Thursday, March 25, 2010

PRIHATIN..!!! PRIHATIN..! PRIHATIN..!

cry baby Pictures, Images and Photos




Ambillah tahu keadaan sekeliling
tak bermakna jaga orang punya tepi kain
sekadar bersikap prihatin
kepala tak perlu banyak pusing
cuma rajin-rajinlah jeling menjeling.

Prihatin itu kena perasan
perasan itu perlukan keterbukaan
moga yang jelik tak berterusan
pun yang jahat terlepas pandangan
kita sama-sama cari kebaikan.

Prihatin siang dan malam
elak dari yang mengandung haram
kalau ada yang pelik lagi hairan
lekas-lekas dilaporkan.

Prihatin itu sikap terpuji
elak dari tingkah laku terkeji
bukan sekadar perbuatan membuang bayi
dari keterlanjuran yang sengaja dicari
bahkan apa saja yang tak disukai
moga dijauhi dan terhapus sama sekali.

Jangan bila yang buruk sudah tersebar
barulah kita nak terketar-ketar
ditambah pula dada berdebar-debar
pada hal yang buruk itu hanya di sebelah pagar
malang itu pun kita tak berapa sedar
sebabnya engkau-engkau aku-aku bergegar-gegar
aku-aku engkau-engkau berlegar-legar.

Ambil tahu persekitaran itu perlu
bukan saja nak jaga tepi kain orang selalu
cuma nak nak elak yang buruk dari berlaku
jangan dah terjadi baru nak ambil tahu
lepas tu baru nak nangis tak berlagu.

Perihatin itu baik
ada mata celik
elak perbuatan jijik
biar yang ada semua cantik-cantik
tak ada yang tunggang terbalik
maknanya kita semua cerdik-cerdik..!

Saturday, March 20, 2010

MONYET-MONYET DI JALAN RAYA..!

monkey Pictures, Images and Photos


Dua hari lepas, lebih kurang jam 11.30 pagi. Sebaik beredar dari rumah dengan memandu kereta ke persimpangan antara taman perumahan dengan jalan besar, perjalananku terhalang oleh sebuah kereta yang berhenti sesuka hati.

Punyalah banyak tempat berhenti, di persimpangan itu juga yang dipilih. Walaupun itu persimpangan taman perumahan, kenalah fikir juga. Itu jalan orang keluar masuk. Pakailah otak di kepala, jangan pakai kepala lutut sebelum buat sesuatu..

Aku honkan sekali. Dia tak bergerak. Tak tahulah apa yang asyik dibincang dalam kereta Waja biru muda JGH XXXX dan bercermin gelap itu. Hairannya, tak dicari tempat yang sesuai nak berhenti dan berbincang.

Aku bunyikan hon dua kali serentak. Baru kereta itu bergerak. Minyak ditekan agak laju, seakan memberontak. Peduli apa aku.

Tidak lama selepas itu, di simpang tiga di taman yang berhampiran, aku bertembung lagi dengan kereta Waja itu sewaktu aku berhenti di simpang tiga itu. Pemandu itu perlahankan keretanya bila melihat keretaku.

Sempat aku lihat penumpang lelaki di sebelah pemandu membuka tingkap dan memandang tajam ke arah keretaku. Macam nak ditelannya keretaku dengan aku sekali. Macam aku pula yang bersalah. Dalam kepalanya mungkin menuduh aku samseng kerana membunyikan hon kepadanya, tanpa dia memikirkan yang aku terpaksa berbuat begitu disebabkan perbuatan bodohnya yang berhentikan kereta sesuka hati dan menghalang perjalanan orang lain.

Ingat aku hairan ke? Langsung aku tak hairan dengan samseng kampung dusun taik minyak itu.

"Kenderaan di jalan raya kita ni kebanyakannya dipandu oleh 'monyet-monyet' yang mementingkan diri..!" ujar rakanku sebaik aku ceritakan peristiwa itu kepadanya.

Mungkin agak kasar dan keras bunyinya. Aku pun agak terkejut. Tapi kalau itu adalah kebenarannya, terima sajalah.

Itu antara sebilangan pemandu yang tak sedar kesalahan dan kebodohan diri sendiri. Pantang ditegur, yang dia tahu hanya melenting. Bukannya mahu berfikir. Sikap bodoh sombong.

Malah banyak sikap pemandu yang aku temui, yang meletakkan kenderaan sesuka hati, tak kira di tepi simpang tiga, ikut mana yang sempat dan ada ruang. Tujuannya, semata-mata nak mengisi perut di waktu pagi dan tengah hari.

Kesulitan orang lain, langsung tak dipeduli. Undang-undang diletakkan di bawah kaki. Penting diri sendiri. Makhluk jenis apakah mereka yang sebegitu..?

Mungkin benar dan betul apa yang dikatakan rakanku itu. Tepuk kepala tanyalah akal..!

Tuesday, March 16, 2010

DENGKI @ BUSUK HATI

smoke absract Pictures, Images and Photos


Kekadang apa yang kita buat, walaupun baik dan elok, tak semua orang suka. Lebih-lebih lagi musuh kita dan sesiapa saja yang ada sikap dengki dan busuk hati.

Masalahnya, kekadang hairan juga, bagaimanalah orang yang pendengki dan busuk hati mudah pula ada pengikut dan penyokong. Sebab itulah agaknya manusia jenis itu 'mudah hidup' di mana saja. Ramai sangat yang suka jadi pengikut yang membuta tuli. Kekadang belajar saja tinggi-tinggi, tapi otak dan taraf pemikiran terletak di bawah tapak kaki. Inilah yang dikatakan cuma berpelajaran tapi tidak berilmuwan. (Akan dibincangkan dilain kali). Inilah kelemahan yang perlu dihindari dan dijauhi.

Mereka yang pendengki dan busuk hati ini, selain mudah mempengaruhi orang lain, malah ada juga yang bersekongkol dan sanggup menjadi batu api. Maka semakin 'panjanglah nyawa' si pendengki dan busuk hati itu.

Sesekali terfikir, memang biasa wujud jenis manusia yang rasa tak senang duduk dengan kelebihan orang lain. Pendek kata, kelebihan orang sentiasa disangsi, kekurangan orang pula akan dikutuki.

Sepatut di zaman siber yang serba canggih dan masing-masing berusaha mencari kelebihan dan menjadi yang terbaik, tidak wujud lagi manusia pendengki dan busuk hati itu.

Malah jika ada sekerat atau dua kerat manusia yang sebegitu, sepatutnya yang berada di sekelilingnya berperanan memberikan nasihat agar perangai buruk dan busuknya itu tak berlarutan.

Malangnya manusia berperangai pendengki dan busuk hati terus juga bernafas dengan segar di sekeliling kita, kerana ramai antara kita yang menjadi penyokong dan bersekongkol dengan membuta tuli.

Beringat-ingatlah.., manusia pendengki dan busuk hati itu sebenarnya hatinya kotor. Maka mereka yang menjadi penyokong 'kejahatan' dengan membuta tuli juga , bermakna dia juga adalah manusia yang berhati kotor dan buta hati... dan dibimbangi, jika dizinkan Allah, tak semena-mena nanti mata pula yang buta dan telinga pula yang menjadi tuli..!

Tuesday, March 9, 2010

SEKADAR RENUNGAN

stork baby Pictures, Images and Photos


Huuhhh.... boringnya..!!! Tapi tak apalah....

Ini saja sekadar renungan bersama...

'Pengetahuan, budi pekerti yang baik yang dipunyai oleh seorang ibu adalah sebagai jambatan emas yang akan dilalui oleh anak-anaknya ke pantai kebahagiaan'.
- Nepoleon Bunaparte.

Thursday, March 4, 2010

PERMASALAHAN SEMASA YANG MEMERLUKAN PERHATIAN DAN TINDAKAN KERAJAAN

Bebarapa perkara berbangkit dan menjadi isu semasa, antaranya...

1.Pendatang asing, sama ada datang dengan izin atau tanpa izin terlalu berkeliaran di sesetengah tempat di negara kita. Mewujudkan rasa bimbang dan tidak selesa rakyat tempatan.

2. Kerisauan mak bapak terhadap pendatang asing dari Lombok, Indonesia yang suka melarikan anak-anak gadis, malah gadis-gadis sunti pun 'disapu' untuk bernikah di negara mereka. Dipercayai mereka menggunakan 'ilmu hitam' untuk memikat gadis-gadis Malaysia, dan kemudiannya mereka akan diangkat sebagai hero di tempat mereka.

3. Di Kuala Lumpur dikatakan berlambak-lambak pemandu teksi yang yang terdiri daripada mereka yang memegang taraf kerakyatan penduduk tetap. Golongan mereka inilah yang dipercayai 'mencekik darah' penumpang dengan mengenakan tambang lebih dan tidak menggunakan meter. Sepatutnya taraf penduduk tetap diberikan kepada mereka yang profesional dalam sesuatu bidang atau berkemahiran, yang tidak dimiliki rakyat tempatan. Kalau setakat pemandu teksi, tidak adakah rakyat Malaysia yang layak?

4. Penjara negara ini dipenuhi dengan pendatang asing (terutama Indonesia) yang telah didapati melakukan pelbagai kesalahan jenayah. Mereka dikatakan suka tinggal di penjara Malaysia kerana banyak keselesaan, termasuk makan minum yang mencukupi dan kemudahan lain lagi, tidak seperti penjara di negara mereka.

Benarkah begitu? Jika begitu, sepatutnya dikaji semula apakah fungsi sebenar penjara. Perlu di ingat, peruntukan makan minum mereka itu menggunakan wang rakyat.

Semua permasalahan di atas memerlukan perhatian dan tindakan bijaksana kerajaan demi kepentingan rakyat tempatan.

Wednesday, March 3, 2010

BILA TAMAK DAN PENTING DIRI MENGATASI SEGALA-GALANYA

Ikan tenggiri... a sign that i\'ve never been to pasar much.. it\'s freaking huge! Pictures, Images and Photos


Pengimport ikan boikot kerana tak setuju pakai peti ikan bercip. Tindakan itu menyebabkan bekalan ikan berkurangan dibeberapa tempat. Disebabkan bahan itu berkurangan, maka harganya melambung hingga berkali-kali ganda.

Begitulah selalunya. Jika sesuatu barang keperluan penting itu berkurangan, maka secara otomatik harganya menjadi mahal.

Kenapa jadi begitu? Siapakah yang menaikkan harga barangan itu? Adakah itu berpunca sikap tak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu yang terbabit?

Apa salahnya jika sesuatu barang itu berkurangan, dan harganya juga kekal seperti biasa? Kenapa tak jadi begitu? Kenapa jadi sebaliknya?

Adakah menjadi kebodohan bagi pihak-pihak tertentu jika tak ambil kesempatan di atas kekurangan sesuatu barangan itu?

Begitulah sikap sebilangan kita yang sentiasa suka mengambil kesempatan mengikut keperluan dan ruang yang ada, demi kepentingan diri, walaupun itu sepatutnya tak seharusnya berlaku jika setiap mereka yang berkenaan berjiwa bersih dan berniat suci dalam segala perbuatan.

Namun sebilangan kita terhakis sifat-sifat itu disebabkan bersikap tamak dan pentingkan diri mengatasi segala-galanya.