Sunday, August 31, 2008

KELEBIHAN RAMADHAN

Sabda Rasulullah SAW: "Umatku diberikan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang pun sebelum mereka iaitu:-

1. Apabila malam pertama bulan Ramadhan datang, maka Allah melihat mereka dengan kasih sayang dan barangsiapa yang dilihat Allah dengan kasih sayang, maka tidak akan diseksa selamanya.

2. Allah memerintahkan kepada para Malaikat agar meminta ampun untuk mereka.

3. Bau mulut orang yang berpuasa bagi Allah lebih harum daripada minyak misik.

4. Allah berfirman kepada syurga; "Berhiaslah engkau." Dan Allah berfirman pula; "Beruntunglah bagi hamba-Ku yang beriman, mereka menjadi kekasih-Ku."

5. Allah memberi keampunan kepada mereka semua.


Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda; "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan (kepada Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (Zubdatul Wa'izhiina).


"SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA KEPADA SEMUA UMAT ISLAM"

Saturday, August 30, 2008

MERDEKA..! MERDEKA..! MERDEKA..!!

MEGAH MERDEKA NEGARAKU MAKMUR
DARI BARAT SEHINGGALAH KE TIMUR
RAKYAT BERPADU SETIA DAN JUJUR
BUMI BERTUAH SEMAKIN SUBUR.

MERDEKA KITA MERDEKA BERDAULAT
BERSEMAH DARAH DAN TUMPAHAN KERINGAT
SAMPAI BILA-BILA AKAN TETAP DIINGAT
JASA BANGSA DISANJUNG DAN DINOBAT.

NEGARA KITA NEGARA BERTUAH
BERBILANG KAUM BUDAYANYA INDAH
BUMINYA SUBUR HASIL MELIMPAH RUAH
RAJIN BEKERJA REZEKINYA MEWAH.

SESEKALI BERPALING KEPADA SEJARAH
NEGARA KITA PERNAH DIJAJAH
KUASA-KUASA LUAR MENUNJUK GAGAH
HIDUP RAKYAT BERSUSAH DAN PAYAH.

MAKNA MERDEKA BUKAN KEPALANG
SEKALI MERDEKA SELAMANYA DIJULANG
HASRAT YANG SATU HARUS DIPEGANG
TERUS MERDEKA TAK MUNGKIN TUMBANG.

MERDEKA KITA MERDEKA NAN MURNI
PELBAGAI KAUM BERSATU HATI
DARI GENERASI BERGANTI GENERASI
GENGGAMLAH MERDEKA SEHIDUP SEMATI..!

MERDEKA..! MERDEKA..! MERDEKA..!!

Tuesday, August 26, 2008

SENDU MENJELANG ULANGTAHUN MERDEKA 51

Menjelang ulangtahun bertamu
kemerdekaan negara ke lima puluh satu
hatiku terkedu dan tiba-tiba sayu
menatap suratkhabar bertulisan Melayu
yang melaporkan nasib anak-anak melayu
di pusat pemulihan akhlak yang ramai Melayu
di penjara pun yang lebihnya Melayu
yang bersabit dengan dadah pun ramai Melayu
ditahan di bawah ISA juga majoriti Melayu.

Itu belum lagi yang merempit dan melahu
dihitung dikira yang lebihnya juga Melayu
yang bergaduh dek fahaman politik melulu
yang terpampang juga muka-muka Melayu
yang memaki hamun sesama bangsa dan tak tahu malu
tak lain dan bukan mereka adalah Melayu.

Banyak lagi perkara tak molek dibuat Melayu
lari dari rumah ikut jantan Indon pun Melayu
yang bohsia dan bohjan tak segan silu
ditelek dipandang ramai muka Melayu.

Bangganya yang masuk universiti pun ramai Melayu
tapi yang lulus atas pagar pun ramai Melayu
yang berdemonstasi sebab bantah AUKU
dengan semangat bergegar-gegar pun muka Melayu
sebab itu yang menganggur pun ramai Melayu
yang lulus dan terbaik pula ramai bukan Melayu.

Ini negara terbaik namanya Tanah Melayu
kalau dah namanya ada perkataan 'Melayu'
maknanya tanah air ini milik asalnya Melayu
yang ramai berjuang tumpah darah pun Melayu
dan yang tak kisah sejarah pun ramai Melayu
pun tak reti nak balas jasa pejuang pun Melayu.

Tapi sekarang yang tak ada perasaan adalah Melayu
tak sayangkan tanah air sendiri pun Melayu
andai kata tergadailah ini Tanah Melayu
di manakah agaknya tempat Si Melayu
dan ke manakah agaknya Melayu nak melahu?

Malang sungguh yang bernama Melayu
di tanah air sendiri mungkin hidup segan mati tak mahu
bangsa lain tumpang bangga menimba ilmu
mengorek kekayaan sepenuh-penuh saku
bangsa sendiri banyak yang merapu
kalau lebih sikit pun muka mula berbul
nasib bangsa sendiri tak peduli tak tak tahu.


Apalah nak jadi dengan Melayu
yang buruk dan tak elok ramai Melayu
kalau fasal hiburan berilah pada Melayu
berseronok dan melepak pun muka Melayu.

Oh.., malu sungguh rupanya menjadi Melayu
yang hidup di tanah asal-usul Melayu
tak tahulah sampai bila nak jadi begitu
agaknya kerana tak cukup ilmu.

Sedarlah kita wahai Melayu
bangkit bermoral atas nama bangsamu
usah tergadai negara yang satu
itulah pentingnya kita bersatu.

Banyak pengalaman di wajah waktu
yang dapat dilihat satu persatu
orang asing mendengki selalu
melihat kita hidup aman bersatu padu.

Orang asing hanya menunggu saat dan waktu
nak menguasai kita seperti dulu
kalau kita ambil sikap tak tahu
sudah terkena baru menangis tak berlagu.

Banyak contoh yang kita tahu
orang asing memang mencari kesempatan itu
lihatlah apa terjadi pada Palestin sekarang dan dulu
ramai menderita kehilangan anak, suami, isteri, ayah dan ibu
penderitaan bertimpa-timpa dan menderu-deru.

Beringatlah sebelum terjadi sebegitu
bila negara sudah haru biru
hendak dipulihkan memakan waktu
atau terus berkubur satu demi satu.

Apa lagi nak dikesalkan sesudah itu
lebih baik kita sesal dahulu
kalau sudah terjadi air mata darah dah tak perlu
bersedialah hidup dalam penderitaan selalu.

ALLAH SELAMATLAH MELAYU
ALLAH LINDUNGILAH MELAYU
ALLAH SELAMATKANLAH TANAH MELAYU
ALLAH LINDUNGILAH TANAH MELAYUKU..!

Thursday, August 21, 2008

APA PUNYA JANTAN..!

"What..?!! Kau dah putus tunang..?"agak tinggi suaraku. Bila sahabatku, Zek beritahu dia dah tak ada apa-apa lagi dengan tunangnya, Vee.

Aku cerlong muka Zek.

Dia selamba aje pandang mukaku.

"Gila kau..!!" tambahku.

"Dia curang," beritahu Zek lagi.

"What..?!!" suaraku agak tinggi sekali lagi. Terperanjat kali kedua aku dibuatnya dengan kata-kata Zek. "Vee curang..?!" seratus peratus aku tak percaya.


"Dia ada jantan lain. Orang macam tu ke aku nak buat bini?" tegas suara Zek.

"Mana kau tau dia ada jantan lain?" soalku.

"Aku tau laa..!" tegas Zek dengan yakin.

"Kau nampak?" soalku lagi.

"Ada orang nampak dia dengan jantan tu..!" Zek bersungguh, konon mempertahankan keputusannya.

"Oo... ada orang nampak? Bukan kau yang nampak sendiri?" aku sinis sambil cerlong Zek.

"Ah... kira sama ler tu...!" Zek tetap berkeras.

"Mana boleh sama, Zek. Mata kau dengan mata orang yang cakap tu tak sama..!" aku bantah.

"Tak ada angin takkan pohon bergoyang..!" Zek cuba menegakkan kebenarannya.

"Hey Zek..! Sekarang ni, tak ada angin pun, pohon boleh bergoyang tau...?" balasku.

"Tapi... aku dah banyak dengar pasal dia dengan jantan tu..!" balas Zek yang seolah-olah Vee pernah buat perkara tak senonoh dengan jantan lain.

" Banyak pun, tak semestinya benar. Apa... kau dah tanya Vee sendiri?"

"Dah. Dia tak mengaku."

"Habis tu?"

"Orang dah buat salah, mana nak mengaku, Bima..?" ujar Zek seolah-olah kebenaran berada di pihaknya.

Aku baik dengan Zek. Dan aku kenal baik dengan Vee sejak dia jadi tunang Zek setahun lalu. Vee cantik, bertudung, baik budi bahasa, ada kerjaya, ada pegangan agama. Takkan dia nak keluar (dan buat tak senonoh) dengan jantan lain.

Aku macam tak percaya. Itulah... bertunang lama-lama banyak dugaannya.

Melalui siasatanku, dua bulan sebelum Zek putus tunang dengan Vee, Zek ada berkenalan dengan seorang gadis. Ada orang perkenalkan Zek dengan gadis itu. Kononnya gadis itu business woman. Kononnya dia juga anak orang berada. Tapi yang sebetulnya, dia lebih cantik dari Vee. Budi bahasanya aku kurang pasti. Tapi dia tak bertudung.

Sejak berpisah dengan Vee, Zek semakin rapat dengan gadis yang dipanggil Rin tu. Khabar terbaru, mereka dah merancang nak bertunang. Agak terlalu pantas.

Aku siasat lagi. Hasilnya aku dapati Vee tak bersalah. Dia menjadi mangsa fitnah pihak tertentu, yang ada kepentingan terhadap Zek.

Zek mulanya tak percaya. Tapi setelah aku beri dan tunjukkan bukti-bukt bahawa semua itu adalah fitnah dan Vee menjadi mangsanya, barulah Zek sedar kesilapannya. Tapi bagi Zek, sayang semuanya sudah terlambat.

Dan melalui siasatan terbaruku lagi, Rin sebenarnya bukan business woman. Dia hidup mewah dengan kerjayanya sebagai pisau cukur. Aku dah cakap dengan Zek, tapi haram dia tak percaya. Sudahnya, aku yang dimarahinya. Dia tuduh aku dengki sebab dia nak kahwin dengan anak orang kaya.

"Astaghfirullah-al-azimmm..." mengucap panjang aku bila dituduh sebegitu.

(Fuh... bejadah punya sahabat. Tapi tak apa, kerana sahabat aku harus bersabar. Benar tetap benar).

Pelik betul aku..., sesuatu yang tak betul mengenai Vee, dia mudah percaya. Dan sesuatu yang tak betul mengenai Rin, dia tak nak percaya pula.


Seminggu selepas bertunang dengan Rin, barulah Zek tahu siapa Rin sebenarnya. Tapi Zek agak serba salah. Terlalu payah baginya untuk mengundurkan diri dari Rin.

Apalah punya jantan macam tu..! Macam dah tak boleh fikir mana yang elok dan tak elok. Dia dah kena black magic ke..?

"Dulu masa dengan Vee, aku yang minta putus tunang. Sekarang dengan Rin, aku nak putus tunang lagi?" Zek garu kepalanya yang stail rambutnya macam Mawi. Tapi dia lebih hensem dari Juara AF3 yang banyak kontroversi itu.

"Apa salahnya. Takkan kau nak teruskan juga dengan Rin?"

"Malulah. Nanti apa kata mak ayah aku... sedara mara aku..." ujar Zek.

Aduh...,Buat sakit hati aje bila dengar jawapannya.

"Habis macam mana..?" tanyaku.

Zek pandang muka aku. Bersahaja.

Aku terus bertanya menggunakan isyarat mata dan kening.

"Aku... aku tak sampai hati nak tinggalkan Rin."

"Laa... memang kau ni dah sah terkena BM..!" aku melepaskan geram.

"BM...? BM tu apa...?" Dahi Zek berkerut.

"Kalau kau nak tau, kau tanyalah tunang kau tu..?"

Zek terkebil-kebil. Mungkin dia tertanya-tanya, ada kena mengena ke antara tunangnya itu dengan BM?. Sedangkan dia pun tak tahu apa itu BM. (aku agak ajelah...)

__________________________________________________________

GURUH

JIKA DENGAR GURUH BERDENTUM
USAH MUDAH MENGUKIR SENYUM
AIR DITEMPAYAN USAH DIBUANG
BELUM TENTU HUJAN MENDATANG

Monday, August 18, 2008

"OH... WANITAKU..!"

Wanitaku yang satu itu sudah berkira-kira
sedangkan Ramadhan baru nak menyapa
syawal lambat lagi nak menjelmakan muka
tapi banyak benda sudah terfikir di kepalanya.

Sofa yang ada sudah dua tahun usia berlalu
katanya, bukankah elok jika tahun ini ditukar baru
walaupun masa beli dulu harganya RM beribu-ribu-ribu
sebab dah lama maka mata pun sudah naik jemu.

Katanya lagi, langsir pun nak kena tukar juga
sudah dua tahun lebih ia menggantung jasanya
berilah peluang ia berehat dan pencen pula
model baru akan dibeli untuk menggantikan tempatnya.


Oh, dia wanitaku yang juga anak mak mertuaku
keranamu tak mengapa kusanggup kosongkan sakuku
hanya dirimu yang teristimewa di dalam kalbuku
kekal kasihku kerana kau tetap satu di hati dan jua di mataku..!

________________________________________________

CINCIN

Kerana cincin sifatnya di jari
Memang sepadan cantik sekali
Tak sesuai ia untuk si kudung
Ibarat keris yang tidak bersarung.

Saturday, August 16, 2008

MERONTA JIWA


Sesekali resahku bertamu
merindukan bisikan cintamu
yang sekian lama terpendam di lubuk rindu
seawal kau bertakhta dalam insaf sendu
lalu terpaut kasih di aliran kalbu.

Di sini kucari jiwa dalam rasa
kuintai rasa dalam kembara
meskipun kalut kian melanda
sekalipun resah kian meronta
tapi selamanya kupercaya
cintaku dan cintamu tetap bersama.

Sering jiwa syahduku
menyeru dan membisikkan namamu
dalam keluh debar yang memburu
biarpun sesekali hati tercalit pilu.

Biar kulentur kembali gundah duka
yang dilemahkan rindu terlara
kembali namamu kupahat mesra
mengharum indah di persada.

Hadirlah kau di daerah sepi ini
bersama jalur sinar suci
kerana di sini rinduku mewangi
di daerah jiwa yang terhimpun janji
kerana aku tak rela sebegini
berpanjangan mematahkan hati
pedih lara di hujung mimpi.

Kaulah kekasih abadi
kau menyalur sinar di hujung pasti
menuju perjalanan hakiki
sebelum jejak pencarian terhenti
bersimpuh di pengkalan abadi.

Kupanjatkan keredhaanmu ya Rabbi
limpahkanlah rahmatmu sejati
mewarnai harungan hidupku ini
kaulah yang maha menyayangi
maha agung dan maha mengerti...!!

Friday, August 15, 2008

OH... A.Y.A.M J.A.N.T.A.N

Ayam jantan oh ayam jantan

Yang disangka tulen kejantanan

Agaknya selama ini ia berkokok kerana terperasan

Malam siang membingitkan pendengaran

Jantan oh ayam jantan rupanya tak bertajian

Andai berkokok sekadar temberangan

Nampak gah cuma pada bulu dan balongan

Tapi bila tiba waktu diperlukan berkokokan

Ayam jantan hanya bisu kelesuan

Nafas semput nyawa-nyawa ikan...

Monday, August 11, 2008

"SIAPAKAH AL-RUWAIBIDOH?"

Aku tertarik dengan petikan ini:

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud;
"Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal: sebelum kiamat - adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.

Para sahabat bertanya; "Siapakah al-Ruwaibidoh?"

Sabda Nabi SAW; "Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai)"

(Diriwayatkan oleh al-Iman Ahmad, Abu Ya'la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan asnadnya sahih dan disetujui oleh Al-Zahabi). - Allahuwalam.

Tuesday, August 5, 2008

DIA SAHABATKU..!

Dia sahabatku. Baik orangnya.

Kami bekerja sebagai editor di sebuah syarikat penerbitan yang sama hampir 10 tahun. Dia editor novel. Aku editor majalah.

Selepas 10 tahun, aku beralih angin. Aku bekerja di syarikat penerbitan lain. Tawaran pun bagusss... dan tak bisa ditolak.

Setahun kemudian aku dengar khabar dia berhenti kerja. Dia buka syarikat penerbitan sendiri. Tapi kami terputus hubungan. Aku pula tak tahu apa nama syarikatnya.

Aku memang suka mencari sahabat-sahabat lama. Setelah bertanya sana-sini, aku akhirnya dapat bercakap dengan sahabatku itu. Seronok rasanya.

Dia minta aku siapkan sebuah novel untuk penerbitannya. Alasannya, dia nak terbitkan novel penulis yang dah ada nama macam aku pula. Selama ni dia banyak beri peluang kepada penulis-penulis baru. Baguslah tu.

Kenapa? Tanyaku.

Dia sebenarnya tak berminat nak terbitkan novel penulis-penulis yang ada nama. Banyak karenah, katanya. Pengalaman banyak pengajarnya.

Aku akui juga. Syarikat kecil macam syarikat dia, kalau penulis buat karenah, boleh jadi lingkup.

Nak tulis novel untuk aku tak? Dia seakan mendesak dalam berharap

Sebab kesian punya pasal. Aku sanggup.

Dalam masa sebulan lebih aku telah siapkan sebuah novel yang setebal 600 muka surat lebih untuk diterbitkan oleh sahabatku itu.

Namun setelah novelku siap, aku terputus hubungan dengannya pula. Kedua-dua talian telefon bimbit yang diberikan padaku selama ini tiba-tiba saja tak boleh dihubungi. Aku pula yang menjadi serba salah. Syarikatnya pula telah ditutup (sementara?).

Apa hal pula ni? Aku mengeluh. Bagaikan tak keruan. Bukan kerana novel. Tapi risau sesuatu yang tak baik menimpanya.

Kucuba tanya kawan-kawan lain. Semuanya tidak tahu apa yang telah terjadi. Eh, pelik juga.

Kami terputus hubungan lagi. Hampir setahun lebih juga. Haru betul.

Apa dah kena dengan sahabatku itu? Sehingga bermacam-macam tanggapan yang kurang baik terlintas di benakku.

Dan akupun terpaksa buat keputusan. Daripada novelku itu basi di tangan sendiri, terpaksalah aku serahkan ia kepada syarikat lain. Sebuah syarikat besar dan ternama.

Novel itu diterbitkan akhir tahun lalu. Tajuknya 'K******* S******'. Masih berlegar di pasaran. Khabarnya, sambutannya hangat juga. Alhamdulillah...

Dan baru-baru ini, sahabatku itu tiba-tiba muncul lagi. Dia menghubungiku. Aku agak terkejut. Katanya, banyak masalah yang berkaitan dengan syarikatnya. Kesihatannya juga kurang baik. Sebab itu dia menghilangkan diri hampir setahun lebih. Mencari semangat diri yang baru serta modal baru.

Kini dia muncul dengan semangat dan tekad baru. Dia masih berminat menjadi usahawan. Dan dia minta aku siapkan sebuah novel baru untuk penerbitan sayarikatnya. Katanya, dia mahu aku siapkan sebelum masuk bulan Syawal.

Aku sanggup. Bukan saja kerana kesian. Lebih-lebih lagi kerana seorang sahabat yang baik. Tak sampai hati nak menolak.

Dan sekarang aku sedang pulun nak siapkan novel itu sebelum puasa. Bulan puasa boleh rehat.

Dan mudah-mudahan (aku selalu doakan) agar semangat barunya akan berhasil dengan kejayaan.

Dan masalah lamanya takkan berulang.... Amin..!

Friday, August 1, 2008

OH, SUNGGUH MENJELIKKAN MATA..!

Petang itu di sebuah tempat Pasar Malam.

Di tepi jalan berdekatan Pasar malam itu penuh dengan kenderaan. Kata mereka yang selalu ke situ, keadaan begitu memang biasa. Tak tahu pula aku. Sebab aku jarang sangat ke mana-mana Pasar Malam. Tak minat.

Mataku terpandang ke sebuah kereta Kancil yang parking di situ. Pemandunya seorang wanita berusia lingkungan 40-an.

Dan beberapa minit kemudian, mataku yang masih terang ini terlihat sebuah Pajero dengan tiba-tiba parking di sebelah kanan kereta Kancil itu. Tempat itu memang sempit. Tapi pemandu Pajero itu terpaksa menghimpitnya kenderaannya agak rapat dengan Kancil itu.

Wanita pemilik Kancil yang baru tiga langkah meninggalkan keretanya, agak terkejut dengan 'perangai kurang sopan' si pemandu Pajero itu.

Kemudian wanita itu kembali semula ke keretanya dan berkata sesuatu kepada pemandu Pajero yang baru keluar dari kenderaannya itu.

(Si pemandu/pemilik Pajero itu siap berpakaian baju Melayu dan bersongkok - kebetulan hari itu hari Jumaat).

Mungkin wanita itu menegur sikap biadap si pemandu Pajero itu, yang meletakkan Pajeronya terlalu rapat dengan keretanya. Kalau dilihat, pintu kereta wanita itu memang tidak dapat dibuka dengan sempurna. Dan sukar untuk dia masuk ke keretanya.

Tapi aku perhatikan, sikap lelaki itu memang sesungguhnya biadap. Dia buat muka selamba dan langsung tak hirau apa yang diperkatakan wanita itu. Sebaliknya lelaki itu dengan bersahaja beredar dari situ dan meninggalkan wanita itu terpinga-pinga.

Kemudian wanita itu juga turut beredar. Kecewa.

Lebih kurang 45 minit kemudian, wanita itu kembali semula ke keretanya dengan membawa pelbagai bungkusan hasil beliannya di Pasar Malam itu. Namun dia kelihatan bertambah kecewa apabila melihat Pajero itu masih terparking di sebelah keretanya.

Malang. Wanita itu tak dapat masuk ke keretanya. Pejero itu masih menghalang pintu keretanya. Dia terkinja-kinja. Geram.

Beberapa orang yang terpandang 'peristiwa' itu (termasuk aku) menggeleng-gelengkan kepala dek sikap biadap + kurang ajar si pemandu Pajero itu.

Hatiku berbisik; "Masih adakah lagi perangai manusia sebegini di dunia yang serba canggih ini?"

Lebih kurang 20 minit kemudian, barulah Pemandu biadap itu muncul dengan muka selambanya dan terus masuk ke Pajeronya, hidup enjin dan berlalu. Tanpa meminta maaf kepada wanita malang itu.

Darahku tiba-tiba mendidih. Aku bersabar kerana bukan aku yang kena.

Tiba-tiba aku terdengar suara lelaki di sebelahku; "Kalau kena kat aku, kalau tak rabak muka lelaki tu, kereta dia yang rabak!".

Begitulah agaknya... jika kita kurang berilmu. Kita fikir kita saja yang betul, walaupun apa yang kita lakukan itu tidak bernilai dan boleh menyusahkan orang lain.

"Oh ya..., sesungguhnya di kalangan kita ramai manusia yang berpendidikan, tapi tidak ramai pula yang berilmu dan berpengetahuan!"

*********************************************************************************
Kita Sesama Kita:

SIAPAKAH ORANG YANG BODOH?
ORANG ITU IALAH ORANG YANG BERSUNGGUH-SUNGGUH BERUSAHA SEKUAT TENAGA UNTUK DUNIA, SEDANGKAN AKHIRAT DIABAIKANNYA.