
Kekadang tertanya-tanya juga aku, kenapalah penyangak-penyangak dadah dari luar negara itu berusaha bebenar nak bawa dadah masuk ke Malaysia. Ada bermacam-macam cara dan taktik yang dilakukan, yang kekadang tak terjangkau dek akal.
Antaranya yang terkini ialah dengan cara memasukkan benda haram jadah itu di dalam rangka besi beg dan rangka basikal.
Kalau soal laku atau ada pasaran, memanglah tak dinafikan. Kata seorang rakanku, dadah di Malaysia macam goreng pisang panas. Betul ke?
Seperkara lagi, adakah penyangak-penyangak itu terus berusaha nak bawa masuk dadah-dadah itu ke Malaysia kerana mereka terlalu yakin bahawa peluang 'terlepas' lebih besar daripada peluang kena tangkap?
Apa-apa pun, ramai juga penyangak yang tertangkap. Mujurlah pihak berkuasa kita lebih cekap daripada taktik-taktik penyangak-penyangak itu.
Dadah itu perosak anak bangsa. Bersamalah kita membanteraskannya.
Ingat.., jangan cari 'dia', sekali anda cuba, 'dia' akan terus cari dan kejar anda..!