Thursday, January 28, 2010

NALURI MANUSIA

Hearts Pictures, Images and Photos


Semua orang mahu yang terbaik dalam hidupnya. Tiada sesiapa mahukan keburukan ataupun kekurangan. Namun segala-galanya terletak pada diri. Terbaik yang dicari, terbaiklah bakal ditemui. Jika sebaliknya yang dicari, tanggunglah sendiri.

Bagaimanapun naluri manusia berlainan atau berbeza-beza. Sesuai bagi kita, mungkin tak sesuai bagi orang lain. Berbaloi pada kita, mungkin pada orang lain tak berbaloi. Cantik pada kita, mungkin tidak secantik mana bagi orang lain.

Begitulah cara penerimaan dan penilaian masing-masing. Apa-apa pun, jika inginkan kesesuaian pada diri, carilah mengikut selera atau kemahuan diri. Sendiri yang memilih, tentulah sendiri juga yang tahu menilainya.

Namun ada kalanya ketentuan itu tidak sama dengan apa yang dihajatkan. Lain yang kita harap, lain pula yang mendapat. Pendek kata, apa yang kita mahu, tidak semestinya kita dapati. Ada kalanya lain yang dicari lain pula yang ditemui.

Jika semua yang seseorang itu inginkan mudah didapati, amanlah jiwa dan perasaan. Maka amanlah juga dunia ini. Dan mungkin juga akan memudahkan seseorang itu lupa daratan.

Jadi usahlah berharap sangat sebagaimana yang kita hajatkan. Walaupun kita berusaha sekuat mana untuk mendapatkan apa yang kita hajati, ada kalanya tidak akan tercapai. Jika itu yang berlaku, kita tidak seharusnya mengalah dan berputus asa.

Sesuatu yang terjadi itu ada sebabnya. Sentiasalah bermuhasabah diri. Kenapa Yang Maha Esa tidak menunaikan hajat kita. Segalanya mungkin terjawab pada diri kita sendiri. Hanya Dia yang maha mengetahui.

Apa-apa pun, semangat dan usaha yang hebat perlu diteruskan dengan berteraskan jati diri. Kekuatan rohani dan kehebatan menganalisis secara jujur, ikhlas dan berteraskan kepada suasana nyata. Bukan saja berlegar pada kepentingan diri, tetapi pertimbangan kemanusiaan sejagat perlu ada.

Lebih penting lagi bertawakkal kepada Ilahi tidak diabaikan. Cari kesilapan dan kelemahan diri. Perbaikilah mana yang perlu. Insaya-Allah setiap usaha yang ikhlas itu akan menemui pembalasannya jua.

Wednesday, January 27, 2010

KEHIDUPAN DAN PERKAHWINAN

cincin kahwin Pictures, Images and Photos

Perkahwinan itu ibarat hati dan jiwa. Jika hanya berhati tapi tak berjiwa, tidaklah sesempurna
mana kehidupan.

Perkahwinan perlu berasaskan keikhlasan, kejujuran dan kasih sayang. Kesemua itu adalah ramuan pengikat kesetiaan sehingga ke penghujung kehidupan yang lebih bermakna. Susah senang bersama. Setiap kerumitan ada jalan penyelesaiannya.

Perkahwinan yang terselindung di sebalik maksud dan tujuan tertentu, tidak akan temui sinar kesempurnaan. Sebaliknya perkahwinan itu akan runtuh juga di kemudiannya.

Sesdangkan lidah lagi tergigit. Tidak terkecuali dalam melayarkan sesebuah rumahtangga. Sakit lidah yang tergigit tidak akan berpanjangan jika ada kesefahaman.

Biasalah sesekali berlainan pandangan dan pendapat. Itu asam garam kehidupan bersama. Sebab sebuah rumahtangga bukannya ibarat rel kereta api. Landasannya tersedia. Jika tergelincir terus lumpuh.

Kehidupan berumahtangga ibarat melayar sebuah kapal di lautan luas. Lambungan ombak adalah dugaan dan cabaran. Jika pintar mengawasinya, akan sentiasa selamat ke destinasi.

Perkahwinan perlu ada kejujuran dalam diri. Perlu termaktub keikhlasan di dalam hati. Bukan berkahwin dengan berselindung di sebalik niat atau hasrat tertentu.

Perkahwinan itu juga adalah sebuah kehidupan bersama yang memerlukan kasih sayang, hormat menghormati dan bertoleransi.

Perkahwinan juga memerlukan cita rasa, darjat dan kesesuaian. Tapi harus dingati, yang indah pada mata, tidak semestinya indah juga pada jiwa. Mungkin yang tidak selesa pada mata, itulah yang amat selesa pada jiwa. Namun jika sesiapa yang memperolehi seindah di mata dan seindah jua di jiwa, dialah insan yang paling bertuah dan bahagia. Maka bersyukurlah.

Apa-apa pun hargailah sebuah perkahwinan yang anda bina. Belai dan limpahilah ia dengan kasih sayang dan cinta sejati. Bertolak ansurlah salam segala hal. Usah terlalu mengikut hati dan perasaan. Perlu ada apa jua pertimbangan menghadapi segala permasalahan. Biar berkekalan hingga ke akhir hayat. Insya-Allah.

Monday, January 25, 2010

MALAS PUN DAPAT GAJI JUGA..!

Kehidupan setiap orang tersedia dengan peranan atau tanggungjawab masing-masing. Setidak-tidak pun, tanggungjawab seseorang itu kepada Tuhannya. Itu sesuatu yang wajib.

Ada orang pula diberikan peranan dan tanggungjawab dengan disediakan imbuhan atau gaji. Tanggungjawab menyelesaikan apa saja masalah manusia yang lain. Ini sebenarnya tanggungjawab yang teramat berat. Jika dia menerima upah (gaji), sedangkan tanggungjawab yang diberikan padanya diabai atau diperlecehkan (boleh dikatakan pemalas dan ambil remeh dengan tanggungjawab), apakah maknanya upahan yang diterimanya itu? Maknanya upah itu tidak halal.

Sepatutnya mereka yang diupah atau diberikan gaji, mestilah berusaha menjalankan tugasnya dengan sesempurna mungkin. Jika tidak, semakin banyak masalah yang timbul dan akan berlanjutan. Tapi ada yang tidak bertanggungfjawab. Itu sebab banyak masalah yang pernah selesai. Banyak beralasan untuk melepaskan kesalaghan diri dan tak pernahh rasa bersalah dengan sikapnya itu. Manusia jenis apakah itu? Itulah manusia yang tak bermaruah dan bermoral.

Dalam masa yang sama, masih ramai orang yang tak pernah berusaha untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin pun (atau pemalas) itu, turut juga dinaikkan gaji atau pangkat. Bukannya 'denda' yang dikenakan. Ini menyebabkan orang yang tak bermaruah dan bermoral itu tak pula rasa bersalah. Malah lebih rasa berbangga kerana setiap bulan dapat gaji, setiap tahun dinaikkan gaji. Dapat pula anugerah khidmat cemerlang. Malah jika tak ada aral melintang, pangkat juga turut dinaikkan bila tiba masanya.

Bagaimana pula dengan bos yang menyokong kenaikan gaji atau kenaikan pangkat anak buahnya yang malas itu? Atau bos yang tak pernah ambil tahu mengenai anak buahnya yang tak bertanggungjawab itu? Maknanya bos itu juga tak bermaruah dan bermoral serta tak bertanggungjawab. Tak jalankan tugas dengan sempurna, dengan mengenali setiap anak buahnya yang tak 'mendatangkan kebaikan' kepada jabatannya.

Tapi dalam dunia kehidupan hari ini, soal tanggungjawab pada kerja itu yang sepatutnya 'besar' tapi dianggap remeh. Tak sempurna kerja pun gaji tetap dapat setiap bulan. Tindakan jarang diambil terhadap mereka itu. Maka, tidak hairanlah masalah akan tetap berterusan sampai bila-bila. Sampai orang makan gaji itu pencen dan pencennya bersambung kepada keturunannya yang berpanjangan.

Kemudian tanggungjawan orang yang malas itu digantikan dengan orang lain. Jika sikap 'malas'nya sama, akan tetap samalah juga kedaannya dengan masalah yang akan berterusan itu entah di mana penghujungnya.

Thursday, January 21, 2010

BELI KERETA MEWAH TAK SEMUDAH BELI NASI LEMAK

KAD PENGENALAN WANITA DISALAHGUNA

Malang seorang wanita. Dia dijatuhi muflis kerana tak mampu bayar bulanan sebuah kereta mewah yang dibelinya. Sebenarnya bukan dia yang beli kereta tu, tapi orang lain yang menyalahgunakan kad pengenalannya.

Segalanya bermula bila kad pengenalannya itu hilang. Sedih juga dengar cerita wanita beranak lima yang hidup pun bukannya senang sangat itu.

Dipercayai, 'pembeli penipu' itu juga menggunakan kad pengenalan wanita terbabit untuk membeli sebuah motosikal.

Soalnya, nak beli sebuah kereta (apatah lagi kereta mewah) bukannya sama macam nak beli nasi lemak atau nasi bungkus di warung tepi jalan. Tak semudah itu. Banyak syarat dan prosedurnya.

Kalau ikut prosedur biasa, pembeli/peminjam dikehendaki menyediakan kad pengenalan dan slip gaji. Kalau tak ada slip gaji kena tunjukkan buku akaun bank atau salinannya. Adakah 'pembeli penipu' itu dapat menunjukkan nama di kad pengenalan itu dengan nama di slip gaji atau di buku akaun banknya sepadan? Kalau tak sepadan, macam mana bank boleh luluskan pinjamannya membeli kereta mewah itu?

Seperkara lagi, semasa membuat perjanjian pinjaman bank, tentu 'pembeli penipu' itu memberikan nama dan alamat. Kalau nama dia boleh tipu dengan guna nama dalam kad pengenalan orang lain, bagaimana pula dengan alamat yang dicatatkan pada surat perjanjian itu?(Mungkin tidak sama seperti alamat dalam kad pengenalan orang lain yang digunakan itu). Tidak mampukah bank untuk menjejaki alamat si pembeli penipu itu di surat perjanjian tersebut?

Berdasarkan beberapa perkara yang dibangkitkan di atas, adalah dipercayai hanya orang yang berkaitan saja yang mampu meluluskan pinjaman itu. Oleh itu, pihak bank seharusnya membuat siasatan dalaman, mungkin ada stafnya yang tidak amanah.

Apa-apa pun, jika laporan polis dibuat, pihak polis perlu menyiasat hingga ke lubang cacing untuk menyelesaikan masalah itu. Manusia zalim dan tidak berhati perut yang sanggup menggunakan kesempatan atas kesusahan orang lain itu tidak seharusnya dibiarkan bebas. Nanti ramai lagi yang akan menjadi mangsanya.

Tuesday, January 19, 2010

ROKOK... OH... ROKOK..!

smoke Pictures, Images and Photos


Merokok itu hak individu. Tak salah merokok jika bukan di tempat terlarang. Perokok berhak merokok beberapa bungkus sehari ikut kemahuan dan kemampuannya.

Perokok tak pernah takut pada 'amaran' yang dilekatkan pada kotak rokok. Malah perokok semakin meningkat pula dari masa ke semasa.

Perokok degil tak mahu henti hisap rokok itu hak mereka. Kalau sakit, mereka. Kalau nak mati pun, mereka juga.

Kerajaan tak seharusnya membazirkan wang dengan pelbagai macam kempen anti merokok. Tak ada faedahnya. Orang nak berhenti merokok bukan kerana adanya kempen anti merokok. Tapi dengan adanya kesedaran diri. Mungkin setelah dihinggap beberapa jenis penyakit. Baru nak kembali ke pangkal jalan.

Saya ada beberapa kawan yang pernah beberapa kali berhenti dan kemudiannya merokok semula. Alasan mereka, kerana kerap berjumpa orang ramai. Tipis benar alasannya. Macam budak tadika.

Jadi saya sarankan supaya kerajaan jangan lagi membazirkan wang dengan kempen anti merokok. Yang penting ialah hebatkan penguatkuasaan di tempat-tempat larangan merokok dengan lebih berkesan. Mereka yang bersalah dikompaun disitu juga. Kalau tak mampu bayar, heret ke balai polis. Jangan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Dalam pada itu, sudahlah penguatkuasaan hanya nyawa-nyawa ikan, malah di tempat-tempat yang dilarang merokok pun ada dijual bermacam jenis rokok. Contohnya, di setesen-setesen minyak yang sememangnya tak boleh merokok pun ada dijual rokok. Kenapa jadi macam itu. Macam mana nak berkesannya kempen anti merokok?

Memang sejak dulu ada juga yang cadangkan agar rokok itu diharamkan terus di pasara. Haram dijualkan kepada sesiapa saja. Itu sebenarnya jalan paling mudah membasmi mereka yang merokok. Namun semuanya senyap dan sepi. Rokok masih juga dijual dengan cara terbuka dan berleluasa sehingga kini.

Naiklah harga rokok sebanyak mana pun dalam sekotak. RM50? RM100? RM1,000? Perokok tegar tak hairan pun. Mereka tetap akan berusaha juga untuk memilikinya. Mungkin dengan mencuri untuk mendapatkan wang. Kalau sekitar tahun 60-an atau 70-an dulu bermula dengan mencuri ayam. Ke tahun-tahun ke depan sikit, mencuri seluar baju di ampaian. Ke tahun-tahun ke depan lagi, mereka mula berani pecah masuk rumah orang. Dan begitulah seterusnya.

Dan sesungguhnya benar kata orang mengenai sikap manusia itu, bahawa manusia itu sanggup melakukan apa saja untuk kepuasan diri, sekalipun di sebalik kepuasan itu tersembunyi kemudaratan, kesusahan, sekalipun merosakkan nama sendiri!.

Friday, January 15, 2010

MASALAH PENDATANG ASING: JANGAN AYAM TERLEPAS TANGAN BERBAU TAHI

Pendatang asing - tak kiralah yang masuk sebagai pelancong, pas pelajar atau pekerja, sejak kebelakangan ini banyak mendatangkan masalah sosial dan membimbangkan rakyat negara ini. Apatah lagi yang masuh secara haram.

Merompak, menyamun, pecah rumah dan mengganggu ketenteraman penduduk tempatan, merupakan antara masalah yang berkaitan dengan pendatang asing.

Dengan kehadiran mereka, situasi penduduk tempatan sedikit tergugat. Lebih-lebih lagi sebilangan sikap mereka yang tidak tahu menghormati penduduk tempatan. Mereka buat negara ini macam negara mereka sendiri.

Masalah berkaitan pendatang asing sering dilaporkan di media massa. Sesekali itu juga, pihak berwajib bagaikan terjaga dari tidur. Berjanji itu ini. Buat serbu di sana sini. Seketika selepas itu senyap dan sunyi.

Ibarat kata, buat kerja hangat-hangat tahi ayam. Masalah mengenai pendatang asing tidak juga berubah. Malah pendatang asing semakin bertambah. Mereka yang habis tempoh hilang begitu saja. Tak tahu di mana mereka bersembunyi.

Kerana kerja hangat-hangat tahi ayam, maka masalah pendatang asing terus berlanjuta. Harap-harap jangan sampai 'ayam terlepas tangan pula yang berbau tahi'.

Sunday, January 10, 2010

JUARA LAGU YANG KELIRU..?

Hujan Band Pictures, Images and Photos

Aku nak komen sket pasal Juara Lagu. Aku dapati dari mula Juara Lagu hingga yang terbaru malam tadi, aku rasa ramai yang terkeliru.

Sebenarnya Juara Lagu adalah untuk pencipta lagu dan penulis lirik. Bukan untuk penyanyi. Tapi wartawan hiburan akhbar arus perdana pun terkeliru. Lebih banyak mencoret mengenai penyanyi-penyanyi yang terlibat dengan Juara Lagu itu.

Harus diingat, yang dapat menyertai Juara Lagu ialah pencipta lagu dan penulis lirik. Mereka sepatutnya yang diberikan tumpuan. Bukan lebih-lebih kepada penyanyi. Aku tak pasti wartawan-wartawan berkenaan sedar atau tidak mengenai itu.

Apabila diumumkan pemenang pula, penyanyi juga yang lebih dahulu ke depan. Macam acara untuk penyanyi pula. Tapi nak kata apa, pengacara pun tak faham juga 'majlis' itu untuk siapa. Mungkin pengacara hanya ikut skrip. Maknanya penulis skrip pun tak faham apa yang dia patut tulis.

Dalam pertandingn Juara Lagu, hadiah untuk penyanyi hanyalah bagi kategori 'Persembahan Terbaik' dan 'Vokal Terbaik'. Itu aje. Manakala hadiah pertama hingga ketiga adalah untuk pencipta lagu dan penulis lirik.

Namun aku tak pasti sama ada para pengadil yang dipilih faham atau tidak mengenai 'Juara Lagu' itu. Sama ada mereka terkeliru memilih pemenang berdasarkan persembahan penyanyi atau keistimewaan atau kelebihan sesebuah lagu yang dipertandingkan itu. Harap-harap tak adalah pengadil yang terkeliru kononnya majlis itu untuk memilih penyanyi yang terbaik.

Seperkara lagi, kenapa setiap kali pertandingan Juara Lagu, kebanyakan lagu-lagu yang terpilih akan digubah semula. Kenapa tidak dipersembahkan sebagaimana lagu asal? Bukankah lagu asal itu yang dipertandingkan dari awal? Apakah istimewanya jika lagu-lagu itu digubah semula? Di manakah orginaltinya..?

Friday, January 8, 2010

KITA SESAMA KITA

illustration Pictures, Images and Photos

Kita mencari sesuatu
ketemunya belum tentu.

Kita memilih yang berkenan di hati
kedapatannya belum pasti.

Kita diulit mimpi-mimpi indah
realitinya tak begitu mudah.

Kita buat apa yang kita suka
orang lain belum tentu dapat menerima.

Kita ikut kemahuan hati
belum tentu bahagianya hingga mati.

Tidak susah bagi kita berbuat baik
tapi mungkin susah untuk orang berbaik-baik.

Kita cari apa yang kita suka
mungkin terjumpa sesuatu yang duka.

Selagi hidup badan dikandung nyawa
setelah mati nyawa dikembalikan kepada-Nya.

Mati itu adalah pasti
hidup pula insya-Allah
mati usahlah ditakuti
hidup usah mencari masalah!

Kita sesama kita
walau sama mungkin berbeza
hati dan citarasa tak serupa
tapi kita tetap manusia.

Kita manusia biasa
mampu menjadi luar biasa
bukan kerana mencipta celaka
meruntuhkan maruah dan nama!

Monday, January 4, 2010

ANTARA KITA TAK SERUPA...

iron dead Pictures, Images and Photos


Antara manusia tak sama sikap dan perangai. Kita tak boleh harapkan orang lain menjadi serupa kita. Kita juga tak boleh mengharapkan kita menjadi orang lain.

Penerimaan, penilaian dan pemikiran juga berbeza. Sesuai pada orang tertentu, mungkin tak sesuai pada orang lain.

Ada orang rasa dirinya sempurna. Pada mata orang lain mungkin dia tak sebegitu. Adat manusia, ada lebih dan kurang. Manusia tak sempurna keseluruhannya.

Ada orang tak mampu membezakan antara yang 'perlu' dengan yang 'tak perlu' (atau yang boleh diabaikan).

Ada orang, sesuatu yang perlu itu dianggap biasa. Buat tak apa, tak buat pun tak apa. Malah boleh diabaikan. (Pada hal ia perlu dibuat. Jika tidak, permasalahan akan wujud).

Ada orang pula, yang tak perlu (boleh diabaikan) itu dianggap perlu. Mesti kena buat. (Pada hal tak perlu buat pun tak datangkan masalah).

Jika kita tak tahu membezakan mana yang lebih perlu atau mana yang tak perlu, maka bukan saja akan berlakunya pembaziran. Malah tak mustahil akan berlaku krisis kehidupan, umpamanya keberantakan rumahtangga.

Nota: Seorang sahabat pernah berkata, jika si isteri menganggap melayan suaminya sesuatu yang dianggap 'buat tak apa tak buat pun tak apa', sementara melayan nafsu kemaruk shopping dianggap lebih perlu, pasti ada sesuatu yang tak kena dalam jiwa si isteri itu. Bersedialah untuk menghadapai permasalahannya.