azab Tuhan tak pernah disedari
Sunday, October 26, 2008
***************************************************
azab Tuhan tak pernah disedari
Wednesday, October 22, 2008
***************************************************
Kita hidup dengan izin Tuhan
dianugerahkan dengan pelbagai perbezaan
ada yang mewah dan berlebihan
tak kurang yang serba kesederhanaa
malah ada juga yang serba kekurangan.
Tentunya ada hikmah di sebalik ketentuan
tak seharusnya dipersalahkan nasib dan keadaan
yang berlebihan bukan untuk kebanggaan
tak menghargainya kebesaran Tuhan.
Mereka yang berkurangan pula
tak seharusnya merintih nasib menangis hiba
masih ada ruang membaiki segala
rezeki Allah bertaburan di mana-mana
terletak pada kerajinan dan daya usaha.
Mereka yang berlebihan juga harus memberi
menghulurkan tangan tanda simpati
yang berkurangan pula merasa dihargai.
Oh, alangkah aman dunia ini
andai semua manusia baik laku pekerti
masing-masing tahu menilai diri
kerana harta melimpah pun hanya di duniawi.
Berlebihan dan berkurangan perkara berbeza
seharusnya dinilai dengan hati dan akal bijaksana
kelebihan bakat beribu nikmatnya
kelebihan kudrat berlimpah hikmahnya.
Ada orang boleh lakukan banyak kerja
walaupun hanya dalam satu masa
kerjanya baik dan berhemah pula
dipuji sahabat dan juga ketua
Ada pula orang tak mampu nak ikut
sedikit kerja pun tersangkut-sangkut
kerja kurang tapi yang banyak hanya merungut
orang lain dipuji dia geram bergelut
sudahnya dia pula jadi penghasut
mengharap orang lain jadi pak turut
yang peliknya ramai pula yang mengikut
akhirnya semua jadi kelam kabut.
Sudahnya bermasam muka sesama sendiri
berpuak-puak berbelah bahagi
biasanya puak yang tak elok ramai dipengaruhi
mula saling menyakitkan hati
di sana sini benih fitnah ditaburi
disiram pula dengan baja dengki mendengki
semakin suburlah sikap busuk hati
sehingga kerja semakin tak menjadi
salah orang lain asyik dicari
salah sendiri sengaja dikaburi.
Selagi keinsafan belum dimiliki
selagi itulah kebaikan menjauhkan diri
laknat Allah sedia menanti
bagi mereka yang bersikap keji.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
PSIKOLOGI
(MENGAJAR DIRI SENDIRI)
Part: 4
Merasa bersalah pada diri sendiri kerana ditinggalkan pasangan atau kekasih, ada kalanya membuatkan seseorang itu tertekan dan merasa kekurangan pada dirinya berbanding orang lain.
Tersilap pertimbangan, banyak perkara buruk yang akan berlaku pada diri anda. Anda mungkin akan berterusan bersedih dan mengasingkan diri. Atau anda mungkin juga akan terjerumus ke jurang yang menyebabkan hilangnya harga diri.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mungkin anda berasa takut atau fobia untuk mencari penggantinya akibat pengalaman yang memedihkan itu.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Thursday, October 16, 2008
########## BIJAK AKAL #########
Monday, October 13, 2008
APA MASALAHNYA..?
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
PSIKOLOGI
(MENGAJAR DIRI SENDIRI)
Part: 2:
Sekian lama anda diselubungi kebahagiaan dan kedamaian di samping orang tersayang. Dia juga pernah berjanji untuk sehidup dan semati dengan anda. Kerana cinta dan kasih sayang anda padanya, anda mempercayai kata-katanya. Anda mengharapkan dialah yang akan membahagiakan hidup anda sehingga ke akhir hayat.
Tetapi tiba-tiba dia telah berubah hati. Anda ditinggalkan tanpa alasan yang munasabah.
Bagaimanakah dengan diri anda?
1. Anda tidak merasai apa-apa dengan kehilangannya?
2. Adakah keadaan hidup anda akan berubah dengan tiba-tiba?
3. Anda menyesal kerana menyayangi dirinya selama ini?
4. Adakah anda akan diselubungi suasana sedih dan hampa?
5. Adakah kenangan indah berasamanya akan sentiasa menghantui hidup anda?
6. Adakah anda tidak dapat melupakannya?
7. Adakah anda akan menganggap dirinya sebagai sampah dan tidak bermakna lagi pada diri anda?
********************************************************************
Wednesday, October 8, 2008
**************************************************
PSIKOLOGI :
(MENGAJAR DIRI SENDIRI)
Part: 1
Selagi kita bersifat waras, tiada seorang pun di antara kita di dunia ini yang dengan rela hati sanggup untuk menghadapi dengan apa saja yang dinamakan penderitaan dalam kehidupan. Malah tiada sesiapa pun yang sanggup berdepan dengan pelbagai masalah yang berkemungkinan akan menjejaskan nilai kesempurnaan 'kemanusiaan' seseorang itu.
Sesungguhnya kita semua sentiasa mengimpikan nilai kedamaian dan kesejahteraan yang berpanjangan sehingga ke akhir hayat.
Namun begitu, lazimnya setiap masalah atau penderitaan itu selalunya akan datang tanpa diduga. Ia muncul atas kesilapan diri kita sendiri atau datangnya tanpa kita mencarinya.
Kemungkinan masalah itu ada yang berkaitan dengan percintaan, pekerjaan, rumah tangga atau yang berbentuk peribadi, yang biasanya ada kelangsungan dengan kehidupan itu sendiri, yang memaksa seseorang itu menghadapinya jua walau dengan apa cara sekalipun.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Sunday, October 5, 2008
AKU MASIH DI SINI
meniti pena
menitip kata
menebar rasa.
Aku masih lagi di sini
melarik suara hati
menganyam pekerti
menyulam peribadi.
Aku masih tetap di sini
seperti sebegini
dengan pena tak akan mati
dengan kata silih berganti
dengan rasa tak mungkin mati.
Aku terus di sini
ada suara hati
ada pekerti
tetap berperibadi.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
FADILAT PUASA ENAM
(DI BULAN SYAWAL)
HARI PERTAMA ( 2 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Adam a.s.
HARI KEDUA ( 3 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Yusuf a.s.
Keluar dosa-dosa dari tubuhnya bagaikan baru dilahirkan dari perut ibu.
HARI KETIGA ( 4 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Yakub a.s.
Sekiranya berpuasa tanpa diketahui orang lain, Allah SWT tidak rela untuknya pahala yang kurang dari syurga.
HARI KEEMPAT ( 5 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Musa a.s.
HARI KELIMA ( 6 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Isa a.s.
Menyamai puasa sepanjang tahun.
HARI KEENAM ( 7 Syawal ):
Mendapat pahala sebagaimana pahala Nabi Muhammad SAW.
Jika kebetulan seseorang makan berhampiran orang yang berpuasa itu, akan dibacakan istighfar untuknya oleh para Malaikat.
________________________________________
*(21 SSXX)
Part: 5
Jika setiap pasangan atau suami isteri inginkan keintiman mereka terus kekal bahagia, mestilah ada perkara-perkara berikut, antaranya:-;
1. Jangan sesekali memendam atau menyimpan sesuatu yang dirasakan tidak memuaskan hati. Sebaliknya berterus terang atau memberitahu dengan jelas apa yang diharapkan daripada pasangan masing-masing.
2. Mesti ada sikap saling suka menyukai antara satu sama lain dengan jujur dan ikhlas. Bukannya sekadar berpura-pura.
3. Masing-masing mestilah boleh menerima kaum keluarga dan sahabat handai pasangan masing-masing.
4. Saling suka bantu membantu antara satu sama lain.
5. Mempunyai minat atau senang melakukan apa sahaja aktiviti bersama, seperti berkebun atau mengemas rumah.
6. Tidak pernah rasa jemu dan memahami akan keinginan pasangan masing-masing.
7. Sentiasa bercakap tentang komitmen yang berfaedah untuk mengekalkan jalinan keintiman antara satu sama lain.
8. Sentiasalah berbual mengenai kebahagiaan keintiman antara satu sama lain, dan sering mengucapkan bahawa ikatan keintiman yang sedia terjalin dan dinikmati kini, akan terus kekal ke akhir hayat.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Tuesday, September 30, 2008
SALAM LEBARAN 2008 / 1429H
************************************
SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR DAN BATHIN
*
DIUCAPKAN KEPADA
*
SAHABAT HANDAI
SERTA
ANDA YANG BUDIMAN
*****************************
Friday, September 26, 2008
CUCI
KATA AHLI MAKRIFAT:
CUCILAH EMPAT DENGAN EMPAT - IAITU:-
1. WAJAH
Cucilah wajah-wajah kamu dengan air mata kamu.
2. UCAPAN
Cucilah ucapan (kata-kata) kamu dengan berzikir kepada Allah SWT.
3. SANUBARI
Cucilah sanubari (kalbu) kamu dengan rasa takut kepada Allah SWT.
4. DOSA
Cucilah semua dosa-dosa kamu dengan bertaubat kepadas Allah SWT.
******************************************************************************
*(21 SSXX)*
Part: 4
Suami isteri atau pasangan yang kekal bahagia, selalunya mengamalkan beberapa perkara dalam meneruskan perhubungan mereka. Supaya mereka terus kekal bahagia dalam keintiman dan sentiasa memuaskan kedua-dua belah pihak.
Bagi mereka, dirasakan tidak begitu sukar untuk bersikap positif dalam mengekalkan keintiman yang diharap-harapkan. Antaranya:-
1. Mengamalkan sikap suka puji memuji antara satu sama lain atas sesuatu sebab yang perlu.
2. Cepat meminta maaf jika melakukan kesalahan atau sesuatu yang tidak menyenangkan.
3. Mudah memberi kemaafan.
4. Tidak menyimpan dendam.
5. Tidak suka memberi kritikan yang boleh menyinggungkan hati.
6. Perlu ada sikap bertolah ansur.
7. Sentiasa bertimbang rasa.
8. Bersabar dan tidak mudah melenting.
Monday, September 22, 2008
ENAM WASIAT
Telah datang seorang lelaki kepada Abdullah bin Abbas RA lalu berkata:
"Berikanlah nasihat kepada aku."
(Maka Abdullah bin Abbas RA pun berkata):
1. Percayalah dengan keyakinan hati kamu terhadap apa yang telah dijaminkan oleh ALLAH SWT untuk kamu.
2. Kerjakanlah kewajipan-kewajipan kamu tepat pada waktunya.
3. Jangan menurut hawa nafsu syaitan kerana ia penghasut kepada manusia.
4. Hendaklah lidah kamu sentiasa basah kerana selalu berzikir kepada ALLAH SWT.
5. Jangan terlalu memakmurkan dunia, kerana dunia akan merosakkan akhirat kamu.
6. Hendaklah kamu selalu sayang dan menasihati sesama kaum muslimin.
___________________________________________________
*(20 SSX)*
Part: 3
Berdasarkan pengalaman-pengalaman tertentu, ada di antara mereka (pasangan) mengalami detik-detik mesra (intim) hanya semasa dalam alam percintaan. Manakala selepas beberapa lama mendirikan rumah tangga, keintiman itu mula kurang, malah ada yang terus hilang (lenyap).
Di manakah silapnya?
Adakah kerana telah wujud rasa bosan terhadap pasangan masing-masing atas sebab-sebab tertentu?
Jika ada alasannya, ia sepatutnya perlu diperbaiki demi menyambung hayat hidup berumah tangga berkekalan.
Jika perlu bersemuka, harus dilakukan demi kebaikan. Jangan dibiarkan api dalam sekam yang terus merebak menjadi barah yang membinasakan.
Bersambung.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Thursday, September 18, 2008
MENGAKU EMPAT PERKARA TANPA BUKTI
SESUNGGUHNYA BARANGSIAPA MENGAKU EMPAT PERKARA TETAPI TANPA DISUSULI DENGAN TINDAKANNYA SEBAGAI BUKTI PENGAKUANNYA ITU, ADAPUN EMPAT PERKARA PENGAKUANNYA ITU SEBENARNYA ADALAH DUSTA SEMATA-MATA.
EMPAT PERKARA TERSEBUT IALAH:-
1. Mengaku amat cinta kepada ALLAH SWT dan mengakui akan kebesaran-Nya, sedangkan dalam masa yang sama dia selalu mengeluh apabila setiap kali ditimpa bala atau berdepan dengan sebarang masalah. Maka pengakuannya itu adalah BOHONG.
2. Mengaku amat mencintai RASULULLAH SAW dan mengakui baginda adalah pesuruh ALLAH, tetapi dia tidak menyukai ulama dan selalu pula menjauhkan diri daripada ilmu-ilmunya. Maka jelaslah pengakuannya itu TIDAK BENAR sama sekali.
3. Mengaku takut pada NERAKA tetapi tidak mahu meninggalkan MAKSIAT dan perbuatan-perbuatan yang dimurkai ALLAH SWT. Maka ini menunjukkan dengan jelas bahawa dia adalah seorang PENDUSTA.
4. Mengaku cinta kepada SYURGA tetapi tidak taat akan suruhan ALLAH SWT, termasuk sembahyang lima waktu. Maka jelas dan nyatalah bahawa dia merupakan seorang PEMBOHONG.
__________________________________________________________
*(19 SXX)*
- Untuk sesiapa sahaja yang sudah matang atau sesiapa juga yang telah dengan tersengaja mematangkan dirinya.
(Part: 2)
Dua orang manusia (lelaki dan wanita) yang pada asalnya asing, tetapi dengan bahasa atau luahan kata-kata yang menyenangkan hati antara satu sama lain, mereka akan dapat merasakan seolah-olah mereka sudah saling lama mengenali. Dan bagaikan memahami maksud hati masing-masing. Bagaikan dua hati telah menjadi satu.
Namun begitu, adakalanya dalam saat-saat yang 'paling mesra', bahasa atau luahan kata-kata seolah-olah tidak diperlukan. Sudah memadai dengan bahasa mata atau bahasa tubuh masing-masing.
Sunday, September 14, 2008
KELEBIHAN RAMADHAN - 4
Ramadhan - bulan yang mulia dari segala bulan.
Ramadhan - bulan yang lebih diberkati.
Ramadhan - bulan yang lebih dirahmati.
Ramadhan - juga bulan yang dilimpahkan lebih pahalanya oleh Allah terhadap hambanya yang tahu menilai dan menghormati bulan yang mulia ini.
Dari Abu Hurairah r.a. pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa menerangkan lampu masjid di dalam bulan Ramadhan, maka baginya cahaya di dalam liang kuburnya dan dicatatkan pahala untuknya orang yang solat di dalam masjid itu dan para malaikat sama-sama memohonkan kebaikan (selawat) untuknya, bahkan malaikat pembawa 'Arasy pun memohonkan keampunan untuknya, selama lampu itu ada di masjid." (Dzakhiratul 'Aabidina).
__________________________________________________________
*(18 SX) Untuk orang yang sudah kahwin saja: Orang yang belum kahwin hendaklah dengan bantuan ibu bapa. Terima kasih.
(Part 1)
Perhubungan suami dan isteri sepatutnya mempunyai kualiti. Perhubungan itu seharusnya baik, mesra dan intim. Tidak sepatutnya ada keburukan atau konflik di antara kedua-duanya.
Kualiti perhubungan antara suami dan isteri juga akan tergambar pada ciri-ciri komunikasi yang berlaku antara mereka.
Antaranya, bahasa ialah alat yang sangat berkesan untuk mencipta keintiman antara lelaki dan wanita (suami dan isteri).
Bersambung.
Thursday, September 11, 2008
"SELESAIKAN EMPAT PERKARA SEBELUM TIDUR"
Tetapi jika kita berada dalam keadaan fikiran yang sering terganggu dan hati yang kerap resah gelisah disebabkan sesuatu perkara yang sukar atau tidak dapat diselesaikan, mampukah untuk kita tidur dengan lena...?
Jawapannya, terserah pada diri masing-masing.
Namun begitu, Al-Hakiem pernah berkata:
"Seseorang itu sepatutnya tidak boleh tidur sehingga dia menyelesaikan empat perkara, iaitu":-
1. Jangan tidur selama di atas muka bumi ada HUTANG, sehingga minta dihalalkannya, sebab kemungkinan ia mati sehingga dituntut Allah.
2. Jangan tidur jika masih belum menyelesaikan KEWAJIPANNYA terhadap Allah.
3. Jangan tidur selama masih berasa BERDOSA dan belum BERTAUBAT daripadanya, sebab kemungkinan ia mati dan dianggap terus menerus di dalam keadaan berdosa.
4. Jangan tidur sehingga menulis WASIAT yang tepat, sebab kemungkinan ia mati tanpa meninggalkan wasiat.
_________________________________________________
"Komunikasi yang baik boleh menciptakan kemesraan yang berpanjangan sesama insan. Kemesraan yang berpanjangan itu pula akan menciptakan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan."
_________________________________________________
Tuesday, September 9, 2008
KELEBIHAN RAMADHAN - 3
1. Puasa sehari di bulan Ramadhan, lebih afdal daripada berpuasa 1000 hari pada bulan-bulan lain.
2. Bertasbih di bulan Ramadhan lebih baik daripada 1000 tasbih pada bulan-bulan lain.
3. Bersembahyang satu rakaat di bulan Ramadhan lebih afdal daripada 1000 rakaat pada bulan-bulan lain.
4. Berbelanja (bersedekah) di bulan Ramadhan seperti berbelanja fisabilillah.
_____________________________________________________
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Orang yang zikir (ingat) pada Allah pada bulan Ramadhan akan diampunkan baginya dan orang yang minta-minta pada Allah di dalamnya tidak akan kecewa."
_____________________________________________________
Sunday, September 7, 2008
SIBUK DENGAN ENAM PERKARA
1. Jika orang lain sibuk memperbanyakkan amal, maka sibukkanlah dirimu dengan menyempurnakan dan baiknya amal.
2. Jika orang lain sibuk dengan sunat-sunat, maka sibukkanlah dirimu dengan menyempurnakan yang fardhu.
3. Jika orang lain sibuk memperbaikikan yang zahir, maka sibukkanlah dirimu dengan memperbaiki yang bathin.
4. Jika orang lain sibuk dengan menyelidiki kesalahan diri orang lain, maka sibukkanlah dirimu dengan menyelidiki kesalahan diri sendiri.
5. Jika orang lain sibuk dengan kesenangan dunia, maka sibukkanlah dirimu dengan kemakmuran akhirat.
6. Jika orang lain sibuk dengan mencari keredhaan makhluk, maka sibukkanlah dirimu dengan mencari keredhaan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tiada seorang hamba pun yang berpuasa sehari dengan niat fisabilillah iaitu semata-mata menuju kepada ketaatan terhadap Allah SWT, melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan." (Muttafaq - Alaih).
Friday, September 5, 2008
TAJUK: T*** DAN B*****
Aku pada awalnya berniat (berhasrat) untuk memenuhkan aku punya ini sebulan bulan puasa ini dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan Puasa aje.
Maklumlah, ingat nak ambil berkat bulan puasa - bulan yang diikat segala jenis hantu dan syaitan dan bulan mulia yang banyak mendatangkan pahala jika dilakukan sesuatu yang baik.
Ingatkan bulan yang baik lagi mulia ini, manusia juga akan jadi baik dan mulia (walaupun sebulan ini aje).
Setelah segala jenis hantu dan syaitan diikat dari mengacau manusia, rupa-rupanya manusia pula yang bertukar menjadi hantu dan syaitan.
Kalau tidak, takkan sahabatku yang seorang itu marah-marah dan merungut-rungut di depanku dengan mukanya yang kelat lagi mencuka, disebabkan oleh 'hantu' dan 'syaitan' itu.
Inilah antara luahan marah rungutannya. (Aku hanya sebagai pelakon tambahan aje):
SAHABATKU: Tak tahulah aku... apa nak jadi dengan dia sorang ni...
AKU : Siapa...?
SAHABATKU: (SUARA TAJAM) Siapa lagi kalau bukan *&*^%#@# tu...!.
AKU : (LEMBUT / NAK TAHU) Oh, ooo... Apa hal plak kali ni..?
SAHABATKU: Teruk betul perangai dia tu. Tak pernah nak berubah-ubah. Asyik nak cari salah orang aje. Macamlah dia tu baik sangat... tak pernah buat salah. Menyampah betul aku tengok muka dia tu...!
AKU : (CUBA NAK MENYABARKANNYA) Dah perangai dia macam tu. Nak buat macam mana...?
SAHABATKU: Pelik aku. Tak berubah-ubah. Asyik nak 'intai taik kat bontot' orang aje. Tak sedar 'taik kat bontot' sendiri tu lebih jijik lagi gamaknya...!
AKU : (MENYAMPUK DGN SESEDAP RASA) Kat bontot sendiri kan tak ada mata. Sebab itu, kalau bontot sendiri yang bergelumang taik sejijik mana pun, mana nak nampak..!
(TIBA-TIBA AKU TERSEDAR, AKU DAH TERMENGUMPAT KE NI...?
ASTAGHFIRULLAH-AL-AZIM... YA ALLAH, AMPUNILAH DOSAKU INI).
SAHABATKU: (SUARA PERLAHAN) Ahaa.., betul cakap kau tu.
KESIMPULANNYA: Selalu-selalulah intai T di B sendiri, daripada terlalu kerap mengintai T di B orang lain. (Mungkin dengan itu kita akan sedar bahawa T kita rupa-rupanya lebih busuk dari T orang lain).
(Nota mulut: Harap maaf jika aku terkasar sebutan bahasa kali ini, di bulan mulia ini).
Wednesday, September 3, 2008
KELEBIHAN RAMADHAN - 2
"Barangsiapa mendatangi majlis ilmu atau pengajian di bulan Ramadhan, maka Allah SWT mencatat tiap-tiap langkahnya sebagai ibadah satu tahun dan dia akan bersamaku di bawah panji-panji 'Arasy.
Barangsiapa memelihara solat berjemaahnya di bulan Ramadhan, maka tiap-tiap rakaatnya akan diganjar satu kota yang penuh dengan nikmat Allah.
Barangsiapa berbuat baik kepada kedua orang tuanya di bulan Ramadhan, maka akan memperoleh perhatian Allah dengan penuh kasih sayang, sedangkan aku (iaitu Rasulullah SAW) menjaminnya di dalam syurga.
Dan seorang perempuan yang mencari keredhaan suaminya di bulan Ramadhan, maka baginya pahala seperti pahalanya Maryam dan Aishah.
Dan barangsiapa menolong keperluan saudaranya yang muslim di bulan Ramadhan, maka Allah akan menolong seribu keperluannya di hari kiamat."
----------------------------------------------------------------------------------
Pesan Imam Al-Ghazali:
Yang dekat itu mati, yang sedikit itu masa, yang besar itu nafsu, yang berat itu amanah, yang ringan itu solat dan yang tajam itu lidah.
Sunday, August 31, 2008
KELEBIHAN RAMADHAN
1. Apabila malam pertama bulan Ramadhan datang, maka Allah melihat mereka dengan kasih sayang dan barangsiapa yang dilihat Allah dengan kasih sayang, maka tidak akan diseksa selamanya.
2. Allah memerintahkan kepada para Malaikat agar meminta ampun untuk mereka.
3. Bau mulut orang yang berpuasa bagi Allah lebih harum daripada minyak misik.
4. Allah berfirman kepada syurga; "Berhiaslah engkau." Dan Allah berfirman pula; "Beruntunglah bagi hamba-Ku yang beriman, mereka menjadi kekasih-Ku."
5. Allah memberi keampunan kepada mereka semua.
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda; "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan (kepada Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (Zubdatul Wa'izhiina).
"SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA KEPADA SEMUA UMAT ISLAM"
Saturday, August 30, 2008
MERDEKA..! MERDEKA..! MERDEKA..!!
DARI BARAT SEHINGGALAH KE TIMUR
RAKYAT BERPADU SETIA DAN JUJUR
BUMI BERTUAH SEMAKIN SUBUR.
MERDEKA KITA MERDEKA BERDAULAT
BERSEMAH DARAH DAN TUMPAHAN KERINGAT
SAMPAI BILA-BILA AKAN TETAP DIINGAT
JASA BANGSA DISANJUNG DAN DINOBAT.
NEGARA KITA NEGARA BERTUAH
BERBILANG KAUM BUDAYANYA INDAH
BUMINYA SUBUR HASIL MELIMPAH RUAH
RAJIN BEKERJA REZEKINYA MEWAH.
SESEKALI BERPALING KEPADA SEJARAH
NEGARA KITA PERNAH DIJAJAH
KUASA-KUASA LUAR MENUNJUK GAGAH
HIDUP RAKYAT BERSUSAH DAN PAYAH.
MAKNA MERDEKA BUKAN KEPALANG
SEKALI MERDEKA SELAMANYA DIJULANG
HASRAT YANG SATU HARUS DIPEGANG
TERUS MERDEKA TAK MUNGKIN TUMBANG.
MERDEKA KITA MERDEKA NAN MURNI
PELBAGAI KAUM BERSATU HATI
DARI GENERASI BERGANTI GENERASI
GENGGAMLAH MERDEKA SEHIDUP SEMATI..!
MERDEKA..! MERDEKA..! MERDEKA..!!