Saturday, February 20, 2010

NILAI KASIH SAYANGKAH ITU..?

Dalam kita terus berusaha menerapkan nilai-nilai kasih sayang dan memupuk sikap hormat menghormati sesama insan, (tak kira yang sempurna atau tak sempurna), tiba-tiba kita 'dihiburkan' dengan sebuah lagu yang pada asalnya menjadi lagu tema sebuah drama (kini dijadikan drama rantaian di TV swasta), dan tersiar pula di corong-corong radio.

Kita dihiburkan mengenai nasib atau kekurangan seorang gadis disebabkan bergigi jongang.
Yang mengisahkan seorang anak dara yang bergigi jongang yang ditemurunkan dari ibunya. Keluarganya pula sering menjadi sindiran jiran-jiran atau sesiapa yang mengenalinya disebabkan keadaan mereka.

Khabarnya lagu itu juga telah mendapat kelulusan untuk disiarkan di radio-radio RTM.

Ada yang berpendapat, bukan hanya lagu itu yang tidak sesuai disiarkan di radio/media elektronik, malah dramanya juga sebenarnya tidak sesuai dijadikan tatapan umum.

Kalau nak diambilkira secara serius, sebenarnya banyak lagi drama lain yang disiarkan di kaca TV sebenarnya yang bertentangan dengan nilai-nilai kasih sayang sesama manusia. Tapi mungkin disebabkan drama-drama begitu yang diminati, ia terpaksa diterima.

Sedangkan ruang penceritaan atau tema sesebuah drama itu sebenarnya luas yang mampu dielakkan daripada ia mengguriskan hati seseorang disebabkan kekurangan diri, walaupun dalam erti kehidupan sebenar wujudnya nasib 'kekurangan' manusia.

Entahlah, mungkin pandangan setiap orang itu berbeza-beza. Yang sensitif pun sudah jadi tidak sensitif dan begitu juga sebaliknya.

2 comments:

Aishah Jamal said...

Bima,

Orang yang tidak 'sensitif' mungkin akan tergelak mendengar lagu tu. Tetapi sebenarnya nak tergelak pada siapa? Pada kejadian ciptaan Allah swt?

AL-BIMA SAKTI said...

aishah jamal;

dunia makin maju. sensitiviti org lain menjadi punca rezeki sesetengah pihak yg fikirkan untung....