Monday, July 28, 2008

SIAPAKAH MEREKA..?

Pabila berkata-kata
suka mencaci cela.

Berlagak pandai
sekadar memandai-mandai.

Pabila berbicara
mengumpat pula.

Tika senang berseorangan
tika susah mencari kawan.

Suka meminta-minta
memberi dilupa.

Suka menerima
bersyukur tiada.

Di bibir lembut bermadah
di hati bersumpah seranah.

Dalam bermesra
mengutuk dan mengena.

Mulutnya manis
di bibir bersulam sinis.

Dalam ketawa
bersindir pula.

Pijak semut tak pernah mati
gajah dijentik pengsan berkali-kali.

Di depan mesra
di belakang mengata-ngata.

Siapakah mereka..?

**********************************************************************************

Kita Sesama Kita:
SIAPAKAH ORANG YANG PANDAI? ORANG ITU IALAH ORANG YANG BERSIAP SEDIA UNTUK HARI KEMATIANNYA, KERANA USIA DI DUNIA HANYA SEKETIKA, SEDANGKAN DI AKHIRAT KEKAL SELAMANYA.

Wednesday, July 23, 2008

SUSAH HATI vs BAIK HATI

PAGI minggu lalu. Lelaki itu pergi memancing lagi. Kerana itulah saja hobi keramatnya.

Sebelum dia keluar rumah. Isterinya meminta agar dia menemankannya ke pasar raya. Banyak barang dapur yang perlu dibelikan.

Lelaki itu menolak. Katanya, dia sudah berjanji dengan rakan sehobinya untuk pergi memancing.

Disebabkan itu, berlakulah perang kecil antara dia dan isterinya. Kata si isteri, dia lebih mementingkan hobi dan rakannya daripada isterinya sendiri.

Lelaki itu sengaja diamkan diri. Kalau dilayan berterusan, mungkin akan timbul perang besar.

Lelaki itu keluar rumah tergesa-gesa. Malas nak dengar leteran isterinya berterusan.

Si isteri semakin meradang. "Pergilah ikut hobi awak tu. Kalau tak dapat ikan, awak jangan balik. Tidur kat situ sampai besok!" lantang suara si isteri dalam kemarahan.

Si Lelaki pura-pura tak dengar. Terus keluar dengan motosikal cabotnya. Saja tak bawa kereta.

Kemudian lelaki itu singgah di rumah rakannya. Mereka bertolak bersama dengan motosikal masing-masing.

Belum pun setengah jam mereka memancing, rakan si lelaki menerima panggilan dari isterinya. Anak mereka yang berusia lima tahun terjatuh di tangga rumah. Tangan kanannya sakit. Mungkinkah patah?

Rakan si lelaki minta diri untuk pulang ke rumah. Cadangannya untuk membawa anaknya ke hospital jika sakitnya serius.

Tinggallah si lelaki itu memancing tanpa rakannya. Tapi masih ramai lagi pemancing lain di situ.

Apalah malang nasibnya hari itu. Seharian dia memancing, seekor ikan pun tidak kedapatan. Sedangkan pemancing-pemancing lain semakin beransur pulang seorang demi seorang dengan hasil tangkapan masing-masing.

Lelaki itu hanya mampu mengeluh. Dan hanya mengeluh lagi.

Akhirnya tinggallah lelaki itu keseorangan. Semua pemancing lain sudah pulang.

Lelaki itu bermenung panjang. "Adakah ini kerana sumpahan isteriku?" bisik hati kecilnya.

Hari semakin senja. Suasana beransur kelam. Lelaki itu masih bermenung jauh.

"Hai.., kenapa tuan termenung?" tiba-tiba seekor ikan timbul di depannya dan bertanya kepadanya.

Lelaki itu terkejut dan tergamam. Dia hanya memerhatikan ikan itu melompat-lomapat di atas air di depannya.

"Tuan susah hati sebab tak dapat ikan ke...?" tanya ikan itu lagi.

Lelaki itu tiba-tiba menarik nafas panjang. "Apakah benar apa yang aku lihat ini?" hati kecilnya berdetik dalam keliru.

"Betul ke tuan susah hati?" tanya ikan itu seterusnya.

"Ya. Aku susah hati sebab tak dapat ikan. Nanti isteriku akan marah lagi padaku," ujar lelaki itu.

"Ha...ha...ha..!" ikan itu ketawa kecil.

Lelaki itu membeliakkan matanya. "Ikan pun tertawakan aku?" detik hatinya lagi.

"Maafkan saya, tuan. Saya hanya bergurau tadi," ujar ikan itu kemudiannya.

Si lelaki tersenyum dalam paksaan.

"Sebenarnya saya kasihan melihatkan tuan..."

"Kalau kau kasihankan aku pun, apa yang kau boleh bantu?" suara lelaki itu agak tinggi.

"Macam ni lah tuan.., apa kata kalau tuan ambil diri saya ini sebagai hasil tangkapan tuan untuk hari ini," kata ikan itu dengan rela hati.

"Kau ni biar betul, ikan. Kau jangan nak permainkan aku. Dahlah aku ni tengah susah hati..."

"Betul tuan. Saya rela serahkan diri saya kepada tuan. Saya rela menjadi hidangan makan malam tuan sekeluarga," ujar ikan bersungguh-sungguh.

"Betul ke kau sanggup serahkan diri kau padaku?" tanya lelaki itu yang masih ragu-ragu.

"Betul, tuan," kata ikan lalu berenang mendekati lelaki itu. "Tangkaplah saya..." tambah ikan itu lagi.

"Lelaki itu terdiam seketika. Matanya tajam merenung ke arah ikan yang semakin hampir dengannya itu.

"Apa tunggu lagi, tuan. Saya sudah menyerahkan diri saya pada tuan," ujar ikan itu lagi.

"Oh.., ikan. Kau sungguh baik hati. Tapi aku tidak sanggup untuk menangkap kau, untuk dijadikan laukku sekeluarga," balas lelaki itu.

"Kenapa?" tanya ikan.

"Kerana kau terlalu baik hati. Aku tidak tergamak untuk memakan kau..." balas lelaki itu seterusnya.

Akhirnya lelaki itu pulang ke rumahnya dengan tanpa sebarang tangkapan ikan. Isterinya tidak berkata-kata apa-apa. Hanya mukanya masih mencuka kerana masih merajuk agaknya.

Sehingga tengah malam, suami isteri itu berbaik-baik dan mampu bermesra semula. Apa nak dihairankan, kerana selama ini mereka adalah sepasang suami isteri yang bahagiaaaaa...!!

Kita Sesama Kita:
DALAM DUNIA KEMANUSIAAN, SELALUNYA ORANG YANG BERHATI MULIA AKAN MENJADI MANGSA ATAU TOHMAHAN KEJAHATAN. TETAPI ORANG YANG TIADA KEMULIAAN PULA SERING DISANJUNG DAN DIBERIKAN LEBIH PENGHORMATAN.

Saturday, July 19, 2008

KITA & PERASAAN

Kita hanya manusia biasa
punya hati dan berjiwa
jika ada yang tak kena
akan mudah tersentuh dan terasa.

Mungkin berminda terbuka
sedia ditegur dan diperkata.

Kalau bersenda
kita tak suka dipersenda
ataupun mempersenda.

Kita juga macam yang lain
suka berteman atau bersaing
kalau bermain
tak suka dipermain-main
jika bermain-main
tak suka main-main.

****************************

Tak payahlah nak buat penafian
selagi kita berjiwa kemanusiaan
kita selalu bertindak ikut perasaan
soal kewarasan selaluanya terkemudian.

Perasaan selalu mengawal kita
hati dan akal selalu kita lupa
selalu bertindak apa yang kita suka
itu selalunya mendatangkan bahaya.

Bila sudah bertindak dan terbuat
barulah semuanya kita nak ingat
ada kalanya sesuatu itu sudah terlambat
andai sesuatu itu tidak mendatang musibat
mujurlah nasib masih selamat.

Selalunya kalau bertindak ikut hati
selepas itu kita akan menyesali
itulah buktinya kita manusia sejati
hidup di dunia bergelar insani
salah dan silap tidak mampu diketepi.

Sepatutnya kita sebelum bertindak
perlu berfikir secara bijak
tiada kata atau perbuatan yang terlajak
tiadalah masalah berlambak-lambak.

Hati yang satu dan kita miliki
perlulah dijaga berhati-hati
biar sentiasa bersih dan murni
tidak mengata tidak mencaci
sentiasa sedar kekurangan diri
suruhan Allah sentiasa patuhi
Insya-Allah sejahtera dilindungi Ilahi.

Kita Sesama Kita:
"SIAPAKAH ORANG YANG MEMPUNYAI AKAL? ORANG ITU IALAH ORANG YANG MENGHUNI SYURGA KELAK, KERANA DIA TELAH MENGGUNAKAN AKALNYA SEWAKTU DI DUNIA UNTUK MENGHINDARI SEKSA NERAKA"


Thursday, July 17, 2008

"SEBENARNYA... SEBENARNYA AKU..."

Kalau diikutkan rasa. Aku sebenarnya malas nak cerita. Takut nanti kau orang kata aku ni mengada-ngada. Nak tunjuk eksyen pula. Nak berlagak pun ada. Yang paling aku takut kalau aku ditohmah riak. Itu yang paling aku nak elak.

*(buat tak tahu + macam tak dengar)

Tapi kalau tak cakap susah juga. Nanti kau orang kata apalah punya member. Itupun nak jadi rahsia. Mentang-mentang la dia dah ka**. Sampai lupa member. Tak sedap juga mendengarnya..!

*(melopong)

Jadi aku dah ambil keputusan. Di sini aku nak jelaskan. Nanti taklah kau orang terkejut sakan. Taklah kau orang tuduh aku yang bukan-bukan.

*(makin terlopong)

Macam ni cerita dia. Kau tau kan tanah pusaka ayah aku kat ****. (Nama tempatnya dirahsiakan di sini demi keselamatan keluarga). Setelah ditukar nama, tanah tu milik aku tiga beradik. Sejak dua tahun lepas, aku dan adik-beradik aku yang lain ada berbincang dengan satu syarikat pemaju perumahan. Dia orang nak buat projek perumahan atas tanah tu.

*(makin terlopong + terbeliak)

Jadi aku dan adik-beradik aku dah setuju. Kami dah pun buat agreement dengan syarikat tu bahawa kami setuju tanah tu dibuat taman perumahan.

*(Terlopong-lopong + terbeliak)

Ikut agreement tu, selagi projek perumahan tu belum siap, syarikat pemaju akan membayar kepada kami dengan jumlah tertentu (mengikut perjanjian dibuat) pada setiap tahun.
Dan mengikut perjanjian, pembayar pertama ialah sebanyak RM100,000.00 dan bayaran berikutnya ialah sebanyak RM80,000.00 pada setiap tahun selagi projek itu belum siap. Perjanjian tu dah berjalan tiga tahun lalu. Bayaran pertama dan berikutnya dah pun kami dapat.

*(Terlopong + ternganga + terbeliak)

Berdasarkan perjanjian tu, nilai keseluruhan projek ialah... (rahsia - atas nasihat peguam kami). Tetapi nilai keseluruhan untuk kami adik-beradik hasil daripada projek itu ialah hampir RM3 juta.

*(Celaka kau... celaka...!)

Kau tak percaya? Terserahlah.

*(Celaka kau...!)

Nota: Siapakah yang bercerita itu? Dan siapakah pula yang terlopong-lopong itu?

Kita Sesama Kita:
KALAU KITA BERCAKAP APA YANG KITA TAHU SEDANGKAN ORANG LAIN TIDAK MENGETAHUINYA, KITA DIANGGAP SEBAGAI SEORANG YANG BERILMU. TETAPI SESEORANG YANG BENAR-BENAR BERILMU IALAH DIA MEMBERITAHU APA YANG DIA TAHU KEPADA ORANG YANG TIDAK TAHU.

Sunday, July 13, 2008

'LELAKI ITU DAN...'

Seorang lelaki itu. Hobinya memancing. Jika ada kelapangan, itulah yang dilakukannya.

Hari itu, dia memancing di tempat biasa. Jorannya yang biasa digunakan. Umpannya juga yang sudah biasa. Tetapi hasilnya hari itu agak luar biasa.

Lelaki itu telah terpancing seekor ikan yang amat besar. Dia belum pernah melihat ikan jenis itu sebelumnya. Sama ada di laut, sungai, di pasar basah ataupun di pasar malam.

Seronok hatinya tak terkira. Namun dalam seronok itu, ada juga keraguan yang bertamu di benak fikirnya. Apakah jenis ikan yang luar biasa itu? Boleh dimakankah ia?

Ah.., pening juga kepala otaknya memikirkan soal ikan itu.

Lelaki itu mahu segera pulang. Kerana ikan-ikan lain sudah tidak lagi kedapatan.

Namun di tengah perjalanan, hati kecil terfikir.

"Apa kata kaklau aku singgah seketika di rumah Tuan Alim (seorang orang alim terkenal di kampungnya)" bisik hati kecil lelaki itu.

Bersama ikan yang besar hasil pancingnya itu, si lelaki singgah sebentar di depan rumah Tuan Alim. Lalu dia pun memberi salam.

Seketika, muncullah Tuan Alim di muka pintu sambil menyahut salamnya.

Nasib lelaki itu agak baik. Tuan Alim ada di rumah. Selalunya pada waktu sebegitu, Tuan Alim jarang berada di rumah.

"Maafkan saya, Tuan Alim. Saya ada masalah sedikit, dan mahu tanyakan pendapat Tuan Alim," ujar lelaki itu dengan hormat.

"Apa maksud kamu wahai A*****?" Tuan Ali bertanya kerana kurang faham.

"Begini Tuan Alim. Ketika memancing tadi, saya mendapat seekor ikan besar ini..."

"Issyy... besarnya..! Tuan Alim ternyata terkejut melihat ikan yang dikeluarkan oleh lelaki itu dari bonet belakang keretanya.

"Itulah masalah saya, Tuan Alim. Saya musykil sama ada ikan ini boleh dimakan atau tidak. Jadi saya mahu mendapatkan pandangan Tuan Alim kalau..."

"Oh.., begitu ya..?" sampuk Tuan Alim sebelum sempat lelaki itu menghabiskan kata-katanya.

"Boleh Tuan Alim membantu saya?" tanya lelaki itu dengan penuh harapan.

"Kamu tunggu sekejap," ujar Tuan Alim sambil berlalu masuk ke dalam rumahnya.

Lelaki itu menunggu dengan sabar.

Lebih kurang 10 minit kemudian, Tuan Alim keluar semula dengan sebuah kitab di tangannya dan berdepan dengan si lelaki itu.

"Maafkan aku wahai A*****. Kalau berdasarkan pada kitab ini, tiada nama jenis ikannya disebutkan di sini. Ini bermakna ikan itu tidak boleh dimakan. Kalau dimakan juga, mungkin boleh membahayakan kesihatan si pemakannya," jelas Tuan Alim dengan panjang dan lebar.

Dan penjelasan itu itu juga sebenarnya amat mengecewakan lelaki itu.

"Terima kasih, Tuan Alim. Apa nak buat, memang tak ada rezeki saya agaknya," kata lelaki itu dengan nada yang amat lemah.

"Iyalah. Mungkin kali ini, itu bukan rezeki kamu," balas Tuan Alim.

"Saya minta diri dulu, Tuan Alim. Assalamualaikum..!" Si lelaki itu pun beredar.

"Walaikummussalam..." balas Tuan Alim sambil menggelengkan kepala.

Setibanya di rumah, si isteri agak terkejut melihat wajah suaminya seperti orang kecewa.

"Kenapa dengan abang ni..?" si isteri hairan.

"Lalu si suami mencweritakan perkara yang sebenar sambil menunjukkan ikan besar itu kepada isterinya.

"Betul ke Tuan Alim cakap macam tu, bang..?" soal si isteri yang masih ragu-ragu.

"Betul. Dia kan Tuan Alim. Takkan kita tak nak percaya cakap dia," ujar si lelaki itu.

"Agaknya Tuan Alim tersilap tak, bang..?" isteri masih ragu-ragu.

"Tersilap apanya, yang. Dah tak ada rezeki, nak buat macam mana," lemah suara si suami.

"Habis, abang nak buat apa dengan ikan tu?"

"Buat apa lagi. Buang ajelah..."

"Issyy... sayangnya, bang...!"

"Sayang pun, kalau tak boleh makan nak buat apa. Takkan nak simpan pulak. Buat menyemak aje..!" bentak si lelaki yang terkecewa itu.

"Apa kata kalau abang pergi bertanya Tuan Alim tu sekali lagi..." cadang si isteri setelah terdiam seketika.

"Nak tanya apa lagi. Dia dah kata tak boleh makan. Tak boleh makanlah tu..!" balas si lelaki.

"Macam ni bang. Tanya Tuan Alim elok-elok dan bagitahu dia elok-elok. Katakan pada dia, kalau ikan tu boleh dimakan, abang nak bagi sebahagian daripadanya kepada Tuan Alim. Takkan abang nak makan sendiri ikan sebesar itu," cadang si isteri.

Disebabkan itu cadangan dan permintaan daripada isteri tersayang, si lelaki itu pergi juga ke rumah Tuan Alim semula. Walaupun mukanya agak tebal dirasakannya. Lagipun niatnya ikhlas, dia lakukannya juga.

"Betul ke apa yang kamu cakapkan tu wahai A*****?" tanya Tuan Alim dengan kelopak matanya terbuka luas.

"Betul, Tuan Alim. Jika ikan ini boleh dimakan, saya akan berikan sebahagiaan daripadanya kepada Tuan Alim. Tapi kalau dah tak boleh makan nak buat...."

"Nanti kejap... Nanti kejap..!" tingkah Tuan Alim memintas cakap lelaki itu.

Si lelaki ternganga.

"Saya masuk ke dalam sekejap," beritahu Tuan Alim lalu menghilangkan diri dari pandangan lelaki itu.

Sebentar kemudian, Tuan Alim muncul semula dengan sebuah kitab lain di tangannya.

"Maafkan aku wahai A*****. Tadi sebenarnya aku terlihat kitab lain. Tapi kalau berpandukan pada kitab ini (sambil mengangkat kita tebal itu di depan muka si lelaki), ikan itu sebenarnya ikan biasa dan ia boleh dimakan," beritahu Tuan Alim.

"Apa..? Ikan ini boleh dimakan?" si lelaki menjerit gembira,

"Iya..!" balas Tuan Alim.

"Betulkah apa yang Tuan Alim katakan itu?" si lelaki bertanya lagi bagaikan kurang yakin dengan penjelasan Tuan Alim.

"Betul..!" tingkah Tuan Alim. Sambil mengangguk-anggukkan kepalanya berkali-kali dan tersenyum-senyum.

Maka si lelaki itu pun menyerahkan ikan itu kepada Tuan Alim untuk dipotong dan dibahagikan sebahagaian daripadanya, sepertimana yang telah dijanjikan.

P/s: Lelaki itu adalah aku. Watak-watak di dalam cerita di atas adalah watak-watak di dalam mimpiku malam tadi.

Perlibahasa: Sekilas ikan di kuali, sudah kutahu apa jenisnya dan ia boleh dimakan ataupun tidak.

Kita Sesama Kita:
SIAPAKAH ORANG YANG MISKIN?
ORANG ITU IALAH ORANG YANG TIDAK PERNAH PUAS DENGAN NIKMAT YANG DIMILIKINYA.

Friday, July 11, 2008

"NAK NYANYI..! NAK NYANYI..!"

"Lain kali jangan cakap nak kencing. Malu mama tau..?" tegur si ibu.

Si anak terpinga-pinga.

"Kalau adik nak kencing, cakap kat mama adik nak nayanyi tau?" pesan si ibu. Si anak mengangguk. Tapi masih terkebil-kebil. Mungkin dia agak pelik dengan pesan ibunya. Tapi sebagai anak dia rasa dia kena ikut.

Demikianlah bermulanya sebuah kisah keluarga separa elit. Di sebuah bandar besar.

Suami bekerja. Isteri suri rumah sepenuh masa.

Suami isteri memiliki seorang anak perempuan. Berusia tiga tahun.

Si isteri tak mahu ada orang gaji di rumah mereka. Takut suami tercinta buat onar. Takut suami buat skandal. Haru nanti. Suami pula separa hensem ala-ala bintang filem.

Si isteri ramai kawan ahli bisnes (usahawan wanita). Setiap hari ada saja kawan-kawannya itu datang membawa 'pamphlet' terkini mengenai bisnes masing-masing.

Pendek kata rumah mereka tak pernah sunyi. Yang sunyi hanya anak tunggal mereka. Asyik berkawan dengan barang-barang mainan. Kalau penat tidur. Kalau tidur tak penat. Kalau lapar minta susu. Kalau dapat susu hilang lapar.

Nak dijadikan cerita, sesekali datanglah anak tunggalnya itu mendekati ibunya yang sedang berborak-borak dengan rakan-rakannya itu. Tujuan si anak ialah untuk memberitahu ibunya;

"Ma.., adik nak cing..!"

Tetapi si ibu buat tak dengar. Berpaling pun tidak.

"Ma...! Adik nak cing...!" suara si anak agak tinggi.

Si ibu berpaling. Tapi masih buat tak layan.

"Maa..! Adik nak cinggggggg...!" suara si anak agak kuat. Kakinya pun dihentak-hentak ke lantai dengan kuat. Minta perhatian.

Semua tetamu berpaling ke arah si anak. Ada yang senyum. Ada yang bersahaja. Dan ada juga yang berkata: "Anak awak nak kencing tu."

Tujuan si anak ialah supaya ibunya menemaninya ke bilik air. Dia takut nak pergi sendiri. Si anak dah tak pakai 'diaper' lagi. Bermula sejak minyak naik harga. Mereka nak berjimat katanya. Jadi, kalau anak nak kencing, dia suruh cakap dengan ibunya. Anak patuh. Cerdik budaknya.

Si ibu menjeling tajam. Terkancing bibir. Marah dalam diam. Diam tapi marah. Lalu si ibu menarik tangan anaknya menuju ke bilik air. Si anak pun melepaskan hajatnya.

Bermula malam itu, berpesanlah si ibu kepada si anak. Kalau sesiapa ada kat rumah, kalau anaknya nak kencing, jangan sebut kecing, Tapi sebut: "Adik nak nyanyi". Begitu juga kalau mereka bertandang ke rumah orang. Maka akan fahamlah mama dan papanya.

Sejak itu si anak begitu patuh dengan ajaran dan nasihat si ibunya. Kalau nak kencing, pasti akan disebut 'nak nyanyi'.

Nak dijadikan cerita lagi. Pada suatu hari si mama dan si papa telah bercuti ke kampung. Anak tunggal itu di bawa bersama.

Maklum dah lama tak bertemu nenek tersayang, si anak berhajat mahu tidur dengan neneknya yang sudah pun bergelar ibu tunggal itu.

Ketika tengah malam, si anak berasa nak kencing. Lalu dia pun mengejut neneknya dan memberitahu; "Nek.., adik nak nyanyi."

Si nenek yang sedang lena tidur terkejut. Agak terpinga-pinga. Betulkah apa yang didengarinya itu?

Si cucu mengulangi kata-katanya; "Nek.., adik nak nyanyi..."

Si nenek berkerut dahi. Dalam hatinya berkata, apa kena dengan cucu aku ni? Tengah-tengah malam buta pun nak nyanyi..? Astaghfirullah-al-azim...!"

"Nek.., cepatlah. Adik nak nyanyi..!" ulang si cucu lagi.

"La... tak payahlah nyanyi tengah-tengah malam ni, cu. Tidur ajelah. Esok cucu nyanyi ya..?" pujuk si nenek.

"Tak nak. Adik nak nyanyi jugak...!" jerit si cucu sambil berdiri menghentak-hentakkan kakinya.

Si nenek serba salah. Keliru pun ada juga. "Dah buang tebiat ke cucu aku ni?" bisik hati kecilnya.

"Cepatlah nek...!" bentak si cucu lagi.

"Ok...ok... kalau cucu nak nyanyi jugak, jangan nyanyi kuat-kuat. Nanti orang dengar. Apa pulak kata orang. Hah.. nyanyi 'slow-slow' kat telinga nenek ya..?" pinta si nenek yang tidak begitu faham apa sebenarnya maksud si cucu.

Maka, si cucu tanpa berlengah lagi, 'bernyanyi'lah dengan kuatnya (sebab dah tak tertahan lagi) di telinga si neneknya.

Apa lagi, terkejut beruklah si nenek sambil melatah dan menjerit pekik di tengah malam buta itu akibat 'tindakan' si cucunya...

Kita Sesama Kita:
"JANGAN MUDAH MENGANGGAP BAHAWA APA YANG ORANG LAIN BOLEH BUAT, KITA PUN BOLEH BUAT. MUNGKIN APA YANG KITA BUAT ITU, HASILNYA TIDAK SEBAIK APA YANG ORANG LAIN TELAH BUAT"

Monday, July 7, 2008

PERIHAL NYAMUK - 2

Nyamuk - antara hidupan di dunia yang paling aku benci.
Tak ada yang tak benci, melainkan aku benci sebenci-bencinya.
Sebab ia merupakan hidupan yang yang membawa penyakit
dan menyebabkan banyak masalah lain kepada manusia.

Tetapi nyamuk ini hidupan yang tak sedar diri. Ia perasan
kononnya ia lebih bagus daripada hidupan lain. Dan cita-citanya pun cukup tinggi.
Sebab itulah ia selalu nak duduk dalam rumah (bangunan), walaupun tak pernah
mendapat izin pemilik rumah.

Jadi, kerana mahu menyempurnakan hajat dan hasrat tersembunyinya (tapi memang telah diketahui oleh manusia - untuk hisap darah) ia terpaksa juga menceroboh tempat tinggal manusia walaupun secara tak halal (haram).

Kononnya nyamuk yang tak pernah sedar diri ini, juga perasan yang ia lebih besar daripada hidupan lain di dunia.

Dan disebab ia terperasan yang ia kononnya lebih besar dan serba bagus, maka ia rasa ia boleh buat sesuka hatinya kepada hidupan lain, termasuklah manusia. Tak lain dan bukan, kerjanya ialah menghisap darah.

Itu bab menghisap darah. Tak kira siang atau malam. Janji ada
peluang dan kesempatan. Macam darah yang ada dalam tubuh kita ni ia yang
punya. Macamlah ia yang kasi makan pada kita. Banyak cantik..!Jahanamlah lu..!
Apa ke jadahnya semua ni..?! Mak bapak kita pun tak pernah hisap darah
kita macam tu. Puuii...! Puii..! (Oopp... sorry... terlebih pulak. Hee...hee..hee. Aku kalau dah marah memang macam tu. Tapi tak selalulah...)

Berbalik semula bab nyamuk yang suka wiieeuung... weeeiiuungg kat telinga manusia. Itu adalah
bab lain. Tapi kenapa ia suka buat macam tu...?

Haa... inilah yang nak diceritakan ni. Seperti yang dikatakan tadi bahawa ia sejenis hidupan yang serba serba terperasan.... jadi tujuan ia berweeiiuung... weeiiuung kat telinga manusia tu... kononnya... (diulang sekali lagi) konon-kononnya... ia berhasrat dan bercita-cita nak memotong (menggergaji) telinga manusia yang didekatinya itu.

EH.., iye ke..? Kenapa pulak ia nak buat macam tu...?

Hmm... aku pun tak pasti. Tapi kalau mengikut apa yang pernah aku tahu, sang nyamuk ni kalau boleh bukan nak hisap darah manusia aje. Tapi ia nak telan dengan manusia tu sekali. Sebab... kan ia jenis yang terperasan bagus dan bercita-cita tinggi.

Tapi yang menjadi masalah bagi nyamuk durjana tu ialah ia menganggap telinga manusia itu menjadi penghalang besar baginya. Kerana, kalau dia nak telah manusia, telinga itulah yang bakal tersangkut dan tersengkang di mulutnya nanti.

Jadi... caranya...?

Haaa... jadi itulah pasal ia nak potong telinga manusia. Dan bila telinga manusia dah dipotong, anggapannaya akan memudahkan ia menelan manusia yang ingin ditelannya itu.

Percaya tak..?

Boleh percaya ke...?

Tapi begitulah ceritanya tentang perihal nyamuk... sebagaimana yang
pernah diceritakan oleh arwah nenekku semasa aku kecil dulu...

(Sendal Otak: Mungkin juga masa zaman nenek aku punya nenek dulu, nyamuk di dunia ni sebesar gajah kot. Aku agak ajelah. Tapi aku tak suruh kau orang percaya tau..?)

Perlibahasa: Nyamuk sama nyamuk berjuang, manusia mati di tengah-tengah.

Kita Seasama Kita: "SESUATU YANG TERJENGAH DI TELINGA,
HARUS DITELITI DAN USAH MUDAH PERCAYA.
SESUATU YANG MENYINGGAH DI MATA,
ITULAH SEBENARNYA YANG PASTI LAGI NYATA"

Thursday, July 3, 2008

PERIHAL NYAMUK - 1

RELEASE TENSION - 2


Kenal nyamuk..?
Eh.., tentulah kan..?

Pernah kena gigit nyamuk..?
Hmmm... rasa-rasa macam pernah.

Pernah bunuh nyamuk..?
Kalau dah pernah kena gigit, tentulah juga
pernah menjadi pembunuhnya..!

Selain itu, pernahkah nyamuk menghampiri dan mengganggu telinga anda
dengan mengeluarkan bunyi weiuuung... weeiiuuunggg..!! ?

Persoalannya:
Jika pernah (bagi mereka yang pernah mengalami telinganya
dihampiri/diganggu nyamuk), maka pernahkah anda terfikir apa
sebenarnya tujuan sang nyamuk berbuat sedemikian kepada anda..?
__________________________________________________

PERLIBAHASA:
'Kerana nyamuk, kelambu dibakar. Kerana kelambu, nyamuk terbakar'
__________________________________________________

Kita Sesama Kita:
'BERBICARA MENGIKUT SESEDAP RASA, LEBIH BANYAK
YANG BERDUSTA. BERBICARA BERHATI-HATI, AKAN
LEBIH BERNILAI DAN DIHORMATI'
**************************************************************