Tuesday, September 29, 2009

KEMALANGAN JALAN RAYA: TIDAK AKAN SUSUTKAH..?

Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Terutama pada musim-musim perayaan yang sudah tentu akan meningkatnya aliran trafik dan makin menjuruskannya kepada peningkatan kemalangan maut.

Secara umumnya, memang sikap pemandu yang menjadi punca utama kemalangan, selain keadaan kenderaan yang tidak diurus dengan baik sebelum memulakan perjalanan jauh.

Namun pernahkah kita terfikir bahawa kadar keluasan (kelebaran) bentuk jalan raya di negara kita juga turut menyumbang kepada kes kemalangan. Terutama jalan perbandaran dan persekutuan. Kemalangan jarang berlaku di lebuhraya kerana keluasan jalannya.

Jalan raya yang sempit harus diambil kira. Sebagai contoh, ketika kita sedang memandu kereta, kita terserempak dengan sebuah motosikal yang dipandu terhegeh-hegeh di depan kita, manakala pada masa yang sama dari arah depan kita pula ada kereta lain. Disebabkan jalan yang sempit, kita terpaksa membrek kereta kita daripada terlanggar motosikal di depan kita.

Bersabitan dengan itu, dalam keadaan tertentu, terutama ketika memandu laju, macam-macam perkara yang tak diingini boleh berlaku.

Bayangkanlah kalau yang berada di jalan raya itu kenderaan besar seperti lori kontena, lori balak dan bermacam-macam jenis lori lagi.

Rasanya tidak keterlaluan jika dikatakan ada sebilangan jalan raya kita hanya sesuai untuk kenderaan kecil seperti kereta Kancil saja. Sedangkan ia sebenarnya sebatang jalan yang sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan.Itupun ada kalanya Kancil sama Kancil bertembung dan terdapat pula motosikal di depan yang dipandu perlahan, Kancil yang di belakang motosikal itu terpaksa juga membrek. Begitulah sempitnya jalan raya kita.

Selain polis dan JPJ, kerajaan terpaksa tubuhkan JKJR dan Miros untuk memastikan kemalangan jalan raya tidak terus meningkat. Namun hasilnya..? Fikir-fikirlah sendiri.

Bukan nak dikata bahawa penubuhan JKJR dan Miros sekadar pembaziran, namun alangkah elok jika peruntukan yang ada itu, termasuk perbelanjaan berjuta-juta setiap tahun yang digunakan untuk kempen keselamatan jalan raya itu digunakan untuk melebarkan jalan-jalan raya di Malaysia yang sesungguhnya memang sempit itu.

Jika sebelum ini, pihak-pihak berkenaan tidak terfikir mengenai bentuk jalan raya kita yang tidak cukup lebar itu antara menjadi punca kemalangan, cubalah fikirkanlah kebenaran itu sejenak.

"PANDULAH DENGAN BERHEMAH. JIKA TIDAK, ANDA TAK AKAN SEMPAT SAMPAI KE RUMAH!"

"PANDULAH DENGAN BERAKAL, SEBELUM ORANG TERSAYANG BOLEH HILANG AKAL!"

Saturday, September 19, 2009

SALAM SYAWAL

SALAM SYAWAL
KEPADA
SEMUA SAUDARA-MARA, RAKAN DAN TAULAN
SERTA
ANDA, ANDA, ANDA DAN ANDA
WALAUPUN DI MANA SAJA ANDA BERADA.
***
Kari buaya selera menjelma,
Terkukur buta dilempang rusa,
Naga lari tak peduli harijadi;
Hari raya gembira bersama,
Bersyukur kita kepada Yang Esa,
Jaga diri hindari tragedi.
***
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR & BATHIN.
*********************************

Tuesday, September 15, 2009

KITA DAN DIRI KITA

Memilih jika tak tepat
akhirnya akan bermudarat.

Bertindak jika tak betul
akhirnya akan digelar bahlul.

Memandu jika tak berhemah
akhirnya sendiri yang susah.

Berbelanja jika tak berhemat
akhirnya sendiri yang terkulat-kulat.

Bercakap jika tak berbahasa
akhirnya diri akan dikeji cela.

Berbuat baik jika tak berpada-pada
akhirnya masalah akan tertimpa-timpa.

Berbuat jahat jika terlalu sangat
akhirnya ibarat tupai yg pandai melompat.

Maka....

Biarlah akal yang berfikir
akan sejahtera hingga ke akhir.

Jangan hati dibiar mengarah
sudahnya malang menjadi parah.

Jangan nafsu dibiarkan ke depan
porak peranda jiwa dan perasaan.

Biar yang baik menjadi teladan
yang buruk pula jadi sempadan.

Selangkah terlenjur ke depan
berundurlah ke jalan kebenaran.

Terlajak perahu berundur semula
terlajak kata ada hati terluka.

Cakap siang pandang-pandang
cakap malam usah sembarang.

Bisa duri ada penawarnya
bisa lidah buruk padahnya.

Buruk rupa hanya gambaran
buruk hati hilang pedoman.

Friday, September 4, 2009

LAGU 1MALAYSIA KITA - SESUAIKAH..?

Lagu berjudul 'Malaysia Kita' yang digubah oleh Audi Mok dan liriknya ditulis Nur Fatima telah dipilih sebagai juara pencarian lagu 1Malaysia Kita baru-baru ini.

Dari segi konsep, ia bolehlah dianggap pemilihan yang sesuai dengan masyarakat majmuk negara kita kerana dihasilkan daripada gabungan kreatif Melayu-Cina, antara dua tonggak kaum yang ada dinegara kita.

Tapi dari segi irama dan liriknya, didapati pemilihannya tidak begitu sesuai dengan situasi kenegaraan kita. Kerana irama lagunya yang ala rock dan bernada terlalu tinggi serta agak kurang kental secara menyeluruh pada liriknya.

Irama lagu yang bercorak komersial tidak semestinya sesuai diangkat sebagai lagu patriotik. Komersial ada laluannya yang tersendiri dan begitu juga dengan irama patriotik.

Setiap lagu patriotik seharusnya kena pada kesesuaian rentaknya dan turut menggambarkan kesesuaian dengan negara kita. Liriknya juga biarlah yang melambangkan matlamat dan keperluan serta kesesuaian negara dan masyarakat, selain ia mudah difahami dan diikuti semua golongan dan peringkat umur.

Saya teringat kata-kata Datuk Seri Najib ketika merasmikan pengumuman kemenangan itu. Katanya, lagu itu (Malaysia Kita) mungkin memerlukan sedikit pengubahsuaian jika ia mahu disampaikan secara koir.

Wednesday, September 2, 2009

PENTING DIRI SENDIRI

Sebilangan kita masih mengamalkan sikap suka ambil kesempatan, demi mementingkan diri sendiri. Sehingga tergamak mengenepikan nilai-nilai keluhuran kemanusiaan.

Sama ada melalui kelemahan orang lain atau atas 'keperluan terdesak' pihak-pihak tertentu, pihak yang suka ambil kesempatan itu tidak peduli siapa mereka. Yang penting keuntungan diri diutamakan.

Ibarat si kuat yang suka ambil kesempatan ke atas si lemah, begitulah juga dengan mereka yang berkuasa yang sanggup menggunakan kuasanya untuk keuntungan dan kepentingan diri.

Begitu juga si peniaga yang sering menggunakan peluang dan kesempatan untuk menaikkan harga barang, terutama ketika ramai pengguna amat memerlukannya.

Pengguna sering berdepan dengan situasi sedemikian pada masa-masa tertentu. Golongan susah akan menerima akibatnya.

Dimanakah keprihatinan dan nilai kemanusiaan mereka yang suka ambil kesempatan itu? Mereka sanggup melontarkan kejujuran dan moral diri demi mengutamakan keuntungan dan kepentingan diri semata-mata.

Selagi bernama manusia, kita semua seharusnya memiliki sifat bertimbang rasa dan sering bertoleransi. Pasti akan terserlah nikmat dan rahmatmya!

SELAMAT BERPUASA..!