Thursday, February 25, 2010

PRIVATE CALL - SIAPA BOLEH DAN SIAPA TAK BOLEH PAKAI?

handset Pictures, Images and Photos


Termasuk semalam, rasanya sudah enam atau tujuh kali aku terima panggilan melalu telefon bimbit daripada orang yang tak dikenali.

Pemanggil itu tak bercakap. Dia cuma buat miss call. Tiada nombor pemanggil yang tertera pada skrin telefon bimbitku. Hanya yang tertera ialah 'Private'.

Aku juga tak pasti sama ada yang membuat miss call itu makhluk yang sama atau berlainan makhluk.

Soal miss call itu aku tak kisah sangat. Yang aku kisah ialah macam mana ada makhluk yang boleh pakai Private, sedangkan tidak berapa lama dulu semua pemilik telefon bimbit dikehendaki mendaftar dengan menggunakan nama dalam kad pengenalan (Tak kiralah nama sendiri atau nama orang lain. Asalkan ada nama). Tujuannya untuk mengelak pengguna telefon bimbit menyalahgunakan kemudahan itu untuk perkara-perkara yang tak baik.

Tapi kalau ada makhluk yang boleh pakai Private, macam mana kita nak trace kalau digunakan telefon bimbit itu untuk mengugut ke, atau apa saja yang tak baik, kerana tiada kewujudan nombornya.

Kekadang kita ni dilarang buat itu dan ini kononnya untuk kebaikan. Namun dalam masa yang sama ada pula makhluk yang boleh buat apa yang dilarang itu. Di manakah yang dikatakan cakap yang serupa bikin..?

Monday, February 22, 2010

PENDATANG ASING BERNIAGA

kedai runcit Pictures, Images and Photos

Cerita pendatang asing berniaga di beberapa tempat di negara kita ini bukan cerita baru. Kalau anak dara atau orang bujang, kira sudah boleh kahwin. Mungkin sudah beranak pinak. Begitulah juga dengan isu itu.

Kini isu itu dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri. (Apakah setelah sesuatu perkara itu dibangkitkan oleh TPM atau PM baru ia dianggap serius?) Selain pihak berkuasa tempatan (PBT), polis juga turut disaran memainkan peranan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Persoalannya, kenapa menjadi sesuatu yang 'sukar' bagi PBT untuk menyelesaikan masalah itu sejak lama dulu? Apakah yang tidak kenanya? Di manakah silapnya?

Kita kena ingat, pendatang asing (apatah lagi pendatang tanpa izin) datang ke negara kita untuk bekerja, bukannya untuk berniaga. Semua pihak berwajib takkan tak faham.

Adakah permasalahan untuk menyelesaikan isu itu selama ini disebabkan terdapatnya pihak-pihak yang tidak beramanah dan tidak bertanggungjawab? Maksudnya pihak yang diberikan amanah tapi tidak beramanah. Pihak yang digalaskan tanggungjawab juga tidak bertanggungjawab.

Apa-apa pun, agar permasalahan itu tidak lagi menjadi masalah kali ini. Kita sebolehnya tidak mahu lagi melihat mereka berterusan menjadi masalah kepada rakyat negara ini.

Kalau pihak yang diharapkan selama ini tak mampu menjalankan tugas mereka dengan baik, diharap penglibatan pihak polis dapat membanteras sikap mereka yang 'diberikan betis itu telah melahap hingga ke paha' pula.

Biarpun isu yang berkaitan pendatang asing itu sebenarnya sudah dikira parah, tetapi masih ada kesempatan untuk bertindak supaya ia tidak berterusan menjalar dan membiak sehingga menjadi terlebih parah..!

Saturday, February 20, 2010

NILAI KASIH SAYANGKAH ITU..?

Dalam kita terus berusaha menerapkan nilai-nilai kasih sayang dan memupuk sikap hormat menghormati sesama insan, (tak kira yang sempurna atau tak sempurna), tiba-tiba kita 'dihiburkan' dengan sebuah lagu yang pada asalnya menjadi lagu tema sebuah drama (kini dijadikan drama rantaian di TV swasta), dan tersiar pula di corong-corong radio.

Kita dihiburkan mengenai nasib atau kekurangan seorang gadis disebabkan bergigi jongang.
Yang mengisahkan seorang anak dara yang bergigi jongang yang ditemurunkan dari ibunya. Keluarganya pula sering menjadi sindiran jiran-jiran atau sesiapa yang mengenalinya disebabkan keadaan mereka.

Khabarnya lagu itu juga telah mendapat kelulusan untuk disiarkan di radio-radio RTM.

Ada yang berpendapat, bukan hanya lagu itu yang tidak sesuai disiarkan di radio/media elektronik, malah dramanya juga sebenarnya tidak sesuai dijadikan tatapan umum.

Kalau nak diambilkira secara serius, sebenarnya banyak lagi drama lain yang disiarkan di kaca TV sebenarnya yang bertentangan dengan nilai-nilai kasih sayang sesama manusia. Tapi mungkin disebabkan drama-drama begitu yang diminati, ia terpaksa diterima.

Sedangkan ruang penceritaan atau tema sesebuah drama itu sebenarnya luas yang mampu dielakkan daripada ia mengguriskan hati seseorang disebabkan kekurangan diri, walaupun dalam erti kehidupan sebenar wujudnya nasib 'kekurangan' manusia.

Entahlah, mungkin pandangan setiap orang itu berbeza-beza. Yang sensitif pun sudah jadi tidak sensitif dan begitu juga sebaliknya.

Thursday, February 18, 2010

BERANI BUAT BERANILAH TANGGUNG..!

monkey Pictures, Images and Photos


Ada orang rasa dia dah bijak sangat. Apa yang dia buat semuanya betul.

Kalau semuanya betul, kenapa buat senyap-senyap? Buat secara rahsia?

Walaupun ada kalanya benda yang dibuat itu halal, tapi mungkin caranya tak betul. Itu pasal dirahsiakan.

Bila dah meletup, dah wujud masalah masalah baru, mulalah nak salahkan orang lain. Orang yang paling utama dituduh yang 'dekat' dengan dia. Tak kiralah... rakan-rakan sepejabat ke, jiran-jiran ke, atau sesiapa saja yang dirasakan layak untuk dilemparkan tuduhan kononnya menjadi punca terbongkarnya perbuatannya itu.

Sudahlah buat tuduhan melulu, tuduh pula rakan sepejabat atau jiran tu suka jaga tepi kain dia.

Kalau dah sanggup buat benda yang boleh timbulkan kontroversi, kenalah tanggung akibatnya. Berani buat beranilah tanggung. Janganlah cari alasan nak salahkan orang lain pula.

Kalau dah betul-betul buat, terima sajalah segala yang dah terbongkar itu. Jangan nak berdalih itu ini. Tak gentlemenlah, daripada asyik nak menepis dan salahkan orang lain, sedangkan benda tu diri sendiri dah buat.

Orang jenis macam tu cuma berkokok aje lebih. Nak tunjuk handal, tapi sebenarnya bebal. Lain kali jangan layan... tak layak dibuat kawan.

Monday, February 15, 2010

ALAHAI... ANAK DARA MELAYU..!

Tak serik-serik. Ada lagi anak dara Melayu yang singkat akal, lari ikut jantan Indon. Sanggup melukakan hati mak bapak sendiri.

Terbaru, seorang gadis berusia 19 tahun, lari ke Indonesia dengan jantan idamannya. Sebelum menghilang, dia sempat tulis nota, antaranya berbunyi: "Abah mula ari nie Pijah tak balik rumah sebab pijah ikut Abang Jo pergi Indonesia, kita kawin kat sana.

"Abah kita minta maaf atas perbuatan jahat kita ini abah, kita sedih sangat abah, tapi kita suka kat Abang Jo. Dia baik abah. Kalau tak buat cara ni abah tak mungkin bagi kita kawin ngan Abang Jo sebab abah tak suka ngan orang Indonesia, sebab itu kita buat."

Alahai.., bertuah Abang Jo atau nama sebenarnya Sarjo. Sampai si gadis sanggup bertindak memalukan ibu bapanya sendiri kerana nak kawin lari dengan Abang Jo di Indonesia.

Begitulah anak Melayu, dah tahu perbuatan itu jahat, malah bapa tak suka dengan pemuda itu, kenapa buat juga? Nampaknya nafsu lebih diutamakan. Sanggup meninggalkan beban masalah dan malu yang tercalit di muka ibu bapa.

Ingatlah, ada orang baik pada anda sebelum dia dapat apa yang dihajati. Sesudah dapat, tahulah apa nasib anda. Lidah tak bertulang. Manis di bibir tak bermakna manis juga di hati.

Malang remaja sekarang. Nasihat mak bapak langsung tak nak ikut. Rasa diri saja yang betul. Mungkinkah didikan agama yang kurang? Atau cetek ilmu yang tak mampu nak fikir mana yang boleh/patut dibuat atau sebaliknya?

Kalau setakat umur baru 19 tahun, tak payah sibuk-sibuk fikir fasal nak kahwin. Fikir dulu fasal belajar atau nak baiki nasib diri dan keluarga. Kahwin tu tak ke mana. Ada jodoh akan ketemu juga.

Janganlah berfikiran singkat. Juga jangan mudah terikut-ikut atau tergoda dengan sebarang pujukan yang boleh menjebakkan diri ke lembah yang memalukan diri dan keluarga.

Kepada remaja yang lain, insaf-insaflah. Segala yang telah banyak berlaku perlu dijadikan pengajaran dan pedoman.

Ramai yang lari dengan jantan Indon dan berkahwin di Indonesia, akhirnya menyesal dengan perbuatan mereka, itupun setelah beranak pinak.

Malah ada juga yang berkahwin dengan bangsa asing dengan cara elok pun, berakhir dengan masalah yang berkaitan dengan perebutan anak. Pun ada anak yang dilarikan ke luar negara, iaitu negara asal pasangan mereka.

Ingat, utamakan maruah diri dan jaga air muka ibu bapa dan keluarga. Sanggupkah melihat ibu bapa yang sudahlah menderita dengan perbuatan anda, malah terpaksa menanggung malu kerana anak daranya lari ikut jantan.

Fikir sebelum buat, ingat sebelum kena. Apabila sudah terbuat dan terkena, air mata darah pun tidak bermakna..!

Friday, February 12, 2010

AWASI BAHANA HARI VALENTINE

valentime's day Pictures, Images and Photos


Hari Valentine (disambut 14 Februari setiap tahun) mungkin lebih mudah diingati oleh anak-anak muda Islam kita berbanding hari Maulidur Rasul, Awal Muharram atau apa saja sambutan yang berkaitan dengan agama.

Secara tradisinya 'hari mengingati kekasih' itu disambut dan dibangga-banggakan di Barat. Namun ia semakin menular dan dan menjadi ikutan kepada anak-anak muda Islam negara kita.

Sungguh membimbangkan, ramai pasangan muda Islam turut terikut-ikut untuk merayakan hari tersebut, sehingga mereka tanpa segan silu sanggup terdorong melakukan perbuatan-perbuatan yang menyimpang dari ajaran agama dan batas susila budaya bangsa.

Mungkin ramai yang masih belum sedar bahawa amalan Hari Valentime itu telah pun difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Maka anda yang beragama Islam hindarilah ia.

Sedarlah, Hari Valentime itu bukan untuk umat Islam. Jika diraikan ia dibimbangi boleh mencetuskan perbuatan-perbuatan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya bangsa.

Elakkan diri dari menyertai amalan itu. Ia bukannya menguntungkan, malah bahananya mungkin akan mencemarkan agama, bangsa dan maruah diri sendiri.

Kepada rakan bukan beragama Islam, HAPPY VALENTIME'S DAY

Thursday, February 11, 2010

AMAH INDONESIA - MAMPUKAH DIJAMIN KUALITINYA?

Para pemimpin kita, tidak seharusnya melakukan sesuatu yang boleh merugikan negara dan rakyat, sekiranya ia berkaitan dengan negara-negara luar.

Belajarlah pengalaman berhubung dengan 'menjual' air ke Singapura dan kemasukan artis dan album-album penyanyi dari negara kita ke Indonesia.

Terbaru, ura-ura menaikkan gaji pembantu rumah dari Indonesia kepada RM800 sebulan dan pasport dipegang sendiri oleh pembantu rumah serta cuti pada hari-hari tertentu.

Kenapa sesuatu tindakan yang akan diambil itu menjurus ke arah yang kelihatan merugikan majikan? Apakah istimewanya pembantui-pembantu rumah itu yang perlu diberikan gaji sebanyak itu, sedangkan mereka akan tinggal dengan majikan yang ditanggung serba serbinya.

Kenapa dalam banyak hal, pihak Malaysia perlu banyak mengalah kepada pihak-pihak lain?

Kita tidak mahu kerana ada kepentingan lain, majikan Malaysia pula yang terpaksa tanggung akibatnya.

Mengenai pasport milik pembantu rumah pula, ia tidak seharusnya dipegang oleh mereka sendiri. Banyak risiko yang tidak baiknya. Sebelum ini pun, walaupun pasport mereka disimpan oleh majikan, mereka sanggup juga melarikan diri. Inikan pula kebebasan itu diberikan. Ibarat 'orang mengantuk disorongkan bantal'.

Jadi fikir-fikirkanlah semula. Biarlah gaji yang mereka terima sesuai dengan tugas dan jawatan mereka. Kerana realiti kerja yang akan dilakukannya belum tentu terjamin dan memuaskan hati majikan.

Wednesday, February 10, 2010

PEMANDU BANGKAI BERNYAWA - MENYUSAHKAN PENGGUNA LAIN

kemalangan 4 Pictures, Images and Photos

Kebanyakan pemandu di Malaysia masih lagi tak berubah perangai. Mementingkan diri dan banyak menyusahkan orang lain.

1. Memandu laju atau perlahan tak bertempat dan sesuka hati.
Mereka ini patut buat loan bank dan buat jalan raya sendiri.

2. Memandu dengan mengekori pemandu di depan dengan terlalu rapat. Terutama pemandu kenderaan berat. Berlagak profesional tapi habuk pun tarak.
Mereka ini otak pun berat dan berkarat. Tak pernah insaf. Patut buat permohonan masuk sekolah tadika balik kena bersih otak.

3. Memandu di lorong kanan tanpa menyedari kelemahan dan kekurangan diri yang terhegeh-hegeh, terkemut-kemut dan terkial-kial.
Mereka ini tak sedar diri dan tak kenal diri sendiri. Banyak lagi kena tahu selok belok memandu kereta.

Pengalaman:

1. Aku pernah memandu di Lebuhraya Utara Selatan dari KL ke Seremban. Aku masuk ke lorong kanan kerana memotong beberapa kenderaan yang dipandu terhegeh-hegeh di lorong kiri. Aku memandu selaju 120km/j.

Tetiba muncul sebuah kereta dari belakang. Dari jauh lagi dia sudah bagi 'lampu' suruh aku ke tepi. Sedangkan aku sudah memandu 120km/j. Terpaksalah aku pecut 140km/j. Itupun dia tak putu-putus bagi 'lampu' suruh aku ke tepi.

Otak ada ka? Tak boleh sabar sikit ke? Dia ingat dia aje ada hal penting? Ikutlah undang-undang. Kerana dia aku dah terpandu laju.

2. Di Lebuhraya Utara Selatan juga - dari KL ke Seremban. Dalam hujan lebat yang tak nampak jalan, aku diekori terlalu rapat oleh sebuah bas ekspres. Ketika itu aku memandu 90km/j. Aku lajukan sikit hingga mencecah 110km/j, bas itu masih rapat di belakangku. Aku terpaksa lajukan lagi.

Itulah antara sikap pamandu di Malaysia yang kebanyakannya memandu tak pakai otak, hanya semata-mata pakai kaki untuk menekan pedal minyak.

Cadangan: Para pemandu di Malaysia kena banyak baca suratkhabar, nonton TV dan ambil tahu keadaan/perkembangan semasa.

Jangan penting diri sendiri dan kena sedar terdapat ramai lagi pemandu lain yang menggunakan jalan raya/ lebuh raya.

Jangan buat bodoh sombong atau sombong bodoh yang bukan saja merugikan diri sendiri, malah menyusahkan orang lain. Menjadi bahan kutukan dan sumpahan orang lain.

Bila dah terjadi kemalangan baru nak menyesal... nak insaf... baru teringat mak bapak atau anak bini... nak buat apa?

Lebih penting, Jangan jadi bangkai bernyawa..! Kalau memandu dengan otak kayu, akan jadi kayulah kita..!


Thursday, February 4, 2010

KENAPA PENYANGAK DADAH MINAT MALAYSIA?

ketamin Pictures, Images and Photos



Kekadang hairan juga aku. Kenapalah penyangak-penyangak dadah dari luar negara suka sangat 'berhijrah' ke negara kita ni untuk berniaga dadah?

Kalau sebelum ini ramai Mat Hitam dari Afrika yang terlibat dengana kegitan itu. Tapi kini sudah berjangkit ke Mat-Mat Dubai dan Mat-Mat Iran pula.

Kenapa mudah sangat mereka bawa dadah itu masuk ke Malaysia? Kenapa mereka tak pergi ke Singapura, Indonesia, Thailand dan negara-negara lain yang berjiran dengan Malaysia?

Apakah yang terkandung dalam fikiran penyangak-penyangak dadah itu? Adakah mereka rasa bila bawa dadah ke Malaysia, kemungkinan mereka boleh lepas lebih tinggi daripada kemungkinan mereka akan tertangkap? Kerana itu mereka tak rasa takut atau gentar datang bersama dadah ke Malaysia.

Apakah selama ini mereka anggap Malaysia negara paling mudah dadah dibawa masuk dan edar untuk Mat-Mat gian di sini? Agaknya mungkin juga kerana terlalu tinggi permintaan najis haram itu di sini.

Kes terbaru, lelaki dari Dubai membawa dadah yang dimasukkan ke dalam spray rambut. Sedangkan mereka berkepala botak.

Apakah mereka menyangkakan penguatkuasa kita bodoh dan cuba diperbodoh-bodohkan? Atau mereka yang terlalu ghairah untuk berniaga dadah di Malaysia ini tidak sedar yang diri mereka sebenarnya bodoh?

Harap pihak berkuasa lebih teliti dan lebih tegas lagi. Supaya Malaysia tidak tercatat di mata dunia sebagai negara yang mudah dibawa masuk dadah. Malu kita..!

Monday, February 1, 2010

MINDA: APAKAH YANG KITA BUAT..?

iron heart Pictures, Images and Photos

Apa yang kita buat, biasanya selari dengan apa yang terkandung dalam pemikiran kita.

Jika di dalam pemikiran kita terkandung sesuatu yang baik, maka akan baiklah juga sesuatu yang kita buat itu.

Dan jika sesuatu yang baik itu sentiasa terancang di dalam minda, maka kita akan dapati sesuatu yang terhasil itu akan lebih baik.

Andainya sesuatu yang buruk saja yang sering berlegar di minda kita, maka sesuatu yang buruk juga yang akan kita hasilkan.

Begitulah antara pergerakan minda yang dilunas melalui perbuatan.

Namun begitu, jika di minda kita kerap bermain-main dengan sesuatu yang tak baik, tapi kita terpaksa atau dipaksa membuat sesuatu yang baik, percayalah, hasilnya tetap tidak akan menjadi baik sebagaimana yang diharapkan.

Manakala di minda kita sering berlegar dengan sesuatu yang baik, tapi kita terpaksa atau dipaksa melakukan sesuatu yang tidak baik, maka hasilnya tetap juga akan menjadi tidak baik.

Begitulah setiap perbuatan kita, ia banyak dipengaruhi oleh minda kita. Sesuatu yang baik akan tetap menjadi baik. Sementara yang tidak baik agak sukar untuk menjadi baik.