Monday, March 30, 2009

MARAH... KELIRU... HARUUU....

Bila tak diberitahu
dia marah-marah tak menentu.

Bila marah-marah tak menentu
dia menjadi keliru.

Bila dalam keliru
dia menjadi buntu.

Bila selalu buntu
dia menjadi haru biru.

Bila terharu biru
dia menjadi malu.

Bila sering malu
dia menjadi terharu.

Dalam terharu
dia akan terkedu.

Dalam terkedu
dia masih tak tahu malu.

Dalam tak tahu malu
dia marah-marah tak menentu...

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Manusia yang tersasar daripada etika kebenaran kehidupan, adalah mereka yang sering fokus pada keduniaan dan kebendaan, bukannya pada prinsip dan nilai kehidupan itu sendiri."

Thursday, March 26, 2009

MEMBENGANG DAN MEMBANGANGKAN..!

Di Malaysiaku ini macam-macam bolehterjadi
ramai yang masuk haram buat macam negara sendiri.

Tak cukup dengan pendatang haram
ada pula yang berani buka kilang dadah haram.

Dadah dari luar begitu mudah keluar masuk
pelik sungguh pihak berwajib macam lakluk.

Antara nak percaya dan tak nak percaya
edar dan buka kilang dadah haram sampai jadi kaya raya.

Perbuatan yang tak betul dah jadi banyak masalah
mereka yang buat kerja tak betul boleh hidup mewah.

Benda haram dan tak elok bersepah dan berleluasa
bila yang buruk berlaku baru nak kuatkuasa.

Kerja haram (tarah bukit, kaut pasir,tebang balak, dll) dibuat petualang
hairannya pihak berkuasa boleh terlepas pandang.

Kerja haram bukan sehari dua tapi bertahun-tahun
mustahil sungguh pihak berwajib begitu rabun.

Orang berniaga kekadang suka ambil kesempatan
yang malangnya pengguna yang menanggung beban.

Minah pendatang yang montok dan gebu kerja jadi pelacur
siapakah yang untung dan siapa pula yang terliur?

Anak dara kahwin lari dengan pendatang asing
bila dah beranak dan hidup merempat baru kepala naik pusing.

itu belum lagi pukul dan bunuh orang macam bunuh binatang
macamlah negaraku yang makmur ini tak ada undang-undang.

Bertambah bengang dan menyakitkan hati
negara jiran kita tak ada pula benda-benda macam ni.

Kalau orang lain buat kerja lebih telus
kenapa kita tak boleh buat lebih bagus?

Kalau terlalu banyak makan benda-benda haram
ingatlah bahawa keluarga akan hancur dan karam.

Sentiasalah kena selalu beringat-ingat
di dunia dosa Tuhan dah balas belum sempat ke akhirat.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI:

"Sesuatu perkara yang perlu kita bertindak menggunakan akal, tapi kita bertindak seperti orang tak berakal, maka lebih baik kita tak ada akal."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^




Friday, March 20, 2009

DIA DAN ISTERINYA...

TERPERANGKAP PRASANGKA

Dia bermenung berhari-hari. Menjejaskan tugas hakiki.

"Kenapa"?

Katanya, dia susah hati.

Aku ingin tahu. Dia cuba berahsia.

Aku mendesak. Dia mengalah.

"Isteriku curang..!" katanya. Terbias riak kecewa.

Aku terkejut.

"Dia ada hubungan sulit dengan jantan lain," bentaknya.

"Kau serius...?"

Dia angguk. Lemah.

"Mana kau tahu?"

"Ada orang beritahu aku. Dan berdasarkan naluri seorang suami," jelasnya.

"Kau dah tanya isteri kau?"

"Dia tak mengaku. Tapi aku ragu. Aku terperangkap dalam rasa curiga terhadapnya..." dia merenung jauh. Mungkin mengingati alam rumah tangga yang dibina selama lima tahun bersama isterinya.

"Sudahnya?"

"Aku sayangkan dia.." lelaki itu terus merenung jauh. Kali ini mungkin dia membayangkan pula raut wajah isterinya yang cantik jelita itu.


SEKEHLOGI:

"Ada ketikanya kebenaran itu amat menyakitkan. Ada kalanya juga, yang menyakitkan itu bukanlah bermakna kebenaran."

Tuesday, March 17, 2009

KITA ANTARA MEREKA

Kita terluka dengan apa yang terjadi
mungkin tak sehebat dan dimengerti
pada hati mereka yang tak peduli;
antara kita dan mereka siapakah yang tersendiri?

Kita bahagia dengan cara tercipta
mungkin tak serasi dan bermakna
pada mata mereka yang terbuka;
antara kita dan mereka siapakah yang terkesima?

Kita sengsara dengan apa yang kita alami
mungkin tak serasa dan sebati
pada jiwa mereka yang tak menyedari;
antara kita dan mereka siapakah yang menyepi?

Kita sejiwa dengan apa yang dirasa
mungkin tak sama dan serupa
pada mereka yang tak tahu apa-apa;
antara kita dan mereka siapakah yang terlara?


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Lidah itu mampu mengundang bahaya tersembunyi di sebalik kepetahan dan keindahan bahasa ungkapannya."

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^




Sunday, March 15, 2009

TANYA DIRI SENDIRI

SIAPAKAH DIRI ANDA..?

Tanya diri anda, manusia jenis apakah anda jikalau anda;

1. Pemimpin/ketua yang tidak adil, pilih kasih, tak tahu buat kerja dan menimbulkan masalah serta menyakiti hati orang bawahan demi kepentingan diri sendiri.

2. Berkomplot menjatuhkan orang lain kerana mempunyai agenda tersendiri.

3. Bersikap talam dua muka dan suka bermuka-muka.

4. Menjadi batu api dan melaga-lagakan orang.

5. Pantang melihat kelebihan orang lain dan mula mencipta fitnah dan hasutan.

6. Suka memburuk-burukkan orang lain kerana dengki dan ada agenda tertentu.

7. Tidak pernah senyum dan bersikap kasar sedangkan anda berurusan dengan orang ramai.

8. Kerja tidak ikhlas dan selalu ponteng, sedangkan gaji disapu bersih setiap bulan.

9. Bertanggungjawab menyelesaikan masalah, namun masalah masih berterusan dan semakin kusut.

10. Minat mencipta hutang tapi tak berminat nak membayar balik.

11. Mengharapkan orang lain sentiasa memahami perasaan anda, tapi anda tak pernah nak memahami perasaan orang lain.

12. Barangan/harta benda orang buat macam hak sendiri.

13. Buat jalan raya macam harta mak bapak sendiri dan menyusahkan pengguna lain.

14. Diberi kepercayaan tapi menggunakannya untuk kepentingan peribadi.

15. Perosak kemudahan awam.

Wednesday, March 11, 2009

HENTAM SAJALAH LABU..!

Seorang sahabatku tinggi pengajian dan beriman
hari itu dia tiba-tiba melontarkan kebimbangan
katanya kebelakangan ini semacam ada kecenderungan
sebilangan persatuan yang membela kaum wanita
yang bergerak atas nama agama dan juga pembela
seakan menggalakkan lelaki dan wanita bersengketa
menggalakkan wanita membenci dan menjauhi lelaki
seakan menggalakkan wanita takut nak bersuami
menuntut itu dan ini yang diluar hakiki
kekadang melampaui ketetapan Ilahi.

Kerana salah faham melulu
yang ditonjolkan persatuan sebegitu
dan adakah berpunca dari itu
maka ramai wanita sanggup jadi andartu?

Jangan dek kerana pengalaman lalu
yang ditempuhi sesetengah pemimpin itu
dari keluarga yang tak bahagia
rumahtangga keluarganya porak peranda
ayahnya yang perangai tak serupa manusia
ibunya pula yang selalu menjadi mangsa
maka sehingga dewasa dia terbawa-bawa
kononnya semua lelaki perangai macam ayah dia
lalu ditubuhnya persatuan wanita
konon nak membela wanita teraniaya
tapi jauh terpesong dari niat sebenar
membuat tuntutan hingga tersasar.

Jangan tersalah menuntut kesamaan
andai tersasar dari kebenaran
yang menjadi hukum tak boleh diubah-ubah
bukankah itu sudah ketetapan Allah.

Sepatutnya tuntutlah pembelaan dan keadilan
elakkan wanita dari menjadi mangsa penganiayaan
ada sesetengah wanita hidup menderita
kerana suami berperangai tak serupa manusia
jangan salahkan hukum Tuhan
jangan mendesak yang sudah ketentuan
tapi salahkan mereka yang diberikan amanah
tapi sikap dan kerja tak pernah berubah
segala perkara pakai ambil mudah
sedangkan semakin ramai wanita/isteri kian terngadah
akibat sikap dan perbuatan suami durjana
mereka yang diberi tanggungjawab usah asyik terlena dan ternganga.

Kata rakanku itu lagi yang juga turut merisaukan hati
sebilangan penceramah bebas termasuk di dalam tv
yang seakan menggalakkan isteri meragui suami
yang seakan menggalakkan pasangan laki bini
agar ketepikan sikap bantu membantu
hanya tugas suami membayar dan membeli mana yang perlu
suami susah pun tak perlu ambil tahu
dah tanggungjawab suami semua itu.

Mentang-mentanglah dia penceramah bebas
keluar dari mulut pun main cakap lepas.
Walaupun dia penceramah wanita bergelar ustazah
janganlah ceramah main pakai belasah.
Jangan emosional seakan membenci kaum lelaki
walaupun cara awak cakap itu seakan marah perangai laki sendiri
itu menunjukkan penceramah sendiri kurang pekerti.

Berilah ceramah kerana keperluan
bukannya kerana ikut kesesuaian
kenapa digalakkan isteri seakan bermusuhan
dengan suami dan pasangan
berikan panduan yang baik sebagai teladan
yang buruk perlu dijadikan pengajaran.

Kata rakanku lagi menggeleng-gelengkan kepala
ustazah itu berceramah berpandukan agama
tapi menggalakkan sesuatu yang tak sempurna
seakan menggalakkan isteri menderhaka
seakan meruntuhkan rumah tangga bahagia
apa ke jadah itu semua?

Sepatutnya agama menggalakkan keharmonian
bantu membantu jika ada kekurangan
bukannya cakap ikut sedap perasaan
nanti timbul salah faham dan banyak pula keburukan.

Bukankah suami isteri perlu ada kesefahaman
bantu membantu jika ada keperluan
bukan tumpang kesenangan masa suami senang
bila suami susah awak bersuara lantang
dan suami yang baik pun perlu diketepikan
itukah yang harus diajarkan?

Itulah silapnya mengguna agama untuk cari makan
main pakai bantai ikut kesedapan.
Betul ke mereka tu ada kelulusan
betul ke mereka tu ada kepintaran
betul ke mereka ada kebolehan?
Huh... aku manalah tau
hentam sajalah labu
asalkan duit masuk ribu-ribu...!

Thursday, March 5, 2009

GELABAH YANG MENERJAH

Entah kenapa sejak dua menjak
risauku kian memuncak
rimasku jua melonjak-lonjak
kacau akal membuak-buak
nafasku pula tersedak-sedak
apakah petanda buruk bakal menapak
atau nasibku bakal berginjak
dari ada menjadi tidak
dari melimpah-ruah dah jadi tak banyak
dari seperiuk yang tinggal hanya kerak
dari sempurna menjadi koyak-rabak
dari senang menjadi sesak
dari selesa menjadi senak
dari dengar menjadi pekak..?

Oh.., aku makin takut dan cuak
bimbang ada yang menempelak
ada yang tergelak terbahak-bahak
betullah juga pesan mak bapak
berhati-hati berkawan dan beranak-pinak
masa senang kawan berlambak-lambak
saudara mara manis mulut hingga ke anak tekak
masa susah baru kita nampak
mana dedalu mana satu biawak
jangan kata duit ringgit nak dibawak
bertanya khabar pun macam tak nak
hulur rasa simpati pun tidak
ataupun datang menghibur nak buat lawak
huh..,batang hidung pun susah nak nampak.

Tapi aku sedar sebab semua tu dah dapat agak
dalam dunia ni apa-apa pun orang tergamak
masing-masing nak lepaskan anak tekak
kalau tak ada pandai dia memintak-mintak
buat muka tak malu macam muka pasar lambak
masa susah mengendeng-ngendeng menahan sebak
kononnya rezeki hanya secupak
anak nak susu melalak-lalak
buat muka kesian dengan tak jemu dan jelak
kita pun tak sampai hatilah jugak.

Bila dah lebih sikit rezeki dari secupak
tak lagi bermotor buruk dan asyik menapak
hidup senang hidung pun berdongak
mula lupa diri dan berlagak
kawan baik pun sanggup dipijak
fuh.., itulah manusia jenis haprak...!

Aku tak mau terus gelabah
moga yang risau tak terserlah
yang aku rimas tak terdedah
yang kacau di fikiran tak terus menerjah
biarlah diriku kekal dan tak berubah
aku selesa dengan apa yang dianugerah
agar nasibku tidak terngadah
hanya pada-Mu ya Allah
aku mnemohon keinsafan dan berserah...!