Sunday, December 28, 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1430

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah al-Baqarah ayat 218)

__________________________________________________________

"Ya Allah ya Tuhanku, kami memohon agar Engkau hijrahkan diri kami dari kejahatan kepada kebaikan, kepada keselesaan hidup dan murahkanlah rezeki serta sihatkan tubuh badan kami agar memudahkan kami menjalani suruhan Engkau tanpa sebarang halangan dan rintangan yang menyusahkan. Engkau pelihara dan berikanlah kesejahteraan kepada saudara-saudara kami, rakan-rakan kami serta mereka yang mengunjungi blog ini, dan tunjukkanlah mereka ke jalan yang benar serta berdaya melawan hawa nafsu yang sentiasa cenderung mengheret manusia ke arah melakukan perbuatan-perbuatan yang Engkau murkai dan menyeleweng daripada lunas-lunas syariat. KepadaMu juga ya Allah, kami memohon agar Engkau peliharakanlah negara kami serta rakyat keseluruhannya daripada sebarang bencana. Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Sunday, December 21, 2008

DARI DALAM HATI - 2

PILIH YANG PATUT PADAN

Mereka yang diberikan tanggungjawab dan kepercayaan
dalam apa juga memilih pekerja dan kakitangan
seharusnya juga lebih berpengetahuan
dan harus juga tebal sifat keilmuan
buat kerja jangan pakai lepas tangan
nilai dan lihat apa juga yang patut padan
sebelum seseorang itu menjadi pilihan
jangan sekadar tebal sijil dan kelulusan
zahiriah seseorang itu perlu dipandang hingga ke dalaman
batiniah juga seharusnya menjadi nilaian.
***
Si penilai dan si pemilih perlu ada kemahiran
bukan sekadar bertanya dan bersoaljawaban
tapi juga kelebihan menilai dari segi kemanusiaan
bukannya pakai hentam sembarangan
berdasarkan sijil bergulungan dan bercakap kepetahan
barulah tak bermasalah di hari kemudian.
***
Jika yang patut padan jadi pilihan
kuranglah pelbagai jenis permasalahan
maka orang ramai tak sakit hati dan bosan
tak ada lagi keluhan sana sini yang tak berkesudahan
segala masalah tak banyak dengan kerenahan
tenang dan damai rakyat berurusan
setiap yang baik akan diberi pujian
jasa dan pengorbanan akan dikenang berterusan
negara pun aman berpanjangan.
***
Segala-galanya terletak pada orang atasan
kalau yang diatas baik dan bagus pemikiran
akan baik dan bagus jugalah segala urusan
kerana yang di bawah akan ikut arahan
amalkan kerja dengan keikhlasan dan kesopanan.
***
Kalau yang di atas berlintang pukang
yang di bawah pula akan bertunggang langgang
sebab ketua dipilih tersalah orang
namun setiap tahun gaji tak pernah pun kurang
setiap kenaikan tak pula terhalang
pangkat semakin tinggi tak pernah tumbang
walaupun tanggungjawab diberikan banyak yang sumbang
tapi orang-orang yang berkenaan tak pernah ambil pandang
yang tak bagus pun terus dapat anugerah cemerlang.
***
Kebanyakan yang kedapatan
walaupun kerja tak bagus tapi tak ada hukuman
walaupun sekali dua diberi amaran
yang lainnya lebih banyak dapat ganjaran
tapi kerenah buruk masih berterusan
hidup senang dengan gaji dan pelbagai elaun setiap bulan.
***
Maka orang ramai terus bermasalah
masalah dan kerenah tak sudah-sudah
maka setiap hari orang ramai menyumpah seranah
lama kelamaan yang kena sumpah terkena musibah
itulah pembalasan orang tak beramanah
akan terhukumlah dia dengan derita yang tak kebah-kebah
barulah tahu langit itu tinggi atau rendah
tapi sudah terhantuk baru nak terngadah
maka biarlah dia berterusan terngadah-ngadah-terngadah-ngadah
begitulah pembalasan daripada Allah.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
SEKEHLOGI
Manusia sepatutnya menggunakan akal dengan bijak dan betul dalam apa juga perkara. Seandainya bertindak di luar kewarasan, maka bersedialah untuk menanggung beban kesilapan yang berlaku itu.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Tuesday, December 16, 2008

DARI DALAM HATI - 1

EPISOD: ILMU TINGGI
***
Pada kebiasaan dalam kehidupan dulu hingga kini
apabila seseorang itu belajar tinggi
secara automatis kita angkat dia tinggi-tinggi
kononnya dia juga orang berilmu tinggi
lantas berbagai-bagai kepercayaan dan keyakinan diberi
sebagai ketua disanjung dipuji
diberi tanggungjawab dalam sesebuah organisasi.
***
Memanglah ada orang belajar tinggi
tapi ilmunya belum tentu lagi tinggi
ada yang tak tahu nak urus kerja yang diberi
cuma cukup bulan dia ambil gaji.
***
Bila ilmu tak tinggi
semua benda dianggap remeh sekali
walaupun ramai yang sakit hati
tapi dia buat tak peduli
buat kerja ikut puas hati sendiri
sepatutnya khidmat untuk umum diutamakan sekali
tapi dengan sikap membutakan hati
maka akan wujudlah bermacam masalah yang tak diingini
apatah lagi yang berkaitan dengan orang ramai di sana sini
dari masalah kecil hingga jadi kontroversi
kalau tak masuk surat khabar akan masuk dalam TV.
***
Begitulah maklumnya bila ada orang sebegini
yang terpilih dari ramainya di kalangan manusiawi
pada hal masih ramai lagi yang boleh dipilih dicari
bukan sekadar berbelajar tinggi
tapi juga berilmu tinggi yang sesuai sekali
cukup pula dengan syarat-syarat yang di kehendaki
tapi malangnya orang sebegitu selalu di ketepi
ah.., mungkin tak ada rezeki
ah.., mungkin juga tak ada kaki
oh.., rupanya dia tak ada kabel sebesar kepala kereta api.
***
Seharusnya mereka yang berbelajar tinggi
kerjanya pula setiap hari
berhubungkait dengan orang ramai serata negeri
tak sepatutnya menonjolkan hidung yang tinggi
tapi tonjolkanlah ilmu yang tertinggi
dipadankan pula dengan baik pekerti
agar tak meruntuhkan peribadi sendiri
atau memalukan orang berpelajaran seperti kami.
***
Alahai saudara saudari
tuan puan yang bijak bestari
bukan mengutuk atau mencaci
jauh sekali untuk mengeji
cuma mengingat sesama sendiri
jangan buat perkara yang orang benci
tanggung amanah jangan lepas batuk di laci
biarlah setimpal apa yang diterima dan apa yang diberi
agar bila mati kubur tak berapi.
***
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
***
SEKEHLOGI
***
"Berusahalah untuk kehidupan dunia dengan menginsafi bahawa akhirat adalah lebih utama dan tinggi kedudukannya."
***
****************************************************

Wednesday, December 10, 2008

SAJA NAK CERITA - 8

JULIAN CHER @ NUR HIDAYAH CHER

Aku tiba-tiba termengeluh.

Macam mana tak termengeluh, mak ada rasa hati sikit denganku.

Sikit? Huh... berhari-hari jugalah mak tak tegur aku.

Sebabnya?

Sebab aku tak ikut cadangan mak. Aku tolak bulat-bulat calon isteri yang mak suruh aku pilih itu.

Nak pilih macam mana kalau hati tak suka. Tak berkenan. Sebab aku nak pilih sendiri. Aku tak suka orang lain pilih untuk aku. Dah termaktub macam tu dalam hatiku. nak buat macam mana kan..?

Berhari-hari juga aku termenung. Serba salah dibuatnya.

Berminggu-minggu juga aku terfikir-fikir. Sama ada mak suka atau tidak kalau aku bertegas nak pilih Nur Hidayah jadi suri hidupku?

Tapi nampak pada air muka mak (selain percakapannya), aku dapat agak mak sukar nak terima Nur Hidayah sebagai menantunya. Aduhai... memilih benar pula mak aku tu...

Dan berbulan-bulan juga aku jadi tak menentu. Nak terus pilih Nur Hidayah atau tidak..?

Kalau aku tak pilih Nur Hidayah menjadi teman hidupku, tak bermakna aku nak pilih cadangan mak. Cadangan mak dah aku tolak mentah-mentah. Sebab itulah mak sikit tersinggung denganku.

Dan dipendekkan cerita... aku akhirnya tak jadi juga pilih Nur Hidayah Cher Abdullah jadi isteriku.

Mungkin tak ada jodoh antara kami.

Aku terpaksa buat keputusan itu. Semuanya kerana mak.

Lebih utama, aku tak mahu Nur Hidayah terseksa jiwa seandainya dia jadi isteriku... seandainya mak hanya menerima dia sebagai menantu suam-suam kuku.

Maka aku terpaksalah korbankan jiwa raga dan perasaan serta segala-galanya. Meskipun jiwa dan perasaan halusku agak terasa dan terbisa.

Semoga berbahagia Nur Hidayah Cher Abdullah dengan insan lain yang bergelar suaminya. Sesungguhnya orang sebaik dan semurni Nur Hidayah seharusnya memperoleh suami yang sebaik dan semurninya juga. Insya-Allah...

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

"Jernih di wajah, tidak bermakna jernih juga hatinya. Namun seandai jernih hatinya, maka akan berserilah wajahnya."

*****************************************************************

Friday, December 5, 2008

HAPPY BIRTHDAY...

******************************************************
6 December is my besday...

Hepi besday to me...


"May Allah bless me and my family... and live longer...."

******************************************************

Thursday, December 4, 2008

SAJA NAK CERITA - 7

JULIAN CHER @ NUR HIDAYAH CHER

"Kamu serius ke dengan budak tu?" soal mak.

"Hmmm... taklah sangat. Tak serius sangat..." balasku.

"Huh... mak ingatkan kamu dah serius dengan dia..." ujar mak bersahaja.

Alamak. Aku tersilap cakap ke? Maksud aku, kerana aku tak pernah bercinta dengan Nur Hidayah. Cuma suka dalam diam saja. Hissyy... apalah betul bendul pula aku ni.


Bagaimanapun... ditolak, ditambah, didharab dan dibahagi dengan apa sekalipun, mak masih tetap juga dengan keputusannya. Supaya aku pilih isteri gadis yang sebangsa juga.

Aduh...! Aku menggaru-garu kepalaku yang tak gatal berkali-kali.

"Kalau kamu nak suruh mak cari, pun boleh juga," ujar mak lagi.

"Mak nak cari isteri untuk saya?"

"Kalau susah-susah sangat, biar mak aje yang carikan," mak beri cadangan.

"Saya nak cari isteri yang ada kerjaya, mak. Kan saya duduk KL..., " aku saja beri alasan yang pada sangkaanku agak sukar untuk mak melakukannya.

"Mak faham. Insya-Allah... mak boleh carikan. Kamu jangan risau," Konfiden aje mak bercakap. Macam dah ada calon dalam tangannya."

Dua minggu selepas itu, mak telefon minta aku balik jumpanya. Aku tak membantah.

"Nah. Kamu tengok ni..." mak hulurkan padaku empat keping gambar gadis-gadis yang bertudung untuk aku pilih sebagai calon isteriku.

Terpegun juga aku melihatnya. Semuanya cantik-cantik dan menawan. Serta bermacam-macam saiz. Ada saiz model - langsing dan tinggi lampai. Ada saiz biasa. Ada saiz biasa-biasa. Ada saiz sedikit luar biasa. Alahai... terusik juga hati normalku.

"Pilih mana satu yang kamu berkenan. Semuanya lepasan universiti. Semuanya dah kerja," ujar mak sedikit bangga.

Kalau ikutkan perasaan lelakiku yang waras, semuanya aku berkenan. Sebab semuanya ayu-ayu belaka. Manis-manis belaka. Termenawan kalbu.

Tapi dalam hatiku tetap ada Nur Hidayah seorang juga. Tak boleh diubah-ubah lagi.

"Macam mana?" mak mahukan jawapan dariku.

"Saya fikir dululah, mak..." jawabku.

"Nak fikir apa lagi?" suara mak sedikit tinggi.

"Bagilah saya masa sikit, mak...," aku merayu. Tak terdaya aku nak menolak mentah-mentah kemahuan mak itu. Takut mak terasa hati.

Mak terdiam. Mukaku dicerlong tajam. Aku daha dapat agak dah. Mak semacam tak berpuas hati dengan jawapanku itu.

Bersambung lagiiii....

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHAN MINDA

Apabila amalan dan perbuatan seseorang itu berpandukan amanah, jujur dan adil, ia adalah bukti pancaran daya ilmuannya yang tinggi.

*********************************************




Monday, December 1, 2008

SAJA NAK CERITA - 6

JULIAN CHER @ NUR HIDAYAH CHER

Aku kenal dia
aku jatuh cinta
tapi apa daya
ingin kumeminangnya....

Sejak mengenali Nur Hidayah, aku sudah tersuka padanya.

Sejak aku suka padanya, aku sering teringat-ingat akan dia.

Sejak aku teringat-ingat akan dia, aku mula menjadi seorang perindu.

Aku jadi rindu jika tak melihat wajah. Jika tak merenung matanya yang sepet dan kuyu itu.
Nur Hidayah adalah segala-galanya bagiku.

Tapi rinduku padanya masih lagi rahsia.

Apakah aku sudah jatuh cinta?

Cintaku padanya juga tetap rahsia.

Namun begitu, aku dapat menduga bahawa Nur Hidayah amat memahaminya. Aku yakin dia amat mengerti akan cintaku padanya yang masih dalam rahsia itu.

Kenapa? Kenapa masih berahsia?

Ah, aku ni pemalu agaknya.

Kadang-kadang bimbang juga seandainya Nur Hidayah akan terlepas ke tangan orang lain. Nanti aku yang berangan, orang lain yang akan mengecap impian.

Hissyy..! Minta-minta tak terjadi begitu.

Aku sayangkan dia. Aku tak mahu kehilangan dia.

Alahai.,..! Tapi kenapalah mulut aku ni berat sangat nak berkata, "Aku... aku... cinta padamu, Nur..."

Tapi tak mengapalah. Minta-minta biarlah Nur Hidayah akan mengerti isi hatiku yang masih berahsia ini dalam berahsia juga. Biar sama-sama rahsia.

Aku semakin rapat dengan Nur Hidayah. Semakin kerap juga keluar bersama. Kadang-kadang dia minta aku temankan dia shopping, atau ke mana-mana yang difikirkan perlu untuk aku menemaninya. Dan aku pula tidak pernah menolak jika tidak terganggu dengan masaku.

Kadang-kadang aku juga ajak dia keluar makan-makan atau temankan aku shopping. Dia juga tidak pernah membantah.

Aku tahu dia faham yang aku sukakan dia. Sebab itu dia sudi bersamaku selalu. Aku tahu dia juga tidak ada insan istimewa lain lagi selain aku. Macam aku juga.

"Mak.., saya dah ada pilihan hati saya, mak..!" ujarku dengan tenang, memberitahu mak sewaktu aku pulang bercuti di kampung.

"Iya ke..? Dah sampai seruan kamu ke..?" Mak seakan setuju dalam nada menyindir. Wajahnya nampak ceria.

Sebelum itu, memang mak dah kerap sindir-sindir supaya aku berkahwin. Cuma aku saja yang buat-buat tak faham. Bukan tak cukup duit. Memang lebih dari cukup untuk semua itu. Lagipun soal duit tak jadi masalah, mak kata dia boleh bantu.

Alasanku ialah aku masih belum bersedia. Memang aku belum ada pilih hati lagi sewaktu itu.

Kemudian aku hulurkan gambar Nur Hidayah pada mak.

Wajah mak yang tadi ceria, tiba-tiba sedikit berubah bila melihat gambar itu.

"Budak yang hari tu?" soal mak tanpa memandang padaku.

"Ya, mak," balasku ringkas.

"Dia yang kamu suka? Dia yang kamu pilih..?" soal mak lagi.

Aku angguk.

"Dah tak ada orang kita ke?"

Aku terdiam. Aku terbeliak memandang myuka mak.

"Carilah orang kita dulu. Kalau dah tak ada, barulah pilih bangsa lain," ujar mak dengan lembut dan jelas sekali.

Aku agak terkedu. "Kenapa dengan mak ni?" bisik hatri kecilku.

"Kenapa? Dah tak ada orang kita ke?" ulang mak lagi.

"Tapi saya sukakan dia, mak. Dia baik, mak. Sesuai jadi isteri saya..." aku pertahankan Nur Hidayah.

TUNGGU..! Bersambung lagi....

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHLOGI

MNUSIA ATAU HAIWAN?

Nafsu dan akal adalah sama penting.

Jika nafsu saja yang diperlukan, maka jadilah kehidupan manusia seperti haiwan yang tidak tahu akan halal haram. Kerana haiwan hanya memounayai nafsu.

Begitu juga jika akal saja yang digunakan dalam segala hal, termasuk dalam soal memilih jodoh, tanpa mengambil kira akan nafsu, itu tidak mungkin juga. Ini adalah kerana manusia hidup tidak seperti Malaikat yang tidak berkehendakkan makan minum, kahwin dan sebagainya.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

SEKEHAN MINDA

"Seharusnya setiap kita perlu memahami keperluan sendiri dan tidak boleh dipaksa mengikut keperluan orang lain, kecuali dalam situasi tertentu."

************************************************************************