Thursday, October 30, 2008

***************************************************

KITA DAN SIKAP KITA
<>
KALAU KITA PERNAH BERBUAT SALAH
TERIMALAH TEGURAN DENGAN TABAH
USAH DIMARAHI ORANG YANG MENYERGAH
JUGA USAH TERSIMPAN RASA MENYAMPAH
SEELOKNYA KITA PERLU BERUBAH.
<>
MENGAKU KESALAHAN BUKANNYA SUSAH
INSYA-ALLAH DITERIMA ORANG DENGAN MUDAH
DI SEBALIK PAHIT TERSEMBUNYI YANG INDAH
JANGAN SUDAH TERHANTUK BARU NAK TERNGADAH
ITU TANDANYA KITA MANUSIA BERMARUAH.
<>
SALAH DAN SILAP SUKAR DIHINDARI
APA LAGI KITA BERGELAR INSANI
MASING-MASING ADA KELEMAHAN DIRI
MEMANG TAK TERDAYA UNTUK MENJAUHI.
<>
TAPI KALAU SEKALI DUA BUAT KESILAPAN
ORANG LAIN MUNGKIN BOLEH MEMAAFKAN
KALAU KESALAHAN SERING BERULANGAN
KEMARAHAN DAN KEBENCIAN ORANG SUKAR DIKETEPIKAN.
<>
KERJA ITU SUATU IBADAT
YANG TERBAIK HARUS DIBUAT
BERAT TANGGUNGJAWAB MESTI BERINGAT
ITULAH HASIL REZEKI YANG BERMANFAAT
UNTUK DIRI DAN KELUARGA TERDEKAT.
<>
KALAU KERJA BERURUSAN DENGAN ORANG
BIAR BERAMANAH USAH TEMBERANG
ELOH BERHEMAH DALAM MERANCANG
ADA MASALAH USAH MUDAH MERADANG
SIFAT BERLEMBUT HATI PUN TENANG
SEMUA ORANG BERASA SENANG.
<>
SENTIASA SENYUM MULUT PUN MANIS
JAUHI TUTUR KATA BERBAU HAMIS
APATAH LAGI BERSIKAP BENGIS
NANTI DIBENCI ORANG TAK HABIS-HABIS
DISUMPAH SERANAH LAGI TRAGIS
HIDUP TAK BERKAT MORAL TERHAKIS
TUJUH KETURUNAN TAK TERDAYA DITEPIS.
<>
USAH DICARI KEMARAHAN ORANG
KELAK DIKUTUK BERDULANG-DULANG
FIKIRAN PUN JADI TAK TENANG
SILAP-SILAP TERTIMPA MALANG.
<>
APA SUSAHNYA MENCARI KEBAIKAN
BUKANNYA DIKENAKAN SEBARANG BAYARAN
CUMA SIKAP HARUS ADA PERUBAHAN
TAK ADA RUGI TAK ADA KEHILANGAN
BUKANKAH IA SUATU TUNTUTAN
BAGI MANUSIA BERNAMA INSAN
LAGIPUN ITULAH KEMULIAAN TUHAN.
<>
BERBUAT BAIK PUN HARUS BERPADA-PADA
TAKUT ADA ORANG AMBIL KESEMPATAN PULA
JANGAN SAMPAI ORANG MEMIJAK KEPALA
MAKLUMLAH TABIAT MANUSIA
DIBERI BETIS HENDAKKAN PEHA
BERWASPADALAH SETIAP MASA
KERANA KEBAIKAN HARUS DIAMALKAN JUA
DI SISI TUHAN RAHMATNYA BERGANDA.
<>
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
<>
PSIKOLOGI
(MENGAJAR DIRI SENDIRI)
<>
Part: 6
<>
Dengan masalah yang menimpa, usah sekali-kali meletakkan setiap kesalahan itu pada diri anda.
Fikirkan bahawa setiap orang memang mempunyai masalah. Mungkin caranya berbeza. Dan setiap masalah itu pula pasti ada jalan penyelesaiannya. Cuma sekejap atau lama, tertakluk pada cara kita menyelesaikannya.
<>
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
<>
SEKEHAN MINDA
<>
Berilah kepercayaan anda kepada orang yang berkata benar kepada anda, bukannya kepada orang yang membenarkan segala kata-kata anda.
*************************************************

Sunday, October 26, 2008

***************************************************


ILMU DAN KEMANUSIAAN

Berdiam diri tidak semestinya bodoh
kalau asyik berdiam diri memang akan diperbodoh.
++++++++++++

Mengalah tidak semestinya lemah
kalau asyik mengalah itu tak bermaruah.
++++++++++++
Belajar tinggi tak mencukupi
sekadar sekeping sijil yang dicari
kalau tak seimbang ilmu ditunjangi
duniawi dan ukhrawi harus selari
segala yang berfaedah tak jemu dimiliki.
++++++++++++++
Yang berilmu tinggi atau kurang berfikiran
dapat dilihat dari luaran
mudah dinilai dari percakapan
atau dikaji dari buah fikiran
pun seimbas dari perbuatan.
+++++++++++
Membezakan manusia berilmu sejati
selami tingginya pekerti
tahu apa yang diucapi
bertindak tidak membuta tuli
akal itu senjatanya abadi
menilai apa yang dicari
berbahagia apa yang diberi
bersyukur apa yang dimiliki
ilmu bukan untuk didagangi
dengan ilmu dia berbakti.
+++++++++++++
Manusia berilmu tinggi
ideanya ibarat permata terpuji
segala tindak harus diperhalusi
menjauhi perbuatan yang diejek dan dikeji.
+++++++++++++
Berlainan pula sebahagiaan dari kita
berakal pendek mendabik dada
berlagak bijak tapi tak kena
sudahnya menjadi bahan ketawa
tapi masih bertebal muka
jenis tak tahu malu begitulah gayanya.
++++++++++++++
Berakal pendek busuk di hati
buah fikirnya sentiasa keji
kelebihannya sekadar berhasad dengki
kelebihan orang tidak disenangi
setiap keburukan orang direka dicari
puas hatinya berjaja ke sana ke sini
maruah orang tidak dipeduli
azab Tuhan tak pernah disedari
sedangkan balasan buruk dan baik tetap menanti.
+++++++++
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
PSIKOLOGI
**
(MENGAJAR DIRI SENDIRI)
***
Part: 5
**
Terdapat pelbagai cara bagi seseorang itu mengatasi tekanan perasaan yang sedang dihadapinya.
Mungkin dengan cara berbincang dengan rakan-rakan rapat atau meluahkan perasaan mengenapi masalah yang dialami kepada mereka yang dipercayai, sedikit sebanyak dapat membantu dan berasa lega.
Ingatlah, walaupun anda berpendidikan tinggi dan bijak dalam serba serbi, namun dalam soal jiwa dan perasaan, mungkin anda tidak dapat mengubatinya sendiri. Anda tetap memerlukan orang lain di samping anda.
**********************************************************************
SEKEHAN OTAK
**
Cinta itu Suci. Hanya ia ada kalanya dikotori oleh manusia yang bernafsu kotor.
****
****************************************************

Wednesday, October 22, 2008

***************************************************

KITA DAN KEHIDUPAN

Kita hidup dengan izin Tuhan
dianugerahkan dengan pelbagai perbezaan
ada yang mewah dan berlebihan
tak kurang yang serba kesederhanaa
malah ada juga yang serba kekurangan.

Tentunya ada hikmah di sebalik ketentuan
tak seharusnya dipersalahkan nasib dan keadaan
yang berlebihan bukan untuk kebanggaan
tak menghargainya kebesaran Tuhan.

Mereka yang berkurangan pula
tak seharusnya merintih nasib menangis hiba
menyalahkan takdir semata-mata
masih ada ruang membaiki segala
rezeki Allah bertaburan di mana-mana
terletak pada kerajinan dan daya usaha.

Mereka yang berlebihan juga harus memberi
menghulurkan tangan tanda simpati
rezeki berlimpah makin diberkati
yang berkurangan pula merasa dihargai.

Oh, alangkah aman dunia ini
andai semua manusia baik laku pekerti
masing-masing tahu menilai diri
yang berkurangan bermuhasabah diri
yang berlebihan pula ada keikhlasan hati
kerana harta melimpah pun hanya di duniawi.

Berlebihan dan berkurangan perkara berbeza
seharusnya dinilai dengan hati dan akal bijaksana
kelebihan bakat beribu nikmatnya
kelebihan kudrat berlimpah hikmahnya.

Ada orang boleh lakukan banyak kerja
walaupun hanya dalam satu masa
kerjanya baik dan berhemah pula
dipuji sahabat dan juga ketua
dinilai pula dengan bijaksana.

Ada pula orang tak mampu nak ikut
sedikit kerja pun tersangkut-sangkut
kerja kurang tapi yang banyak hanya merungut
orang lain dipuji dia geram bergelut
sudahnya dia pula jadi penghasut
mengharap orang lain jadi pak turut
yang peliknya ramai pula yang mengikut
akhirnya semua jadi kelam kabut.

Sudahnya bermasam muka sesama sendiri
berpuak-puak berbelah bahagi
biasanya puak yang tak elok ramai dipengaruhi
mula saling menyakitkan hati
di sana sini benih fitnah ditaburi
disiram pula dengan baja dengki mendengki
semakin suburlah sikap busuk hati
kutuk mengutuk dan benci membenci
sehingga kerja semakin tak menjadi
salah orang lain asyik dicari
salah sendiri sengaja dikaburi.

Selagi keinsafan belum dimiliki
selagi itulah kebaikan menjauhkan diri
laknat Allah sedia menanti
bagi mereka yang bersikap keji.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

PSIKOLOGI

(MENGAJAR DIRI SENDIRI)

Part: 4

Merasa bersalah pada diri sendiri kerana ditinggalkan pasangan atau kekasih, ada kalanya membuatkan seseorang itu tertekan dan merasa kekurangan pada dirinya berbanding orang lain.

Tersilap pertimbangan, banyak perkara buruk yang akan berlaku pada diri anda. Anda mungkin akan berterusan bersedih dan mengasingkan diri. Atau anda mungkin juga akan terjerumus ke jurang yang menyebabkan hilangnya harga diri.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mungkin anda berasa takut atau fobia untuk mencari penggantinya akibat pengalaman yang memedihkan itu.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^


Thursday, October 16, 2008

########## BIJAK AKAL #########

BIJAK AKAL

Kalau bijak akal mengatasi emosi
perkara karut-marut mampu diketepi
segala bohong-membohong dapat diatasi
orang berhelah pun dapat diketahui
tipu muslihat tak terdaya nak menguasai.
<>
Kalau bijak akal memilih yang logik
tentu diri dianggap cerdik
dapat membezakan sikap yang jijik
hati dan minda semuanya celik
perkara yang rumit tak dianggap pelik
kelebihan diri tak dipandang jelik.
<>
Kalau bijak akal menjadi panduan
segala yang elok menjadi pedoman
tidak mudah tersesat haluan
juga tak mudah diperdaya sebarang omongan
pilih yang nyata menolak anganan
berteraskan logik dalam tindakan
tidak mudah diperkotak-katikkan.
<>
Kalau bijak akal berteraskan iman
tidak mudah terpesong dalam perbuatan
tidak bergelumang sebarang kekeliruan
tidak menjadi bahan kemarahan
akan dijauhi segala kemudaratan
sentiasa jujur membuat keputusan
akan dihindari segala kejahatan
akan akan terhimpunlah segala kebaikan.
<>
Kalau bijak akal menjadi amalan
tentu waras membuat perhitungan
disenangi orang bila membuat pertimbangan
hidup pun setenang dan seaman
Kerana rahmat dan nikmat Allah berlimpahan.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
*
PSIKOLOGI
**
(MENGAJAR DIRI SENDIRI)
***
Part: 3
Malang sungguh jika kekasih atau pasangan anda telah berubah hati. Anda yang mengharapkan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari.
Akibat sikap kekasih atau pasangan anda itu, anda sentiasa dicengkam pilu dan penderitaan.
Apakah penderitaan yang anda alami itu semakin terasa apabila anda mengetahui bahawa dia meninggalkan anda kerana cintanya telah beralih arah kepada insan lain?
Adakah penderitaan yang anda tanggung itu akan bersulam dengan rasa marah berpanjangan dan keluhan hati anda kian mendesah?
Lebih jauh lagi derita anda, adakah anda merasa diri anda di tipu atau dikhianati..?
********************************************************************

Monday, October 13, 2008

APA MASALAHNYA..?

__________________________________________________
APA MASALAHNYA...
Kalau kita perlu mengakui kesalahan
Kalau kita sesal dengan salah perlakuan
Kalau kita taubat dengan setiap keterlanjuran

APA MASALAHNYA...
Kalau kita bersemangat aku boleh
Kalau kita tidak lakukan sesuatu secara berlebih-lebih
Kalau kita duduk dalam lingkungan orang-orang yang soleh.

APA MASALAHNYA KALAU...
Kita menjauhkan diri dari najis dadah
Kalau usah dengan sengaja mencari masalah
Kalau kita dekatkan diri kepada Allah.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

PSIKOLOGI

(MENGAJAR DIRI SENDIRI)

Part: 2:

Sekian lama anda diselubungi kebahagiaan dan kedamaian di samping orang tersayang. Dia juga pernah berjanji untuk sehidup dan semati dengan anda. Kerana cinta dan kasih sayang anda padanya, anda mempercayai kata-katanya. Anda mengharapkan dialah yang akan membahagiakan hidup anda sehingga ke akhir hayat.

Tetapi tiba-tiba dia telah berubah hati. Anda ditinggalkan tanpa alasan yang munasabah.

Bagaimanakah dengan diri anda?

1. Anda tidak merasai apa-apa dengan kehilangannya?

2. Adakah keadaan hidup anda akan berubah dengan tiba-tiba?

3. Anda menyesal kerana menyayangi dirinya selama ini?

4. Adakah anda akan diselubungi suasana sedih dan hampa?

5. Adakah kenangan indah berasamanya akan sentiasa menghantui hidup anda?

6. Adakah anda tidak dapat melupakannya?

7. Adakah anda akan menganggap dirinya sebagai sampah dan tidak bermakna lagi pada diri anda?

********************************************************************

APA MASALAHNYA..?

Wednesday, October 8, 2008

**************************************************

AKU BENCI
Aku benci dia yang tak setia
aku teramat benci mereka yang berdusta.

Aku benci dia yang hipokrit
aku teramat benci mereka yang bercakap berbeli-belit.

Aku benci dia yang berpura-pura.
aku teramat benci mereka yang bermuka-muka.

Aku benci dia yang tak bersyukur
aku teramat benci mereka yang tak jujur.

Aku benci dia yang suka mengata
aku teramat benci mereka yang talam dua muka.

Aku benci dia yang berkepala angin
aku teramat benci mereka yang cakap tak serupa bikin.

Aku benci dia yang suka menunjuk-nunjuk
aku teramat benci mereka yang berkemaruk.

Aku benci dia yang berperangai syaitan
aku teramat benci mereka yang gunting dalam lipatan.

Aku benci dia yang tak qanaah
aku teramat benci mereka yang tak amanah.

Aku benci dia yang pemarah
aku teramat benci mereka yang suka berseranah.

Aku benci dia yang gemar mengumpat
aku teramat benci mereka yang jenis keparat.

Aku benci dia yang berlagak pandai
aku teramat benci mereka yang memandai-mandai.

Aku benci dia yang suka mengada-ngada
aku teramat benci mereka yang suka mempersenda.

Aku benci dia yang tak semenggah
aku teramat benci mereka yang bermegah-megah.

Aku benci dia yang tak bersih
Aku teramat benci mereka yang pilih kasih.
Aku benci dia yang tak sedar diri
aku teramat benci mereka yang lupa diri.

Aku benci dia yang tak tau dek untung
aku teramat benci mereka yang kaki kelentong.
Aku benci dia yang suka mengetuk
aku teramat benci mereka yang suka mengutuk.
Aku benci juga (diriku?)
kerana mengenali mereka yang sebegitu!

*********************************************************************


PSIKOLOGI :
(MENGAJAR DIRI SENDIRI)

Part: 1

Selagi kita bersifat waras, tiada seorang pun di antara kita di dunia ini yang dengan rela hati sanggup untuk menghadapi dengan apa saja yang dinamakan penderitaan dalam kehidupan. Malah tiada sesiapa pun yang sanggup berdepan dengan pelbagai masalah yang berkemungkinan akan menjejaskan nilai kesempurnaan 'kemanusiaan' seseorang itu.

Sesungguhnya kita semua sentiasa mengimpikan nilai kedamaian dan kesejahteraan yang berpanjangan sehingga ke akhir hayat.

Namun begitu, lazimnya setiap masalah atau penderitaan itu selalunya akan datang tanpa diduga. Ia muncul atas kesilapan diri kita sendiri atau datangnya tanpa kita mencarinya.

Kemungkinan masalah itu ada yang berkaitan dengan percintaan, pekerjaan, rumah tangga atau yang berbentuk peribadi, yang biasanya ada kelangsungan dengan kehidupan itu sendiri, yang memaksa seseorang itu menghadapinya jua walau dengan apa cara sekalipun.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Sunday, October 5, 2008

AKU MASIH DI SINI

Aku masih di sini
meniti pena
menitip kata
menebar rasa.

Aku masih lagi di sini
melarik suara hati
menganyam pekerti
menyulam peribadi.

Aku masih tetap di sini
seperti sebegini
dengan pena tak akan mati
dengan kata silih berganti
dengan rasa tak mungkin mati.

Aku terus di sini
ada suara hati
ada pekerti
tetap berperibadi.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

FADILAT PUASA ENAM
(DI BULAN SYAWAL)

HARI PERTAMA ( 2 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Adam a.s.

HARI KEDUA ( 3 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Yusuf a.s.
Keluar dosa-dosa dari tubuhnya bagaikan baru dilahirkan dari perut ibu.

HARI KETIGA ( 4 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Yakub a.s.
Sekiranya berpuasa tanpa diketahui orang lain, Allah SWT tidak rela untuknya pahala yang kurang dari syurga.

HARI KEEMPAT ( 5 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Musa a.s.

HARI KELIMA ( 6 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Isa a.s.
Menyamai puasa sepanjang tahun.

HARI KEENAM ( 7 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Muhammad SAW.
Jika kebetulan seseorang makan berhampiran orang yang berpuasa itu, akan dibacakan istighfar untuknya oleh para Malaikat.
________________________________________

*(21 SSXX)

Part: 5

Jika setiap pasangan atau suami isteri inginkan keintiman mereka terus kekal bahagia, mestilah ada perkara-perkara berikut, antaranya:-;

1. Jangan sesekali memendam atau menyimpan sesuatu yang dirasakan tidak memuaskan hati. Sebaliknya berterus terang atau memberitahu dengan jelas apa yang diharapkan daripada pasangan masing-masing.

2. Mesti ada sikap saling suka menyukai antara satu sama lain dengan jujur dan ikhlas. Bukannya sekadar berpura-pura.

3. Masing-masing mestilah boleh menerima kaum keluarga dan sahabat handai pasangan masing-masing.

4. Saling suka bantu membantu antara satu sama lain.

5. Mempunyai minat atau senang melakukan apa sahaja aktiviti bersama, seperti berkebun atau mengemas rumah.

6. Tidak pernah rasa jemu dan memahami akan keinginan pasangan masing-masing.

7. Sentiasa bercakap tentang komitmen yang berfaedah untuk mengekalkan jalinan keintiman antara satu sama lain.

8. Sentiasalah berbual mengenai kebahagiaan keintiman antara satu sama lain, dan sering mengucapkan bahawa ikatan keintiman yang sedia terjalin dan dinikmati kini, akan terus kekal ke akhir hayat.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^