Tuesday, June 30, 2009

UJIAN MEMANDU KERETA AUTOMATIK..?

Baguslah, kalau kerajaan setuju calon ujian memandu menggunakan kereta (kenderaan) bergear automatik.

Kalau diikutkan, sememangnya sejak dulu lagi (sejak wujudnya kenderaan gear automatik di Malaysia) dibenarkan menggunakan kenderaan jenis itu semasa ujian memandu.

Tapi cadangan terbaru itu, khabarnya ada ahli Parlimen yang tak setuju. Katanya, kemahiran asas memandu akan hilang jika dibenarkan langkah tersebut.

Aku tak setuju dengan alasan macam itu. Kenapa perlu disekat jika kemudahan sudah tersedia di depan mata? Jika kereta bergear automatik boleh didapati dengan mudah? Apa masalahnya?

Apa yang tak kena dengan kenderaan bergear automatik? Aku pun tak faham, kemahiran asas apakah yang akan hilang, seperti yang dimaksudkan itu?

Kita janganlah hidup statik. Perlu pandang dan bergerak ke depan. Sudah berapa ratus ribu (mungkin berjuta) kenderaan bergear automatik bergerak di jalan raya kita? Tak ada apa-apa masalah pun.

Lagipun, jika ikut perkembangan dan kemajuan semasa, sudah sampai masanya kebenaran menggunakan kenderaan bergear automatik semasa ujian memandu diluluskan. Atau segala akta atau undang-undang yang berkaitan dengannya perlu dipinda.

Sesiapa yang menjalani ujian memandu pakai kereta gear automatik, bila lulus, terserahlah pada dia nak pakai (beli) kereta automatik. Jika kereta jenis itu yang dia boleh pandu.

Kalau tak mampu nak pandu kereta gear manual, takkan dia nak pandu (beli) kereta jenis gear manual. Dia mesti ikut apa dia mampu nak pandu. Apa masalahnya? Terserahlah pada individu terbabit.

Kenapa perlu dihalang atau disekat dengan segala kemudahan dan keselesaan yang ada? Kenapa perlu nak bersusah payah, sedangkan yang mudah boleh digunakan?

Senang cakap, kita harus gunakan segala kemudahan yang ada. Kenapa perlu disekat? Kenapa perlu dihalang? Kenapa perlu masih dengan berkerenah dan mencipta masalah?

Senang cakap lagi, jika masih tak dibenarkan juga ambil ujian memandu menggunakan kereta bergera automatik, lebih baik haramkan saja kereta (kenderaan) jenis itu berada di jalan raya negara kita. Habis cerita. Tak perlu nak double standard..!

Sunday, June 21, 2009

ANDAKAH YANG SAKIT MENTAL..?

Ramai betul pesakit mental di Malaysia ni rupanya. Tiap tahun makin bertambah. Sebanyak 346,196 kes tahun sebelumnya, telah meningkat kepada 400,227 pada tahun lalu.

Statistik itu berdasarkan kes yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan. Tapi berapa banyak pula kes yang tak dilapor?

Di persekitaran kita pun sebenarnya ramai pesakit mental yang hidup bebas, yang mungkin kita terlepas pandang. Tapi untuk mengenali mereka (pesakit mental) itu tidaklah sukar.

Antaranya ialah:-

# Pendengki/busuk hati/meragui/tak senang duduk diam dengan kelebihan orang lain.

# Suka buat fitnah. Sengaja merekacipta/membesar-besarkan keburukan dan kejahatan orang lain.

# Batu api/ bermusuh-musuhan.

# Suka mencari kesalahan/kesilapan orang lain, tanpa menyedari kesalahan/kesilapan diri sendiri.

# Gemar lakukan perkara yang tak baik / tak bermoral.

# Buat jalan raya macam mak bapak dia punya. Berlumba/potong Q/memandu tidak mengikut kelajuan/kesesuaian tempat. Menyusahkan pengguna lain.

# Sikap angkuh dan sombong tak bertempat.

# Seronok membangga dan membesar diri.

# Gila kuasa. Sekalipun menjatuhkan/memijak kepala orang lain.

# Suka dipuji/dibodek/diampu. Suka memuji/membodek/mengampu untuk kepentingan diri.

# Mencari publisiti murahan untuk kepentingan diri.

# Kononnya diri terlebih bagus daripada orang lain.

# Cakap lain tapi buat lain.

# Kerap berjanji dan memungkirinya.

# Suka berpura-pura/talam dua muka/bermuka-muka.

# Menipu/pendusta. Banyak dengan alasan.

# Perompak/penyamun/perogol.

# Suka marah menyinga-nyinga walaupun puncanya perkara kecil.

# Gemar harapkan imbuhan/ganjaran walaupun dia sebenarnya tak layak.

# Tak pernah bersyukur dengan apa yang dimiliki.

# Mudah terpengaruh dengan fitnah tanpa usul periksa.

# Walaupun melakukan kesalahan dan menyusahkan orang lain tapi tak pernah minta maaf dan mengaku silap.

# Diberi tanggungjawab tapi gagal/ambil mudah sehingga mendatangkan masalah kepada orang lain.

Siapakah antara mereka itu? Adakah anda? Anda? Dan anda..?!

Wednesday, June 17, 2009

RELEASE TENSION...

GAMBAR TENGKORAK DALAM KENANGAN


Photobucket

Tiba-tiba aku teringat... sedikit masa lalu, setiap kawasan yang mudah/kerap berlaku kemalangan di jalan-jalan raya di Malaysia akan dipasangkan dengan papan tanda bergambar tengkorak.

Tapi sejak bila entah, papan tanda bergambar tengkorak itu tiba-tiba hilang dan sudah tidak digunakan lagi.

Selepas itu, kawasan-kawasan tersebut hanya dipasangkan dengan papan tanda yang bertulis amaran yang berbunyi, "AWAS KAWASAN KEMALANGAN - PANDU BERHAT-HATI" yang menggantikan gambar tengkorak.

Aku saja bertanyakan kepada seorang rakanku, kebetulan kami melalui jalan-jalan berkenaan, "Eh.., dah tak ada gambar tengkorak lagi kan..?"

Jawab rakanku, "Sejak ada gambar tengkorak, makin kerap pulak berlaku kemalangan. Jadi pihak berkenaan terpaksa ganti dengan tulisan dan ingatan lain kepada pemandu."

"Laa.., macam tu pulak ke?" soalku dengan iringan gelak yang tak menjadi.

"Apa tidaknya.., bila pemandu nampak gambar tengkorak tu, terutamanya bila tengah malam, makin mereka pecut dengan laju, sebab takut. Macam mana tak berlaku kemalangan..." jawab rakanku bersahaja.

"Haahaa.., iya tak ya jugak kan..?" balasku. Sambil tersenyum simpul sendiran.

"Jadi.., tinggallah gambar tengkorak yang masyhur itu dalam kenangan..." ujar rakanku menutup perbualan.

Sunday, June 14, 2009

AEDES YANG AKAN TERUS BERDENGGI

"Denggi gagal dihapuskan." Begitu pengakuan KP Kementerian Kesihatan. Mengenai permasalah denggi yang sukar dibendung, malah semakin meningkat.

Seorang rakanku, Amin, hanya tersenyum (sinis) menyaksikan pengakuan itu di tv beberapa hari lalu. Dia tersenyum sinis bukan kerana mahu menyindir atau jauh sekali dia sukakan nyamuk aedes yang berbahaya itu. Dia tersenyum (sinis) kerana dia ada peristiwa yang berkaitan dengan denggi itu kira-kira dua tahun lalu.

Halaman rumahnya, persekitaran yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok hiasan dan bunga-bungaan. Cantik, kemas dan teratur. Kerana sentiasa dijaga dengan rapi. Itulah masa yang dipenuhinya setiap ada kelapangan.

Berdekatan dengan tempat tinggalnya terdapat kawasan terbiar yang agak luas. Dipenuhi dengan semak samun dan pokok-pokok yang merimbun.

Persekitaran kawasan terbiar yang bersebelahan jalan raya di taman perumahan tempat tinggalnya itu agak kurang selesa kerana terdapat banyak nyamuk. Kawasan terbiar itulah yang menjadi punca pelbagai jenis nyamuk membiak. Ibu bapa melarang anak-anak mereka bermain di luar rumah. Kerana takut digigit nyamuk. Ular pun pernah wujud dari semak samun itu.

Tapi mujurlah di persekitaran halaman kediaman rakanku tidak dipenuhi nyamuk. Mungkin kerana ia sentiasa terjaga agaknya.

Disebabkan terdapatnya nyamuk yang tentunya boleh mendatangkan rimas itu, Amin telah beberapa kali menghubungi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengadu mengena masalah tersebut.

Janji PBT ialah akan cuba untuk mengatasi masalah itu. Namun janji hanya tinggal janji. Nyamuk makin menjadi-jadi. Amin merungut berkali-kali.

Bila Amin terus hubungi PBT, kali ini jawapan mereka begini pula;
"Masalah nyamuk ni sebenarnya tanggungjawab Jabatan Kesihatan (JK)," beritahu seseorang yang bertugas di PBT.

Bila Amin hubungi JK pula, dia diberitahu bahawa masalah yang berkaitan dengan nyamuk di luar kawasan rumah itu ialah tanggungjawab PBT.

Amin makin bingung. Bila dia hubungi PBT lagi, dia tetap juga disuruh berhubung dengan JK. Dan bila dia berhubung dengan JK lagi, seseorang yang mengenalkan diri sebagai Saad dengan nada suara yang kurang senang meminta alamat rumahnya. Tanpa berlengah dia berikan alamat rumahnya.

Lebih kurang tiga jam kemudian, sebuah kenderaan dari JK muncul di depan rumahnya dengan beberapa orang kakitangannya.

"Encik ada buat laporan mengenai nyamuk tadi?" tanya seorang lelaki yang beruniform dan siap dengan fail di tangannya, berdiri di depan pintu pagar rumah Amin.

"Ya," jawab Amin ringkas. Gembira. Moga masalahnya akan selesai.

"Boleh kami masuk... nak buat pemeriksaan," kata pegawai JK itu lagi.

"Tapi, saya mengadu mengenai nyamuk di luar kawasan rumah saya. Puncanya dari semak samun tu," tingkah Amin sambil menuding jari ke arah kawasan semak samun itu.

"Bila encik dah buat laporan kepada kami (JK), kami kena periksa sekitar rumah encik. Kalau di luar kawasan rumah, encik kena laporkan pada PBT," ujar pegawai itu lagi.

Amin jadi keliru. Makin bingung. Mujur tak semakin tongong. "Aduhhh..." Amin menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. Tapi jadi serabut dengan tiba-tiba.

Mahu tak mahu Amin membenarkan beberapa orang dari JK itu memeriksa persekitaran halaman rumahnya. Cara dan tindakan mereka mencari dan menggeledah seolah-olah mereka mesti akan dapatkan sesuatu untuk djadikan bukti. Bahawa nyamuk-nyamuk itu berpunca dari rumah Amin. Amin hanya memerhati dengan rasa tak puas hati..

Setelah puas mencari dan menyelongkar di sana sini, akhirnya mereka terjumpa beberapa ekor jentik-jentik di atas sebuah tong bekas cat yang telah Amin bersih dan terbalikkan untuk dijemur. Amin pun tak sedar macam mana bekas tong cat itu boleh bertakung air yang cetek dan terletak pula di kawasan lapang yang kena cahaya matahari boleh jadi tempat jentik-jentik membiak.

Ah, dia terlalai agaknya. Bekas yang di depan mata pun boleh terlepas pandang.

Dipendekkan cerita, tanpa memberikan amaran atau nasihat, pegawai JK itu meminta kad pengenalan Amin untuk dicatatkan nama dan alamat.

Pegawa JK itu membawa jentik-jentik itu pulang ke pejabat untuk dikaji dan dianalisis jenisnya. Jika ia jentik-jentik aedes, maka bersedialah Amin untuk disaman.

Nasib Amin memang malang. Jentik-jentik itu adalah aedes. Amin disaman RM100.

Amin membayar saman itu. Dan dia meminta pihak JK membuat semburan asap di persekitaran kawasan taman perumahan tempat tinggalnya itu, kerana telah terbukti ada jentik-jentik aedes, bermakna mestilah ada nyamuk aedes.

Namun pihak JK tidak menerima permohonan Amin. Kata mereka, semburan asap hanya akan dilakukan setelah ada kes denggi. Maknanya setelah ada orang kena demam denggi, baru semburan akan dilakukan. Bunyinya pelik, bukan? Tapi begitulah Amin diberitahu.

"Kalau mahu tunggu ada orang kena demam denggi baru nak diadakan semburan asap, bermakna bersedia untuk kematian dulu, baru nak buat kerja. Kalau begitu, sampai bila-bila pun masalah denggi tidak akan selesai, "luah Amin dengan rasa kesal yang amat.

Kalau prosedur itu diteruskan, bermakna masalah kematian yang berpunca dari denggi tidak akan selesai. Malah aedes akan terus membiak dengan selesa, manakala mangsa denggi akan sentiasa ada sampai bila-bila.

Begitulah pengalaman Amin yang aku cuba catatkan di sini. Yang sepatutnya tidak terus menjadi amalan pihak yang terbabit.

Sepatutnya sesuatu tempat yang sudah diketahui ada aedes, sepatutnya juga persekitaran itu perlu disembur asap sebelum ada yang jadi mangsa denggi.

Seperkara lagi, bila Amin ceritakan peristiwa itu kepada beberapa orang rakannya yang lain, tahu apa reaksi mereka?

"Kalau kat rumah aku ada banyak nyamuk pun, tak naklah aku laporkan. Silap-silap aku pula yang kena saman," begitu kata mereka.

Kalau begitu? Akan selesaikan masalah nyamuk aedes yang berbahaya itu?.

Nota: Coretan ini bukan untuk memburukkan sesiapa, tapi sekadar renungan demi kebaikan bersama.

"Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?"

Fikir-fikirkanlah...

Monday, June 8, 2009

SEJENAK:

JOM KITA BERFIKIR...


Dalam sehari berapa banyak anda berfikir?

Dan setiap kali sesuatu yang perlu anda berfikir, berapa lama masa diperlukan?

Berfikir -tidak kiralah berapa banyak kita melakukannya dalam sehari, atau berapa lama masa diperlukan, kita seharusnya perlu berfikir untuk memenuhi keperluan sesuatu yang kita fikir.

Selagi kita mampu berfikir, dan ada kalanya sesuatu yang kejadian yang memerlukan kita berfikir, itu menandakan otak kita masih mampu berfungsi.

Bagi sebilangan kita, berfikir itu amat berat. Tapi masih ada yang mampu melakukannya, dengan segala usaha mengikut keperluan untuk apa yang perlu difikirkan.

Berfikir, tidak seharusnya diabaikan.

Mengabaikan berfikir, bermakna kita tidak peka terhadap sesuatu yang memerlukan tindak balas pada fikiran kita.

Dalam menjalani kehidupan seharian mungkin banyak perkara yang perlu difikirkan.

Contohnya, setiap kali telinga yang mendengar, seharusnya ia serentak dengan berfikir. Kenapa? Agar sesuatu yang menerjah di telinga itu tidak tersalah pendengaran atau penilaian, atau tidak tersalah penerimaannya.

Begitu juga, serentak mata yang memandang sesuatu kejadian, fikiran juga perlu pantas bertugas (berjalan). Kenapa? Agar sesuatu yang dilihat itu mungkin memerlukan sesuatu tindakbalas fikiran, atau supaya mata dan akal tidak tersalah tafsir dengan apa yang telah dilihat itu.

Berfikir, walaupun tidak semudah mengunyah dan menelan makanan, namun tidak seharusnya dipandang remeh.

Sekalipun ia sesuatu yang negatif atau melampaui moral kemanusiaan, perlu juga difikirkan, lebih-lebih lagi dalam siatuasi yang memerlaukan kita berfikir.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Jangan berfikir apa yang difikirkan itu tidak perlu difikir. Maka terfikirkah kita sebagaimana keperluan yang difikirkan?"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tuesday, June 2, 2009

KERANA MAT BANGLA

Malang seorang rakanku. Seorang usahawan muda yang semakin maju.

Dua minggu lepas dua orang Mat Bangla yang bekerja dengannya telah menghilangkan diri. Kedua-duanya cabut lari tanpa alasan diberi. Membuatkan rakanku itu amat susah hati.

Gaji setiap bulan tetap dibayar. Tapi kedua-dua Mat Bangla tu sengaja cari onar.

Rakanku telah pun buat laporan kepada pihak yang berkenaan. Namun sampai sekarang tiada apa-apa perkembangan.

Dua bulan kemudian dia terjumpa salam seorang Mat Bangla itu di sebuah tempat yang pernah dikunjunginya. Tapi Mat Bangla itu buat muka selamba dan macam tak ada terjadi apa-apa.

Rakanku menyapa dan berkata dengan nada geram; "Eh, Bangla.., berani kau lari ya? Pasport kamu berdua ada pada aku tau?".

Nak tau apa Mat Bangla tu jawab?

"Apa aku heran. Kau ingat kalau tak ada pasport, kami tak boleh hidup? Tak boleh cari makan ka? Mana-mana pun kami boleh cari makan la..," begitu jawab Mat Bangla itu dengan selamba.

Kemudian Mat Bangla itu terus berlalu.

Rakanku makin geram. "Kita, kalau nak bergerak ke mana-mana, risau kalau tak bawa i/c. Sedangkan ini negara kita. Tapi diorang sikit pun tak takut." dia merungut dan mengeluh.

"Apa nak heran," tingkah seorang lagi rakanku dengan pantas. "Di negara kita ni orang luar boleh buat apa saja. Kau tengoklah di sekeliling kita. Tapi kalau orang kita... " tingkah rakanku itu lagi yang tak tergamak untuk meneruskan kata-kata. Hanya kepalanya yang tergeleng-geleng.

Aku yang nak tersenyum, tapi tak jadi tersenyum, bila mengingatkan betapa ramainya Mat Bangla yang bekerja di sebuah tapak pembinaan yang berhampiran dengan tempat tinggalku. Ada kalanya mereka melalui jalan di sebelah kediamanku untuk berulang-alik ke kedai.

Hiss.., risau juga hati kecilku ini.
Risau jikalau mereka tergamak melakukan sesuatu yang tidak diingini yang boleh mengganggu ketenteraman komuniti di taman perumahan tempat tinggal kami.

Kami hanya mampu berdoa. Mudah-mudahan tiada apa-apalah yang akan berlaku.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Enggan memahami perasaan orang lain adalah satu tindakan yang tidak baik. Namun jika terlalu akur akan perasaan orang lain juga boleh menyebabkan terjadinya sesuatu yang tidak baik,"

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^