Thursday, January 28, 2010

NALURI MANUSIA

Hearts Pictures, Images and Photos


Semua orang mahu yang terbaik dalam hidupnya. Tiada sesiapa mahukan keburukan ataupun kekurangan. Namun segala-galanya terletak pada diri. Terbaik yang dicari, terbaiklah bakal ditemui. Jika sebaliknya yang dicari, tanggunglah sendiri.

Bagaimanapun naluri manusia berlainan atau berbeza-beza. Sesuai bagi kita, mungkin tak sesuai bagi orang lain. Berbaloi pada kita, mungkin pada orang lain tak berbaloi. Cantik pada kita, mungkin tidak secantik mana bagi orang lain.

Begitulah cara penerimaan dan penilaian masing-masing. Apa-apa pun, jika inginkan kesesuaian pada diri, carilah mengikut selera atau kemahuan diri. Sendiri yang memilih, tentulah sendiri juga yang tahu menilainya.

Namun ada kalanya ketentuan itu tidak sama dengan apa yang dihajatkan. Lain yang kita harap, lain pula yang mendapat. Pendek kata, apa yang kita mahu, tidak semestinya kita dapati. Ada kalanya lain yang dicari lain pula yang ditemui.

Jika semua yang seseorang itu inginkan mudah didapati, amanlah jiwa dan perasaan. Maka amanlah juga dunia ini. Dan mungkin juga akan memudahkan seseorang itu lupa daratan.

Jadi usahlah berharap sangat sebagaimana yang kita hajatkan. Walaupun kita berusaha sekuat mana untuk mendapatkan apa yang kita hajati, ada kalanya tidak akan tercapai. Jika itu yang berlaku, kita tidak seharusnya mengalah dan berputus asa.

Sesuatu yang terjadi itu ada sebabnya. Sentiasalah bermuhasabah diri. Kenapa Yang Maha Esa tidak menunaikan hajat kita. Segalanya mungkin terjawab pada diri kita sendiri. Hanya Dia yang maha mengetahui.

Apa-apa pun, semangat dan usaha yang hebat perlu diteruskan dengan berteraskan jati diri. Kekuatan rohani dan kehebatan menganalisis secara jujur, ikhlas dan berteraskan kepada suasana nyata. Bukan saja berlegar pada kepentingan diri, tetapi pertimbangan kemanusiaan sejagat perlu ada.

Lebih penting lagi bertawakkal kepada Ilahi tidak diabaikan. Cari kesilapan dan kelemahan diri. Perbaikilah mana yang perlu. Insaya-Allah setiap usaha yang ikhlas itu akan menemui pembalasannya jua.

No comments: