Thursday, November 27, 2008

SAJA NAK CERITA - 5

JULIAN CHER @ NUR HIDAYAH CHER

Part: 2

Nur Hidayah Cher Abdullah. Satu nama baru dalam hidupku. Juga satu igauan baru dalam jaga dan lenaku.

Persahabatan kami yang menjangkau hampir lapan bulan telah tercatat pelbagai kenangan dan pengalaman. Aku sedar dia menyukaiku. Sebagaimana aku menyukainya.

Aku telah menanamkan niat yang murni dalam hatiku. Aku ingin menyuntingnya sebagai suri hidupku. Namun masih lagi aku merahsiakannya.

Nur Hidayah kian mendalami ilmu agama Islam hari demi hari tanpa rasa jemu. Sejak memeluk Islam, solat tidak pernah diabaikan.

Dan dia tidak lagi tinggal bersama keluarganya di Petaling Jaya. Dia tinggal menyewa dengan seorang rakan sekerjanya. Tujuannya supaya dia lebih mudah dan selesa untuk menunaikan solat, mempelajari rukun dan hukum Islam dengan lebih mendalam dan belajar mengaji al-Quran. Kerana dia masih lagi merahsiakan tentang dirinya yang sudah Islam itu kepada kedua ibu bapa dan adik-beradiknya.

Dia masih mencari waktu yang sesuai untuk berterus-terang kepada ahli keluarganya.

Walaupun Nur Hidayah mempunyai seorang ustazah yang akan membantunya mendalami Islam, aku masih juga menjadi tempat rujukannya pada waktu-waktu tertentu. Tak mengapa, aku rela membantunya setakat yang termampu.

Kesempatan ibu mengunjungiku di Kuala Lumpur, aku juga sempat memperkenalkan Nur Hidayah kepada ibu.

Aku ceritakan pada ibu siapa Nur Hidayah sebenarnya. Tapi aku tak beritahu yang aku sukakan gadis Cina yang telah memeluk agama Islam itu. Aku cuma katakan dia hanyalah kawanku.

Selebihnya mengenai Julian Cher @ Nur Hidayah Abdullah?

"Cantik budaknya..!" ujar ibu. Ringkas.

Pelik. Ibuku tak pula bertanya lebih-lebih mengenai Nur Hidayah. Kenapa ya..? Terfikir juga aku dibuatnya.

Ya. Dia yang kupanggil Nur itu memang cantik. Sekali pandang tak ada rupa Cina langsung. Macam Melayu campur orang putih. Tapi lebih pada rupa Melayu yang berkulit kuning langsat. Cakap Melayu pun langsung tak pelat.

Rakan-rakanku yang mengenali Nur Hidayah, semuanya memberi cadangan supaya aku jadikan gadis itu sebagai isteriku. Serupa seperti apa yang terniat dan terpendam dalam hatiku.

Bersambung lain kali...

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

NAFSU DAN AKAL

Nafsu dan akal tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya sama perlu dan seharusnya digandingkan dalam kehidupan, terutamanya dalam usaha mencari jodoh.

Dalam pada itu, perlu juga diingat bahawa akal itu seharusnya dipimpin oleh keteguhan iman yang mampu membataskan keinganan yang baik atau sebaliknya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHAN MINDA

"Kenapa sanggup memikul amanah dan kepercayaan, sedangkan pada hakikatnnya tingkah laku diri yang ditonjolkan ialah menggambarkan pengkhianatan terhadap amanah dan kepercayaan itu."

*******************************************************************

Monday, November 24, 2008


SAJA NAK CERITA - 4

****************************************************************
JULIAN CHER @ NUR HIDAYAH CHER

(Part 1)

Nama asalnya Julian Cher. Aku mengenalinya secara tak sengaja. Telefon yang aku dail tersalah nombor- singgah di tempat dia bekerja. Kebetulan dia yang menjawabnya.

Ketika itu aku masih bekerja sebagai editor disebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur. Dia pula bertugas sebagai wartawan di sebuah syarikat penerbitan majalah di Petaling Jaya.

Dari perhubungan yang tak sengaja itu, kami mula berhubungan dengan sengaja. Kemudian berkawan. Dari kawan biasa, menjadi kawan tapi mesra.

Sejak berkawan denganku, dia banyak bertanyakan mengenai Islam padaku. Apa saja yang dia tak faham mengenai hukum-hukum Islam, akulah yang menjadi tempat rujukannya. Alhamdulillah.., apa saja yang dia tanya itu aku dapat memberikan jawapan dan penerangan dengan sebaik-baiknya.

Sebelum itu, memang dia sudah berminat dengan Islam. Itulah yang dia ceritakan padaku. Tapi sejak mengenali aku, dia semakin berminat untuk mengetahui apa saja yang berkaitan dengan rukun dan hukum Islam.

Hari demi hari, minatnya terhadap agama Islam semakin mendalam. Aku turut memberikan sokongan. Aku membelikan untuknya beberapa buah buku yang berkaitan dengan rukun dan hukum Islam. Dan buku-buku lain yang berkaitan dengan ajaran Islam.

Dan dia pernah berhasrat untuk memeluk agama Islam. Itulah yang dia nyatakan padaku. Aku semakin memberikannya dorongan.

Demi sokonganku yang ikhlas padanya, aku telah memperkenalkan dia dengan seorang ustazah yang aku kenali. Melalui ustazah itu, dia semakin mendalami ilmu mengenai Islam dengan lebih mendalam lagi.

Aku juga telah menghadiahkan padanya beberapa keperluan yang digunakan untuk bersembahyang. Dia begitu gembira.

Dalam diam aku mula suka padanya. Suka lebih daripada seorang kawan. Namun hasratku itu masih rahsia. Kami masih berkawan biasa.

Beberapa hari sebelum memeluk Islam, dia beritahu padaku yang dia mahu tukar namanya kepada Juliana Cher Abdullah. Tapi dia masih memerlukan pendapatku, adakah aku ada cadangan nama lain untuknya.

Lalu aku katakan, aku suka kalau dia gunakan nama Nur Hidayah Cher Abdullah.

Dia setuju dengan nama itu. Lalu nama itulah yang terpakai setelah dia memeluk Islam setelah hampir enam bulan dia mengenaliku.

Aku bersyukur yang amat. Hasratku untuk menjadikan dia sebagai suri hidupku semakin mendalam.

Bersambung akan datang...

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

JANGAN ADA PENYESALAN

Dalam segala aspek kehidupan, amatlah perlu bagi seseorang itu bertindak mengikut jalan yang diredhai Allah. Kerana jika tidak, suatu penyesalan yang lahir kemudiannya akan mendatangkan keburukan yang sukar untuk diterima.

Begitu juga dalam memilih jodoh atau teman hidup. Agama melarang jika pemilihan yang dibuat itu semata-mata mengikut kehendak nafsu.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHAN MINDA

"Lidah boleh memuliakan dan mengangkat maruah seseorang. Malah lidah juga mampu membawa kejayaan seseorang. Dan dalam masa yang sama, lidah juga mampu untuk menghina dan menjatuhkan seseorang."

*******************************************************************

Friday, November 21, 2008

LEBIH DAN KURANG

***********************************

Ada kalanya dalam dunia hari ini
kelebihan orang sukar untuk kita puji
malah kelemahannya juga yang kita cari-cari
demi memuaskan busuknya hati
termakbullah sikap hasad dan dengki.
**
Kekadang pula ada yang terjadi
yang terpilih dan dipuja puji
bukannya ada kelebihan atau kelayakan diri
tetapi kepintaran bodek berapi-api
dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
***
Kerana mengejar kehendak hati
tetapi kemampuan tak ada bukti
sanggup pula menenderkan diri
yang dah berlaki sanggup main kayu tiga segi
yang dah ada bini menduakan isteri
yang dara bujang atau janda ada cara tersendiri
yang penting tercapai matlamat diri
terhidang setiap yang dihajati
dosa pahala ditepis ke tepi
macamlah dia tak akan mati
kalau tak sempat taubat sebelum pergi
tanggunglah dosa sendiri.
**
Tetapi tak semua yang buta hati
ramai juga yang tulus berbakti
namun nasibnya tak dipeduli
terpinggir membawa diri
sebab utamanya tak ada kabel sejati
orang atasan pula ilmu tak ke tengah ke tepi
tak tahu nak bezakan antara permata dan daki
maka haru birulah yang menanti
sampai kiamat masalah gini bersilih ganti.
***
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
***
* SEKEHLOGI *
**
NAFSU
***
Nafsu adalah pemberian Tuhan yang diertikan sebagai keinginan. Dengan fungsinya mendesak akal untuk bertindak agar sesuatu keinginan itu dapat diperolehi atau dimiliki oleh manusia.
Nafsu juga adalah pendorong untuk memberikan semangat, sehinggakan sesuatu yang dirasakan sukar menjadi senang di kemudiannya.
Namun segala keinginan pada sesuatu itu tidak semestinya diterima tanpa diselidik atau dibuat penelitian terlebih dahulu. Sebaiknya segala urusan dan tingkah laku di dunia dan untuk akhirat, biarlah berpedomankan ajaran Allah.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
***
* SEKEHAN MINDA *
**
"Tidak semua yang sempurna itu akan menjadi milik kita, walaupun kita terlalu mengharapkan pada kesempurnaan itu."
***
**********************************************

Thursday, November 20, 2008

Flasbback

**************************************************************
SAJA NAK CERITA (3)

(Hatiku Luka Lagi...)

Biarlah aku perkenalkan namanya sebagai M. Aku mengenalinya secara tak sengaja. Masa tu aku ikut rakan serumah sewaku, A, berkunjung ke rumah sewa jiran sekampungnya, Z, di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Aku baru setahun bekerja di KL selepas tamat pengajian. Masa tu aku bekerja di jabatan J.

Hari itu, adalah hari pertama aku dan A ke rumah sewaan Z. A yang mengajak aku menemaninya.

Dan melalui Z, aku dapat tahu tiga orang gadis lagi tinggal di rumah sewaan itu.

Masa tu, hanya Z yang melayan aku dan A. Yang lain-lain bersembunyi dalam bilik masing-masing. Malu atau segan agaknya.

"Panggilah yang lain-lain keluar. Boleh kita sembang-sembang dan berkenalan..." ujar A kepada Z dengan suara yang sedikit kuat. Sengaja nak suruh gadis-gadis yang bersembunyi itu dengar. Lagi pun A sengaja nak mengusik.

Z beredar menemui rakan-rakan serumahnya itu. Aku tak tahulah apa yang Z cakapkan pada mereka. Lebih kurang 10 minit kemudian, seorang demi seorang keluar berkenalan dengan kami. Hmm... manis-manis...

Sewaktu keluar gadis yang terakhir, hatiku tiba-tiba berdetik. " Aduh.., cantiknya dia..."

Dan dia itulah M.

Lebih kurang sejam berada di rumah itu, aku dan A minta diri.

Sewaktu di dalam kereta, aku beritahu A bahawa aku suka tengok M.

"Aku dah jatuh cinta kot," ujarku pada A.

A hanya tergelak besar. Rupa-rupanya A juga berkenan pada M. Tapi disebabkan aku bersuara dulu, maka A sudi untuk mengalah.

Sejak itu, aku kerap hubungi M yang bekerja di jabatan P. Aku juga kerap ke rumah sewaan M dengan bertemankan A. Tapi aku dan M lebih banyak berhubung dan berbual melalui telefon.

Dan sedar tak sedar, hampir tujuh bulan aku mengenali hati budi M. Hatiku berkata, aku sudah jatuh cinta padanya.

Ternyata aku tidak bertepuk sebelah tangan. Rupa-rupanya M merasai seperti apa yang aku alami. Sesungguhnya kami saling perlu memerlukan...

Suatu hari, M cadangkan agar aku ikutnya pulang ke kampungnya, untuk bertemu dengan neneknya. M memang dipelihara oleh neneknya sejak kecil, walaupun kedua ibu bapanya masih ada. Aku setuju dengan cadangan M, sebagai bukti cintaku padanya.

Tapi sehari sebelum bertolak ke kampungnya, M berterus-terang padaku yang sebenarnya dia telah pun bertunang dengan pemuda kampungnya.

Berderau darahku. Berpinar pandangan mataku. Terasa lemah seluruh tubuhkuku. Apakah benar apa yang aku dengari itu...? Ya Allah... kuatkan imanku...

M mengaku kesilapannya kerana tak berterus terang padaku dari awal. Alasannya kerana dia sukakan aku. Dia mencintai aku. Dia tak mahu kehilanganku. Sedangkan jejaka tunangannya itu adalah pilihan neneknya. Mereka bertunang sebelum M berhijrah ke KL.

M tetap mendesak aku menemui neneknya. Tujuannya, dia mahu berterus-terang pada neneknya bahawa dia telah menemui jejaka idaman hatinya, iaitu aku. Itulah alasan untuk dia putuskan pertunangannya dengan jejaka itu. Berjurai-jurai air amata M mendesak dan memujukku. Oh.., aku terharu dan pilu...

Kata M, kalau aku ikut pulang bersamanya, menunjukkan kami sudah saling menyintai. Dan cinta kami yang utuh itu tak bisa lagi dipisahkan. Itulah bukti yang akan ditunjukkan pada neneknya.

Aduh.., aku jadi haru. Haru dan keliru. Keliru dan terharu.

Namun dalam keharukeliruan itu, akalku masih waras. Waras untuk membuat keputusan. Keputusan yang kufikirkan bernas.

Demi cintaku dan keikhlasan hati lelakiku, aku tak sanggup mengecewakan insan sejenisku. Aku tak sanggup merampas M yang sudah pun menjadi milik insan lain itu.

Aduh.., waras dan bernaskah keputusanku itu..? Aduhai... malangnya badan...!

Apakan daya.., aku harus menerima hakikat, mungkin tiada jodoh antara aku dan M.

Semoga berbahagia M dengan insan pilihan neneknya itu.

Dan dalam masa yang sama, aku mendapat tahu Z mencintaiku dalam diam. Tapi bila dia dapat tahu aku mencintai M, dia teramat sedih dan berdukacita.

Walaupun terkecewa dengan M, aku tak dapat menerima Z. Maafkan aku...

Agak lama juga aku mengalami derita hati terluka. Sudah nasibku agaknya.

Berita terbaru yang aku terima, hidup M agak bahagia juga. Namun hidup Z sedang bergelumang dengan perbagai masalah dan penderitaan yang teramat menyeksakan, akibat terkahwin dengan Mat Dadah.

Astaghfirullah-al-azim... aku amat bersimpati...

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHAN MINDA

"Usah menyesal jika kita kehilangan sesuatu yang kita rasakan amat berharga. Mungkin ada hikmat di sebalik kehilangan itu, yang mana kita mungkin akan diketemukan dengan sesuatu yang lebih bernilai dan berharga daripada sebelumnya."




Monday, November 17, 2008

ADA APA PADA DIA..?

Dunia hari ni macam-macam cerita
manusia pula macam-macam ragam dan rupa
ada yang sanggup buat apa saja
asalkan tercapai apa yang dicita
bukannya dikira dosa atau pahala
perkara tak betul pun bermaharajalela.
***
Ada orang walaupun tak ada apa-apa
tapi pandai bercakap dan mahir bermuka-muka
dia juga tahu serba sedikit mengada-ngada
kulit muka tebal berdepa-depa
bodek sana sini dengan muka selamba
tak peduli orang anak kata apa
janji jarumnya berjalan dan berbisa
maka dia pun jadi berguna
diangkat seumpama manusia mulia
dihormat dan dipuji berjela-jela
macam dialah paling bagus dalam dunia
pada hal habuk pun tak ada.
**
Orang sebegini sebenarnya berbahaya
walau tak layak tapi diberi kuasa
bila berkuasa dia ada agenda
kepentingan diri lebih utama
diberi kepercayaan tersembunyi rahsia
dia sendiri yang tahu maksudnya
lantas kejujujuran entah ke mana
amanah dijunjung tidak bermakna.
***
Orang sebegini akan merosakkan segalanya
kerana keuntungan diri yang lebih dikira
yang salah ditutup sebelah mata
demi kepentingan diri semata-mata.
**
Bila orang sebegini diberi kuasa
maka akan musnahlah kemuliaan agama dan bangsa
yang laknat dijadikan mulia
yang elok dianggap tak berguna.
***
Maka disebabkan setitik nila
agama dan bangsa menjadi mangsa
di sana sini dicaci dicela
semuanya kerana si bangsat durjana.
****
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
**
PSIKOLOGI
**
(MENGENAL DIRI SENDIRI)
***
NAFSU
**
Manusia adalah makhluk Allah yang sebaik-baik kejadian dan dikurniakan kelebihan yang tiada bandingannya. Semuanya adalah semata-mata untuk kebahagiaan dalam kehidupan yang ditempuhinya selagi hayat dikandung badan.
Manusia dianugerahkan dengan akal dan nafsu.
Dengan akal, manusia dapat berfikir dan berikhtiar untuk mencari sesuatu yang lebih baik dan berguna untuk dirinya. Segala yang dilihat, didengar dan dialami akan dipertimabangkan terlebih dahulu, sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Manusia yang berakal tidak akan mudah menerima apa saja sesuatu itu tanpa berfikir panjang. Seharusnya sesuatu itu akan diselidik demi untuk kebaikan dirinya serta orang yang berkaitan dengannya.
Bersambung...
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
****
SEKEHAN MINDA
**
"Sesuatu yang baik dan sempurna bagi kita, tidak semestinya baik dan sempurna bagi orang lain. Kerana kita sebenarnya tidak tahu perkara baik atau sempurna yang telah kita lakukan, sehinggalah orang lain akan menilaikannya."
****
*********************************************************************

Monday, November 10, 2008

SAJA NAK CERITA (2)

Di petang itu, ketika lelaki itu termenung tak menentu, tetiba dia teringat akan secebis kisah dan pengalaman lamanya. Ketika dia menjalani praktikal di sebuah syarikat swasta di Kuala Terengganu.

Setiap kali masa rehat tengah hari, lelaki berkulit cerah sikit dari sawo matang itu akan mengisi perut di sebuah restoran di bandar itu. Lepas itu dia akan lepak seketika di stesen bas Kuala Terengganu (kebetulan ofis tu dekat-dekat situ juga), sementara menunggu waktu masuk ofis semula.

Hari tu, nak dijadikan cerita, datang seorang bisu mendekati lelaki itu. Lelaki bisu bertanyakan 'waktu' pada lelaki itu dalam bahasa isyarat. Lelaki itu faham apa yang ditanya Si Bisu. Cuma dia tak tahu nak jelaskan pada Si Bisu dalam bahasa isyarat yang ketika itu adalah pukul 1.45 tengah hari. Lalu lelaki itu hanya menghulurkan lengan kirinya yang 'berjam' itu ke depan muka Si Bisu.

Si Bisu angguk, senyum dan ucapkan terima kasih dalam bahasa isyarat.
(Nota: Jangan salah faham, Si Bisu angguk dan senyum tak gunakan bahasa isyarat).

Keesokannya, lelaki berambut lebat kehitaman itu didatangi lagi oleh Si Bisu sewaktu di stesen bas itu. Hajatnya masih sama, bertanyakan waktu. Tapi yang lebihnya kali ini, Si Bisu bercakap dengan lelaki itu menggunakan bahasa isyarat yang semakin banyak.

Lelaki itu memang susah nak faham bahasa isyarat Si Bisu. Lalu dia mengeluarkan pen dan mencatat di atas kertas yang sentiasa terdapat dalam poketnya itu dengan perkataan: "Saya tak faham apa yang awak cakap."

Lalu Si Bisu membalas coretan itu dengan coretan juga. (Maksudnya, kedua-dua lelaki tak bisu dan lelaki bisu itu berbual dengan menggunakan tulisan. Sambil sesekali menggunakan bahasa isyarat yang mudah mereka fahami).

Ternyata mamat yang tergolong OKU itu suka bercakap dan pandai bercerita. Seminggu lelaki itu mengenalinya, bagaikan kedua-duanya sudah lama berkenalan.

Setiap kali berulang alik dari ofis tempatanya menjalani praktikal ke stesen bas tu, lelaki itu akan melalui di depan sebuah pasar raya besar yang berdekatan dengan stesen bas tersebut.

Dengan tak pernah lelaki itu menduga sama sekali, suatu hari tu, dalam perjalanan untuk ke ofis semula selepas makan tengah hari dan selepas lepak seketika di stesen bas, lelaki yang tak bisu itu telah dipanggil dan dihalang oleh seorang gadis jurujual di pasar raya itu. Peristiwa itu berlaku di depan pasar raya tersebut. Lelaki itu yang agak terkaget dan terkejut dengan tindakan gadis yang tergolong cantik manis itu, hanya terkebil-kebil.

"Dia salah orang ke?" bisik hati kecilnya.

Tapi sebaik saja lelaki itu hampir dengan gadis itu, lantas tangan kirinya dengan tak semena-mena terus ditarik oleh si gadis sambil berjalan masuk ke bahagian dalam pasar raya itu. "Siapa nak berkenalan dengan abang bisu ni... hensem...!" kata gadis itu kepada beberapa orang gadis lain yang sekerja dengannya.

"Woi..! Hensem..!!" Sampuk si gadis lain sambil disambut gelak ketawa beramai-ramai. Sedangkan si lelaki itu semakin kaget dan kehairanan.

Namun fahamlah akan si lelaki bahawa akan cerita di sebalik tindakan si gadis tadi. Rupanya-rupanya 'aksi-aksi' antara si lelaki itu dengan Si Bisu telah menjadi perhatian si gadis tersebut. Namun si gadis itu terkeliru dan tersalah sangka. Si lelaki yang normal itu telah disangka si bisu.

Maka, untuk menarikkan lagi cerita itu, telah terlintas di fikiran si lelaki itu untuk berterusan menyamar sebagai lelaki bisu di hadapan semua gadis manis jurujual di pasar raya tersebut.
Dan setiap kali si lelaki itu melintasi depan pasar raya itu, maka akan terdengarlah jeritan: " Bisu hensem dah datang... bisu hensem dah datang..." yang membuatkan si lelaki itu merasa kurang senang serta segan pun ada bila dipanggil begitu. Tapi nak buat macam mana, terima ajelah... ehem... ehem...

Apa yang menghairankan si lelaki itu, semua gadis itu seakan tidak berasa segan, malu atau takut kepada lelaki yang mereka sangka bisu itu. Setiap kali bertemu, mereka akan begitu mesra sekali. Malah, mereka tidak sedikit pun merasa segan untuk memegang tangan dan menyentuh lelaki itu dengan bersahaja.

Hari terakhir praktikal, barulah lelaki yang disangka bisu itu berterus-terang bahawa dia adalah lelaki yang sempurna segala-galanya...

Kesemua gadis yang tersalah sangka itu agak terkejut juga mulanya. Kerana niat lelaki itu sekadar bergurau dan mengusik semata-mata. Tiada langsung niat buruk terselindung di sebalik
tindakan berterusan menjadi si bisu...

Namun gadis-gadis itu dapat menerima jua akhinya. Mereka menjadi sahabat buat seketika... sehinggalah terputusnya hubungan tanpa khabar berita sampai kini antara lelaki itu dengan gadis-gadis tersebut, disebabkan kesibukan dan masing-masing membawa halauan tersendiri...

Nota: Lelaki itu adalah... Al-Bima Sakti... ehem... ehem.. ehem... (yang sikitpun tak pernah perasan... ) he he he he....
"Apa khabarkah kalian? Nama-nama kalian masih terpahat di kotak kenangan...
maaf, andainya ada kata-kata dan gurau senda lalu yang terguris dan terluka..."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHAN MINDA

Berbohong sekali mungkin orang tidak menyangka. Berbohong berkali-kali memang sengaja mengundang celaka.

*******************************************************************

Wednesday, November 5, 2008

************************************************

HAI... ENTAH APA-APA..!

Hai.., entah apa-apa tak taulah
cakap salah tak cakap pun susah
kalau cakap ada aje yang nak marah
bila diam boleh naik darah
angin kus-kus tak kebah-kebah
jadi semua serba salah.
<>
Harga minyak dan banyak kali berkurangan
adalah sedikit rasa kelegaan
bila fikirkan harga barangan keperluan
kembali semula semput-semputan
yang peliknya kenapa susah nak diturunkan
mungkin ada serba kelemahan dan kelembaban
dalam pengawalan dan penguatkuasaan?
<>
Memanglah berniaga nakkan keuntungan
tapi biarlah berpatut berpadan
jangan asyik nak ambil kesempatan
bila nak naikkan harga barangan
semacam tak sabar tak cukup haribulan
sesudah naik sukar sungguh nak turunkan
macam-macam kerenah dan alasan.
<>
Untuk kemudahan dan keselesaan rakyat
macam-macam diatur dan telah dibuat
tak kurang juga bermacam gelagat
tapi ada sekadar bercakap bermacam maklumat
masalah yang ada bertambah sendat
sudahnya rakyat juga terkulat-kulat
apa yang sakit tak juga terubat.
<>
Kerajaan sudah keluarkan arahan
mahu rakyat hidup kesejahteraan
mereka bertanggungjawab diberikan tugasan
biar beramanah dalam pekerjaan
hasil terbaik yang diharapkan
agar rakyat mendapat kepuasan.
<>
Masalahnya banyak kekuranagan
yang bertanggujawab tiada kesungguhan
jalan tugas seakan sambil lewaan
semacam sekadar cuci tangan
macam mana tak jadi kecaca-marbaan
yang susahnya rakyat kebanyakan
yang kena kutuk adalah kerajaan
adakah kerana diberikan kepercayaan
kepada orang yang tersalah pilihan?
Entahlah.., entah apa-apaan..!
****
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
********
PSIKOLOGI
(MENGENALI DIRI SENDIRI)
********
SIAPAKAH DIRI ANDA?
Ketika anda sedang berjalan-jalan, sama ada anda seorang atau berdua, tiba-tiba seorang lelaki yang tidak anda kenali menyapa dan menegur anda.
"Hai.., " sapanya ringkas. Serentak itu, sekuntum senyumannya yang termanis (tapi tak taulah dia hidap kencing manis ke tidak), terukir di bibirnya. Pandangan matanya yang menggoda turut terarah kepada anda.
Dalam situasi begitu, adakah anda...
1. Berasa malu
2. Menjadi serba salah
3. Dada anda berdebar-debar dengan tiaba-tiba
4. Buat tak layan dan terus berlalu
5.Tak sanggup bertentang mata dengannya.
6. Marah dalam diam dan wajah anda tiba-tiba berubah
7. Memarahinya dengan tiba-tiba dan menuduh dia kurang ajar
8. Menyahut sapaanya dan melayannya seketika.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
***
SEKEHAN MINDA
**
"Setiap yang terlarang,
sama ada yang menyalahi hukum hakam dan undang-undang,
masih ada juga yang melakukannya dengan kerelaan.
Kenapa?
Sebab tersembunyi nikmat dan keuntungan di sebalik yang terlarang itu.
Fikir-fikirkanlah..."
***
*******************************************************

Sunday, November 2, 2008

***************************************************

SAJA NAK CERITA...

Dua minggu sebelum Deepavali yang baru lalu, aku pakai satu lagi nombor telefon bimbit (017-3949xxx).

Sebelum ni memang aku dah ada nombor (016-6128xxx).

Saja nak pakai dua nombor.


Seminggu sebelum Deepavali, aku terima satu call dari pompuan India. Katanya, "Hai Shan..."

Lalu aku pun balas, "Hello.., ini bukan Shan lah..."

Pompuan tu diam seketika. Macam tak percaya. Kemudian dia kata lagi, "Hello..."

"Hello.. nii bukan Shan..." aku ulangi lagi.

Poampuan India tu terus putuskan talian.


Tiga hari sebelum Deepavali, aku terima satu lagi call. Kali ni dari lelaki India.

"Hello Shan..." ucap lelaki tu.

"Saya bukan Shan..." balasku.

"Apa? Bukan Shan..?" dia macam tak percaya. Dia ingat aku bergurau.

"Ni orang Melayu..." jelasku.

"Melayu pun sama juga," balas lelaki itu bersahaja. Mungkin dia masih ingat aku nak bergurau senda dengannya lagi.

"You ni sapa?" soalku.

Tiba-tiba dia jawab dengan suara yang agak tinggi; "Wah.., kau dah tak kenal aku ah..? Dulu kau nak pompuan, semua aku supply... aku cari untuk kau..."

Kata-kata yang diluah dengan nada suara yang agak sinis itu agak mengejutkan aku juga.

"Hello..., sorry.... you salah oranglah...!" jawabku dengan agak lantang.

Dia terdiam.

Aku putuskan talian.


Itu belum lagi tiga empat call yang aku terima, apabila aku angkat, terus aje si pemanggil tu cakap Tamil denganku. Ada rasa geli hati. Dan ada juga rasa tak senang hati...

Keesokannya hingga sehari selepas Deepavali, aku terima lebih kurang tujuh lagi SMS yang mengucapkan selamat Deepavali dalam bahasa Inggeris dan dalam bahasa Tamil yang ditulis dalam abjad, antaranya berbunyi:

"Oli pirakkattum, Irul vilagattum, Arul kidaikkattum, Porul perugattum, Pugal paravattum, Nalam valarattum... en inniya deepavali nal vathulkkal. Hapy deepavali 2 u and ur family. (Pengirim: o16-4132xxx).


Persoalannya;

Aku kekadang jadi keliru lagi mengelirukan.

Apa yang tak kena dgn nombor 017 baru aku tu? Sedangkan masa aku beli nombor tu masih 'panas' lagi. (Aku pilih satu antara 100 pek yang baru sampai).

"Ini nombor baru sampai tadi pagi," kata Yap pemilik kedai, yang juga kawan aku itu.


Sekian, saja nak diceritakan. Terima kasih.

Jumpa lagi...