Tuesday, December 29, 2009

MENCATAT KENANGAN, MENGGAMIT INGATAN, MEMATANG FIKIRAN

happy new year Pictures, Images and Photos
Mencatat kembali kenangan
yang lekat di ingatan
manis, pahit atau trauma yang panjang
adalah membaca kembali perihal kehidupan.
*
Kenangan yang berlaku
bukan sekadar angin nan lalu
kenangan meninggalkan ingatan
merangkum iktibar tentang pengalaman
sewaktu mendepani lurah-lurah perjalanan
dalam mematangkan lumrah kehidupan.
**
Sesekali apabila kenangan menggamit
bertamu dan menghimpit
mungkin senyuman manis akan terpalit
atau berhiba, menangis mahupun tersengih pahit
kerana gigi dan lidah kerap tergigit.
*
Sesungguhnya kenangan tak mampu dihalang
ingatan tak terdaya ditentang
kerana kenangan dan pengalaman
sedia sebati dalam putaran kehidupan.
**
pengalaman akan mendewasakan
mematangkan fikiran..!
*
SELAMAT MENYAMBUT
2010
*

Sunday, December 27, 2009

KISAH SI MULUT LONGKANG

longkang jalan taib pontian2 Pictures, Images and Photos

Al-kisah si mulut longkang punya cerita
tak suka diam mulutnya sering ternganga
tak ada cerita dicipta direka
yang mendengar terbeliak mata.
*
Yang sejengkal jadi berdepa-depa
bukan apa saja nak sedapkan cerita
kain orang diselak dibuka
tak sedar kain sendiri terkoyak merata-rata.
**
Kalau dulu mengata orang kini terbalik pula
meludah ke langit jatuh ke kepala
cari salah orang tapi salah sendiri berjela-jela
buruk sendiri sengaja dipejamkan mata.
*
Orang yang mendengar terus percaya
dengar buruk orang mulut luas ternganga
kutuk mengutuk jadi agenda
Si mulut longkang puas berbangga.
**
Si mulut longkang diberi muka
ramai pula yang suka akan dia
orang yang benar dikutuk dicela
yang tak bersalah menjadi mangsa.
*
Berkata benar ramai yang tak selesa
penegak benang basah dianggap wira
yang berpura-pura terus bermuka-muka
jenis sebegitu ramai disanjung dan dipercaya.
**
Si mulut longkang terus menjaja cerita
tiada yang benar tapi fitnah belaka
macam mana musibah dan bala tak bertimpa-timpa
tapi itulah yang manusia cari dan puja-puja.
*
Yang berdosa tetap dibalas jua
dibayar tunai tapi ampunya diri tak pula terasa
sebab mulut longkangnya sentiasa berulat berlarva
sudahnya bala dan celaka sentiasa di depan mata!
**

Tuesday, December 22, 2009

KELALAIAN DARI TANGGUNGJAWAB

Bhg bangunan yg runtuh sebelah rumah ini Pictures, Images and Photos



Semua masalah atau bencana yang melanda manusia, adalah berpunca daripada kita. Kekalaian dan kesilapan pihak berkuasa, pihak yang diberikan tanggungjawab serta pihak-pihak yang telah diberikan peranan dan kepercayaan untuk menjalankan tugas, supaya sesuatu yang tidak baik dapat dielakkan.

Namun kenapa sesuatu yang tidak dingini, sehingga mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda itu masih berlaku?

Kerana kita terus alpa dan lalai. Ibarat penukul sekali diketuk sekali berbunyi. Sekali diketuk sekali bergerak. Manusia jenis apakah mereka (atau kita ini) ini? Dibyara gaji untuk melakukan kerja, supaya hasilnya terbaik dari yang terbaik. Malangnya sebalik pula yang berlaku. Yang elok hanya mungkin dipandangan mata yang seketika. Beberapa selepas itu ia telah menimbulkan bala.

Apabila sesuatu yang malang berlaku, kita mula terdengar rungutan pihak yang kecewa. "Pihak berwajib tidak memantau kerja dengan baik". Dan, "Semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang, kemudian tak datang-datang. Mereka harus jalankan tugas dengan rasa tanggungjawab."

Kesimpulannya, segala permasalahan yang berlaku adalah disebabkan, pihak yang diberikan tanggungjawab merupakan golongan yang tak bertanggungjawab. Pihak yang diberikan kepercayaan rupanya mereka langsung tang boleh percaya.

Namun kesemua permasalahan itu akan tetap berterusan dan berlanjutan, selagi manusia-manusia yang diberikan peranan tanggungjawab dan kepercayaan itu hanya sekadar manusia pada lahiriah yang bukan berkemanusiaan zahir dan bathin..!

Monday, December 14, 2009

CELARU DAN MENGHARU..!

Image and video hosting by TinyPic


Pagi itu, aku baru nak labuhkan punggung di sofa di ruang tamu di tingkat bawah, sambil berhasrat nak 'menjamah' dua akhbar yang aku langgan setiap hari itu.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan hon motosikal empat lima kali bunyinya. "Pet... pet... pet... pet... pet..!

Aku menjenguk melalui tingkap. Ternampak Mr Posmen di depan pintu pagar.

Kemudian aku beralih ke pintu dan menghulur kepala melalui daun pintu yang aku kuak sedikit.

"Siti Fatimah binti...." ujar Mr Posmen sambil menoleh padaku.

"Tak ada nama tu kat sini..!" jawabku dengan lantang. Nak suruh Mr Posmen dengar dengan jelas.

"Siti Fatimah..." ulang Mr Posmen lagi.

"Tak ada nama tu kat sini," balasku lagi. "Cuba tengok alamatnya betul ke tidak?" soalku kemudian. Itulah yang terlintas di kepalaku.

"Nombor 658..." ujar Mr Posmen.

"Salah tu. Bukan alamat kat sini..!" balasku pula.

Mr Posmen seakan terpinga. Dia menyengetkan sedikit kepalanya untuk melihat nombor rumahk yang tertera di tiang pintu pagar kanan.

"Eh..., maaf..!" kata Mr Posmen dan bersedia untuk berlalu.

Hairan juga aku. Nombor rumah aku yang terpampang di tiang pintu pagar itu lebih besar dari nombor kereta aku pun dia boleh tak perasan..? Di manakah matanya..?

Memang dalam dua tiga bulan ini keadaan surat yang masuk dalam peti surat aku (mungkin juga peti surat orang lain) agak bercelaru sikit. Tiga kali surat orang lain dimasukkan dalam peti suratku. Namun atas nama kemanusiaan, aku pula yang jadi posmen tak bertauliah, hantar surat itu ke rumah-rumah berkenaan.

Dan pernah sekali surat aku dimasukkan dalam peti surat orang lain. Mujurlah tuan rumah itu hantar semula kepadaku. Itu kalau tuan rumah baik hati? Kalau tidak? Jadilah macam surat pemberitahuan pembayaran royalti penulisanku dihantar balik ke pihak penerbit. Sedangkan nama dan alamatku semuanya betul.

Aku mendapat tahu, Mr Posmen yang selalu menghantar surat di taman kediamanku sedang berkursus. Dia diganti oleh Mr Posmen lain, yang agak bercelaru itu.

Sebelum diganti oleh Mr Posmen bercelaru itu, tidak pula berlakunya kecelaruan penghantaran surat ke rumah-rumah.

Itulah bezanya antara orang yang boleh buat kerja atau sebaliknya.

"Bila diberi gaji dan tanggungjawab, buatlah kerja dengan baik dan sempurna. Bukannya buat kerja sekadar melepaskan kentut ditangga."

Thursday, December 10, 2009

RAGUT LAGIII..!!!

mangsa ragut 7mei09 Pictures, Images and Photos


Sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian ragut bermotosikal. Kali ini merlibatkan kematian si suami, manakala isterinya cedera parah. Peragut berjaya melarikan rantai emas bernilai RM2,000.

Berbaloikah kerana RM2,000 sedangkan ada nyawa yang melayang? Tapi itulah kerja peragut. Tanpa mengenal mangsa. Tanpa memikirkan kesusahan orang lain. Yang mereka fikirkan, peluang yang ada seharusnya digunakan. Walaupun tanpa berperikemanusiaan.

Seperti biasa, setiap kali terjadinya kejadian sebegitu, bermacam-macam cadangan yang ditimbulkan. Ada yang meminta hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap peragut yang membawa kepada kematian.

Sama ada peragut, perompak, penyamun perogol, pembunuh dan lain-lain perbuatan yang sewaktu dengannya, semua itu merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan terkutuk.

Namun setelah mereka didapati bersalah dan dijatuhi hukuman, nampaknya masih ada segolongan yang kasihankan mereka, atas nama hak asasi manusia. Perjenayah diminta diberikan layanan yang sebaik-baiknya. Semuanya kerana atas nama hak asasi manusia.

Sedarkah kita, adakah setiap penjenayah itu memikirkan 'hak asasi manusia' orang lain ketika melakukan jenayah. Sehinggakan perbuatan mereka itu menyebabkan kehilangan nyawa dan taruma yang dahsyat kepada mangsa dan keluarga mereka?

Sehubungan itu, dalam kita memperjuangkan nasib penjenayah yang telah didadapati bersalah oleh mahkamah, adakah nasib mangsa penjenayah dan keluarga mereka terbela atas nama hak asasi manusia juga?

Kita selalunya terlepas pandang membela nasib orang yang baik. Sudah lumrah kehidupan.

Penjenayah yang melakukan jenayah terancang, sepatutnya tidak layak mendapat pembelaan atas nama hak asasi manusia.

Sementara 'penjenayah' yang sepatutnya mendapat 'pembelaan' atas nama hak asasi manusia sepatutnya mereka yang menjadi 'penjenayah' dengan tak sengaja seperti mereka yang bertindak membela diri dan membela keluarga mereka.

Contohnya, mereka yang bertindak membalas ke atas penjenayah yang menceroboh rumah mereka. Yang mungkin nenyebabkan kematian penjenayah. Dan lain-lain sebab yang serupa dengannya.

Tuesday, December 8, 2009

KERANA DUA TIGA EKOR KERBAU MEMBAWA LUMPUR...

Dirty Buffalo Pictures, Images and Photos


Petang itu sempat bersembang-sembang sambil minum dengan seorang rakan yang jarang-jarang bertemu kerana kesibukan tugasannya yang terlampau.

Sambil bersembang-sembang itu sempat juga dia menyelitkan 'cerita' mengenai jiran-jirannya yang berjawatan guru, kerani bank, pegawai kerajaan, kontraktor, bisnesman dan macam-macam lagi. Bermacam bangsa dan agama.

Tapi topik utamanya ialah mengenai tiga orang jirannya berjawatan nurse di sebuah hospital kerajaan berdekatan dengan rumahnya. Yang didakwanya bukan saja mereka 'tak mesra jiran' malah muka sering pula mencuka bila bertemu jiran. Sedangkan suami-suami mereka ramah pula.

"Mereka tu (nurse), kalau jumpa kita, (rakan setaman perumahan) susah benar nak senyum. Kita ni senyumlah macam biasa... sebab dah lama kenal. Tapi mereka... hisyy... pelik benar perangainya..," luah si rakan itu.

Aku hanya senyum. "Agaknya mereka tu dah puas senyum kat pejabat. Dah tak larat lagi nak senyum kat jiran-jiran setaman," balasku untuk menyedapkan hati si rakan itu.

"Iyalah tu," balas si rakan sambil menjeling. "Tapi aku dengar cerita, jiran-jiran aku tu, masa kerja pun 'mulut' mereka sama macam jumpa kita orang juga. Susah nak senyum." tambahnya.

"Dah gaharu cendana pula... sudah tahu bertanya pula," bisik hati kecilku.

"Mereka tu sesuai jadi jaga kut..!" tambah si rakan.

Aku tetap hanya mampu tersenyum. Inilah yang dikatakan dua tiga ekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit!

Friday, December 4, 2009

JANGAN KERANA DISALAHGUNA, PIHAK LAIN PULA YANG SUSAH..!

mat rempit Pictures, Images and Photos Kerajaan tak bercadang nak naikkan harga gula. Kerajaan juga tak berhasrat nak tarik subsidi bahan pemanis itu. Bermakna, harga gula kekal seperti biasa.

Sebelum ini ada cadangan agar subsidi gula ditarik balik. Bermakna harga gula akan menjadi lebih mahal daripada biasa. Tujuannya ialah supaya pengguna berjimat cermat dengan gula. Kerana gula dikaitkan dengan penyakit kencing manis yang semakin meningkat di Malaysia, yang puncanya kerana gula murah dan pengguna memakan banyak gula.

Dalam soal sakit dan penyakit ni, sendiri mahu ingatlah. Jangan kerana ramai yang 'telan' banyak gula kerana murah hingga ramai kena penyakit kencing manis, jangan kita menyusahkan pihak lain pula dengan menaikkan harga gula.

Kalau sebelum ini pokok ketum diharamkan kerana penagih menyalahgunakan daun pokok itu sebagai pengganti ganja. Tak pasal-pasal pokok itu menjadi mangsa haram, yang sedikit sebanyak memberikan kebaikan kepada sebilangan orang yang menggunakan secara baik untuk perubatan.

Sementara sedikit masa lalu, ada cadangan untuk mengharamkan gam pula, atau tidak dijual secara bebas, kerana bahan itu disalahgunakan sebilangan 'manusia lalok' untuk melepaskan gian.

Tapi cadangan itu senyap dan sunyi sehingga kini. Kalau diharamkan, tentu ia akan menyusahkan banyak pihak lain pula.

Satu lagi masalah yang tak pernah selesai ialah keliaran Mat Rempit. Masalah yang menyusahkan ramai pengguna jalan raya lain. Begitu juga 'kejahatan' peragut-peragut bermotosikal yang menyebabkan banyak nyawa yang tak berdosa melayang. Akan tetapi tiada pula kita pernah mendengar cadanganagar penggunaan motosikal diharamkan di Malaysia.

Mungkin kerana kita semua faham bahawa motosikal itu banyak digunakan oleh golongan-golongan tertentu, yang bersesuaian dengan kehidupan mereka.

Oleh itu, dalam banyak perkara kita mesti berpandukan kewarasan akal. Janganlah kerana sesuatu itu disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, sedangkan ia merupakan keperluan kepada pengguna-pengguna lain yang bersesuaian, maka janganlah begitu mudah untuk kita menjatuhkan hukuman mengharamkannya.

Wednesday, December 2, 2009

KISAH GADIS-GADIS MANGSA NAFSU SEKS

sad anime girl Pictures, Images and Photos Aku ingin imbas kembali kisah nasib 'malang' dua gadis yang menjadi mangsa nafsu seks 'jantan-jantan' yang tidak berhati perut.

Semalam, seorang gadis berusia 21 tahun diperdayakan oleh seorang tukang tilik. Kononnya garis pada kedua-dua tapak tangannya membawa 'sial'. Lalu gadis penuntut kolej itu ditakut-takutkan dengan nasib malang yang bakal menimpanya, sehingga gadis itu menyerahkan tubuhnya, menjadi hamba seks kepada jantan durjana itu.

Alahai.., kenapa dan mengapa begitu mudah terpedaya, sehingga 'mahkota' diri digadaikan?

Kisah kedua, lebih kurang seminggu lalu, seorang gadis berusia 15 tahun keluar untuk bertemu dengan teman lelakinya. Namun malang, dia diperkosa oleh teman lelaki, serta beberapa orang lagi rakan teman lelakinya.

Kemudian, gadis itu didatangi oleh sekumpulan lelaki berkereta ketika dia berjalan sendirian, lalu dia menerima pelawaan lelaki-lelaki itu untukenaiki kereta. Dan malang sekali lagi menimpa gadis itu bila dia perkosa bergilir-gilir sekali lagi.

Alahai.., kenapa dan mengapa itu harus terjadi? Tidak serikkah dia dengan 'pengalaman' sebelum itu? Atau adakah dia sengaja mahukan dirinya dimangsakan oleh jantan-jantan durjana itu..?

Sesungguhnya terlalu tidak terjangkau oleh fikiran warasku!

Sunday, November 29, 2009

BERNIAGA CARA ORANG KITA..! ADUH SAKIT KEPALAKU!

Headache Pictures, Images and Photos


Orang berniaga, kita pun nak berniaga. Itulah jalan paling mudah bagi sesetengah orang. Walaupun berniaga itu bukan perkara mudah. Namun ada peniaga yang suka ambil mudah,

Sebab terlalu menganggap mudah, orang kita banyak abaikan perkara-perkara yang patut diamalkan oleh seorang yang bergelar peniaga.

Ada peniaga kita, bila kita masuk ke kedai mereka, dia (atau pekerjanya) melihat kita seperti orang bersalah. Dari air muka mereka, macam tak suka pelanggan masuk ke kedai mereka. Ada pula buat tak nampak bila pelanggan masuk.

Ada sesetengah tempat itu, ada tertulis; "Sila order makanan anda di sini!" Ternyata mereka ambil kerja mudah. Sepatutnya mereka yang perlu datang kepada pelanggan. Itulah sebahagian orang kita berniaga.

Ada tu pulak, nak tanya pelanggan nak makan apa, atau nak ambil pesanan pelanggan agak susah. Pelanggan terkinja-kinja menunggu.

Bila pelanggan selesai makan pula, nak kira pun susah juga. Terkebil-kebil pelanggan menunggu.

Bila pelanggan makan bernilai RM30, dan pelanggan hulur not RM50, tauke atau tukang kira akan tanya pelanggan, "Duit kecik ada tak?". Bila pelanggan jawab 'tak ada', maka mukanya akan masam mencuka. Itu belum lagi makanan bernilai RM5 dan pelanggan hulur RM50 untuk membayarnya. Kelat muka peniaga semakin kesat.

Sepatutnya peniaga sanggup bersusah kerana pelanggan. Bukan pelanggan yang terpaksa bersusah-susah kerana peniaga.

Aduuuhh..! Kekadang 'sakit kepala' yang tidak sakit dibuatnya..!

Tapi nak buat macam mana. Kalau dah tak ada pilihan, walaupun serik dan susah, pelanggan terpaksa juga terjah. Tapi kalau terdapat banyak pilihan, peniaga yang 'tak mesra pelanggan' itu akhirnya yang akan hadapi masalah. Dan pelanggan patut 'mengajar'nya.

Apa-apa pun, yang paling nyata, peniaga kita (tak kiralah taukenya atau pekerjanya), terlalu payah untuk senyum dan mengucapkan 'terima kasih' kepada pelanggannya.

Kenapa begitu? Sebab sebilangan orang kita berniaga sekadar untuk cari makan, bukan berniaga sebagai keikhlasan amalan yang dituntut dari segi keagamaan. Wallahu'alam.

Tuesday, November 24, 2009

GURU SEMBERONO..?

Keputusan UPSR di SJK(C) dikatakan lebih baik berbanding Sekolah Kebangsaan (SK). Terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Kemudian timbul pula mengenai guru semberono, yang Kementerian Pelajaran (KP) tidak akan berkompromi dengannya.

Di sekolah Cina, didapati persekitaran pendidikannya sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa. Di sekolah itu juga dikatakan lebih menekankan aspek kecemerlangan dalam banyak perkara menerusi pendekatan latihan serta guru yang kreatif. Sains dan Matematik turut ditekankan di sekolah Cina.

Sehubungan itu, KP bercadang guru-guru dari SK akan mengikuti kelas bagi mata pelajaran Mataematik dan Sains di SJKC. Demi mengatasi masalah yang berbangkit.

Maka, timbul persoalan bahawa adakah guru-guru di SJKC itu akan membuka rahsianya itu seluas-luasnya kepada guru-guru SK? Rahsia yang selama ini menjadi 'rahsia penting' bagi mereka.

Dan dengan wujudnya kelemahan di SK adakah disebabkan terdapatnya guru-guru semberono di SK? KP seharusnya menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi.

Apa-apa pun, 'sebagaimana acuan, begitulah kuihnya'. Dan 'Kalau guru kencing berdiri, muridnya akan kencing berlari'.

Friday, November 6, 2009

AIR BOTOL PLASTIK BERTOKSIK..?

Sudah banyak kali kita baca kenyataan bahawa air dalam botol plastik tak baik untuk diminum. Ada yang mendakwa air itu bertoksik dan membahayakan kesihatan.

Itulah yang terbaru, yang didakwa oleh CAP. Katanya, penghasilan botol plastik yang digunakan juga menjana lebih 100 kali ganda bahan toksik yang mampu melarut resap ke dalam air.

Menurut kajian seorang doktor Amerika Syarikat, meninggalkan botol air dalam kenderaan boleh mengubah keseimbangan bahan kimia dalam botol menyebabkan ia mudah resap ke dalam air.

Pada 2006, saintis dari Jerman pula mendapati sejenis bahan toksik yang digunakan dalam pembuatan botol selain meresap dengan cepat ia juga boleh menjadi sangat bertoksik jika semakin lama disimpan.

Jika sedemikianlah ceritanya, maka adakah penduduk negara ini yang dianggarkan meminum lebih 100 juta botol air setahun bersedia berdepan dengan risiko yang berkaitan dengan toksik air botol itu?

Kementerian sepatutnya kena menjelaskan dengan sejelas-jelasnya kepada pengguna mengenai perkara yang dibangkitkan itu. Sedangkan sejak akhir-akhir ini semakin banyak muncul produk yang didakwa 'air kesihatan' yang terdapat dalam botol plastik yang melambak-lambak di pasaran.

Jawapan yang penjelasan yang telus amat diperlukan, untuk menghindari kegusaran semua orang.

Kesihatan bukan boleh dijual beli..!

Tuesday, November 3, 2009

TEGAK, MELINTANG SUDAH TAK RELEVEN..?

Tegak dan melintang dah tak nak pakai. Mungkin tahun depan akan mula cara lain untuk menilai kemampuan dan keberkesanan penjawat awam yang dianugerahkan khidmat cemerlang.

Elok sangatlah tu. Sebelum ini, kalau dalam sebuah jabatan itu ada 40 orang, maka kesemua 40 orang itu akan dapat khidmat cemerlang.

Kenapa semua mesti dapat? Itulah membuktikan ketidak telusan boss atau penilai.

Sepatutnya kalau seorang itu prestasinya baik dan mengagumkan setiap tahun, apa salahnya kalau dia seorang saja yang layak terima anugerah cemerlang setiap tahun? Apa yang tak kenanya? Kenapa harus dinafikan haknya itu dengan alasan kerana 'dia sudah pernah dapat' dan perlu diberikan kepada orang lain.

Penilaian jenis apa kalau macam itu?

Namun itulah yang sering dan kerap berlaku. Ketidak telusan dan kejujuran itu (berpunca dari penilai yang terdiri daripada boss atau second boss atau apa sajalah), yang menyebabkan orang yang sememangnya tidak layak diangkat untuk menerima khidmat cemerlang pun boleh dapat cemerlang.

Maka berbesar hatilah mereka yang tak layak itu bila diangkat menjadi layak. Namun perangai lamanya tetap juga tak berubah. Tidakkan terasa bodoh memilih orang yang tak layak untuk menjadi layak? Tepuk kepala hantuk ke dinding..!

Kenapa ketidak jujuran itu perlu ada? Kenapa mahu ambil mudah dalam segala hal? Itulah antara kelemahan dan keburukan sikap mereka yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menilai dan bekerja secara jujur.

Namun apa sudahnya? Sudahnya yang diharap tak akan tercapai. Puncanya kerana ada segolongan merka tidak beramanah. Maka... jawablah di akhirat nanti..!

Dan walaupun apa yang akan menggantikan melintang atau menegak itu, dan jika boss (penilainya) masih orang yang sama, masih manusia yang ambil mudah, masih spesis yang tak jujur dan beramanah disebabkan tak tahu buat kerja, maka masalah yang sama tidak mustahil akan tetap berulang dan terus berulang.

Tak percaya? Sama-samalah kita lihat nanti..!

Thursday, October 29, 2009

SESEKALI INGIN BERTANYA...

Sesekali ingin bertanya,
setiap masa dan ruang yang ada
apakah yang sentiasa merisaukan dada
serta membimbang hati anda?
Tak kiralah sama ada mengenai keluarga
(suami, isteri, anak. emak, menantu atau mentua)
mahu pun mengenai kekasih atau orang tercinta?

Nyatakan saja jika sudi berkongsi rahsia dan rasa..!


Tiba-tiba aku teringat kata-kata ini:

'Malam yang baik, akan mengundang kepada pagi (keesokan) yang baik.'

Friday, October 23, 2009

BAJET 2010: ADA JUGA YANG TERBEBAN..?

Dalam usaha kerajaan cuba membentangkan bajet yang sebaik dan sesempurna mungkin untuk rakyat yang didahulukan dan pencapaian diutamakan, terselit juga bajet yang agak memberikan bebanan kepada sebilangan rakyat..!

Begitu keluhan seorang rakan yang tekun mendengar laporan Bajet 2010 oleh PM semalam yang mengharapkan bonus untuk penjawat awak turut diumumkan.

Bajet yang membebankan rakyat itu sebenarnya merujuk kepada caj kad kredit kepada mereka yang menggunakan kad kredit.

Betul juga rungutan rakan yang prihatin itu. Sepatutnya caj kad kredit itu hanya dikenakan kepada pemohon atau pengguna baru mulai Januari tahun 2010. Bukannya kepada pengguna yang sudah memiliki kad kredit.

"Sudahlah hampa bonus tak ada. Ini soal caj kad kredit pula. Sudah jatuh ditimpa tanggalah jawabnya..! keluhnya lagi.

Kemudian dia menambah lagi, "Kerajaan harus prihatin dalam soal caj kad kredit tu. Nampak remeh tapi ia suatu masalah baru bagi orang seperti kami..!" rintih rakan itu dengan muka yang sedikit moyok.

Thursday, October 22, 2009

AL-KISAHNYA... SIAPAKAH MEREKA ITU..?

Al-kisah maka setelah diterjah oleh juruaudit dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara, maka terjumpalah kisah seliter minyak petrol berharga sehingga RM300, yang tak masuk akal langsung, walaupun manusia yang buat kerja tak elok itu memang berakal.

Diketemukan juga dengan kisah pokok hiasan untuk sebuah sekolah yang hanya bernilai RM5000 lebih tapi menjadi RM34,000 lebih pula. Pun ada juga kisah tentang dua buah komputer riba yang berharga dalam lingkungan RM7,000 hingga RM8,000 menjadi RM84,000 lebih.

Maka ternya-tanyalah kita siapakah si dalang atau si malaun-malaun yang terlebih malaun itu?

Sementara itu, tersebut juga al-kisah mengenai seorang pelatih di institut yang berkaitan dengan perguruan yang diminta berhenti kerana terlalu gemok. Pegawai terbabit telah memintanya mendaftar semula sebagai pelatih setelah dia (pelatih itu) dapat mengurangkan berat badannya yang kini seberat 110 kilogram.

Soalnya, kenapa pelatih itu diterima seawalnya, walaupun dia datang temuduga dengan membawa tubuhnya gemok itu sekali, kemudian dia diterima, namun selepas itu dia disuruh berhenti kerana kegemokannya itu? Kenapa permohonannya tak ditolak atau disisihkan saja dari awal?

Pelik sungguh dunia hari ini. Namun siapakah mereka yang berperangai pelik itu di sebalik kejadian yang pelik sebegitu..?

Tepuk dada tanyalah akal, tanyalah mata, tanyalah telinga dan tanyalah hati. Jangan tepuk dada tapi tonyoh kepala ke looooongggggkaaaangggggg..!

He he he....! Alahai...!

Friday, October 16, 2009

MACAM PENTING SANGAT PEMBANTU RUMAH INDON

Pembantu Rumah Indonesia (PRI) - bermacam cerita yang kita dengar, lihat dan mungkin mengalami sendiri mengenainya.

Ada PRI yang kena dera oleh majikan mereka. Dan tak kurang juga majikan yang terdera dengan perbuatan PRI itu.

Antara yang menyebabkan majikan terdera ialah bila PRI cabut lari. Bila direport, majikan yang kena denda. Pelik kan? (Betul ke tak betul undang-undang macam tu tak tahulah..). Tanggung ajelah.

Apa-apa pun nampaknya majikan juga yang terkena. Syarat terbaru PRI diberi cuti sehari dan pasport mereka pegang sendiri. Nampaknya lagi mudahlah mereka nak main lari-lari. Sebelum ini, walaupun pasport mereka majikan mereka yang pegang, mereka langsung tak takut nak cabut lari pun. Bila dah pasport mereka pegang sendiri, bersiap sedilah majikan untuk berhadapan dengan masalah yang sedia akan bermasalah itu.

Nampaknya majikan di Malaysia kena berhenti kerja (isteri atau suami). Bukan nak jaga anak-anak dan rumah sendiri, tapi nak kena jaga PSI takut mereka main lari-lari.

Dan yang terbaru, pijak Indonesia menuntut agar gaji PRI dinaikkan sekurang-kurangnya RM800 sebulan. Alahai... tak tahulah apa nak jadi.

Tapi nampak pada gayanya, pihak kerajaan Malaysia macam nak setuju saja dengan tuntutan mengenai gaji baru itu.

Orang kita ni dilihat macam penting sangat dengan PRI itu. Sebab itu mereka macam naik tocang. Minta yang bukan-bukan (walaupun tak masuk akal).

Kerajaan kita pula, kalau nak ubah syarat itu ini pun biarlah jangan menyusahkan rakyat sendiri pula. Janganlah cuma nampak macam nak mementingkan orang luar. Cubalah renung sesekali, adakah orang luar (yang selalu sangat kita bantu/prihatin tentang nasib mereka) pernah ambil berat dan prihatin dengan nasib rakyat dan negara kita? (Mungkin jauh langit dari bumi. Mengutuk, mengeji, menghina, tak sedar diri dengan mulut celupar yang tiada langsung sikap mengenang budi dan jasa adalah kot).

Sesungguhnya, biarlah mereka rasa mereka perlukan kita sebagai majikan. Bukan nampak sangat kita ini macam kemaruk sangat dengan mereka.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
SEKEHLOGI
'SESUATU YANG KITA SUKA, TAK SEMESTINYA ORANG LAIN JUGA SUKA. DAN SESUATU YANG KITA BENCI, MUNGKIN ORANG LAIN MENYUKAINYA'

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Monday, October 12, 2009

BODOH SOMBONG..! - (1)

Perhatikan sekeliling kita. Bermacam ragam manusia.
Ada yang manis di depan muka, di belakang dia mengutuk kita berjela-jela. Sesedap mulut dia mengata.

Ada jenis telunjuk lurus, kelingking berkait. Manusia sebegini tak harus dibuat baik.
Musuh dalam selimut dan duri dalam daging. Ada yang terkemut-kemut dan mudah pula nak tunjuk hangin.

Ragam manusia. Ada yang bagus, ada juga yang tak bagus.
Ada yang perasan bagus, malah ada yang tak perasan bahawa dia memang bagus.
Jenis yang bagus, tapi dikelilingi jenis yang tak bagus, dia akan jadi tak bagus.

Sikap manusia. Ada yang merendah diri. Tak kurang ramai juga yang asyik nak meninggi diri. Jenis tak sedar diri. Berlagak aje yang lebih. Entah-entah di rumah hanya makan bertih. Nasib malang yang sukar nak pulih.

Ada yang merendah diri memang jenis ikhlas. Ada pula yang sengaja merendah diri, kononnya dia yang terkelas, atau tersembunyi niat asyik nak mengebas.

Ada yang cakap melambung-lambung. Tinggi borak dari gunung. Tapi kosong dan terapung-apung. Ibarat alu yang tak ada lesung. Semuanya bodoh sombong.

Jenis manusia macam tu buat orang jadi pening. Kalau dibiar ramai yang kena kencing. Kalau ditegur mudah pula dia melenting. Memang dia kaki hancing..!

*********************************************

SEKEHLOGI:
'Tiada lurus imannya jika tiada lurus hatinya.
Tiada lurus hatinya jika tiada lurus mulutnya'

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Wednesday, October 7, 2009

WANITA MALAYSIA TAK SERIK-SERIK..?

Seorang doktor wanita mengenali seorang lelaki Arab melalui internet. Setelah berkenalan selama tiga bulan, lelaki Arab telah datang ke rumah wanita itu untuk makan malam.

Lelaki Arab itu dipercayai telah memasukkan pil khayal ke dalam minuman wanita ibu tunggal yang berusia 35 tahun itu. Menyebabkan wanita itu tidak sedarkan diri. Setelah sedar diri keesokannya dia mendapati dirinya dalam keadaan bogel.

Lelaki Arab yang berusia 35 tahun itu dipercayai telah merakamkan gambar-gambar bogel wanita ibu tunggal beranak dua itu sebelum melarikan diri dengan barangan kemas bernilai RM2,000.

Dan lelaki Arab itu telah menghubungi wanita itu semalam dan mengugut akan menyebarkan gambar-gambar bogel wanita itu sekiranya wanita itu enggan membayar wang sebanyak hampir RM10,000 kepadanya.

Sama ada wanita telah dirogol atau tidak, masih belum ada laporan yang dibuat.

Hai... entahlah..., apa nak jadi dengan wanita-wanita Malaysia yang amat 'kemarukkan' jantan-jantan asing, yang akhirnya sendiri yang menjadi mangsa penipuan.

Tuesday, October 6, 2009

JANGAN TUDING JARI... DAH TU NAK TUDING APA..?

Setelah berlaku sesuatu musibah, sama ada disangka atau di luar jangkaan, sama ada dengan tak sengaja atau akibat sikap manusia, maka kita akan terdengarlah cadangan itu dan ini. Sebab itu dan ini.

Dan yang paling klise kita dengar ialah; 'Jangan amalkan sikap tuding jadi kepada sesiapa.'

Begitulah sikap kita. Bila berlaku sesuatu, gemparlah seketika. Riuhlah sekejap. Bermacam-macam idea baru yang muncul. Bertimbun-timbun undang-undang dan akta baru diluahkan. Sedangkan undang-undang dan akta yang sedia da tak pernah nak dipraktikkan bersungguh-dungguh.
Lepas tu senyap dan sepi. Piah yang terbabitkan puan turut diam.

Berbalik soal 'jangan menuding jari'. Kalau kita tak menuding jari, macam mana kita nak perbetulkan kesilapan dan kesalahan?

Dengan tidak menuding jari juga, akan terlepaslah manusia-manusia yang menyebabkan kejadian itu berlaku. Maka orang yang menjadi sebab/punca itu akan terselamat dan tersenyum lebar dengan sikap kita itu.

Maka orang yang biasa melakukan kesilapan (sama ada bertujuan mementingkan diri atau kelalaian diri) akan sentiasa membuat perkara yang sama jika tiada sikap menuding jari. Mereka akan sentiasa abai atau meremehkan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Dianggap tidak penting bagi mereka. Melakukan kesalahan pun tiada tindakan diterima. Dan mungkin bagi mereka apa yang dilakukan itu akan menjadi suatu kebiasaan.

Tidak mustahil manusia yang sama akan membuat kesilapan dan kesalahan yang sama. Disebabkan kita terlalu baik dan tidak suka menuding jari, tak mustahil perkara malang yang sama akan berulang, disebabkan oleh manusia yang sama.

Maka bertanyalah pada diri sendiri, "Apakah kesalahan/kelalaian yang berpunca daripada orang lain, yang menyebabkan kita menanggung akibat dan sengsara, maka kita tidak harus menyalahkan orang itu, sebaliknya terpaksalah menyalah diri sendiri. Begitukah yang kita mahu?"

Fikirkanlah...

Tuesday, September 29, 2009

KEMALANGAN JALAN RAYA: TIDAK AKAN SUSUTKAH..?

Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Terutama pada musim-musim perayaan yang sudah tentu akan meningkatnya aliran trafik dan makin menjuruskannya kepada peningkatan kemalangan maut.

Secara umumnya, memang sikap pemandu yang menjadi punca utama kemalangan, selain keadaan kenderaan yang tidak diurus dengan baik sebelum memulakan perjalanan jauh.

Namun pernahkah kita terfikir bahawa kadar keluasan (kelebaran) bentuk jalan raya di negara kita juga turut menyumbang kepada kes kemalangan. Terutama jalan perbandaran dan persekutuan. Kemalangan jarang berlaku di lebuhraya kerana keluasan jalannya.

Jalan raya yang sempit harus diambil kira. Sebagai contoh, ketika kita sedang memandu kereta, kita terserempak dengan sebuah motosikal yang dipandu terhegeh-hegeh di depan kita, manakala pada masa yang sama dari arah depan kita pula ada kereta lain. Disebabkan jalan yang sempit, kita terpaksa membrek kereta kita daripada terlanggar motosikal di depan kita.

Bersabitan dengan itu, dalam keadaan tertentu, terutama ketika memandu laju, macam-macam perkara yang tak diingini boleh berlaku.

Bayangkanlah kalau yang berada di jalan raya itu kenderaan besar seperti lori kontena, lori balak dan bermacam-macam jenis lori lagi.

Rasanya tidak keterlaluan jika dikatakan ada sebilangan jalan raya kita hanya sesuai untuk kenderaan kecil seperti kereta Kancil saja. Sedangkan ia sebenarnya sebatang jalan yang sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.Itupun ada kalanya Kancil sama Kancil bertembung dan terdapat pula motosikal di depan yang dipandu perlahan, Kancil yang di belakang motosikal itu terpaksa juga membrek. Begitulah sempitnya jalan raya kita.

Selain polis dan JPJ, kerajaan terpaksa tubuhkan JKJR dan Miros untuk memastikan kemalangan jalan raya tidak terus meningkat. Namun hasilnya..? Fikir-fikirlah sendiri.

Bukan nak dikata bahawa penubuhan JKJR dan Miros sekadar pembaziran, namun alangkah elok jika peruntukan yang ada itu, termasuk perbelanjaan berjuta-juta setiap tahun yang digunakan untuk kempen keselamatan jalan raya itu digunakan untuk melebarkan jalan-jalan raya di Malaysia yang sesungguhnya memang sempit itu.

Jika sebelum ini, pihak-pihak berkenaan tidak terfikir mengenai bentuk jalan raya kita yang tidak cukup lebar itu antara menjadi punca kemalangan, cubalah fikirkanlah kebenaran itu sejenak.

"PANDULAH DENGAN BERHEMAH. JIKA TIDAK, ANDA TAK AKAN SEMPAT SAMPAI KE RUMAH!"

"PANDULAH DENGAN BERAKAL, SEBELUM ORANG TERSAYANG BOLEH HILANG AKAL!"

Saturday, September 19, 2009

SALAM SYAWAL

SALAM SYAWAL
KEPADA
SEMUA SAUDARA-MARA, RAKAN DAN TAULAN
SERTA
ANDA, ANDA, ANDA DAN ANDA
WALAUPUN DI MANA SAJA ANDA BERADA.
***
Kari buaya selera menjelma,
Terkukur buta dilempang rusa,
Naga lari tak peduli harijadi;
Hari raya gembira bersama,
Bersyukur kita kepada Yang Esa,
Jaga diri hindari tragedi.
***
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR & BATHIN.
*********************************

Tuesday, September 15, 2009

KITA DAN DIRI KITA

Memilih jika tak tepat
akhirnya akan bermudarat.

Bertindak jika tak betul
akhirnya akan digelar bahlul.

Memandu jika tak berhemah
akhirnya sendiri yang susah.

Berbelanja jika tak berhemat
akhirnya sendiri yang terkulat-kulat.

Bercakap jika tak berbahasa
akhirnya diri akan dikeji cela.

Berbuat baik jika tak berpada-pada
akhirnya masalah akan tertimpa-timpa.

Berbuat jahat jika terlalu sangat
akhirnya ibarat tupai yg pandai melompat.

Maka....

Biarlah akal yang berfikir
akan sejahtera hingga ke akhir.

Jangan hati dibiar mengarah
sudahnya malang menjadi parah.

Jangan nafsu dibiarkan ke depan
porak peranda jiwa dan perasaan.

Biar yang baik menjadi teladan
yang buruk pula jadi sempadan.

Selangkah terlenjur ke depan
berundurlah ke jalan kebenaran.

Terlajak perahu berundur semula
terlajak kata ada hati terluka.

Cakap siang pandang-pandang
cakap malam usah sembarang.

Bisa duri ada penawarnya
bisa lidah buruk padahnya.

Buruk rupa hanya gambaran
buruk hati hilang pedoman.

Friday, September 4, 2009

LAGU 1MALAYSIA KITA - SESUAIKAH..?

Lagu berjudul 'Malaysia Kita' yang digubah oleh Audi Mok dan liriknya ditulis Nur Fatima telah dipilih sebagai juara pencarian lagu 1Malaysia Kita baru-baru ini.

Dari segi konsep, ia bolehlah dianggap pemilihan yang sesuai dengan masyarakat majmuk negara kita kerana dihasilkan daripada gabungan kreatif Melayu-Cina, antara dua tonggak kaum yang ada dinegara kita.

Tapi dari segi irama dan liriknya, didapati pemilihannya tidak begitu sesuai dengan situasi kenegaraan kita. Kerana irama lagunya yang ala rock dan bernada terlalu tinggi serta agak kurang kental secara menyeluruh pada liriknya.

Irama lagu yang bercorak komersial tidak semestinya sesuai diangkat sebagai lagu patriotik. Komersial ada laluannya yang tersendiri dan begitu juga dengan irama patriotik.

Setiap lagu patriotik seharusnya kena pada kesesuaian rentaknya dan turut menggambarkan kesesuaian dengan negara kita. Liriknya juga biarlah yang melambangkan matlamat dan keperluan serta kesesuaian negara dan masyarakat, selain ia mudah difahami dan diikuti semua golongan dan peringkat umur.

Saya teringat kata-kata Datuk Seri Najib ketika merasmikan pengumuman kemenangan itu. Katanya, lagu itu (Malaysia Kita) mungkin memerlukan sedikit pengubahsuaian jika ia mahu disampaikan secara koir.

Wednesday, September 2, 2009

PENTING DIRI SENDIRI

Sebilangan kita masih mengamalkan sikap suka ambil kesempatan, demi mementingkan diri sendiri. Sehingga tergamak mengenepikan nilai-nilai keluhuran kemanusiaan.

Sama ada melalui kelemahan orang lain atau atas 'keperluan terdesak' pihak-pihak tertentu, pihak yang suka ambil kesempatan itu tidak peduli siapa mereka. Yang penting keuntungan diri diutamakan.

Ibarat si kuat yang suka ambil kesempatan ke atas si lemah, begitulah juga dengan mereka yang berkuasa yang sanggup menggunakan kuasanya untuk keuntungan dan kepentingan diri.

Begitu juga si peniaga yang sering menggunakan peluang dan kesempatan untuk menaikkan harga barang, terutama ketika ramai pengguna amat memerlukannya.

Pengguna sering berdepan dengan situasi sedemikian pada masa-masa tertentu. Golongan susah akan menerima akibatnya.

Dimanakah keprihatinan dan nilai kemanusiaan mereka yang suka ambil kesempatan itu? Mereka sanggup melontarkan kejujuran dan moral diri demi mengutamakan keuntungan dan kepentingan diri semata-mata.

Selagi bernama manusia, kita semua seharusnya memiliki sifat bertimbang rasa dan sering bertoleransi. Pasti akan terserlah nikmat dan rahmatmya!

SELAMAT BERPUASA..!

Saturday, August 29, 2009

FADILAT RAMADHAN

Sabda Rasulullah SAW bermaksud; Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nercaya ditutupnya."

(Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadis daripada Sahal bin Sa'd).

Friday, August 7, 2009

BERTANYALAH.., TAK RUGI PUN..!

Jika tak tahu, bertanya
tak payah berlagak serba tahu
jika ada nanti yang tak kena
sendiri juga yang malu.

Bertanya itu tak rugi apa-apa
tak bertanya itu yang rugi sebenarnya
bertanya juga bukan satu kesalahan
malah di situlah ilmu akan kedapatan.

Ular menyusur akar takkan hilang bisanya
manusia gemar bertanya tak jatuh martabatnya
malah yang tiada menjadi ada
mana yang kurang bertambah di dada..!

Tuesday, August 4, 2009

WASPADA NIAT BURUK ORANG LAIN TERHADAP ANDA..!

Anda tidak pernah mengganggu orang lain. Maknanya anda tak pernah mengkhianati, dengki dan berbusuk hati kepada orang lain. Maka anda yakin orang lain juga tidak akan kacau anda?

Jika anda bersetuju dengan kata-kata itu, bermakna anda telah membuat andaian yang salah dan telah melakukan kesilapan yang besar pada diri anda sendiri.

Walaupun anda tak mengganggu dan ambil tahu hal orang lain, namun anda tidak boleh menafikan bahawa terdapat niat dan hasrat buruk orang lain terhadap anda.

Mungkin jawatan, kelebihan dan kebahagiaan hidup anda dimusuhi oleh manusia-manusia yang berhati busuk, pendengki dan pengkhianat yang ada kepentingan diri.

Oleh itu, berwaspadalah selalu. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Jangan disangka dalam tepung tak ada rambut.

Berhati-hatilah... Jangan mudah percaya dan terpedaya akan manisnya gula, yang akhirnya mendatangkan banyak penyakit berbahaya kepada kita jika kita terlalu leka.

Selamat menjalani kehidupan yang baik dan lebih sempurna..!

Insya-Allah..!

Monday, July 27, 2009

CUKAI.., OH CUKAI..!

Jika kita mampu membeli rumah, bermakna kita juga kena mampu membayar cukai pintu dan cukai tanah.

Kita duduk atau tak duduk di rumah itu, kita tetap juga kena bayar cukai pintu dan cukai tanah.

Tak sama dengan bil elektrik, air atau telefon, yang mana kita dikenakan caj berdasarkan sebanyak mana yang kita telah gunakan.

Berbalik kepada cukai pintu dan cukai tanah, mampu atau tak mampu mesti kena bayar setiap tahun. Cukainya tak pernah berkurang. Makin menaik memang ada.

Kenapa perlu naik cukai pintu dan cukai tanah? Andainya rumah kita itu tetap sebesar itu juga dari awal hingga kini? Tanah juga semestinya seluas itu juga.

Kekadang aku terfikir, sepatutnya cukai tanah tak perlu dibayar sepanjang hayat. Sepatutnya dikenakan tempoh tertentu. Mungkin hanya selama sepuluh atau 12 tahun, kemudian dikecualikan.

Cukai pintu bolehlah dibayar selagi kita menggunakan rumah itu. Tapi jikalau ada tempoh-tempoh tertentu pun bagus juga.

Sudahlah dikenakan cukai pendapatan setiap tahun. Ditambah pula dengan cukai pintu dan cukai tanah. Belum lagi cukai-cukai lain.

Cukai.., oh cukai..! Aduhai.., sudahnya ada yang mati kerana 'tertimpai cukai nampaknya..!

Wednesday, July 22, 2009

TIDAK JUJUR - KEROSAKAN IMAN DAN HATI

Kegagalan apa saja penguatkuasaan
bukan kerana tidak cukup kakitangan
atau tidak cukup gaji bulanan
tapi kerana tiada kejujuran
mereka yang diberikan kepercayaan
kerana iman dan hati mereka telah kerosakan
akibat lupa akan Tuhan.

Awas... jika yang 'rosak' itu masih berleluasaan
sesuatu yang dibanteras tidak kesampaian
negara akan ke arah kehancuran
rakyat yang akan menanggung kesusahan.

Sunday, July 19, 2009

MUKJIZAT ISRAK MIKRAJ

Peristiwa Israk Mikraj ialah mukjizat
oleh itu tiada alasan menolak hakikat
dengan roh dan jasad
kerana peristiwa Israk Mikraj
agung bukan atas usaha ikhtiar
Nabi Muhammad SAW
sebaliknya Baginda menghebahkan kepada orang ramai
sudah 'diisrak dan dimikrajkan'
oleh Allah SWT bersama Malaikat Jibril.

Kenderaan yang disediakan oleh Allah SWT
bernama burak yang dicipta daripada cahaya
khusus untuk suatu pengembaraan Nabi SAW
dengan peristiwa bersejarah
diisrak dan dimikrajkan ke langit.

Antara sebab berlakunya Israk Mikraj
pada tahun ke-11 kenabian Baginda SAW
adalah punca penolakan penduduk Makkah dan Taif
terhadap ajaran Islam yang dibawa Baginda.

Saturday, July 18, 2009

TAKRIF NAIK LAGI?

Takrif elektrik akan naik lagi. Itulah bunyi berita yang agak kurang sedap didengar.

Tapi nak buat macama mana. Kalau kabinet setuju, akan naiklah ia. Dan akan bertambahlah bajet bulanan mereka yang terlbat.

Baru-baru ni dengar cerita TNB nak buat kuasa elektrik daripada solar. Bagus juga tu. Patutnya idea tu dah lama dulu dah dipraktikkan. Bukankah negara kita kaya dengan cahaya matahari ?Kenapa tak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, demi kebaikan pengguna?

Mananya manusia yang terbijak dan terpandai di Malaysia ni? Kenapa susah sangat nak buat guna kuasa solar tu?

Kenapa masih nak gunakan petrol dan arang batu? Petrol naik, arang batu naik, takrif pun naik.
Kekadang 'hangin' pun turut naik.

Kita ni jadi kebiasaan agaknya, suka pada yang menyenangkan diri... tapi akan menyusahkan orang lain.

Tapi tak apalah. Mujurlah TNB hanya kenakan cagaran dan bayaran bil bulanan mengikut kadar yang digunakan saja.

Tidak macam telefon rumah yang selain dikenakan cagaran, pakai tak pakai, sewa bulanan tetap berjalan. Macam aku sewa bulanan RM25 (tak termasuk caj yang digunakan).

Kalau tak sialap, sewa bulanan dikenakan berdasarkan jauh/dekat ibu sawat telekom dengan rumah kita. Aku dah pakai telefon rumah dah ertahun-tahun lamanya.

Cadangan aku, apa kata sewa bulanan telefon rumah hanya dikenakan setakat selama 10 tahun saja (kalau kurang lagi bagus), lepas tu tak dikenakan lagi. Cuma bayar kadar/caj yang kita pakai saja. Adil kan..?

Adil rasanya. Sebab pengguna sudah dikenakan cagaran kan..?

Tuesday, July 14, 2009

SALAH SIAPA..?

Kes 1:

Dia pinjam duit ah long (ceti haram) . Tapi dia tak mampu nak bayar. Ah long ugut nak bunuh dia dan anak-beranak dia. Ah long simbah cat depan rumah dia.

Dia jadi takut. Dia lari hilangkan diri. Selepas tak terdaya bersembunyi, dia mengadu kepada pihak-pihak tertentu. Lepas tu pihak-pihak tertentu buat persidangan media. Ah long dipersalahkan. Bank juga dipersalahkan kerana tak sudi beri pinjaman. Yang menyebabkan peminjam pergi kepada ah long.

Dan disebab ah long sudah ugut dia, dia repot polis, maka jadilah kes polis. Polis buru ah long.

Peliknya, kenapa polis tak buru peminjam? Sebab dia pinjam duit haram. Sama macam orang berjudi haram.


Kes 2:

Dia ada kad kredit. Bank bagi pada dia. Sebab dia layak berdasarkan syarat bank. Tapi dia pakai kad melebihi kemampuan. Dia tak mampu bayar balik. Bank saman dia. Dia dikenakan muflis.

Beratus ribu orang senasib macam dia. Tak mampu nak bayar hutang kad kredt. Sudahnya, muflis.

Orang parlimen bising. Orang-orang tertentu pun bising. Marah-marah pada bank, sebab terlalu mudah berikan kad kredit kepada golongan tersebut. Tapi ini tak jadi kes polis. Sebab bank bukan ah long.

Bank tak bagi pinjam, hingga ada orang pinjam ah long. Tapi tak mampu bayar. Ah long kejar. Bank kena marah. Sebab susah nak bagi pinjam. Syarat-syarat ketat sangat.

Bagi kad kredit pada orang pun, tapi tak mampu bayar balik, bank juga kena marah. Bukankah bagi kad kredit tu sama juga macam bank bagi pinjam?

(Tak bagi pinjam, salah. Bagi pinjam pun salah?)

Bukankah itu hanya masalah pribadi? Antara pemegang kad kredit dengan bank. Biar mereka yang tanggung. Orang lain sepatutnya tak perlu bising-bising sampai ke Dewan. Banyak lagi masalah lain yang perlu diambil berat. Yang perlu diungkit dan dicakapkan untuk kepentingan ramai. Untuk kepentingan rakyat jelata. Bukan rakyat yang bermasalah pribadi.

Kes peminjam ah long pun sepatutnya macam tu juga. Tapi sebab ada ugut-mengugut, sudah jadi kes polis. Bila libatkan pihak berkuasa, maknanya dah jadi kes negara. Maka kenalah polis buat kerja.

Moral: Sendiri mahu ingat... pandai makan, pandai-pandailah simpan. Pandai buat, pandai-pandailah tanggung. Pandai berhutang, pandai-pandailah bayar..!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Ada orang berlagak hingga lupa dunia. Tap bila sudah terdesak (terduduk) mulalah rasa gelapnya dunia!"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Thursday, July 9, 2009

AMAH.., OH, AMAH..!

Tak ada amah susah. ada amah pun kekadang menyusahkan juga.

Kalau dah terpaksa nak kena ada amah, nak buat macam mana? Kenalah ter'amah'lah juga..!

Sejak dua menjak ni kecoh fasal amah. Yang tak sedap dengar ada amah (Indonesia) kena dera oleh majikan. Yang lebih tak sedap didengar, ada juga amah (Indonesia) yang menderakan majikannya.

Tapi rata-ratanya, rakyat Malaysia baik hati. Dan 99% majikan di Malaysia bersikap baik terhadap amah-amah mereka. Buat macam keluarga sendiri. Makan/minum, pakai, tidur semuanya sempurna.

Ek, eleh.., sedangkan haiwan pun ada orang sayang. Sanggup keluarkan bajet untuk haiwan peliharaan mereka. Kucing tepi jalan pun orang kasi makan. Inikan pula manusia, duduk serumah pula tu.

Kalau ada amah yang kena dera tu, mesti bersebab. Tak adanya majikan nak dera sesuka hati. Mungkin sebabnya; malas, banyak rehat dari kerja, buat kerja tak sempurna walau ditegur berkali-kali. Banyak buat perkara yang tak elok. Bila ditegur, menjawab pula tu. Siapa yang tak naik hangin..!

Kalau hangin sudah naik, faham-faham ajelah..! Apatah lagi kalau hangin terhadap 'orang' dan 'perkara' yang sama. Kembang telinga dibuatnya..!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Angin sepoi-sepoi bahasa dapat menyegarkan badan dan minda. Kalau 'hangin' satu badan sudah mari, kekadang boleh hilangkan pertimbangan diri dan silap-silap ada yang nak jadi mangsa."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Monday, July 6, 2009

ISU INSURANS KERETA LAMA

Ni apa pulak cerita ni? Syarikat insurans besar jual mahal pulak? Mereka tak sudi nak lindungi kereta berusia lebih 10 tahun.

Kalau nak juga, kena cari syarikat insuran biasa, tapi bayarannya 200 peratus.

Ada juga syarikat insurans yang paksa pengguna supaya ambil insurans nyawa sekali. (ikut berapa orang penumpang kereta).

Ewahh... mengada betullah dia orang ni.

Mengada... sebab mereka ni (agaknya semua orang berniaga) terlalu banyak sangat diberi muka oleh kerajaan. Mereka boleh buat sesuka hati. Makin naik lemaklah mereka.

[Kalau ada yg naik harga pun, asyik-asyik beri amaran. Amaran... amaran.. amaran. Tak habis-habis dengan amaran. Jadi sebab itulah mereka tak takut (amaran?) kot..?]

Sebilangan mereka hanya fikir untung aje. Sebab dengan kereta baru mereka dah banyak untung, itu pasallah mereka makin berlemak. Tiada langsung keikhlasan dan ketulusan.

Siapa yang jadi mangsa? Orang susah juga.

Siapa yang susah? Orang susah juga.

Siapa tanggung masalah? Orang susah juga.

Hmmm... mujur aku jenis yang tak susah dan tak menyusahkan.

Syukur Alhamdulillah..!!!

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Kekadang ada banyak duit pun susah. Tapi kalau tak berduit lagi-lagilah susah dan menyusahkan..!"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tuesday, June 30, 2009

UJIAN MEMANDU KERETA AUTOMATIK..?

Baguslah, kalau kerajaan setuju calon ujian memandu menggunakan kereta (kenderaan) bergear automatik.

Kalau diikutkan, sememangnya sejak dulu lagi (sejak wujudnya kenderaan gear automatik di Malaysia) dibenarkan menggunakan kenderaan jenis itu semasa ujian memandu.

Tapi cadangan terbaru itu, khabarnya ada ahli Parlimen yang tak setuju. Katanya, kemahiran asas memandu akan hilang jika dibenarkan langkah tersebut.

Aku tak setuju dengan alasan macam itu. Kenapa perlu disekat jika kemudahan sudah tersedia di depan mata? Jika kereta bergear automatik boleh didapati dengan mudah? Apa masalahnya?

Apa yang tak kena dengan kenderaan bergear automatik? Aku pun tak faham, kemahiran asas apakah yang akan hilang, seperti yang dimaksudkan itu?

Kita janganlah hidup statik. Perlu pandang dan bergerak ke depan. Sudah berapa ratus ribu (mungkin berjuta) kenderaan bergear automatik bergerak di jalan raya kita? Tak ada apa-apa masalah pun.

Lagipun, jika ikut perkembangan dan kemajuan semasa, sudah sampai masanya kebenaran menggunakan kenderaan bergear automatik semasa ujian memandu diluluskan. Atau segala akta atau undang-undang yang berkaitan dengannya perlu dipinda.

Sesiapa yang menjalani ujian memandu pakai kereta gear automatik, bila lulus, terserahlah pada dia nak pakai (beli) kereta automatik. Jika kereta jenis itu yang dia boleh pandu.

Kalau tak mampu nak pandu kereta gear manual, takkan dia nak pandu (beli) kereta jenis gear manual. Dia mesti ikut apa dia mampu nak pandu. Apa masalahnya? Terserahlah pada individu terbabit.

Kenapa perlu dihalang atau disekat dengan segala kemudahan dan keselesaan yang ada? Kenapa perlu nak bersusah payah, sedangkan yang mudah boleh digunakan?

Senang cakap, kita harus gunakan segala kemudahan yang ada. Kenapa perlu disekat? Kenapa perlu dihalang? Kenapa perlu masih dengan berkerenah dan mencipta masalah?

Senang cakap lagi, jika masih tak dibenarkan juga ambil ujian memandu menggunakan kereta bergera automatik, lebih baik haramkan saja kereta (kenderaan) jenis itu berada di jalan raya negara kita. Habis cerita. Tak perlu nak double standard..!

Sunday, June 21, 2009

ANDAKAH YANG SAKIT MENTAL..?

Ramai betul pesakit mental di Malaysia ni rupanya. Tiap tahun makin bertambah. Sebanyak 346,196 kes tahun sebelumnya, telah meningkat kepada 400,227 pada tahun lalu.

Statistik itu berdasarkan kes yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan. Tapi berapa banyak pula kes yang tak dilapor?

Di persekitaran kita pun sebenarnya ramai pesakit mental yang hidup bebas, yang mungkin kita terlepas pandang. Tapi untuk mengenali mereka (pesakit mental) itu tidaklah sukar.

Antaranya ialah:-

# Pendengki/busuk hati/meragui/tak senang duduk diam dengan kelebihan orang lain.

# Suka buat fitnah. Sengaja merekacipta/membesar-besarkan keburukan dan kejahatan orang lain.

# Batu api/ bermusuh-musuhan.

# Suka mencari kesalahan/kesilapan orang lain, tanpa menyedari kesalahan/kesilapan diri sendiri.

# Gemar lakukan perkara yang tak baik / tak bermoral.

# Buat jalan raya macam mak bapak dia punya. Berlumba/potong Q/memandu tidak mengikut kelajuan/kesesuaian tempat. Menyusahkan pengguna lain.

# Sikap angkuh dan sombong tak bertempat.

# Seronok membangga dan membesar diri.

# Gila kuasa. Sekalipun menjatuhkan/memijak kepala orang lain.

# Suka dipuji/dibodek/diampu. Suka memuji/membodek/mengampu untuk kepentingan diri.

# Mencari publisiti murahan untuk kepentingan diri.

# Kononnya diri terlebih bagus daripada orang lain.

# Cakap lain tapi buat lain.

# Kerap berjanji dan memungkirinya.

# Suka berpura-pura/talam dua muka/bermuka-muka.

# Menipu/pendusta. Banyak dengan alasan.

# Perompak/penyamun/perogol.

# Suka marah menyinga-nyinga walaupun puncanya perkara kecil.

# Gemar harapkan imbuhan/ganjaran walaupun dia sebenarnya tak layak.

# Tak pernah bersyukur dengan apa yang dimiliki.

# Mudah terpengaruh dengan fitnah tanpa usul periksa.

# Walaupun melakukan kesalahan dan menyusahkan orang lain tapi tak pernah minta maaf dan mengaku silap.

# Diberi tanggungjawab tapi gagal/ambil mudah sehingga mendatangkan masalah kepada orang lain.

Siapakah antara mereka itu? Adakah anda? Anda? Dan anda..?!

Wednesday, June 17, 2009

RELEASE TENSION...

GAMBAR TENGKORAK DALAM KENANGAN


Photobucket

Tiba-tiba aku teringat... sedikit masa lalu, setiap kawasan yang mudah/kerap berlaku kemalangan di jalan-jalan raya di Malaysia akan dipasangkan dengan papan tanda bergambar tengkorak.

Tapi sejak bila entah, papan tanda bergambar tengkorak itu tiba-tiba hilang dan sudah tidak digunakan lagi.

Selepas itu, kawasan-kawasan tersebut hanya dipasangkan dengan papan tanda yang bertulis amaran yang berbunyi, "AWAS KAWASAN KEMALANGAN - PANDU BERHAT-HATI" yang menggantikan gambar tengkorak.

Aku saja bertanyakan kepada seorang rakanku, kebetulan kami melalui jalan-jalan berkenaan, "Eh.., dah tak ada gambar tengkorak lagi kan..?"

Jawab rakanku, "Sejak ada gambar tengkorak, makin kerap pulak berlaku kemalangan. Jadi pihak berkenaan terpaksa ganti dengan tulisan dan ingatan lain kepada pemandu."

"Laa.., macam tu pulak ke?" soalku dengan iringan gelak yang tak menjadi.

"Apa tidaknya.., bila pemandu nampak gambar tengkorak tu, terutamanya bila tengah malam, makin mereka pecut dengan laju, sebab takut. Macam mana tak berlaku kemalangan..." jawab rakanku bersahaja.

"Haahaa.., iya tak ya jugak kan..?" balasku. Sambil tersenyum simpul sendiran.

"Jadi.., tinggallah gambar tengkorak yang masyhur itu dalam kenangan..." ujar rakanku menutup perbualan.

Sunday, June 14, 2009

AEDES YANG AKAN TERUS BERDENGGI

"Denggi gagal dihapuskan." Begitu pengakuan KP Kementerian Kesihatan. Mengenai permasalah denggi yang sukar dibendung, malah semakin meningkat.

Seorang rakanku, Amin, hanya tersenyum (sinis) menyaksikan pengakuan itu di tv beberapa hari lalu. Dia tersenyum sinis bukan kerana mahu menyindir atau jauh sekali dia sukakan nyamuk aedes yang berbahaya itu. Dia tersenyum (sinis) kerana dia ada peristiwa yang berkaitan dengan denggi itu kira-kira dua tahun lalu.

Halaman rumahnya, persekitaran yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok hiasan dan bunga-bungaan. Cantik, kemas dan teratur. Kerana sentiasa dijaga dengan rapi. Itulah masa yang dipenuhinya setiap ada kelapangan.

Berdekatan dengan tempat tinggalnya terdapat kawasan terbiar yang agak luas. Dipenuhi dengan semak samun dan pokok-pokok yang merimbun.

Persekitaran kawasan terbiar yang bersebelahan jalan raya di taman perumahan tempat tinggalnya itu agak kurang selesa kerana terdapat banyak nyamuk. Kawasan terbiar itulah yang menjadi punca pelbagai jenis nyamuk membiak. Ibu bapa melarang anak-anak mereka bermain di luar rumah. Kerana takut digigit nyamuk. Ular pun pernah wujud dari semak samun itu.

Tapi mujurlah di persekitaran halaman kediaman rakanku tidak dipenuhi nyamuk. Mungkin kerana ia sentiasa terjaga agaknya.

Disebabkan terdapatnya nyamuk yang tentunya boleh mendatangkan rimas itu, Amin telah beberapa kali menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengadu mengena masalah tersebut.

Janji PBT ialah akan cuba untuk mengatasi masalah itu. Namun janji hanya tinggal janji. Nyamuk makin menjadi-jadi. Amin merungut berkali-kali.

Bila Amin terus hubungi PBT, kali ini jawapan mereka begini pula;
"Masalah nyamuk ni sebenarnya tanggungjawab Jabatan Kesihatan (JK)," beritahu seseorang yang bertugas di PBT.

Bila Amin hubungi JK pula, dia diberitahu bahawa masalah yang berkaitan dengan nyamuk di luar kawasan rumah itu ialah tanggungjawab PBT.

Amin makin bingung. Bila dia hubungi PBT lagi, dia tetap juga disuruh berhubung dengan JK. Dan bila dia berhubung dengan JK lagi, seseorang yang mengenalkan diri sebagai Saad dengan nada suara yang kurang senang meminta alamat rumahnya. Tanpa berlengah dia berikan alamat rumahnya.

Lebih kurang tiga jam kemudian, sebuah kenderaan dari JK muncul di depan rumahnya dengan beberapa orang kakitangannya.

"Encik ada buat laporan mengenai nyamuk tadi?" tanya seorang lelaki yang beruniform dan siap dengan fail di tangannya, berdiri di depan pintu pagar rumah Amin.

"Ya," jawab Amin ringkas. Gembira. Moga masalahnya akan selesai.

"Boleh kami masuk... nak buat pemeriksaan," kata pegawai JK itu lagi.

"Tapi, saya mengadu mengenai nyamuk di luar kawasan rumah saya. Puncanya dari semak samun tu," tingkah Amin sambil menuding jari ke arah kawasan semak samun itu.

"Bila encik dah buat laporan kepada kami (JK), kami kena periksa sekitar rumah encik. Kalau di luar kawasan rumah, encik kena laporkan pada PBT," ujar pegawai itu lagi.

Amin jadi keliru. Makin bingung. Mujur tak semakin tongong. "Aduhhh..." Amin menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Tapi jadi serabut dengan tiba-tiba.

Mahu tak mahu Amin membenarkan beberapa orang dari JK itu memeriksa persekitaran halaman rumahnya. Cara dan tindakan mereka mencari dan menggeledah seolah-olah mereka mesti akan dapatkan sesuatu untuk djadikan bukti. Bahawa nyamuk-nyamuk itu berpunca dari rumah Amin. Amin hanya memerhati dengan rasa tak puas hati..

Setelah puas mencari dan menyelongkar di sana sini, akhirnya mereka terjumpa beberapa ekor jentik-jentik di atas sebuah tong bekas cat yang telah Amin bersih dan terbalikkan untuk dijemur. Amin pun tak sedar macam mana bekas tong cat itu boleh bertakung air yang cetek dan terletak pula di kawasan lapang yang kena cahaya matahari boleh jadi tempat jentik-jentik membiak.

Ah, dia terlalai agaknya. Bekas yang di depan mata pun boleh terlepas pandang.

Dipendekkan cerita, tanpa memberikan amaran atau nasihat, pegawai JK itu meminta kad pengenalan Amin untuk dicatatkan nama dan alamat.

Pegawa JK itu membawa jentik-jentik itu pulang ke pejabat untuk dikaji dan dianalisis jenisnya. Jika ia jentik-jentik aedes, maka bersedialah Amin untuk disaman.

Nasib Amin memang malang. Jentik-jentik itu adalah aedes. Amin disaman RM100.

Amin membayar saman itu. Dan dia meminta pihak JK membuat semburan asap di persekitaran kawasan taman perumahan tempat tinggalnya itu, kerana telah terbukti ada jentik-jentik aedes, bermakna mestilah ada nyamuk aedes.

Namun pihak JK tidak menerima permohonan Amin. Kata mereka, semburan asap hanya akan dilakukan setelah ada kes denggi. Maknanya setelah ada orang kena demam denggi, baru semburan akan dilakukan. Bunyinya pelik, bukan? Tapi begitulah Amin diberitahu.

"Kalau mahu tunggu ada orang kena demam denggi baru nak diadakan semburan asap, bermakna bersedia untuk kematian dulu, baru nak buat kerja. Kalau begitu, sampai bila-bila pun masalah denggi tidak akan selesai, "luah Amin dengan rasa kesal yang amat.

Kalau prosedur itu diteruskan, bermakna masalah kematian yang berpunca dari denggi tidak akan selesai. Malah aedes akan terus membiak dengan selesa, manakala mangsa denggi akan sentiasa ada sampai bila-bila.

Begitulah pengalaman Amin yang aku cuba catatkan di sini. Yang sepatutnya tidak terus menjadi amalan pihak yang terbabit.

Sepatutnya sesuatu tempat yang sudah diketahui ada aedes, sepatutnya juga persekitaran itu perlu disembur asap sebelum ada yang jadi mangsa denggi.

Seperkara lagi, bila Amin ceritakan peristiwa itu kepada beberapa orang rakannya yang lain, tahu apa reaksi mereka?

"Kalau kat rumah aku ada banyak nyamuk pun, tak naklah aku laporkan. Silap-silap aku pula yang kena saman," begitu kata mereka.

Kalau begitu? Akan selesaikan masalah nyamuk aedes yang berbahaya itu?.

Nota: Coretan ini bukan untuk memburukkan sesiapa, tapi sekadar renungan demi kebaikan bersama.

"Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?"

Fikir-fikirkanlah...

Monday, June 8, 2009

SEJENAK:

JOM KITA BERFIKIR...


Dalam sehari berapa banyak anda berfikir?

Dan setiap kali sesuatu yang perlu anda berfikir, berapa lama masa diperlukan?

Berfikir -tidak kiralah berapa banyak kita melakukannya dalam sehari, atau berapa lama masa diperlukan, kita seharusnya perlu berfikir untuk memenuhi keperluan sesuatu yang kita fikir.

Selagi kita mampu berfikir, dan ada kalanya sesuatu yang kejadian yang memerlukan kita berfikir, itu menandakan otak kita masih mampu berfungsi.

Bagi sebilangan kita, berfikir itu amat berat. Tapi masih ada yang mampu melakukannya, dengan segala usaha mengikut keperluan untuk apa yang perlu difikirkan.

Berfikir, tidak seharusnya diabaikan.

Mengabaikan berfikir, bermakna kita tidak peka terhadap sesuatu yang memerlukan tindak balas pada fikiran kita.

Dalam menjalani kehidupan seharian mungkin banyak perkara yang perlu difikirkan.

Contohnya, setiap kali telinga yang mendengar, seharusnya ia serentak dengan berfikir. Kenapa? Agar sesuatu yang menerjah di telinga itu tidak tersalah pendengaran atau penilaian, atau tidak tersalah penerimaannya.

Begitu juga, serentak mata yang memandang sesuatu kejadian, fikiran juga perlu pantas bertugas (berjalan). Kenapa? Agar sesuatu yang dilihat itu mungkin memerlukan sesuatu tindakbalas fikiran, atau supaya mata dan akal tidak tersalah tafsir dengan apa yang telah dilihat itu.

Berfikir, walaupun tidak semudah mengunyah dan menelan makanan, namun tidak seharusnya dipandang remeh.

Sekalipun ia sesuatu yang negatif atau melampaui moral kemanusiaan, perlu juga difikirkan, lebih-lebih lagi dalam siatuasi yang memerlaukan kita berfikir.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Jangan berfikir apa yang difikirkan itu tidak perlu difikir. Maka terfikirkah kita sebagaimana keperluan yang difikirkan?"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tuesday, June 2, 2009

KERANA MAT BANGLA

Malang seorang rakanku. Seorang usahawan muda yang semakin maju.

Dua minggu lepas dua orang Mat Bangla yang bekerja dengannya telah menghilangkan diri. Kedua-duanya cabut lari tanpa alasan diberi. Membuatkan rakanku itu amat susah hati.

Gaji setiap bulan tetap dibayar. Tapi kedua-dua Mat Bangla tu sengaja cari onar.

Rakanku telah pun buat laporan kepada pihak yang berkenaan. Namun sampai sekarang tiada apa-apa perkembangan.

Dua bulan kemudian dia terjumpa salam seorang Mat Bangla itu di sebuah tempat yang pernah dikunjunginya. Tapi Mat Bangla itu buat muka selamba dan macam tak ada terjadi apa-apa.

Rakanku menyapa dan berkata dengan nada geram; "Eh, Bangla.., berani kau lari ya? Pasport kamu berdua ada pada aku tau?".

Nak tau apa Mat Bangla tu jawab?

"Apa aku heran. Kau ingat kalau tak ada pasport, kami tak boleh hidup? Tak boleh cari makan ka? Mana-mana pun kami boleh cari makan la..," begitu jawab Mat Bangla itu dengan selamba.

Kemudian Mat Bangla itu terus berlalu.

Rakanku makin geram. "Kita, kalau nak bergerak ke mana-mana, risau kalau tak bawa i/c. Sedangkan ini negara kita. Tapi diorang sikit pun tak takut." dia merungut dan mengeluh.

"Apa nak heran," tingkah seorang lagi rakanku dengan pantas. "Di negara kita ni orang luar boleh buat apa saja. Kau tengoklah di sekeliling kita. Tapi kalau orang kita... " tingkah rakanku itu lagi yang tak tergamak untuk meneruskan kata-kata. Hanya kepalanya yang tergeleng-geleng.

Aku yang nak tersenyum, tapi tak jadi tersenyum, bila mengingatkan betapa ramainya Mat Bangla yang bekerja di sebuah tapak pembinaan yang berhampiran dengan tempat tinggalku. Ada kalanya mereka melalui jalan di sebelah kediamanku untuk berulang-alik ke kedai.

Hiss.., risau juga hati kecilku ini.
Risau jikalau mereka tergamak melakukan sesuatu yang tidak diingini yang boleh mengganggu ketenteraman komuniti di taman perumahan tempat tinggal kami.

Kami hanya mampu berdoa. Mudah-mudahan tiada apa-apalah yang akan berlaku.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Enggan memahami perasaan orang lain adalah satu tindakan yang tidak baik. Namun jika terlalu akur akan perasaan orang lain juga boleh menyebabkan terjadinya sesuatu yang tidak baik,"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Thursday, May 28, 2009

AKU AKAN KE POLISAS

Sabtu (30 Mei 2008). Aku akan ke Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Semambu, Kuantan. Untuk menemui seseorang.

Pukul 9 pagi atau 10 pagi aku perlu ada di sana.

Untuk tidak terlewat sampai sebagaimana waktu yang dijanjikan, aku perlu bertolak dari rumah sebelum pukul 6 pagi.

Aku suka ikut Muadzam Shah. Selesa. Tidak sibuk dengan kenderaan. Di kanan dan kiri jalannya diredupkan dengan tumbuh-tumbuhan hijau merimbun. Memandu pun tidak membosankan.

Aku memang kerap ke sana. Apa yang aku musykilkan ialah, dari Gambang hingga ke Semambu, tiada satu pun aku temui papan tanda yang menunjuk arah ke Polisas.

Hanya satu papan tanda yang agak besar terpacak selepas jalan susur ke Polisas. Papan tanda itu tidak membantu kepada sesiapa yang belum biasa ke Polisas.

Lagipun, Polisas agak tersembunyi dan jauh ke pinggir hutan yang berbukit. Terlindung dari jalan utama.

Sepatutnya disediakan beberapa papan tanda menunjuk arah ke Polisas di tepi-tepi jalan utama, sama ada dari Gambang atau dari bandar Kuantan.

Sudah hampir setahun aku kerap ke sana, dan aku tertanya-tanya kenapa tiada papan tanda itu? Sedangkan 'penghuni' Polisas datangnya dari seluruh negeri di Malaysia.

Aku yang pertama kali ke sana, kira tersesatlah juga. Kerana belum biasa. Mungkin rama juga 'pendatang' lain yang pertama kali ke Polisas mengalami nasib yang serupa denganku. Aku tak nafikan.

Di manakah silapnya? Sebuah politeknik yang besar, tapi terabai dengan penunjuk arah untuk para pengunjung? Adakah kerana kelalaian? Tidak ambil kisah? Atau pakai ambil mudah?

Sekadar teguran untuk kebaikan bersama.


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Aturkan setiap langkahmu biar berarah. Jika ia tidak berarah, kamu pasti akan kehilangan arah."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Monday, May 25, 2009

SEEKOR ANJING YANG TETAP ANJING

Seekor anjing yang sedang tersepit. Menyalak tak keruan.

Dia datang cuba menghulurkan bantuan. Untuk melepaskan anjing itu dari tersepit.

Sebaik selepas anjing itu terlepas. Anjing itu terus menerkamnya. Mujur dia sempat mengelak.

Anjing itu masih berkeliaran. Terlalu kelaparan dan kehausan.

Masih juga ada simpati di hatinya.

Dia mendekati anjing itu dan menghulurkan sebekas makanan. Tiba-tiba anjing itu menerkamnya sekali lagi. Kali ini tangannya terluka.

Dia merungut dan menyumpah-nyumpah sambil menahan kesakitan.

Dan buat sekian kalinya, dia benar-benar menyesal mendekati anjing itu.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Jika kamu disukai seribu orang, itu adalah biasa. Tapi jika kamu dibenci oleh setiap orang, itu amatlah luar biasa."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Thursday, May 21, 2009

RUNGUTAN SEORANG RAKAN

Seorang rakanku merungut dalam marah. Katanya, di pejabat tempat kerjanya ada dua tiga ekor mawas yang suka mencari dan 'mencipta' kesalahan orang lain.

Antara dua tiga ekor mawas itu, ada yang tak tinggal sembahyang ( semasa di pejabat, di rumah tak tahulah).

Apa yang orang lain buat semua tak betul. Kononnya mawas-mawas itu saja yang betul dan tahu buat kerja.

Kalau ada kawan-kawan lain yang berurusan dengan orang luar yang berkaitan dengan tugas, dituduhnya kawan-kawan lain itu buat perkara tak betul. Dibuat cerita dan dituduh melulu. Pada hal kawan-kawan lain tak buat pun macam tu. Mereka tahu dosa pahala.

Ketika mawas-mawas itu pernah berurusan dengan orang luar memang mereka ada buat perkara-perkara tak betul. Jadi mawas-mawas itu ingat orang lain pun buruk perangai macam mereka juga.

"Walaupun kawan-kawan lain tahu perangai buruk mawas-mawas itu, tapi malas nak bising. Malas nak ambil tahu. Mereka buat dosa, mereka tanggunglah sendiri. Jadi mawas-mawas itu ingat orang lain tak tahu perangai buruk mereka. Itu sebab mawas-mawas itu rasa kononnya mereka baik dan suci. Hampeh..!" ujar rakanku itu sambil menahan geram.

Pesanku kepada rakanku itu: Katakan pada mawas-mawas itu, "Sudahlah tu, jangan nak tunjuk baik. Jangan ingat orang lain tak tahu apa yang kamu pernah buat. Jangan ingat orang lain pun perangai buruk macam kamu. Cermin dulu muka-muka kamu tu..!"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Orang yang pernah kita benci, tidak mustahil kita boleh menyayanginya. Dan orang yang kita pernah sayang, tidak mustahil dia akan membenci kita."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Friday, May 15, 2009

RUNGUTAN SEORANG SUAMI

Seorang rakanku pernah merungut berjela-jela
Sejak kebelakang ini isterinya macam 'gila kerja'
Rumaahtangga, dia, anak-anaknya jadi nombor yang entah ke berapa
Namun katanya, bukan bermakna si isterinya lupakan mereka.

Kalau fasal kerja di pejabat isterinya nak sempurna
Fasal rumahtangga kira ambil ada saja
Kadang-kadang masak di rumah kadang-kadang beli bungkus saja
Dia macam jadi keliru dan tertanya-tanya
Sudah tidak pentingkah dia dan anak-anak di mata isterinya?

Rakanku terus merungut-rungut lagi
Aku pula jadi pendengar sejati
Kalau buat tak tahu nanti dia berkecil hati
Katanya, dia pernah menyuarakan rasa tak puas hati
Moga isterinya akan faham dan mengerti
Sebaliknya teguran itu tak boleh diterima si isteri
Malah isterinya buat macam tak peduli
Tiga hari dia tak ditegur isteri
Tapi rakanku terus juga menyapa itu dan ini
Buat macam tak ada apa-apa terjadi
Sedangkan dalam diam dia termakan hati
Memikirkan sikap dan tingkah si isteri.

Kasihan, wajah rakanku tak seceria macam dulu lagi
Macam ada masalah besar yang terpaksa ditanggungi
Aku? Sekadar tumpang bersimpati
Dan sekadar mampu geleng kepala berkali-kali.

Persoalan: Apakah itu tanda-tanda si isteri
mula tidak berminat akan hal-hal rumahtangga lagi
dan riak-riak akan berubahnya hati
serta keretakan rumahtangga sedia menanti..?

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Kehidupan itu memerlukan kasih sayang yang berterusan. Namun jika tiada kasih sayang tak bermakna kehidupan itu tak mampu diteruskan."
^*******************************^

Wednesday, May 13, 2009

ANAK MEREMPIT, IBU YANG SAKIT..!

Seorang ibu meraung (menangisi), mengiringi anak lelakinya yang diheret ke mahkamah kerana kesalahan merempit.

Kasihan si ibu. (Mungkin malu dan kesalnya tak terkata).

Namun siapakah yang tergamak menghulurkan simpati pada si ibu itu, sedangkan anaknya sendiri tidak bersimpati terhadap ibunya, sanggup memperbodohkan diri dengan melakukan perbuatan haram yang menjijikkan..!

'JAUHI REMPIT, KERANANYA BERPUNCA BANYAK PENYAKIT..!'

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
SEKEHLOGI

"Seseorang itu menjadi lebih cerdik bukan kerana dia memiliki lebih ilmu. Tetapi kerana dia tahu mempergunakan ilmu yang dimilikinya itu."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Saturday, May 9, 2009

KEMULIAAN IBU

KASIHMU TAK TERSISIH
*
Siapa lagi insan yang seharusnya dihormati dan dikasihi sepanjang hayat..?
Dialah insan bernama ibu yang seharusnya dimuliakan darjat.

Siapa lagi insan yang peranan dan jasanya tiada tolok bandingan?
Dialah wanita bergelar emak yang martabatnya teramat tinggi di persada kehidupan.

Siapa lagi insan yang mendidik anak-anak sedari tapak kaki sebesar dua jari
dengan kepayahan yang tak pernah berbangkit?
Dialah insan bergelar mama yang tidak pernah mengenal susah dan sakit.

Siapa lagi insan yang menjadi tempat mengadu dan bermanja kasih?
Dialah wanita bergelar ummi yang cinta sayangnya tidak pernah tersisih.

Siapa lagi insan yang Allah perintahkan kita berbuat baik serta menjaga dan memeliharanya sehingga ke umur tua?
Dialah wanita berhati mulia lagi sejati yang tidak pernah meminta kita menilai dan membalas jasa-jasanya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
SEKEHLOGI:
"Martabat seorang ibu itu teramatlah tingginya. Jika ada anak-anak yang tidak tahu mengenang jasa ibu, di manakah letaknya martabat anak-anak itu?"
*
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Wednesday, May 6, 2009

MAT REMPIT...

GEJALA YANG MENGHANCURKAN NEGARA

Kenapa perlunya merempit? Apakah faedahnya..?

Kalau tak ada faedah takkan mereka merempit. Faedahnya ialah dapat 'alat' untuk memuaskan nafsu secara percuma. Alat itu ialah minah rempit, gadis bohsia dan 'barangan pemuas nafsu' terbaru mat rempit ialah 'cikaro' atau gadis bawah umur.

Kerana itulah mereka beriya-iya merempit. Dapat hadiah syurga dunia secara percuma.

Nampaknya hadiah yang mereka terima dengan kemenangan merempit lebih hebat daripada hadiah yang dianugerahkan oleh pihak berkuasa sekiranya mereka didapati salah merempit. Mana tidaknya, mereka tetap akan terus memburu hadiah 'syok' itu.

Walaupun apa hadiah dan keseronokannya, merempit tetap perbuatan kurang ajar yang menyusahkan ramai orang, yang juga boleh menghancurkan negara sekiranya tidak ditangani dengan sempurna.

Bermula dengan merempit, kaitannya ialah bergaduh, meyamun, merompak, merogol dan sehingga sanggup pula membunuh.

Kaki rempit pula telah merebak kepada remaja bawah 16 tahun. Terlalu mentah, tapi telah terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral dan memalukan bangsa.

Perbuatan merempit yang membimbangkan ini perlu ditangani dengan sebijak dan setangkas mungkin. Perlu dihapuskan sehingga 'ke titisan darah terakhir'. Kerana kewujudannaya cukup 'menyeksakan' orang ramai.

Ibu bapa usah pandang remeh perbuatan ini. Ambil tahu mengenai pergerakan anak-anak anda. Usah lepas tangan begitu saja. Padahnya tertanggung di pundak anda sudahnya.

Dan pihak berkuasa pula, kalau ibu bapa mat-mat rempit itu perlu dihukum atas sikap tidak ambil tahu tentang anak-anak mereka, teruskanlah dengan hukuman yang difikirkan berpatutan sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, keperluan undang-undang dan hukuman yang tegas perlu untuk mengatasi perbuatan tidak bermoral dan bermaruah itu daripada terus menular dan berleluasa sehingga membebankan negara.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Bunuhlah musuh itu dengan senjata apa dan apa cara sekalipun, asalkan musuh itu tidak membahayakan kita."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Friday, May 1, 2009

HARU-BIRU

REMAJA CELARU
Remaja kita makin celaru
suka buat perkara yang haru biru
jalan yang salah terus dituju.
**
Salah dan silap tak pernah nak ingat
susah pula nak dengar nasihat
silap-silap jadi budak jahat.
***
Remaja keliru kurang bimbingan agama
belajar di sekolah pun tak bermakna
cikgu mengajar dia ternganga.
**
Mak bapak pun dia boleh kelentong
tak kira tempat terpekik terlolong
macam hilang akal terasuk polong.
***
Keluar petang balik awal pagi
nasihat mak bapak langsung tak peduli
astaghfirullah al-azim... takut terbuat benda terkeji.
**
Dalam banyak-banyak perkara yang elok
benda tak elok juga yang dia ikut
dah rasa gah bila dapat sedut rokok.
***
Bila hidup dah makin celaru
otak pun jadi beku dan keliru
hidup tak ke mana akhirnya mati kutu.
**
Usah dicari kebencian orang
ke mana tak selamat langkah pun kecundang
segeralah mencari jalan pulang.
***
Kalau terpesong kembali ke pangkal jalan
buat yang baik demi kebaikan
selalu-selalulah ingatkan Tuhan.
**
Berkawan berpada-pada
usah berkawan ikut sesuka
tersilap kawan boleh bawa celaka.
***
Buatlah benda yang berfaedah
mak bapak pun tak rasa gundah
sedara-mara dan rakan sekampung tumpah bermegah.
**
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
***
SEKEHLOGI
**
"Berhati-hati itu senjata budiman.
Kelalaian itu adalah senjata makan tuan."
***
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^