Tuesday, December 29, 2009

MENCATAT KENANGAN, MENGGAMIT INGATAN, MEMATANG FIKIRAN

happy new year Pictures, Images and Photos
Mencatat kembali kenangan
yang lekat di ingatan
manis, pahit atau trauma yang panjang
adalah membaca kembali perihal kehidupan.
*
Kenangan yang berlaku
bukan sekadar angin nan lalu
kenangan meninggalkan ingatan
merangkum iktibar tentang pengalaman
sewaktu mendepani lurah-lurah perjalanan
dalam mematangkan lumrah kehidupan.
**
Sesekali apabila kenangan menggamit
bertamu dan menghimpit
mungkin senyuman manis akan terpalit
atau berhiba, menangis mahupun tersengih pahit
kerana gigi dan lidah kerap tergigit.
*
Sesungguhnya kenangan tak mampu dihalang
ingatan tak terdaya ditentang
kerana kenangan dan pengalaman
sedia sebati dalam putaran kehidupan.
**
pengalaman akan mendewasakan
mematangkan fikiran..!
*
SELAMAT MENYAMBUT
2010
*

Sunday, December 27, 2009

KISAH SI MULUT LONGKANG

longkang jalan taib pontian2 Pictures, Images and Photos

Al-kisah si mulut longkang punya cerita
tak suka diam mulutnya sering ternganga
tak ada cerita dicipta direka
yang mendengar terbeliak mata.
*
Yang sejengkal jadi berdepa-depa
bukan apa saja nak sedapkan cerita
kain orang diselak dibuka
tak sedar kain sendiri terkoyak merata-rata.
**
Kalau dulu mengata orang kini terbalik pula
meludah ke langit jatuh ke kepala
cari salah orang tapi salah sendiri berjela-jela
buruk sendiri sengaja dipejamkan mata.
*
Orang yang mendengar terus percaya
dengar buruk orang mulut luas ternganga
kutuk mengutuk jadi agenda
Si mulut longkang puas berbangga.
**
Si mulut longkang diberi muka
ramai pula yang suka akan dia
orang yang benar dikutuk dicela
yang tak bersalah menjadi mangsa.
*
Berkata benar ramai yang tak selesa
penegak benang basah dianggap wira
yang berpura-pura terus bermuka-muka
jenis sebegitu ramai disanjung dan dipercaya.
**
Si mulut longkang terus menjaja cerita
tiada yang benar tapi fitnah belaka
macam mana musibah dan bala tak bertimpa-timpa
tapi itulah yang manusia cari dan puja-puja.
*
Yang berdosa tetap dibalas jua
dibayar tunai tapi ampunya diri tak pula terasa
sebab mulut longkangnya sentiasa berulat berlarva
sudahnya bala dan celaka sentiasa di depan mata!
**

Tuesday, December 22, 2009

KELALAIAN DARI TANGGUNGJAWAB

Bhg bangunan yg runtuh sebelah rumah ini Pictures, Images and Photos



Semua masalah atau bencana yang melanda manusia, adalah berpunca daripada kita. Kekalaian dan kesilapan pihak berkuasa, pihak yang diberikan tanggungjawab serta pihak-pihak yang telah diberikan peranan dan kepercayaan untuk menjalankan tugas, supaya sesuatu yang tidak baik dapat dielakkan.

Namun kenapa sesuatu yang tidak dingini, sehingga mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda itu masih berlaku?

Kerana kita terus alpa dan lalai. Ibarat penukul sekali diketuk sekali berbunyi. Sekali diketuk sekali bergerak. Manusia jenis apakah mereka (atau kita ini) ini? Dibyara gaji untuk melakukan kerja, supaya hasilnya terbaik dari yang terbaik. Malangnya sebalik pula yang berlaku. Yang elok hanya mungkin dipandangan mata yang seketika. Beberapa selepas itu ia telah menimbulkan bala.

Apabila sesuatu yang malang berlaku, kita mula terdengar rungutan pihak yang kecewa. "Pihak berwajib tidak memantau kerja dengan baik". Dan, "Semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang, kemudian tak datang-datang. Mereka harus jalankan tugas dengan rasa tanggungjawab."

Kesimpulannya, segala permasalahan yang berlaku adalah disebabkan, pihak yang diberikan tanggungjawab merupakan golongan yang tak bertanggungjawab. Pihak yang diberikan kepercayaan rupanya mereka langsung tang boleh percaya.

Namun kesemua permasalahan itu akan tetap berterusan dan berlanjutan, selagi manusia-manusia yang diberikan peranan tanggungjawab dan kepercayaan itu hanya sekadar manusia pada lahiriah yang bukan berkemanusiaan zahir dan bathin..!

Monday, December 14, 2009

CELARU DAN MENGHARU..!

Image and video hosting by TinyPic


Pagi itu, aku baru nak labuhkan punggung di sofa di ruang tamu di tingkat bawah, sambil berhasrat nak 'menjamah' dua akhbar yang aku langgan setiap hari itu.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan hon motosikal empat lima kali bunyinya. "Pet... pet... pet... pet... pet..!

Aku menjenguk melalui tingkap. Ternampak Mr Posmen di depan pintu pagar.

Kemudian aku beralih ke pintu dan menghulur kepala melalui daun pintu yang aku kuak sedikit.

"Siti Fatimah binti...." ujar Mr Posmen sambil menoleh padaku.

"Tak ada nama tu kat sini..!" jawabku dengan lantang. Nak suruh Mr Posmen dengar dengan jelas.

"Siti Fatimah..." ulang Mr Posmen lagi.

"Tak ada nama tu kat sini," balasku lagi. "Cuba tengok alamatnya betul ke tidak?" soalku kemudian. Itulah yang terlintas di kepalaku.

"Nombor 658..." ujar Mr Posmen.

"Salah tu. Bukan alamat kat sini..!" balasku pula.

Mr Posmen seakan terpinga. Dia menyengetkan sedikit kepalanya untuk melihat nombor rumahk yang tertera di tiang pintu pagar kanan.

"Eh..., maaf..!" kata Mr Posmen dan bersedia untuk berlalu.

Hairan juga aku. Nombor rumah aku yang terpampang di tiang pintu pagar itu lebih besar dari nombor kereta aku pun dia boleh tak perasan..? Di manakah matanya..?

Memang dalam dua tiga bulan ini keadaan surat yang masuk dalam peti surat aku (mungkin juga peti surat orang lain) agak bercelaru sikit. Tiga kali surat orang lain dimasukkan dalam peti suratku. Namun atas nama kemanusiaan, aku pula yang jadi posmen tak bertauliah, hantar surat itu ke rumah-rumah berkenaan.

Dan pernah sekali surat aku dimasukkan dalam peti surat orang lain. Mujurlah tuan rumah itu hantar semula kepadaku. Itu kalau tuan rumah baik hati? Kalau tidak? Jadilah macam surat pemberitahuan pembayaran royalti penulisanku dihantar balik ke pihak penerbit. Sedangkan nama dan alamatku semuanya betul.

Aku mendapat tahu, Mr Posmen yang selalu menghantar surat di taman kediamanku sedang berkursus. Dia diganti oleh Mr Posmen lain, yang agak bercelaru itu.

Sebelum diganti oleh Mr Posmen bercelaru itu, tidak pula berlakunya kecelaruan penghantaran surat ke rumah-rumah.

Itulah bezanya antara orang yang boleh buat kerja atau sebaliknya.

"Bila diberi gaji dan tanggungjawab, buatlah kerja dengan baik dan sempurna. Bukannya buat kerja sekadar melepaskan kentut ditangga."

Thursday, December 10, 2009

RAGUT LAGIII..!!!

mangsa ragut 7mei09 Pictures, Images and Photos


Sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian ragut bermotosikal. Kali ini merlibatkan kematian si suami, manakala isterinya cedera parah. Peragut berjaya melarikan rantai emas bernilai RM2,000.

Berbaloikah kerana RM2,000 sedangkan ada nyawa yang melayang? Tapi itulah kerja peragut. Tanpa mengenal mangsa. Tanpa memikirkan kesusahan orang lain. Yang mereka fikirkan, peluang yang ada seharusnya digunakan. Walaupun tanpa berperikemanusiaan.

Seperti biasa, setiap kali terjadinya kejadian sebegitu, bermacam-macam cadangan yang ditimbulkan. Ada yang meminta hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap peragut yang membawa kepada kematian.

Sama ada peragut, perompak, penyamun perogol, pembunuh dan lain-lain perbuatan yang sewaktu dengannya, semua itu merupakan perbuatan yang tidak bermoral dan terkutuk.

Namun setelah mereka didapati bersalah dan dijatuhi hukuman, nampaknya masih ada segolongan yang kasihankan mereka, atas nama hak asasi manusia. Perjenayah diminta diberikan layanan yang sebaik-baiknya. Semuanya kerana atas nama hak asasi manusia.

Sedarkah kita, adakah setiap penjenayah itu memikirkan 'hak asasi manusia' orang lain ketika melakukan jenayah. Sehinggakan perbuatan mereka itu menyebabkan kehilangan nyawa dan taruma yang dahsyat kepada mangsa dan keluarga mereka?

Sehubungan itu, dalam kita memperjuangkan nasib penjenayah yang telah didadapati bersalah oleh mahkamah, adakah nasib mangsa penjenayah dan keluarga mereka terbela atas nama hak asasi manusia juga?

Kita selalunya terlepas pandang membela nasib orang yang baik. Sudah lumrah kehidupan.

Penjenayah yang melakukan jenayah terancang, sepatutnya tidak layak mendapat pembelaan atas nama hak asasi manusia.

Sementara 'penjenayah' yang sepatutnya mendapat 'pembelaan' atas nama hak asasi manusia sepatutnya mereka yang menjadi 'penjenayah' dengan tak sengaja seperti mereka yang bertindak membela diri dan membela keluarga mereka.

Contohnya, mereka yang bertindak membalas ke atas penjenayah yang menceroboh rumah mereka. Yang mungkin nenyebabkan kematian penjenayah. Dan lain-lain sebab yang serupa dengannya.

Tuesday, December 8, 2009

KERANA DUA TIGA EKOR KERBAU MEMBAWA LUMPUR...

Dirty Buffalo Pictures, Images and Photos


Petang itu sempat bersembang-sembang sambil minum dengan seorang rakan yang jarang-jarang bertemu kerana kesibukan tugasannya yang terlampau.

Sambil bersembang-sembang itu sempat juga dia menyelitkan 'cerita' mengenai jiran-jirannya yang berjawatan guru, kerani bank, pegawai kerajaan, kontraktor, bisnesman dan macam-macam lagi. Bermacam bangsa dan agama.

Tapi topik utamanya ialah mengenai tiga orang jirannya berjawatan nurse di sebuah hospital kerajaan berdekatan dengan rumahnya. Yang didakwanya bukan saja mereka 'tak mesra jiran' malah muka sering pula mencuka bila bertemu jiran. Sedangkan suami-suami mereka ramah pula.

"Mereka tu (nurse), kalau jumpa kita, (rakan setaman perumahan) susah benar nak senyum. Kita ni senyumlah macam biasa... sebab dah lama kenal. Tapi mereka... hisyy... pelik benar perangainya..," luah si rakan itu.

Aku hanya senyum. "Agaknya mereka tu dah puas senyum kat pejabat. Dah tak larat lagi nak senyum kat jiran-jiran setaman," balasku untuk menyedapkan hati si rakan itu.

"Iyalah tu," balas si rakan sambil menjeling. "Tapi aku dengar cerita, jiran-jiran aku tu, masa kerja pun 'mulut' mereka sama macam jumpa kita orang juga. Susah nak senyum." tambahnya.

"Dah gaharu cendana pula... sudah tahu bertanya pula," bisik hati kecilku.

"Mereka tu sesuai jadi jaga kut..!" tambah si rakan.

Aku tetap hanya mampu tersenyum. Inilah yang dikatakan dua tiga ekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit!

Friday, December 4, 2009

JANGAN KERANA DISALAHGUNA, PIHAK LAIN PULA YANG SUSAH..!

mat rempit Pictures, Images and Photos Kerajaan tak bercadang nak naikkan harga gula. Kerajaan juga tak berhasrat nak tarik subsidi bahan pemanis itu. Bermakna, harga gula kekal seperti biasa.

Sebelum ini ada cadangan agar subsidi gula ditarik balik. Bermakna harga gula akan menjadi lebih mahal daripada biasa. Tujuannya ialah supaya pengguna berjimat cermat dengan gula. Kerana gula dikaitkan dengan penyakit kencing manis yang semakin meningkat di Malaysia, yang puncanya kerana gula murah dan pengguna memakan banyak gula.

Dalam soal sakit dan penyakit ni, sendiri mahu ingatlah. Jangan kerana ramai yang 'telan' banyak gula kerana murah hingga ramai kena penyakit kencing manis, jangan kita menyusahkan pihak lain pula dengan menaikkan harga gula.

Kalau sebelum ini pokok ketum diharamkan kerana penagih menyalahgunakan daun pokok itu sebagai pengganti ganja. Tak pasal-pasal pokok itu menjadi mangsa haram, yang sedikit sebanyak memberikan kebaikan kepada sebilangan orang yang menggunakan secara baik untuk perubatan.

Sementara sedikit masa lalu, ada cadangan untuk mengharamkan gam pula, atau tidak dijual secara bebas, kerana bahan itu disalahgunakan sebilangan 'manusia lalok' untuk melepaskan gian.

Tapi cadangan itu senyap dan sunyi sehingga kini. Kalau diharamkan, tentu ia akan menyusahkan banyak pihak lain pula.

Satu lagi masalah yang tak pernah selesai ialah keliaran Mat Rempit. Masalah yang menyusahkan ramai pengguna jalan raya lain. Begitu juga 'kejahatan' peragut-peragut bermotosikal yang menyebabkan banyak nyawa yang tak berdosa melayang. Akan tetapi tiada pula kita pernah mendengar cadanganagar penggunaan motosikal diharamkan di Malaysia.

Mungkin kerana kita semua faham bahawa motosikal itu banyak digunakan oleh golongan-golongan tertentu, yang bersesuaian dengan kehidupan mereka.

Oleh itu, dalam banyak perkara kita mesti berpandukan kewarasan akal. Janganlah kerana sesuatu itu disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, sedangkan ia merupakan keperluan kepada pengguna-pengguna lain yang bersesuaian, maka janganlah begitu mudah untuk kita menjatuhkan hukuman mengharamkannya.

Wednesday, December 2, 2009

KISAH GADIS-GADIS MANGSA NAFSU SEKS

sad anime girl Pictures, Images and Photos Aku ingin imbas kembali kisah nasib 'malang' dua gadis yang menjadi mangsa nafsu seks 'jantan-jantan' yang tidak berhati perut.

Semalam, seorang gadis berusia 21 tahun diperdayakan oleh seorang tukang tilik. Kononnya garis pada kedua-dua tapak tangannya membawa 'sial'. Lalu gadis penuntut kolej itu ditakut-takutkan dengan nasib malang yang bakal menimpanya, sehingga gadis itu menyerahkan tubuhnya, menjadi hamba seks kepada jantan durjana itu.

Alahai.., kenapa dan mengapa begitu mudah terpedaya, sehingga 'mahkota' diri digadaikan?

Kisah kedua, lebih kurang seminggu lalu, seorang gadis berusia 15 tahun keluar untuk bertemu dengan teman lelakinya. Namun malang, dia diperkosa oleh teman lelaki, serta beberapa orang lagi rakan teman lelakinya.

Kemudian, gadis itu didatangi oleh sekumpulan lelaki berkereta ketika dia berjalan sendirian, lalu dia menerima pelawaan lelaki-lelaki itu untukenaiki kereta. Dan malang sekali lagi menimpa gadis itu bila dia perkosa bergilir-gilir sekali lagi.

Alahai.., kenapa dan mengapa itu harus terjadi? Tidak serikkah dia dengan 'pengalaman' sebelum itu? Atau adakah dia sengaja mahukan dirinya dimangsakan oleh jantan-jantan durjana itu..?

Sesungguhnya terlalu tidak terjangkau oleh fikiran warasku!

Sunday, November 29, 2009

BERNIAGA CARA ORANG KITA..! ADUH SAKIT KEPALAKU!

Headache Pictures, Images and Photos


Orang berniaga, kita pun nak berniaga. Itulah jalan paling mudah bagi sesetengah orang. Walaupun berniaga itu bukan perkara mudah. Namun ada peniaga yang suka ambil mudah,

Sebab terlalu menganggap mudah, orang kita banyak abaikan perkara-perkara yang patut diamalkan oleh seorang yang bergelar peniaga.

Ada peniaga kita, bila kita masuk ke kedai mereka, dia (atau pekerjanya) melihat kita seperti orang bersalah. Dari air muka mereka, macam tak suka pelanggan masuk ke kedai mereka. Ada pula buat tak nampak bila pelanggan masuk.

Ada sesetengah tempat itu, ada tertulis; "Sila order makanan anda di sini!" Ternyata mereka ambil kerja mudah. Sepatutnya mereka yang perlu datang kepada pelanggan. Itulah sebahagian orang kita berniaga.

Ada tu pulak, nak tanya pelanggan nak makan apa, atau nak ambil pesanan pelanggan agak susah. Pelanggan terkinja-kinja menunggu.

Bila pelanggan selesai makan pula, nak kira pun susah juga. Terkebil-kebil pelanggan menunggu.

Bila pelanggan makan bernilai RM30, dan pelanggan hulur not RM50, tauke atau tukang kira akan tanya pelanggan, "Duit kecik ada tak?". Bila pelanggan jawab 'tak ada', maka mukanya akan masam mencuka. Itu belum lagi makanan bernilai RM5 dan pelanggan hulur RM50 untuk membayarnya. Kelat muka peniaga semakin kesat.

Sepatutnya peniaga sanggup bersusah kerana pelanggan. Bukan pelanggan yang terpaksa bersusah-susah kerana peniaga.

Aduuuhh..! Kekadang 'sakit kepala' yang tidak sakit dibuatnya..!

Tapi nak buat macam mana. Kalau dah tak ada pilihan, walaupun serik dan susah, pelanggan terpaksa juga terjah. Tapi kalau terdapat banyak pilihan, peniaga yang 'tak mesra pelanggan' itu akhirnya yang akan hadapi masalah. Dan pelanggan patut 'mengajar'nya.

Apa-apa pun, yang paling nyata, peniaga kita (tak kiralah taukenya atau pekerjanya), terlalu payah untuk senyum dan mengucapkan 'terima kasih' kepada pelanggannya.

Kenapa begitu? Sebab sebilangan orang kita berniaga sekadar untuk cari makan, bukan berniaga sebagai keikhlasan amalan yang dituntut dari segi keagamaan. Wallahu'alam.

Tuesday, November 24, 2009

GURU SEMBERONO..?

Keputusan UPSR di SJK(C) dikatakan lebih baik berbanding Sekolah Kebangsaan (SK). Terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Kemudian timbul pula mengenai guru semberono, yang Kementerian Pelajaran (KP) tidak akan berkompromi dengannya.

Di sekolah Cina, didapati persekitaran pendidikannya sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa. Di sekolah itu juga dikatakan lebih menekankan aspek kecemerlangan dalam banyak perkara menerusi pendekatan latihan serta guru yang kreatif. Sains dan Matematik turut ditekankan di sekolah Cina.

Sehubungan itu, KP bercadang guru-guru dari SK akan mengikuti kelas bagi mata pelajaran Mataematik dan Sains di SJKC. Demi mengatasi masalah yang berbangkit.

Maka, timbul persoalan bahawa adakah guru-guru di SJKC itu akan membuka rahsianya itu seluas-luasnya kepada guru-guru SK? Rahsia yang selama ini menjadi 'rahsia penting' bagi mereka.

Dan dengan wujudnya kelemahan di SK adakah disebabkan terdapatnya guru-guru semberono di SK? KP seharusnya menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi.

Apa-apa pun, 'sebagaimana acuan, begitulah kuihnya'. Dan 'Kalau guru kencing berdiri, muridnya akan kencing berlari'.

Friday, November 6, 2009

AIR BOTOL PLASTIK BERTOKSIK..?

Sudah banyak kali kita baca kenyataan bahawa air dalam botol plastik tak baik untuk diminum. Ada yang mendakwa air itu bertoksik dan membahayakan kesihatan.

Itulah yang terbaru, yang didakwa oleh CAP. Katanya, penghasilan botol plastik yang digunakan juga menjana lebih 100 kali ganda bahan toksik yang mampu melarut resap ke dalam air.

Menurut kajian seorang doktor Amerika Syarikat, meninggalkan botol air dalam kenderaan boleh mengubah keseimbangan bahan kimia dalam botol menyebabkan ia mudah resap ke dalam air.

Pada 2006, saintis dari Jerman pula mendapati sejenis bahan toksik yang digunakan dalam pembuatan botol selain meresap dengan cepat ia juga boleh menjadi sangat bertoksik jika semakin lama disimpan.

Jika sedemikianlah ceritanya, maka adakah penduduk negara ini yang dianggarkan meminum lebih 100 juta botol air setahun bersedia berdepan dengan risiko yang berkaitan dengan toksik air botol itu?

Kementerian sepatutnya kena menjelaskan dengan sejelas-jelasnya kepada pengguna mengenai perkara yang dibangkitkan itu. Sedangkan sejak akhir-akhir ini semakin banyak muncul produk yang didakwa 'air kesihatan' yang terdapat dalam botol plastik yang melambak-lambak di pasaran.

Jawapan yang penjelasan yang telus amat diperlukan, untuk menghindari kegusaran semua orang.

Kesihatan bukan boleh dijual beli..!

Tuesday, November 3, 2009

TEGAK, MELINTANG SUDAH TAK RELEVEN..?

Tegak dan melintang dah tak nak pakai. Mungkin tahun depan akan mula cara lain untuk menilai kemampuan dan keberkesanan penjawat awam yang dianugerahkan khidmat cemerlang.

Elok sangatlah tu. Sebelum ini, kalau dalam sebuah jabatan itu ada 40 orang, maka kesemua 40 orang itu akan dapat khidmat cemerlang.

Kenapa semua mesti dapat? Itulah membuktikan ketidak telusan boss atau penilai.

Sepatutnya kalau seorang itu prestasinya baik dan mengagumkan setiap tahun, apa salahnya kalau dia seorang saja yang layak terima anugerah cemerlang setiap tahun? Apa yang tak kenanya? Kenapa harus dinafikan haknya itu dengan alasan kerana 'dia sudah pernah dapat' dan perlu diberikan kepada orang lain.

Penilaian jenis apa kalau macam itu?

Namun itulah yang sering dan kerap berlaku. Ketidak telusan dan kejujuran itu (berpunca dari penilai yang terdiri daripada boss atau second boss atau apa sajalah), yang menyebabkan orang yang sememangnya tidak layak diangkat untuk menerima khidmat cemerlang pun boleh dapat cemerlang.

Maka berbesar hatilah mereka yang tak layak itu bila diangkat menjadi layak. Namun perangai lamanya tetap juga tak berubah. Tidakkan terasa bodoh memilih orang yang tak layak untuk menjadi layak? Tepuk kepala hantuk ke dinding..!

Kenapa ketidak jujuran itu perlu ada? Kenapa mahu ambil mudah dalam segala hal? Itulah antara kelemahan dan keburukan sikap mereka yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menilai dan bekerja secara jujur.

Namun apa sudahnya? Sudahnya yang diharap tak akan tercapai. Puncanya kerana ada segolongan merka tidak beramanah. Maka... jawablah di akhirat nanti..!

Dan walaupun apa yang akan menggantikan melintang atau menegak itu, dan jika boss (penilainya) masih orang yang sama, masih manusia yang ambil mudah, masih spesis yang tak jujur dan beramanah disebabkan tak tahu buat kerja, maka masalah yang sama tidak mustahil akan tetap berulang dan terus berulang.

Tak percaya? Sama-samalah kita lihat nanti..!

Thursday, October 29, 2009

SESEKALI INGIN BERTANYA...

Sesekali ingin bertanya,
setiap masa dan ruang yang ada
apakah yang sentiasa merisaukan dada
serta membimbang hati anda?
Tak kiralah sama ada mengenai keluarga
(suami, isteri, anak. emak, menantu atau mentua)
mahu pun mengenai kekasih atau orang tercinta?

Nyatakan saja jika sudi berkongsi rahsia dan rasa..!


Tiba-tiba aku teringat kata-kata ini:

'Malam yang baik, akan mengundang kepada pagi (keesokan) yang baik.'

Friday, October 23, 2009

BAJET 2010: ADA JUGA YANG TERBEBAN..?

Dalam usaha kerajaan cuba membentangkan bajet yang sebaik dan sesempurna mungkin untuk rakyat yang didahulukan dan pencapaian diutamakan, terselit juga bajet yang agak memberikan bebanan kepada sebilangan rakyat..!

Begitu keluhan seorang rakan yang tekun mendengar laporan Bajet 2010 oleh PM semalam yang mengharapkan bonus untuk penjawat awak turut diumumkan.

Bajet yang membebankan rakyat itu sebenarnya merujuk kepada caj kad kredit kepada mereka yang menggunakan kad kredit.

Betul juga rungutan rakan yang prihatin itu. Sepatutnya caj kad kredit itu hanya dikenakan kepada pemohon atau pengguna baru mulai Januari tahun 2010. Bukannya kepada pengguna yang sudah memiliki kad kredit.

"Sudahlah hampa bonus tak ada. Ini soal caj kad kredit pula. Sudah jatuh ditimpa tanggalah jawabnya..! keluhnya lagi.

Kemudian dia menambah lagi, "Kerajaan harus prihatin dalam soal caj kad kredit tu. Nampak remeh tapi ia suatu masalah baru bagi orang seperti kami..!" rintih rakan itu dengan muka yang sedikit moyok.

Thursday, October 22, 2009

AL-KISAHNYA... SIAPAKAH MEREKA ITU..?

Al-kisah maka setelah diterjah oleh juruaudit dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara, maka terjumpalah kisah seliter minyak petrol berharga sehingga RM300, yang tak masuk akal langsung, walaupun manusia yang buat kerja tak elok itu memang berakal.

Diketemukan juga dengan kisah pokok hiasan untuk sebuah sekolah yang hanya bernilai RM5000 lebih tapi menjadi RM34,000 lebih pula. Pun ada juga kisah tentang dua buah komputer riba yang berharga dalam lingkungan RM7,000 hingga RM8,000 menjadi RM84,000 lebih.

Maka ternya-tanyalah kita siapakah si dalang atau si malaun-malaun yang terlebih malaun itu?

Sementara itu, tersebut juga al-kisah mengenai seorang pelatih di institut yang berkaitan dengan perguruan yang diminta berhenti kerana terlalu gemok. Pegawai terbabit telah memintanya mendaftar semula sebagai pelatih setelah dia (pelatih itu) dapat mengurangkan berat badannya yang kini seberat 110 kilogram.

Soalnya, kenapa pelatih itu diterima seawalnya, walaupun dia datang temuduga dengan membawa tubuhnya gemok itu sekali, kemudian dia diterima, namun selepas itu dia disuruh berhenti kerana kegemokannya itu? Kenapa permohonannya tak ditolak atau disisihkan saja dari awal?

Pelik sungguh dunia hari ini. Namun siapakah mereka yang berperangai pelik itu di sebalik kejadian yang pelik sebegitu..?

Tepuk dada tanyalah akal, tanyalah mata, tanyalah telinga dan tanyalah hati. Jangan tepuk dada tapi tonyoh kepala ke looooongggggkaaaangggggg..!

He he he....! Alahai...!

Friday, October 16, 2009

MACAM PENTING SANGAT PEMBANTU RUMAH INDON

Pembantu Rumah Indonesia (PRI) - bermacam cerita yang kita dengar, lihat dan mungkin mengalami sendiri mengenainya.

Ada PRI yang kena dera oleh majikan mereka. Dan tak kurang juga majikan yang terdera dengan perbuatan PRI itu.

Antara yang menyebabkan majikan terdera ialah bila PRI cabut lari. Bila direport, majikan yang kena denda. Pelik kan? (Betul ke tak betul undang-undang macam tu tak tahulah..). Tanggung ajelah.

Apa-apa pun nampaknya majikan juga yang terkena. Syarat terbaru PRI diberi cuti sehari dan pasport mereka pegang sendiri. Nampaknya lagi mudahlah mereka nak main lari-lari. Sebelum ini, walaupun pasport mereka majikan mereka yang pegang, mereka langsung tak takut nak cabut lari pun. Bila dah pasport mereka pegang sendiri, bersiap sedilah majikan untuk berhadapan dengan masalah yang sedia akan bermasalah itu.

Nampaknya majikan di Malaysia kena berhenti kerja (isteri atau suami). Bukan nak jaga anak-anak dan rumah sendiri, tapi nak kena jaga PSI takut mereka main lari-lari.

Dan yang terbaru, pijak Indonesia menuntut agar gaji PRI dinaikkan sekurang-kurangnya RM800 sebulan. Alahai... tak tahulah apa nak jadi.

Tapi nampak pada gayanya, pihak kerajaan Malaysia macam nak setuju saja dengan tuntutan mengenai gaji baru itu.

Orang kita ni dilihat macam penting sangat dengan PRI itu. Sebab itu mereka macam naik tocang. Minta yang bukan-bukan (walaupun tak masuk akal).

Kerajaan kita pula, kalau nak ubah syarat itu ini pun biarlah jangan menyusahkan rakyat sendiri pula. Janganlah cuma nampak macam nak mementingkan orang luar. Cubalah renung sesekali, adakah orang luar (yang selalu sangat kita bantu/prihatin tentang nasib mereka) pernah ambil berat dan prihatin dengan nasib rakyat dan negara kita? (Mungkin jauh langit dari bumi. Mengutuk, mengeji, menghina, tak sedar diri dengan mulut celupar yang tiada langsung sikap mengenang budi dan jasa adalah kot).

Sesungguhnya, biarlah mereka rasa mereka perlukan kita sebagai majikan. Bukan nampak sangat kita ini macam kemaruk sangat dengan mereka.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
SEKEHLOGI
'SESUATU YANG KITA SUKA, TAK SEMESTINYA ORANG LAIN JUGA SUKA. DAN SESUATU YANG KITA BENCI, MUNGKIN ORANG LAIN MENYUKAINYA'

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Monday, October 12, 2009

BODOH SOMBONG..! - (1)

Perhatikan sekeliling kita. Bermacam ragam manusia.
Ada yang manis di depan muka, di belakang dia mengutuk kita berjela-jela. Sesedap mulut dia mengata.

Ada jenis telunjuk lurus, kelingking berkait. Manusia sebegini tak harus dibuat baik.
Musuh dalam selimut dan duri dalam daging. Ada yang terkemut-kemut dan mudah pula nak tunjuk hangin.

Ragam manusia. Ada yang bagus, ada juga yang tak bagus.
Ada yang perasan bagus, malah ada yang tak perasan bahawa dia memang bagus.
Jenis yang bagus, tapi dikelilingi jenis yang tak bagus, dia akan jadi tak bagus.

Sikap manusia. Ada yang merendah diri. Tak kurang ramai juga yang asyik nak meninggi diri. Jenis tak sedar diri. Berlagak aje yang lebih. Entah-entah di rumah hanya makan bertih. Nasib malang yang sukar nak pulih.

Ada yang merendah diri memang jenis ikhlas. Ada pula yang sengaja merendah diri, kononnya dia yang terkelas, atau tersembunyi niat asyik nak mengebas.

Ada yang cakap melambung-lambung. Tinggi borak dari gunung. Tapi kosong dan terapung-apung. Ibarat alu yang tak ada lesung. Semuanya bodoh sombong.

Jenis manusia macam tu buat orang jadi pening. Kalau dibiar ramai yang kena kencing. Kalau ditegur mudah pula dia melenting. Memang dia kaki hancing..!

*********************************************

SEKEHLOGI:
'Tiada lurus imannya jika tiada lurus hatinya.
Tiada lurus hatinya jika tiada lurus mulutnya'

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Wednesday, October 7, 2009

WANITA MALAYSIA TAK SERIK-SERIK..?

Seorang doktor wanita mengenali seorang lelaki Arab melalui internet. Setelah berkenalan selama tiga bulan, lelaki Arab telah datang ke rumah wanita itu untuk makan malam.

Lelaki Arab itu dipercayai telah memasukkan pil khayal ke dalam minuman wanita ibu tunggal yang berusia 35 tahun itu. Menyebabkan wanita itu tidak sedarkan diri. Setelah sedar diri keesokannya dia mendapati dirinya dalam keadaan bogel.

Lelaki Arab yang berusia 35 tahun itu dipercayai telah merakamkan gambar-gambar bogel wanita ibu tunggal beranak dua itu sebelum melarikan diri dengan barangan kemas bernilai RM2,000.

Dan lelaki Arab itu telah menghubungi wanita itu semalam dan mengugut akan menyebarkan gambar-gambar bogel wanita itu sekiranya wanita itu enggan membayar wang sebanyak hampir RM10,000 kepadanya.

Sama ada wanita telah dirogol atau tidak, masih belum ada laporan yang dibuat.

Hai... entahlah..., apa nak jadi dengan wanita-wanita Malaysia yang amat 'kemarukkan' jantan-jantan asing, yang akhirnya sendiri yang menjadi mangsa penipuan.

Tuesday, October 6, 2009

JANGAN TUDING JARI... DAH TU NAK TUDING APA..?

Setelah berlaku sesuatu musibah, sama ada disangka atau di luar jangkaan, sama ada dengan tak sengaja atau akibat sikap manusia, maka kita akan terdengarlah cadangan itu dan ini. Sebab itu dan ini.

Dan yang paling klise kita dengar ialah; 'Jangan amalkan sikap tuding jadi kepada sesiapa.'

Begitulah sikap kita. Bila berlaku sesuatu, gemparlah seketika. Riuhlah sekejap. Bermacam-macam idea baru yang muncul. Bertimbun-timbun undang-undang dan akta baru diluahkan. Sedangkan undang-undang dan akta yang sedia da tak pernah nak dipraktikkan bersungguh-dungguh.
Lepas tu senyap dan sepi. Piah yang terbabitkan puan turut diam.

Berbalik soal 'jangan menuding jari'. Kalau kita tak menuding jari, macam mana kita nak perbetulkan kesilapan dan kesalahan?

Dengan tidak menuding jari juga, akan terlepaslah manusia-manusia yang menyebabkan kejadian itu berlaku. Maka orang yang menjadi sebab/punca itu akan terselamat dan tersenyum lebar dengan sikap kita itu.

Maka orang yang biasa melakukan kesilapan (sama ada bertujuan mementingkan diri atau kelalaian diri) akan sentiasa membuat perkara yang sama jika tiada sikap menuding jari. Mereka akan sentiasa abai atau meremehkan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Dianggap tidak penting bagi mereka. Melakukan kesalahan pun tiada tindakan diterima. Dan mungkin bagi mereka apa yang dilakukan itu akan menjadi suatu kebiasaan.

Tidak mustahil manusia yang sama akan membuat kesilapan dan kesalahan yang sama. Disebabkan kita terlalu baik dan tidak suka menuding jari, tak mustahil perkara malang yang sama akan berulang, disebabkan oleh manusia yang sama.

Maka bertanyalah pada diri sendiri, "Apakah kesalahan/kelalaian yang berpunca daripada orang lain, yang menyebabkan kita menanggung akibat dan sengsara, maka kita tidak harus menyalahkan orang itu, sebaliknya terpaksalah menyalah diri sendiri. Begitukah yang kita mahu?"

Fikirkanlah...

Tuesday, September 29, 2009

KEMALANGAN JALAN RAYA: TIDAK AKAN SUSUTKAH..?

Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Terutama pada musim-musim perayaan yang sudah tentu akan meningkatnya aliran trafik dan makin menjuruskannya kepada peningkatan kemalangan maut.

Secara umumnya, memang sikap pemandu yang menjadi punca utama kemalangan, selain keadaan kenderaan yang tidak diurus dengan baik sebelum memulakan perjalanan jauh.

Namun pernahkah kita terfikir bahawa kadar keluasan (kelebaran) bentuk jalan raya di negara kita juga turut menyumbang kepada kes kemalangan. Terutama jalan perbandaran dan persekutuan. Kemalangan jarang berlaku di lebuhraya kerana keluasan jalannya.

Jalan raya yang sempit harus diambil kira. Sebagai contoh, ketika kita sedang memandu kereta, kita terserempak dengan sebuah motosikal yang dipandu terhegeh-hegeh di depan kita, manakala pada masa yang sama dari arah depan kita pula ada kereta lain. Disebabkan jalan yang sempit, kita terpaksa membrek kereta kita daripada terlanggar motosikal di depan kita.

Bersabitan dengan itu, dalam keadaan tertentu, terutama ketika memandu laju, macam-macam perkara yang tak diingini boleh berlaku.

Bayangkanlah kalau yang berada di jalan raya itu kenderaan besar seperti lori kontena, lori balak dan bermacam-macam jenis lori lagi.

Rasanya tidak keterlaluan jika dikatakan ada sebilangan jalan raya kita hanya sesuai untuk kenderaan kecil seperti kereta Kancil saja. Sedangkan ia sebenarnya sebatang jalan yang sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.Itupun ada kalanya Kancil sama Kancil bertembung dan terdapat pula motosikal di depan yang dipandu perlahan, Kancil yang di belakang motosikal itu terpaksa juga membrek. Begitulah sempitnya jalan raya kita.

Selain polis dan JPJ, kerajaan terpaksa tubuhkan JKJR dan Miros untuk memastikan kemalangan jalan raya tidak terus meningkat. Namun hasilnya..? Fikir-fikirlah sendiri.

Bukan nak dikata bahawa penubuhan JKJR dan Miros sekadar pembaziran, namun alangkah elok jika peruntukan yang ada itu, termasuk perbelanjaan berjuta-juta setiap tahun yang digunakan untuk kempen keselamatan jalan raya itu digunakan untuk melebarkan jalan-jalan raya di Malaysia yang sesungguhnya memang sempit itu.

Jika sebelum ini, pihak-pihak berkenaan tidak terfikir mengenai bentuk jalan raya kita yang tidak cukup lebar itu antara menjadi punca kemalangan, cubalah fikirkanlah kebenaran itu sejenak.

"PANDULAH DENGAN BERHEMAH. JIKA TIDAK, ANDA TAK AKAN SEMPAT SAMPAI KE RUMAH!"

"PANDULAH DENGAN BERAKAL, SEBELUM ORANG TERSAYANG BOLEH HILANG AKAL!"