... DAH TU NAK TUDING APA..?

Setelah berlaku sesuatu musibah, sama ada disangka atau di luar jangkaan, sama ada dengan tak sengaja atau akibat sikap manusia, maka kita akan terdengarlah cadangan itu dan ini. Sebab itu dan ini.

Dan yang paling klise kita dengar ialah; 'Jangan amalkan sikap tuding jadi kepada sesiapa.'

Begitulah sikap kita. Bila berlaku sesuatu, gemparlah seketika. Riuhlah sekejap. Bermacam-macam idea baru yang muncul. Bertimbun-timbun undang-undang dan akta baru diluahkan. Sedangkan undang-undang dan akta yang sedia da tak pernah nak dipraktikkan bersungguh-dungguh.
Lepas tu senyap dan sepi. Piah yang terbabitkan puan turut diam.

Berbalik soal 'jangan menuding jari'. Kalau kita tak menuding jari, macam mana kita nak perbetulkan kesilapan dan kesalahan?

Dengan tidak menuding jari juga, akan terlepaslah manusia-manusia yang menyebabkan kejadian itu berlaku. Maka orang yang menjadi sebab/punca itu akan terselamat dan tersenyum lebar dengan sikap kita itu.

Maka orang yang biasa melakukan kesilapan (sama ada bertujuan mementingkan diri atau kelalaian diri) akan sentiasa membuat perkara yang sama jika tiada sikap menuding jari. Mereka akan sentiasa abai atau meremehkan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Dianggap tidak penting bagi mereka. Melakukan kesalahan pun tiada tindakan diterima. Dan mungkin bagi mereka apa yang dilakukan itu akan menjadi suatu kebiasaan.

Tidak mustahil manusia yang sama akan membuat kesilapan dan kesalahan yang sama. Disebabkan kita terlalu baik dan tidak suka menuding jari, tak mustahil perkara malang yang sama akan berulang, disebabkan oleh manusia yang sama.

Maka bertanyalah pada diri sendiri, "Apakah kesalahan/kelalaian yang berpunca daripada orang lain, yang menyebabkan kita menanggung akibat dan sengsara, maka kita tidak harus menyalahkan orang itu, sebaliknya terpaksalah menyalah diri sendiri. Begitukah yang kita mahu?"

Fikirkanlah...