Tuesday, October 6, 2009

JANGAN TUDING JARI... DAH TU NAK TUDING APA..?

Setelah berlaku sesuatu musibah, sama ada disangka atau di luar jangkaan, sama ada dengan tak sengaja atau akibat sikap manusia, maka kita akan terdengarlah cadangan itu dan ini. Sebab itu dan ini.

Dan yang paling klise kita dengar ialah; 'Jangan amalkan sikap tuding jadi kepada sesiapa.'

Begitulah sikap kita. Bila berlaku sesuatu, gemparlah seketika. Riuhlah sekejap. Bermacam-macam idea baru yang muncul. Bertimbun-timbun undang-undang dan akta baru diluahkan. Sedangkan undang-undang dan akta yang sedia da tak pernah nak dipraktikkan bersungguh-dungguh.
Lepas tu senyap dan sepi. Piah yang terbabitkan puan turut diam.

Berbalik soal 'jangan menuding jari'. Kalau kita tak menuding jari, macam mana kita nak perbetulkan kesilapan dan kesalahan?

Dengan tidak menuding jari juga, akan terlepaslah manusia-manusia yang menyebabkan kejadian itu berlaku. Maka orang yang menjadi sebab/punca itu akan terselamat dan tersenyum lebar dengan sikap kita itu.

Maka orang yang biasa melakukan kesilapan (sama ada bertujuan mementingkan diri atau kelalaian diri) akan sentiasa membuat perkara yang sama jika tiada sikap menuding jari. Mereka akan sentiasa abai atau meremehkan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Dianggap tidak penting bagi mereka. Melakukan kesalahan pun tiada tindakan diterima. Dan mungkin bagi mereka apa yang dilakukan itu akan menjadi suatu kebiasaan.

Tidak mustahil manusia yang sama akan membuat kesilapan dan kesalahan yang sama. Disebabkan kita terlalu baik dan tidak suka menuding jari, tak mustahil perkara malang yang sama akan berulang, disebabkan oleh manusia yang sama.

Maka bertanyalah pada diri sendiri, "Apakah kesalahan/kelalaian yang berpunca daripada orang lain, yang menyebabkan kita menanggung akibat dan sengsara, maka kita tidak harus menyalahkan orang itu, sebaliknya terpaksalah menyalah diri sendiri. Begitukah yang kita mahu?"

Fikirkanlah...

No comments: